Harian Metro
Rabu, 23 Oktober 2013
BERITA UTAMA
Dua korban banjir lumpur
496 22 Google +1 1 0
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan dan Mohd Apendy Ishak
CAMERON HIGHLANDS: Dua pekerja asing maut dan seorang lagi masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam, Ringlet di sini, awal pagi tadi.
Mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu dikenali sebagai Md Jahangir, 30-an warga Bangladesh manakala seorang wanita, Kesumat, 46, warga Indonesia dipercayai lemas akibat kejadian itu.
Sementara gerakan mencari seorang lagi mangsa warga Indonesia, Jarwati, 17, sedang dijalankan.
Ketua Polis Daerah Cameron Highland Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, gerakan mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
"Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi apabila pelepasan air dari empangan Sultan Abu Bakar melimpah sehingga mengalir ke kawasan kampung berhampiran.
"Sebanyak 80 rumah terjejas akibat kejadian," katanya.
Menurutnya, sehingga kini 38 orang sudah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Ringlet.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Pekerja wanita maut ditembak semasa rompakan bank
1068 303 Google +0 2 0
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
SUBANG JAYA: Seorang pekerja bank wanita berusia 37 tahun maut akibat terkena tembakan di kepala yang dilepaskan pengawal keselamatan yang merompak bank berkenaan di USJ Sentral di sini, petang tadi.
Dalam kejadian pada jam 6.18 petang itu, suspek berusia 37 tahun yang berkhidmat di bank sama dikatakan melepaskan tembakan yang terkena kepala mangsa ketika mereka bergelut sejurus selepas membuka pintu peti kebal di bank berkenaan.
Menurut sumber, mangsa dikatakan mati serta merta di tempat kejadian manakala pengawal keselamatan terbabit melarikan sebuah beg yang mengandungi sejumlah wang yang masih belum dikenal pasti jumlahnya.
Suspek dikatakan berasal dari Sabah itu melarikan diri menggunakan motosikalnya dan polis sedang menjalankan operasi mencarinya termasuk mengesan di alamat kediaman pengawal keselamatan itu berdasarkan rekod kerjanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Tan Ah Chuan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Hingga jam 9 malam ini, polis masih belum berhasil memberkas pengawal keselamatan terbabit dan gerakan mengesan suspek diteruskan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
22 kereta mewah dirampas kastam
0 0 Google +0 0 0
KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 kereta mewah belum lulus kastam dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membabitkan nilai rampasan lebih RM25 juta.
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, rampasan itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan bermula 16 Oktober lalu hingga semalam.
Rampasan itu termasuk 15 buah Ferrari, tiga buah Lamborghini dan masing-masing sebuah Bentley, Roll Royce, Porsche dan Nissan GTR 35.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Android mudah diserang malware: Trend Micro
2 0 Google +0 0 0
Oleh Afiq Hanif
KUALA LUMPUR: Sistem operasi Android adalah platform paling mudah diserang virus jenis Malware berbanding platform utama yang lain, mengikut kajian syarikat keselamatan dalam talian Trend Micro.
Kajian terbaru yang dibentangkan Trend Micro juga menunjukkan peningkatan serangan terhadap platform terbabit meningkat tahun ini berbanding dua tahun sebelumnya.
Ia diburukkan lagi dengan sikap pengguna peranti berasaskan Android yang mana hanya 19 peratus daripada mereka memuat turun perisian keselamatan yang ditawarkan vendor.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat
6 0 Google +0 0 0
IPOH: Jumlah mangsa banjir di daerah Manjung yang dipindahkan meningkat kepada 1,158 orang melibatkan 276 keluarga pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis Mohd Asri Mohd Ariff berkata paras air banjir bagaimanapun mula surut kerana hujan berhenti sejak semalam.
Proses pendaftaran pulang mangsa banjir sedang dijalankan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi melancarkan penghantaran jika keadaan semakin pulih.
"Namun paras air di kawasan Taman Pantai Wang, Taman Bintang dan Padang Serai setakat ini menunjukkan sedikit saja penurunan dan penduduk yang tinggal di kawasan itu belum boleh dibenarkan pulang," katanya kepada Bernama hari ini.
"Jumlah mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Batu mencatatkan sebanyak 674 orang, Dewan Taman Bintang (203), Dewan Orang Ramai Kampung Tebuk Yan (83) dan Sekolah Agama Rakyat Padang Serai (129)," katanya.
Mereka terdiri daripada penduduk di Taman Bintang, Kampung Ujung Pasir, Kampung Pantai Tin, Taman Pantai Wang, Kampung Tebuk Yan, Parit Marikan dan Batu 13 Segari, kata Mohd Asri.
Sementara itu, menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara di daerah Larut Matang, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan masih tidak berubah seperti semalam sebanyak 69 orang.
Menurutnya 55 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Batu Hampar dan 14 orang di Dewan Orang Ramai Padang Serai Dalam.
Fenomena air pasang, peralihan monsun dan hujan lebat, menyebabkan berlakunya banjir itu di beberapa kawasan di Perak. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Pertembungan dua pendidik
0 0 Google +0 0 0
YAN: Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau menyaksikan pertandingan antara dua pemimpin yang sekian lama terlibat dalam bidang pendidikan.
