Sunday, August 25, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH am 260813 bersamaan 19 Syawal 1434H

 

 

 

 

RM3 juta anjur kursus haji

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 26, 2013

SHAH ALAM – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) membelanjakan hampir RM3 juta bagi menganjurkan kursus haji di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail berkata, jumlah itu tidak termasuk tanggungan Tabung Haji bagi setiap jemaah haji 'Muassasah' iaitu sebanyak RM5,575 seorang bagi mengekalkan kos menunaikan haji sebanyak RM9,980 seorang.

"Jumlah tanggungan haji keseluruhan Tabung Haji setiap tahun adalah melebihi RM100 juta.

"Dengan jumlah tanggungan yang besar ini, Tabung Haji mengharapkan bakal jemaah haji akan dapat mengerjakan haji lebih selesa dan selamat serta mendapat haji yang mabrur," katanya dalam sembah ucapan Majlis Penyempurnaan Penutupan Kursus Perdana Haji Musim Haji 1434 Hijrah, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, pada tahun ini, seramai 3,600 bakal haji dari Selangor terpilih mengikuti Kursus Perdana Haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, di sini.

Katanya, kursus yang menjadi program akhir di bawah kendalian Tabung Haji itu memberikan maklumat terkini dan ilmu berkaitan ibadah haji bagi meningkatkan tahap pengetahuan bakal haji sebelum bertolak ke tanah suci.

"Melalui kursus ini, jemaah akan diberikan kesempatan mengukuhkan lagi kefahaman masing-masing berhubung pelaksanaan ibadat haji melalui latihan amali yang diadakan.

"Jemaah haji berpeluang melaksanakan aktiviti ibadah haji secara simulasi seperti bertawaf, sai, melontar jamrah dan amalan berkaitan dengan haji dan umrah secara berkumpulan bagi melahirkan suasana sebenar di tanah suci," katanya.

Elak projek rugikan rakyat

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 26, 2013

IPOH – Pemuda Pas Negeri mahu kerajaan negeri mengutamakan perancangan praktikal dalam pengurusan wang kerajaan.

Bendaharinya, Fakhrulrazi Mokhtar berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri disaran tidak meluluskan projek mega dan dasar yang merugikan wang rakyat.

"Perkara itu tidak seharusnya berulang. Perancangan ekonomi juga perlu lebih praktikal selain tidak merugikan wang kerajaan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat.

"Setiap perkara yang ingin diluluskan perlu mengambil kira aspek kewajaran dan keperluan yang akan membawa kepada faedah kepada rakyat bukan memberi keuntungan kepada pihak berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperoleh sumber kewangan yang mencukupi memandangkan negeri ini mempunyai pelbagai hasil termasuk getah, kelapa sawit dan lain-lain.

Katanya, Pemuda Pas yakin pendapatan kerajaan negeri cukup untuk disalurkan kepada seluruh rakyat melalui perancangan efisien.

"Kami yakin ekonomi rakyat akan meningkat dan masalah kemiskinan dapat dibanteras sekiranya pendapatan diuruskan secara adil dan saksama," katanya.

AES: Bukti kerajaan responsif

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 26, 2013

SHAH ALAM – Tindakan kerajaan meminda sebarang polisi yang telah dilaksanakan, bukan satu langkah negatif sebaliknya, ia bukti kerajaan responsif terhadap kehendak rakyat.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pengubahsuaian dalam polisi kerajaan sesuatu perkara yang normal kerana mengikut keadaan semasa.

"Walaupun nampak seperti kerajaan tidak laksanakan polisi itu dengan baik, namun kadang-kadang polisi memang cantik dari segi teori tetapi tidak praktikal apabila dilaksanakan.

"Isu Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) contoh terbaik, kesannya kepada kerajaan banyak tenaga dan wang awam telah digunakan untuk perbincangan isu tersebut," katanya.

Menurut beliau, kerajaan perlu menggantikan polisi yang dimansuhkan kepada polisi yang lebih praktikal dan baik untuk rakyat.

"Tindakan ini harus dipuji kerana kerajaan responsif terhadap kehendak rakyat  menolak polisi seperti AES. Ini menunjukkan kerajaan melaksanakan janjinya iaitu rakyat didahulukan," katanya.

Pendapat sama turut di utarakan oleh Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod bahawa pengubahsuaian sesuatu polisi juga bukti keterbukaan kerajaan terhadap apa yang dilaksanakn.

"Polisi tidak seperti undang-undang, kalau undang-undnag nak pinda kena bawa pergi Parlimen, polisi boleh ubah bila-bila masa.

"Cuma kalau ubah ada implikasi politik misalnya pembangkang akan kata kerajaan berdolak dalik. Tetapi kalau memang perlu ubah akhirnya akan ubah juga sebab ada polisi yang tidak berkesan," katanya.

Tambah beliau, antara implikasi lain adalah dari segi kewangan dan perundangan.

Menjadikan isu AES sebagai contoh, Nik Ahmad Kamal menjelaskan, perkara itu melibatkan kos yang tinggi apabila kerajaan perlu bayar pampasan kepada syarikat yang telah menguruskan AES sebelum ini.

"Kerajaan perlu dengar, sebab yang bantah AES bukan hanya pembangkang tetapi ada juga pengundi BN yang tidak berpuas hati.

"Kerajaan sedia semak semula bukan bermaksud kerajaan terima semua kritikan tetapi kerajaan mendengar mana yang beri faedah kepada majoriti rakyat itu diutamakan," katanya.

Rebat telefon pintar RM200 disambung semula

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

HULU TERENGGANU - Kerajaan akan menyambung semula pemberian rebat RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G kepada golongan belia bermula 3 September ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata, sebelum ini program itu dihentikan sementara untuk memantau keberkesanannya.

"Kita akan agih semula baki pada 3 September ini," katanya kepada pemberita ketika mengagihkan Jalur Gemilang di Manir dekat sini semalam.

Katanya kerajaan sudah membelanjakan RM1.42 juta sejak program itu bermula Mac lepas.

Kerajaan menganggarkan seramai 1.5 juta belia berumur antara 21 dan 30 tahun yang berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan berpeluang menikmati kemudahan itu. - Bernama

 

 

 

Bot karam: Seorang lagi nelayan belum dijumpai

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

SANDAKAN - Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala empat lagi terselamat, selepas sebuah bot nelayan karam dipukul ombak di kawasan perairan Pulau Libaran dekat sini hari ini.

Pegawai Unit Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Sandakan Leftenan Madya Maritim Yusman Yusof berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira 3 pagi selepas nelayan berkenaan dikatakan ke laut untuk memancing.

Beliau berkata, mangsa yang dikhuatiri lemas dikenali sebagai Rosili Rabait, 27, manakala empat rakannya berumur dalam lingkungan 20 hingga 27 tahun berjaya diselamatkan penduduk kampung.

Dua daripada mereka diselamatkan pada 4 pagi manakala dua lagi pukul 9 pagi di kawasan perairan berhampiran Pulau Libaran.

Yusman berkata, sebaik menerima laporan pada 3.30 pagi, sebuah kapal peronda serta sebuah bot laju diarah ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Beliau berkata, operasi itu turut dibantu pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam serta penduduk kampung.

Mangsa yang terselamat dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin di sini dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan.

Beliau berkata, sehingga 5.30 petang, Rosili belum ditemui dan operasi bersambung esok. - Bernama

Leka gubah bunga, tak sedar kedai terbakar

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

KUALA TERENGGANU - Seorang pemilik kedai bunga nyaris maut apabila premis perniagaannya di Jalan Sultan Sulaiman di sini hangus dijilat api.

Kebakaran pada 6.55 petang itu berlaku ketika Tan Bee Beng, 37, sedang menggubah bunga yang ditempah pelanggan.

Tan berkata ketika kejadian, beliau hanya sendirian di kedai berkenaan kerana pekerjanya pulang pukul 6 petang, dan secara tiba-tiba, bekalan elektrik di premis itu terputus.

"Sebelum itu, saya masuk ke stor yang menyimpan bekalan bunga dan secara tiba-tiba keadaan gelap di dalam kedai.

"Saya terus keluar dari stor berkenaan dan melihat api mula marak dari bahagian stor dan beberapa saat kemudian mula merebak ke bahagian yang lain ," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Panik dengan kejadian itu, Tan terus berlari menyelamatkan diri sebelum orang ramai menghubungi bomba.

"Kejadian berlaku amat pantas dan saya gagal menyelamatkan sebarang harta benda," katanya sambil menambah kedai itu sudah 13 tahun beroperasi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jalan Kota Azmi Salleh berkata sebaik menerima laporan, seramai 33 anggota bersama lima jentera dikejar ke tempat kejadian.