Barisan Nasional (BN) menampilkan bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, manakala PAS memilih seorang guru agama Mohd Azam Abd Samat, 37.
Ahmad Sohaimi yang berasal dari Kampung Titi Batu, Guar Chempedak dekat sini merupakan pensyarah kanan, Jabatan Pengajian Kemasyarakatan, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia (USM), Sarjana Sastera Universiti Malaya dan Ijazah Doktor Falsafah Sejarah Politik USM.
AHMAD Sohaimi (kiri) bersalaman dengan Mohd Azam (dua kanan) ketika menyerahkan borang pencalonan. FOTO Bernama
Dalam politik, beliau sudah lama terlibat dengan perjuangan Umno termasuk menjadi Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Titi Batu (1982-1990), Ketua Penerangan Pemuda Umno Yan/Jerai (1992-1995) dan Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Jerai (1995-1997).
Beliau merupakan Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerai sejak 1992 dan berjaya mengekalkan jawatan itu pada pemilihan bahagian 19 Okt lepas.
Ahmad Sohaimi yang berkahwin dengan Siti Bunga Ismail, 48, mempunyai enam orang anak.
Calon PAS, Mohd Azam pula merupakan Penolong Kanan Ko-Kurikulum di Sekolah Menengah Agama An-Nahdzah, Bukit Besar dekat sini.
Mohd Azam, bapa kepada lima orang anak, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir selain Diploma Pendidikan Pengajian Islam.
Beliau yang merupakan anak didik bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak turut memegang jawatan Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Kedah dan Ketua Pemuda PAS Jerai.
Datuknya, Abdul Hamid Ibrahim pernah bertanding di kerusi DUN Sala pada pilihan raya umum pertama pada 1959 mewakili PAS dan kalah kepada calon Perikatan
DUN Sala, selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya dikenali sebagai DUN Sungai Limau sejak pilihan raya umum 2004.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini untuk penamaan calon dan 4 Nov sebagai hari mengundi.
Pilihan raya kecil DUN Sungai Limau diadakan berikutan kematian Azizan, yang merupakan penyandang kerusi itu sejak pilihan raya umum 1995. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Bekas pekerja kilang menyebabkan kecederaan parah dipenjara
0 0 Google +0 0 0
SHAH ALAM: Seorang bekas pekerja kilang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini tadi atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki yang berasal dari Sabah dalam satu pergaduhan kumpulan menggunakan parang, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Noradidah Ahmad memerintahkan, G Danesh Kumar, 21, dihukum penjara lapan tahun dan sebatan dua kali bermula dari tarikh tangkap, 13 Ogos 2010.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Penumpang maut kereta rempuh pokok
0 0 Google +0 0 0
JOHOR BAHRU: Seorang penumpang sebuah kereta maut selepas kereta dinaikinya terbabas dan merempuh sebatang pokok di Jalan Tembikai Utama, Kota Masai di sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 11.30 malam, mangsa, Muhamad Faruq Ramli, 20, maut di lokasi kejadian manakala pemandu dan seorang lagi penumpang kereta itu cedera parah.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, kemalangan berlaku selepas pemandu Proton Saga itu secara tiba-tiba gagal mengawal pemanduannya dan terbabas.
"Proton Saga itu terbabas ke kiri bahu jalan dan merempuh sebatang pokok di kawasan itu namun kemalangan terbabit tidak membabitkan kenderaan lain," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
2 maut, 2 cedera MPV rempuh pokok
20 1 Google +0 0 0
PONTIAN: Dua maut manakala dua cedera dengan seorang daripadanya parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dinaiki merempuh pokok dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 15.1, Jalan Pontian-Kukup di sini, jam 5 pagi tadi.
Kejadian berlaku apabila Toyota Avanza terbabit yang dipercayai dipandu laju hilang kawalan sebelum merempuh pokok di lokasi berkenaan.
Mangsa yang mati ialah pemandu Syahirul Kantor, 21, berasal dari Kampung Peramu, Tanjung Lumpur, Kuantan dan penumpang belakang, Syamsuwardi Abd Kadir, 21, dari Villa Indah, Taman Bayu Perdana, Klang.
Dua yang cedera ialah Mohd Imran Mohd Thamrin, 18, berasal dari Lorong Selampit 18 A, Klang Jaya, Klang dan Zubayir Sultan, 20, dari Taman Chi Liung, Pandamaran, Pelabuhan Klang.
Mohd Imran parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Kesemua mangsa adalah pekerja di Tanjung Bin Power Plan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
'Saya nak ke alam ghaib'
66 3 Google +1 0 0
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
Kuala Selangor: "Saya nak ke alam ghaib dan syurga," itu antara kata-kata yang sering diungkapkan seorang lelaki yang mengalami kemurungan sebelum dilaporkan hilang dari rumahnya sejak jam 3 petang, Sabtu lalu.
Mangsa, Rofiei Khalid, 59, dilaporkan hilang dari rumahnya di Puncak Alam Fasa Tiga, di sini, dipercayai menuju ke kawasan hutan yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.
Namun, usaha menjejaki mangsa yang dijalankan ahli keluarga serta anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Klang masih buntu kerana gagal mengesan atau mendapat apa-apa petunjuk.
Difahamkan, Rofiei yang juga pesara kerajaan cuba masuk ke kawasan hutan berkenaan pada Rabu lalu, namun tindakannya itu dihalang seorang lelaki yang berada tidak jauh dari kawasan itu sebelum diserahkan kepada keluarganya.
PENDUDUK turut sama mencari Rofiei (gambar kecil) di dalam hutan.
Isteri mangsa, Misnah Yahya, 52, berkata, suaminya mengalami masalah kemurungan sejak 2006 dan sembuh pada 2011, namun penyakitnya datang kembali pada penghujung 2011 sehingga kini.
Beliau berkata, suaminya dipercayai sering masuk ke kawasan hutan berhampiran rumah mereka seorang diri berdasarkan kesan lumpur pada kasut yang dipakai dan sudah beberapa kali hilang dari rumah, namun berjaya ditemui di kawasan gelap berhampiran rumah.
"Apabila ditanya tujuan dia masuk ke hutan, dia kata mahu masuk ke alam ghaib dan syurga," katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
"Kali terakhir suami dilihat cuba masuk ke hutan berkenaan pada Rabu lalu namun berjaya dihalang seorang lelaki yang berada tidak jauh dari kawasan itu sebelum dihantar pulang ke surau berhampiran," katanya sewaktu ditemui Harian Metro, semalam.
Katanya, dia dan ahli keluarga serta jiran sudah berusaha mencari suaminya di kawasan berhampiran, namun masih gagal menemuinya sehingga kini.
Beliau bersama tujuh anaknya kini bimbangkan keselamatan suaminya yang turut mengidap penyakit kencing manis dan bergantung kepada ubat untuk mengawal kemurungannya.
Misnah berkata, dia berharap suaminya itu ditemui segera dalam keadaan selamat kerana suaminya tidak membawa wang dan dokumen pengenalan diri ketika keluar.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya Jumaat Muskim berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kehilangan Rofiei pada jam 10.25 pagi semalam.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat, sepasukan lapan pegawai bersama anggota dikejarkan ke kawasan hutan berhampiran Puncak Alam Fasa Tiga untuk mencari mangsa.
"Setakat jam 2 petang semalam, mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari akan diteruskan menggunakan khidmat pasukan Anjing Pengesan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Tinggal motor curi
7 1 Google +0 0 0
Oleh Mohd Fadly Samsudin
Kuala Lumpur: Sebanyak 350 saman dikeluarkan Polis Trafik Bukit Aman terhadap penunggang motosikal dalam Ops Cantas Khas (Op Cantas) yang dijalankan di lorong motosikal di kilometer 28.7 Lebuh raya Persekutuan, Sungai Way arah ibu negara di sini, tengah hari semalam.
Dalam operasi bermula jam 11 pagi itu, polis turut mengesan sebuah motosikal curi yang ditinggalkan 500 meter dari kawasan sekatan jalan sebelum penunggangnya melarikan diri.
Difahamkan, motosikal itu dilaporkan dicuri dan laporannya dibuat di Balai Polis Pantai, 18 September lalu.
Penguat Kuasa Operasi Lebuhraya, Zon Tengah Dua, Bukit Aman, Asisten Superintendan Shoppri Saad berkata, seramai enam pegawai bersama 33 anggota dari Bukit Aman termasuk enam anggota bantuan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya terbabit dalam operasi itu.
ANGGOTA polis trafik membuat pemeriksaan di lorong motosikal menghala Kuala Lumpur, semalam.
"Sepanjang dua jam operasi dijalankan, kami memeriksa lebih 500 motosikal.
"Manakala sebanyak 350 saman dikeluarkan ke atas pesalah trafik yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memiliki lesen memandu," katanya ketika ditemui selepas berakhir operasi itu, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Wanita bergaduh dalam semak
655 133 Google +4 1 0
Oleh Junaidi Ladjana
Kota Kinabalu: Belum reda dengan klip video memaparkan dua remaja membelasah seorang gadis sehingga pengsan, kini muncul pula klip video memaparkan pergaduhan dua gadis bertumbuk dan bergelut di dalam semak.
Video rakaman yang berdurasi tiga minit 24 saat ini tersebar luas di internet menerusi laman sosial Facebook dan YouTube sejak kelmarin.
Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku di Penampang serta dipercayai dirakam seorang lagi rakan mereka sebelum memuat naik video itu ke laman web terbabit.
Pergaduhan itu membabitkan seorang wanita berbaju biru dibelasah wanita berbaju hitam berseluar pendek dipercayai rakan sekerjanya.
WANITA berbaju hitam menindih mangsa sambil mencekik.
Ketika kejadian, wanita berbaju hitam itu menumbuk beberapa kali ke arah mangsa selain menindih tubuh rakannya itu sambil menampar mukanya beberapa kali.
Ketika itu, mangsa dalam keadaan lemah menjerit, "Allahuakbar, saya tidak boleh bernafas, sudah, tolong kasi lepas aku, saya tidak boleh bernafas, Allahuakbar."