Beliau berkata, kepantasan pihaknya berjaya menyelamatkan 10 unit rumah kedai lain daripada turut musnah dalam kebakaran itu.

"Ketika kami tiba, api marak di bahagian bawah bangunan tiga tingkat berkenaan dan kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawalnya daripada merebak ke premis bersebelahan, yang menempatkan kedai menjual peralatan senjata, kafe siber, firma guaman serta syarikat perumahan," katanya.

Asmi berkata punca kebakaran dan nilai kerugian masih disiasat. - Bernama

Ops Cantas: Polis tahan 16 lelaki aktif jenayah

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

GEORGETOWN - Polis menahan 16 lelaki dipercayai aktif melakukan jenayah kekerasan seperti, peras ugut, samun bersenjata dan merusuh, dalam serbuan berasingan Ops Cantas di lapan buah rumah sekitar negeri ini, awal hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Nasir Salleh berkata, dalam operasi lapan jam berakhir pukul 4 pagi itu suspek berusia 20-an hingga 40-an ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Jenayah.

"Kita telah membuat serbuan di 44 buah rumah kesemuanya dan mereka yang ditahan adalah suspek dikehendaki bagi pelbagai kes," katanya kepada pemberita di sini.

Dalam operasi yang sama beliau berkata polis turut menyerbu dua kelab malam di Komtar dan Jalan Penang serta menahan tiga lelaki warga asing yang bekerja tanpa permit selain membuat pemeriksaan air kencing terhadap 51 pengunjung pusat hiburan berkenaan.

Warga asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 dan Peraturan 11(7) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial, katanya.

Mohd Nasir berkata, polis turut menjumpai dua bilah parang panjang dalam salah sebuah pusat hiburan itu dipercayai digunakan untuk pergaduhan dan jenayah lain.

"Sekitar enam bulan kebelakangan ini beberapa peristiwa pergaduhan melibatkan senjata tajam berlaku di lokasi itu dan kita percaya parang itu sengaja disorokkan penjenayah untuk kegiatan samun dan peras ugut," katanya. - Bernama

5 pasangan ditahan berkhalwat di hotel

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

KUANTAN - Enam wanita rakyat asing ditahan dalam operasi bersepadu pusat hiburan untuk membanteras kegiatan tidak bermoral di bandar ini malam tadi.

Mereka yang ditahan terdiri tiga wanita rakyat Thailand, dua Indonesia dan seorang Filipina yang bekerja di pusat hiburan dan rumah urut tanpa dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Zakaria Ahmad berkata turut ditahan dalam operasi lima jam bermula 11 malam tadi itu ialah seorang wanita dan lelaki rakyat tempatan kerana premis hiburan mereka tidak mempunyai lesen yang sah.

"Lapan rumah urut dan 15 pusat hiburan diperiksa, operasi itu turut disertai Jabatan Agama Islam Pahang dan Majlis Perbandaran Kuantan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mohd Zakaria berkata dalam operasi itu juga seramai 57 orang diarah menjalani ujian air kencing dan enam daripadanya didapati positif dadah, manakala lima pasangan berusia 20-an ditahan di sebuah hotel di sini kerana didapati berkhalwat dalam bilik hotel itu. - Bernama

Kanak-kanak dipercayai didera ibu meninggal dunia

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

IPOH - Kanak-kanak perempuan berumur lima tahun yang dipercayai didera oleh ibunya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Paediatrik Hospital Permaisuri Bainun di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kematian itu.

"Kita sedang menunggu maklumat daripada pihak hospital berhubung kematian kanak-kanak itu," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Pada 15 Ogos lepas kanak-kanak malang itu dibawa ke hospital oleh bapanya dalam keadaan cedera pada bahagian kepala dan seluruh badannya akibat dirotan.

Choong Mee Chin, 30, ibu kepada kanak-kanak tersebut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan itu dan tidak mengaku bersalah pada 20 Ogos lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan menganiaya kanak-kanak itu di kediaman mereka di Taman Wang, Menglembu pada pukul 9 pagi, 12 Ogos. - Bernama

Ops Cantas: 159 ditahan di Kelantan

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

KOTA BHARU - Seramai 159 orang ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah di Kelantan sejak Ops Cantas dilancarkan Sabtu lepas, kata Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Mazlan Lazim.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 28 individu ditahan kerana terbabit dalam kes jenayah berat seperti memiliki senjata api dan peluru manakala selebihnya membabitkan kes dadah.