Bagaimanapun, wanita berbaju hitam itu tidak mengendahkan perbuatan mangsa, sebaliknya berulang kali menumbuk dan menampar mangsa.
Beberapa pejalan kaki yang melihat kejadian itu meminta supaya wanita itu memberhentikan tindakannya, namun tidak diendahkan.
Malah, wanita berkenaan menampar beberapa kali muka mangsa menyebabkan mangsa tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu meminta tolong supaya dilepaskan.
Bagaimanapun, punca sebenar pergaduhan itu belum diketahui, begitu juga identiti kedua-dua wanita berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkaitan pergaduhan itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Belasah isteri minta 'benih'
27 4 Google +0 1 0
Oleh Hadzlihady Hassan
Seberang Jaya: Berang apabila diminta menyerahkan sperma (air mani) untuk ujian kemandulan, seorang lelaki mengamuk dan membelasah isterinya di kawasan parkir Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8 pagi, lelaki terbabit yang juga seorang anggota tentera 'naik hantu' sebelum membelasah isterinya hingga cedera di hidung, mata kiri dan seluruh badan.
Menurut sumber, pasangan terbabit dalam proses bercerai dan wanita berusia 35 tahun itu mendakwa suaminya mandul lalu meminta lelaki berusia 42 tahun terbabit menjalani ujian kemandulan.
"Selepas berjanji, mereka bertemu di kawasan parkir HSJ. Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham di antara mereka sebelum lelaki terbabit membelasah isterinya.
"Suspek dikatakan berang apabila isterinya mendakwa dia mandul dan memintanya menyerahkan sperma untuk dilakukan ujian oleh pihak hospital," katanya.
Sumber itu berkata, isteri suspek mahu suaminya menjalani ujian kemandulan kerana jika benar suaminya mandul, ia boleh menjadi alasan kuat untuk dia menuntut cerai.
Menurutnya, tidak cukup dengan membelasah isterinya, suspek turut mengugut mahu membunuh mangsa, menyebabkan wanita itu membuat laporan polis.
"Siasatan mendapati pasangan terbabit sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu dan mereka tiba di hospital dengan menaiki kereta berasingann.
"Suami mangsa turut membuat laporan polis kerana mendakwa isterinya menendang pintu kereta hingga kemek," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Asisten Komisioner Nasir Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Pandu sendiri ke hospital
4401 132 Google +2 2 1
Oleh Yusmawati Mhd Yusof
Jasin: "Saya hanya mengetahui ibu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas dihubungi pihak hospital. Saya bersyukur sempat berada di sisinya sehingga dia menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi (semalam)," kata Danial Baharuddin, 22, anak kepada pelakon dan penyanyi terkenal era 80-an, Noreen Noor, 54, yang meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur, akibat komplikasi buah pinggang dan jantung, jam 5.50 pagi, semalam.
Menurut Danial, arwah ibunya sebelum ini dalam keadaan baik dan hanya mengadu mengalami sakit di tangan kiri.
"Saya dimaklumkan ibu memandu sendiri ke hospital kira-kira jam 10 pagi semalam (kelmarin), sebelum itu dia tidak beritahu sesiapa mengenai tahap kesihatannya sebaliknya hanya mengadu sukar mengangkat tangan kiri.
"Saya hanya mengetahui ibu berada di sana selepas pihak hospital menghubungi pada sebelah petangnya, namun sebaik tiba dia sudah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya ketika ditemui di kediaman saudaranya di Kampung Pulai, Serkam, di sini, semalam.
JENAZAH Noreen Noor diusung ke tanah perkuburan.
Jenazah Noreen atau nama sebenarnya Noraini Mohamad Noor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulai, Serkam, dekat sini, kira-kira jam 2 petang.
Terdahulu, jenazah anak keempat daripada lima beradik itu dibawa ke kediaman saudaranya di Kilometer 16, kampung itu untuk dimandi dan dikafankan sebelum disembahyangkan di Masjid Ar-Rahman kampung berkenaan selepas solat Zuhur.
Antara rakan artis yang hadir ialah, Norshila Amin, Siti Fairuz dan Azizul Khamis serta komposer Eddie Hamid.
Selain Danial, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Siang Terbayang, Malam Merindu dan pernah berlakon beberapa filem antaranya Hantu Siang, Balik Kampung, Wira Angkasa dan Pelumba Malam turut meninggalkan anak angkat perempuan, Dania, 11.
Sementara itu, abang arwah, Rosli Mohamad Nor, 56, berkata, dia dimaklumkan mengenai kematian adiknya itu kira-kira jam 6 pagi semalam.
"Sejurus itu, kami memutuskan untuk mengebumikan jenazah di Kampung Pulai selepas Zuhur.
"Dia seorang adik yang baik dan sering mengambil berat mengenai keluarga dan kami terasa kehilangannya," katanya.
Rakan rapat arwah, Halimaton A Jalil, 54, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah 14 Oktober lalu ketika menemaninya berbuka puasa.
"Sabtu lalu saya ada mengajaknya ke hospital tetapi dia menolak, saya terkejut apabila seorang rakan telefon awal pagi tadi memaklumkan dia meninggal dunia," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
' Arwah minta cipta lagu'
6 0 Google +0 0 0
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
Kuala Lumpur: "Arwah ada menghubungi saya pada Ramadan lalu meminta saya mencipta lagu untuknya. Dia memang berhasrat sangat nak merakamkan lagu baru, namun saya sendiri sibuk dengan projek lain dan tidak sempat memenuhi permintaannya," kata komposer terkenal, Eddie Hamid, 47, mengenai kematian penyanyi dan pelakon terkenal era 1980-an, Noreen Noor, 54, di Hospital Pakar Ampang Puteri, di sini, awal pagi semalam.
Noreen atau nama sebenarnya, Noraini Mohamad Noor meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang dan jantung di hospital berkenaan pada jam 5.50 pagi semalam.
Eddie ketika dihubungi berkata, selepas itu Noreen tidak lagi menghubunginya hinggalah dia dihubungi anak lelaki Noreen, Danial Baharuddin, 22, memaklumkan wanita itu sudah meninggal dunia awal pagi semalam.
"Saya memang terkejut kerana tidak pernah tahu arwah ada menghidap sebarang penyakit sebelum ini," katanya yang pernah menghasilkan lagu popular nyanyian Noreen iaitu Siang Terbayang Malam Merindu.
Dalam pada itu, rakan seangkatan Noreen, penyanyi Norshila Amin berkata, dia seperti tidak percaya apabila menerima berita pemergian Noreen dan dia kini kehilangan seorang rakan baik yang begitu menjaga hubungan sesama rakan lain.
"Kebaikannya sukar nak diterjemah dengan kata-kata dan setiap orang mengakuinya. Kali terakhir kami bertemu ialah pada konsert membabitkan artis-artis 80-an terbitan RTM sempena Aidilfitri lalu. Setiap kali berjumpa, kami akan bergurau senda
"Jika tidak berjumpa kami akan berhubung menerusi telefon dan setiap kali bercakap biasanya akan ambil masa selama dua hingga tiga jam. Sebelum ini memang dia bercerita yang dia pernah mengalami muntah darah. Bagaimanapun ia hanya disampaikan kepada rakan-rakan rapat dan dia tidak mahu disebarkan kepada peminat," katanya dalam nada sebak.
Norshila berkata, Noreen pernah mengakui dirinya mengalami kemurungan selepas ibunya meninggal dunia pada 2006 sebelum diikuti bapanya setahun kemudian.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Hilang di Kajang jumpa di Rupat
7 0 Google +0 0 0
Oleh Amir Abd Hamid dan Muhammad Apendy Issahak
Kuala Lumpur: Beberapa pemilik yang motosikal mereka dilaporkan hilang beberapa tahun lalu terkejut apabila dimaklumkan kenderaan mereka itu kini berada di Pulau Rupat, Indonesia.
Harian Metro yang berkunjung ke pulau berkenaan baru-baru ini sempat mencatat nombor chasis motosikal jenis Kris yang ditemui dan berdasarkan empat nombor chasis yang dicatat itu, dua dilaporkan hilang di Kota Damansara dan Kajang pada 2004 dan 2006.
Seorang daripada pemilik motosikal berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 40-an, berkata motosikalnya itu diletakkan di kawasan pangsapuri rumahnya sebaik pulang dari kerja sebelum didapati hilang keesokannya.
Katanya, dia juga membuat laporan polis dan sudah menerima insurans kehilangan motosikalnya itu.
SEBAHAGIAN besar motosikal digunakan di Pulau Rupat dipercayai dibawa masuk dari Malaysia.
Beliau yang terkejut selepas dimaklumkan motosikalnya berada di Pulau Rupat turut berasa hairan bagaimana mudahnya motosikal dibawa keluar dari negara ini.
"Jika benar dakwaan ini, maknanya mereka yang mencuri motosikal saya ini bukan bergiat berseorangan. Pastinya membabitkan sindiket," katanya.
Seorang lagi pemilik yang enggan dikenali berkata, dia kehilangan motosikal Yamaha miliknya ketika keluar berjumpa rakan di Pekan Kajang.
Katanya, motosikalnya itu diletakkan dalam keadaan berkunci dan turut menggunakan kunci pendua sebagai alat keselamatan tambahan.
"Selesai jumpa rakan dan mahu pulang, saya dapati motosikal tiada di tempat ia diletakkan. Selepas puas mencari di kawasan sekitar, saya kemudian membuat laporan polis," katanya.
Beliau berkata, kejadian itu hampir lapan tahun berlaku dan tidak menyangka motosikalnya itu kini berada di Pulau Rupat.
"Jauh perjalanan motosikal saya itu hingga ke Indonesia. Maknanya selama ini jika ada motosikal hilang tentu dibawa ke negara jiran," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Global
Brunei laksana hukum hudud
1012 126 Google +0 0 2
Bandar Seri Begawan: Sultan Brunei semalam memperkenalkan hukuman hudud, termasuk merejam sampai mati mereka yang didapati bersalah kerana berzina.
Mengumumkan keputusan itu, beliau merujuk langkah berkenaaan sebagai yang bersejarah pelaksanaan undang-undang Islam sebenar di negara itu.