Katanya setakat hari ini, seramai 798 individu dan 635 kenderaan diperiksa dengan lapan kenderaan disita dan 152 saman trafik dikeluarkan.

Polis turut merampas 182 bijil pil kuda dalam pemeriksaan dan serbuan yang dijalankan di seluruh negeri, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mazlan berkata, dalam tiga kes terbaru, Rabu lepas, polis menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 dan 55 tahun berkaitan kesalahan memiliki senjata api dan peluru.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan pertama pada 4.30 pagi, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai menahan dua lelaki berusia 20 dan 27 tahun ketika memeriksa sebuah kereta di Guchil 2.

"Dalam pemeriksaan itu, kita menemui selaras senapang buatan sendiri sepanjang 95 cm dan 36 butir peluru," kata Mazlan sambil menambah suspek ditahan reman dari 21 hingga 26 Ogos untuk membantu siasatan.

Dalam serbuan kedua pada 9.30 pagi hari yang sama di Kampung Air Dingin, Tumpat, seorang wanita berusia 55 tahun dan anak lelakinya, 22, serta seorang lelaki berusia 41 tahun, ditahan berikutan penemuan 276 peluru pelbagai jenis.

"Berhubung kes itu, kita sedang mengesan seorang kontraktor berusia 55 tahun bagi membantu siasatan," kata Mazlan.

Dalam serbuan ketiga pada 9 malam di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Salor, Batu Melintang, Jeli, seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan kerana disyaki memiliki selaras senapang buatan sendiri serta 18 butir peluru timah yang dikatakan diperoleh dari negara jiran.

"Suspek yang bekerja sendiri ditahan reman bermula Rabu lepas hingga 28 Ogos ini bagi membantu siasatan," kata Mazlan.

Dalam pada itu, polis sedang memburu dua lelaki berusia dalam lingkungan umur 20 dan 30-an untuk membantu siasatan kes samun menggunakan senjata api di sebuah stesen minyak di Kampung Kasar, Pasir Mas, Khamis lepas.

"Kedua-dua suspek telah dikenal pasti dan fotofit mereka telah diedarkan.

Orang ramai diminta menghubungi balai polis berdekatan jika mempunyai maklumat berkaitan suspek," katanya. - Bernama

Nahas bas: 4 mangsa dipindahkan

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

KUALA LUMPUR - Empat daripada lapan mangsa tragedi bas terjunam ke dalam gaung di Genting Highlands yang dirawat di Hospital Selayang, telah dipindahkan ke dua hospital lain.

Pengarah Hospital Selayang Dr Siti Zaleha Mohd Salleh berkata, Nur Shamimi Jaafar, 25, dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, pada 2 petang semalam kerana ingin berada di tempat kelahirannya.

"Tiga lagi mangsa iaitu Rashidah Buyah, 50; serta dua anaknya, Raawnok Arefin, 14; dan Rezyan Arefin, 24, dipindahkan ke Prince Court Medical Centre di sini pada kira-kira 10.15 malam semalam," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mereka merupakan warga Kanada berketurunan Bangladesh.

Menurut Dr Siti Zaleha, empat lagi mangsa nahas bas yang masih berada di Hospital Selayang kini ditempatkan di wad biasa dan berada dalam keadaan stabil.

Nahas bas yang terhumban ke dalam gaung sedalam 60 meter di Km3.5 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada Rabu itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu manakala 16 lagi cedera.

Sementara itu, setakat tengah hari tadi, mayat tujuh mangsa nahas itu yang ditempatkan di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) masih belum dituntut.

Jurucakap HKL berkata, ini termasuk mayat seorang wanita dipercayai berbangsa Afrika yang belum dikenal pasti.

Katanya, lima mangsa yang dirawat di HKL berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya lagi, seorang mangsa kemalangan berbangsa Indonesia yang dirawat di Hospital Bentong, Pahang, dibenarkan keluar hari ini.