Sultan Hassanal Bolkiah, 67, antara lelaki terkaya di dunia, berkata, akta baru undang-undang syariah yang dikaji selama bertahun-tahun itu diperkenalkan secara rasmi semalam di negara yang kaya dengan minyak itu mengikut tempoh percubaan selama enam bulan.
Berdasarkan kes terhadap individu, undang-undang itu meliputi hukuman termasuk merejam hingga mati kerana berzina, memotong tangan kerana mencuri dan sebat kerana pelbagai kesalahan seperti pengguguran kandungan hingga kepada meminum arak.
SULTAN Brunei ketika mengumumkan undang-undang itu, semalam.
Akta itu bagaimanapun hanya tertakluk kepada umat Islam.
"Dengan izin Allah, dengan menguatkuasakan undang-undang ini, tanggungjawab kami terhadap Tuhan sudah ditunaikan," katanya.
Sebagai pemimpin negara yang keluarganya menguasai negara yang kaya dengan minyak itu selama enam abad, beliau pertama kali menggesa hukuman hudud dilaksanakan pada 1996.
Brunei sebelum ini mengamalkan pemerintahan lebih konservatif berbanding negara jiran Islamnya di Asia Tenggara iaitu Malaysia dan Indonesia, seperti mengharamkan penjualan dan kegiatan minum arak secara terbuka. -AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
4 polis cedera, 20 penduduk ditahan selepas bertempur
0 0 Google +0 0 0
Makassar: Empat anggota polis cedera dan 20 penduduk ditahan ekoran pertempuran yang tercetus angkara pertikaian mengenai tanah di Makassar, selatan Sulawesi semalam.
Tiga daripada empat polis itu melecur, manakala yang keempat cedera di kepala selepas ratusan penduduk membaling bom buatan sendiri, batu dan memanah polis terbabit yang membuat kawalan.
Pertempuran tercetus selepas polis cuba menjalankan perintah mahkamah yang mengarahkan 32 keluarga diusir dari tanah berkeluasan 3,570 hektar di pinggir pekan Mariso.
Mahkamah daerah Makassar memutuskan pertikaian mengenai tanah yang menjadi rebutan itu adalah milik seorang wanita dikenali sebagai Hamidah.
"Semua anggota polis yang cedera dibawa ke Hospital Bhayangkara," kata ketua polis Makassar, Muhammad Ridwan kepada portal berita kompas.com.
Menurutnya, keganasan itu berlaku selama tiga jam dan berakhir hanya selepas polis menahan 21 orang, termasuk seorang pegawai polis, Frans Tendean yang menurut media, menjadi dalang dalam konflik itu.
Polis turut merobohkan pagar kawat yang dibina penduduk tempatan di sekeliling tanah berkenaan bagi membolehkan kediaman penduduk terbabit diruntuhkan.
Puluhan anak panah dan beberapa bom buatan sendiri turut dirampas dari beberapa kediaman penduduk berkenaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Peladang kini kesal potong kaki sendiri
0 0 Google +0 0 0
Beijing: Seorang peladang dari Hebei, Zheng Yanliang yang memotong kakinya beberapa minggu lalu dilaporkan mula kesal dengan tindakan terburu-burunya itu.
Zheng memotong kaki kanannya dengan sebilah pisau dan gergaji akibat penyakit aneh yang dihidapinya.
Bagaimanapun, ada pihak yang mendawka dia berbuat demikian kerana ingin dikecualikan daripada membayar bil hospital.
Selepas kisahnya tersebar meluas di Internet, Zheng mendapat perhatian masyarakat dan hospital tempatan turut memberinya rawatan perubatan percuma.
Dia juga menerima sumbangan orang ramai dari seluruh negara.
Bagaimanapun, Zheng bimbang dia akan dilupakan jika media tidak lagi memberi perhatian kepadanya dan dia mungkin berdepan kesukaran lagi walaupun buat masa ini keadaan hidupnya stabil.
Zheng memerlukan pembiayaan besar dalam jangka panjang dan insurans perubatannya tidak dapat menampung jumlah sedemikian.
Diharapkan dia tidak memotong sebelah lagi kakinya jika sudah kekurangan wang untuk membiayai kos perubatannya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Mangsa gempa bumi tidak terima bantuan
0 0 Google +0 0 0
Manila: Kerajaan Filipina semalam berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan yang pihak berkuasa tempatan di pulau yang dilanda bencana gempa tidak memberikan bantuan kepada penduduk yang memerlukan.
Sementara jumlah besar bantuan tiba di Bohol, terutama daripada kerajaan persekutuan, beberapa penduduk mengadu mereka tidak menerima sebarang bantuan daripada pihak berkuasa tempatan seminggu selepas gempa berukuran 7.1 magnitud menggegarkan pulau itu, kata Setiausaha Dalam Negeri, Mar Roxas.
"Tidak betul jika bantuan kecemasan diberikan kerajaan persekutuan disembunyikan di pejabat majlis perbandaran dan pejabat daerah," katanya dalam satu kenyataan.
"Jika ia benar-benar terjadi, mereka yang bertanggungjawab perlu didakwa kerana kesalahan itu," katanya.
Menurutnya, polis Bohol diarahkan agar memantau agihan bantuan sekiranya berlaku keadaan demikian.
Kontroversi mengenai isu bantuan berpusat di Maribojoc, pekan dihuni 20,000 penduduk kira-kira 15 kilometer di barat pusat gempa.
Datuk bandar Leoncio Evasco berkata, dia sudah meminta Palang Merah meninggalkan pekan itu Khamis lalu.
Beliau mendakwa organisasi itu menjejaskan sistem agihan bantuan di Maribojoc.
Palang Merah bagaimanapun mendakwa, pihak berkuasa tempatan meminta mereka menyerahkan bantuan tetapi mereka enggan berbuat demikian.
- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Gesa AS dedah kempen dron
0 0 Google +0 0 0
Islamabad: Amerika Syarikat perlu menamatkan maklumat sulit yang membabitkan kempen dronnya di Pakistan dan membawa mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan tidak sah ke pengadilan.
Amnesty International semalam berkata, tiada pengadilan dibuat mengenai dua serangan dron di barat laut Pakistan tahun lalu, satu daripadanya membunuh nenek berusia 68 tahun ketika mangsa memetik sayur-sayuran.
Gesaan Amnesty itu dibuat menjelang rundingan Rumah Putih antara Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif, di mana isu serangan dron dijangka dibincangkan.
AS menjalankan hampir 400 serangan dron di daerah suku kaum di Pakistan dekat sempadan Afghanistan sejak 2004, membunuh antara 2,500 hingga 3,600 orang, menurut Biro Siasatan Kewartawanan berpangkalan di London.
Washington berkata, ia adalah kaedah penting dan berkesan dalam perjuangan menentang militan seperti Taliban dan al-Qaeda yang mempunyai kubu kuat di kawasan suku kaum itu.
Namun, pengkritik berkata, ratusan orang awam yang tidak berdosa turut maut dalam serangan terbabit.
Amnesty berkata, tanpa bukti kukuh, sukar untuk menguji dakwaan AS bahawa serangan berkenaan berdasarkan perisikan yang boleh dipercayai dan mematuhi undang-undang antarabangsa.
"Maklumat sulit mengenai program dron memberikan pentadbiran AS, lesen untuk membunuh menjangkaui kuasa mahkamah atau syarat asas undang-undang antarabangsa," kata penyelidik kumpulan hak asasi manusia itu di Pakistan, Mustafa Qadri.
Obama mempertahankan tindakan melancarkan serangan dron pada Mei lalu dengan menganggapnya sah dan terbaik bagi menangani keganasan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Tiga pasangan Saudi bercerai setiap jam
0 0 Google +0 0 0
Riyadh: Kadar perceraian di Arab Saudi meningkat kepada lebih 30,000 kes pada 2012 dengan kadar purata 82 kes sehari atau hampir tiga kes setiap jam.
Kajian dibuat unit penyelidikan akhbar al-Eqtisadiah menunjukkan kadar perceraian di negara itu adalah 2.5 kes bagi setiap 1,000 lelaki berusia 15 tahun ke atas.
Kadar itu menjadikan Arab Saudi berada di tempat kedua di kalangan negara Teluk dalam isu perceraian, diikuti Bahrain dengan kadar 2.7 kes bagi setiap 1,000 orang.
Kajian sama menunjukkan berlaku kecenderungan untuk peningkatan kes perceraian pada 2012 berbanding 2010 apabila kadar itu berada pada tahap 75 kes sehari.
Data disediakan Kementerian Keadilan menunjukkan 90 peratus - atau lebih 27,000 pasangan - kes pera membabitkan lelaki tempatan yang menikahi wanita tempatan.
Di samping itu, perceraian di antara pasangan lelaki asing dengan wanita asing berada di tempat kedua dengan 2,174 kes atau tujuh peratus.
Sementara itu, bagi pasangan lelaki tempatan dengan wanita asing, sebanyak 575 kes - atau dua peratus - kes perceraian direkodkan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
120,000 haji haram berdepan hukuman keras
0 0 Google +0 0 0
Abha: Kementerian Dalam Negari mengeluarkan pekeliling tegas kepada gabenor wilayah di Arab Saudi dengan mengarahkan mereka mula mengambil tindakan keras terhadap mana-mana individu yang mengerjakan haji tanpa permit.
Berdasarkan surat pekeliling itu, pesalah akan dipanggil ke balai polis berhampiran dengan tempat tinggal jemaah haji tanpa permit pada Ahad ini.
Di situ, kata sumber, mereka akan dikenakan tindakan tegas kerana melanggar undang-undang negara. "Kerajaan tempatan diarah mengesan 120,000 jemaah haji yang mengerjakan ibadah itu tanpa kebenaran dan membawa mereka ke balai polis," katanya.
Pihak berkuasa dapat menjejak individu terbabit hasil pelaksanaan sistem pengesanan melalui cap jari di Makkah, Mina dan Arafah pada musim haji kali ini. Sumber berkata, kerajaan tidak bercadang bertolak ansur dengan jemaah haji terbabit.
"Jika pelaku itu adalah warga asing, mereka akan diusir dan disenarai hitam selama 10 tahun," katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Rokok elektronik bernilai RM2.8j
351 1 Google +0 1 0
Moscow: Seorang ahli perniagaan menghadiahkan rokok elektronik bersalut berlian kepada kekasihnya untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahiran wanita itu, lapor media semalam.
Rokok elektronik itu bernilai £550,000 (RM2.8 juta) dan ditempah khas seorang bilionair minyak Russia yang menetap di London tetapi tiada butiran mengenainya didedahkan.
Menurut sumber, rokok itu mengambil masa empat setengah bulan untuk direka dan dihiasi 246 berlian dengan setiap satu bernilai £1,800 (RM9,216).
"Ia juga dilengkapi 46 butir kristal kuning Swarovski dan enam karat berlian bujuk bernilai £46,000 (RM235,519) pada hujungnya.
ROKOK elektronik berhias berlian dan pelbagai permata mahal dipesan seorang ahli perniagaan tidak dikenali.
"Selain itu rokok berkenaan dihiasi kaca Itali yang ditempa khas dengan tangan serta disempurnakan dengan butang emas 24 karat," katanya.
Ia menjadi lebih unik kerana diberikan nama khas, dikenali sebagai Shisha Sticks Sofia tetapi tidak dapat dipastikan jika ia boleh dianggap sebagai pembayang identiti penerima hadiah itu
Pegawai syarikat Shisha Sticks, Anthony Mixides berkata, mereka menerima pesanan untuk menghasilkan rokok elektronik yang penuh kemewahan.
"Kami dimaklumkan bahawa wang tidak menjadi penghalang kepada pesanan itu dan ahli perniagaan terbabit cuma mahukan produk terbaik," katanya dalam satu kenyataan.
Sebaik saja reka bentuk itu dipersetujui, kata Mixides, mereka mencari berlian serta permata terbaik yang ada di pasaran ketika ini untuk ditampal pada rokok berkenaan.
Katanya, walaupun begitu mereka yakin ia adalah rokok elektronik terbaik yang pernah dihasilkan setakat ini.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Paksa teman wanita minum asid
5 1 Google +2 0 0
Mumbai: Seorang remaja perempuan cedera parah selepas diperdaya bekas teman lelakinya dan dipaksa meminum asid sebelum ditolak ke laut.
Laporan media India menyatakan, mangsa menjalin hubungan dengan Jitendra Sakhpal, 21, sebelum lelaki terbabit melamarnya.
Bagaimanapun remaja terbabit menolak lamaran berkenaan dan hubungan mereka berakhir disebabkan ia tidak mendapat restu daripada keluarganya.
Antara faktor cinta itu dihalang ialah kerana Sakhpal menganggur.
Polis berkata, kejadian berlaku pada Sabtu lalu apabila pasangan dari Dahisar itu bertemu di Pantai Gorai, barat Mumbai.
Sumber berkata, mangsa berusia 18 tahun dan menuntut di sebuah kolej.
"Sabtu lalu Sakhpal bertemu mangsa di depan kolejnya dan merayu supaya menemani suspek bersiar-siar.
"Mereka menaiki bot dan tiba di Gorai tidak lama kemudian," katanya dalam satu kenyataan.
Di situ, katanya, suspek merayu supaya hubungan mereka disambung semula tetapi apabila mangsa gagal diyakinkan, dia mengeluarkan sebotol asid.
Suspek kemudian mencurah cecair berbahaya itu ke mulut mangsa sebelum dia ditolak ke laut.
Polis percaya Sakhpal merancang kejadian itu lebih awal.
Asid berkenaan menyebabkan 10 hingga 15 peratus muka mangsa melecur.
Sumber berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Thunga di Mumbai dan doktor masih belum dapat memastikan sejauh mana kecederaan dalaman remaja terbabit. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
Pencuri salahkan sistem keselamatan muzium
0 1 Google +1 0 0
Bucharest: Seorang lelaki Romania yang mengaku mencuri lukisan tiga pelukis terkenal dunia menyalahkan muzium Belanda kerana gagal melindungi karya seni itu.
Peguam Catalin Dancu semalam berkata, Radu Dogaru menganggap pengurusan Muzium Kunthal di Rotterdam gagal melengkapkan lukisan Gauguin, Monet dan Picasso dengan alat penggera.
"Kami boleh tegaskan berlaku kecuaian dengan kesan serius.
"Jika tiada jawapan diterima mengenai siapa yang bersalah atas kecuaian itu, kami mempertimbangkan untuk mengambil peguam Belanda untuk memulakan kes undang-undang di negara itu atau Romania," katanya.
Dogaru adalah seorang daripada enam warga Romania yang dibicarakan kerana mencuri lukisan berkenaan pada Oktober 2012.
Kejadian itu menggemparkan dunia kerana kecurian berlaku hanya dalam tempoh tiga minit.
Walaupun bernilai amat tinggi, pihak berkuasa Belanda mengakui lukisan berkenaan tidak dilengkapi alat penggera.
Ketika ini Dogaru berdepan tuntutan sehingga AS$24 juta (RM76 juta) daripada syarikat insurans yang melindungi lukisan berkenaan.
Karya seni itu masih belum ditemui sehingga kini.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.











No comments:
Post a Comment