"Dia telah keluar pagi tadi. Dia hanya mengalami kecederaan ringan," katanya merujuk kepada Suryadi Budiarto, 52. - Bernama

Ops Cantas: Polis rampas bom dan peluru

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

BUKIT MERTAJAM - Enam orang termasuk dua wanita ditahan  dan polis merampas sebutir bom, sejumlah peluru dan sebilah pedang samurai selepas menyerbu sebuah rumah flat di Machang Bubuk di sini awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata, kesemua mereka berusia 21 hingga 48 tahun itu ditahan dalam Ops Cantas Khas pada pukul 1.30 pagi ini.

"Berdasarkan maklumat dan intipan yang diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menyerbu rumah berkenaan.

Terdapat empat lelaki dan dua wanita dalam rumah itu," katanya katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah itu, polis menemui sebutir bom, masing-masing 10 butir peluru berwarna perak bertulis NCCR .38 SPL dan berwarna kuning bertulis THAI ARMS .38 SPL serta sebilah parang samurai dengan ukiran naga.

"Dua lelaki yang ditahan dalam operasi itu memang dikehendaki polis manakala yang lain mempunyai beberapa rekod jenayah lampau," katanya sambil memberitahu polis akan menyiasat sama ada mereka adalah anggota kumpulan kongsi gelap.

Bernama difahamkan mereka yang ditahan itu merupakan anggota sindiket pengedaran dadah dan menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat berkumpul serta menjalankan aktiviti haram kumpulan itu.

Sementara itu, polis akan mengambil keterangan enam lelaki yang cedera selepas terkena tembakan dan serpihan peluru ketika sedang minum di sebuah gerai di Taman Kasawari, Simpang Ampat, di sini Sabtu malam.

Mazlan berkata polis juga akan mengambil keterangan pemilik kedai tempat kejadian itu.

Tiga daripada enam yang cedera itu telah dibenarkan keluar daripada Hospital Sungai Bakap, katanya.

Mazlan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian dan polis tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan perniagaan.

Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, enam lelaki yang sedang minum di sebuah kedai cedera selepas terkena tembakan dan serpihan peluru yang dilepaskan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal. - Bernama

Lari dari ditahan, langgar 15 kenderaan

Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: August 25, 2013

SERDANG – Dua individu yang dipercayai baru selesai memecah dan mencuri barangan dari  sebuah kereta di Bandar Kinrara 5 nekad melanggar hampir 15 kenderaan selepas dikejar anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, petang tadi.

Dalam aksi kejar mengejar selama sejam dari Bandar Kinrara hingga ke Kuala Lumpur itu, kedua-dua berusia lingkungan 20-an akhirnya berjaya diberkas selepas kereta dinaiki merempuh pembahagi jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei berkata, polis menerima panggilan orang awam berhubung kes pecah sebuah kereta jenis Perodua Myvi di kawasan komersil di Bandar Kinrara kira-kira jam 1.50 tengahari.

Bertindak atas maklumat awam, anggota URB dan cawangan polis peronda (MPV) IPD Serdang yang kebetulan meronda di kawasan sekitar bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba, individu berkenaan yang menyedari kehadiran polis terus meluru masuk ke dalam kenderaan.

Kedua-duanya enggan keluar dan terus memecut kenderaan meskipun diarah memberhentikan kereta yang dinaiki.

Chien Fei berkata di lokasi itu sahaja, suspek melanggar tiga buah kenderaan dan terus memandu ke arah Lebuhraya Bukit Jalil.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan daripada MPV Kuala Lumpur.

"Suspek masuk ke Lebuhraya Seremban, melalui terowong Smart dan keluar ke  Jalan Tun Razak.

Anggota URB dan tiga buah kenderaan MPV terus mengejar kenderaan berkenaan dan berjaya dipintas di terowong smart dan berjaya diberkas selepas kereta  jenis Proton Preve yang dinaiki terbabas melanggar tembok pembahagi jalan," katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau.

Kereta Proton Preve yang digunakan didapati baru dilaporkan hilang di Gombak 21 Ogos lalu.

Polis turut menemui parang, peralatan pecah kenderaan dan beberapa beg mengandungi barangan berharga serta set permainan golf yang dipercayai hasil kegiatan samun penjenayah terbabit sekitar Lembah Klang dan Melaka.

"Setakat ini jumlah kenderaan dilanggar suspek belum dapat dipastikan namun dipercayai ada 15 buah yang terbabit dalam kejadian itu," katanya.

PDRM tambah 50,000 anggota PVR

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

LANGKAWI - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah 50,000 anggota dalam pasukan Simpanan Sukarelawan Polis (PVR) bagi memastikan kadar jenayah di negara ini sentiasa terkawal.
    
Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Datuk Ayub Yaakob berkata jumlah itu merupakan tambahan daripada 10,000 anggota PVR sedia ada dalam sesi pengambilan sejak awal tahun lepas.
    
Beliau berkata pengambilan kali ini lebih memfokus kepada pemohon tempatan yang akan bertindak sebagai mata dan telinga polis di kawasan kediaman masing-masing.
    
"Pengambilan anggota dari penduduk tempatan adalah lebih efektif kerana mereka lebih memahami selok-belok kawasan setempat dan lebih mengenali penduduk sekitar," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sijil pada penutupan Kursus Penataran Jurulatih Program Remaja Berwawasan siri dua 2013 di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.
    
Program tiga hari, yang bermula 23 Ogos lepas, menghimpunkan 225 peserta terdiri daripada guru, pegawai tentera dan anggota polis.
    
Ayub juga berkata pihaknya menyasar pemohon daripada golongan profesional kerana mereka dapat menyumbangkan idea dalam memantapkan lagi tugas polis. - Bernama

Maut dirempuh ketika berjogging

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

IPOH - Sepasang suami isteri maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika sedang berjoging di Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini awal hari ini.  
    
Mangsa Lee Woon Bin, 51, mati di tempat kejadian manakala isterinya Teh Siew Chhon, 47, disahkan mati di Hospital Raja Permaisuri Bainun.  
    
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh DSP Wan Sharuddin Wan Omar berkata dalam kejadian 6.30 pagi itu pemandu kereta itu seorang diri dari arah bulatan berhampiran kediaman Menteri Besar, hendak pulang ke rumahnya.
    
"Kereta terbabit dipercayai dipandu laju sebelum terbabas dan melanggar mangsa lalu tercampak kira-kira 10 meter," katanya ketika dihubungi.    

Katanya pemandu kereta itu dipercayai tidak nampak mangsa yang ketika itusedang berjoging dari Taman Dr Seenivasagam.  
    
"Semasa kejadian cuaca baik manakala keadaan jalan lurus dan satu jalan mempunyai lorong dua hala," katanya.
   
Pemandu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama

Esscom: Kawasan Eszone sudah pulih

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

TAWAU - Keadaan keselamatan di kawasan Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esszone) sudah kembali seperti sedia kala, kata Pengarah Bahagian Perisikan  Keselamatan, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Ahmad Nadzer Nordin.
    
Bagaimanapun katanya anggota keselamatan daripada pelbagai agensi termasuk tentera, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia tidak mengambil mudah keadaan itu dan sentiasa melakukan pemantauan.
    
"Saya didatangi dua pegawai tinggi kedutaan Kanada dan Australia baru-baru ini yang ingin mengetahui situasi sebenar keselamatan di Sabah terutama di kawasan pantai timur.
    
"Saya maklumkan kepada mereka bahawa situasi sudah kembali normal walaupun keadaan terus dipantau," katanya semasa menjawap soalan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Rakan Komuniti Sabah (Pacos Trust) Anne Lasimbang pada forum terbuka sempena Bengkel Pembinaan Keupayaan Pemimpin Kampung Pulau Sebatik semalam.
    
Program sehari anjuran Yayasan Asia, Pacos Trust dan Persatuan Komuniti Tidung Tawau (Pakot) itu antara lain membincangkan isu dan cabaran keselamatan di Pulau Sebatik.
       
Pada forum itu, Anne bertanya mengenai kebimbangan penuntut Australia berhubung situasi keselamatan di Sabah, khususnya di kawasan pantai timur negeri itu, selepas Australia mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyatnya berikutan pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, 12 Feb lepas.
    
Ahmad Nadzer berkata kedutaan asing di negara ini juga telah dimaklumkan mengenai situasi sebenar di Esszone.
    
Mengenai pendekatan Malaysia menyelesaikan insiden pencerobohan pengganas itu di Sabah, beliau berkata Malaysia mendapat banyak pujian daripada negara luar kerana berjaya menyelesaikan kes itu secara bertamadun.
    
Saki-baki pengganas dan mereka yang disyaki ada kaitan dengan pencerobohan itu telah diberkas dan segera dihadapkan ke mahkamah untuk diadili dan mereka dibenar melantik peguam masing-masing, katanya. - Bernama

Siasatan kebakaran 7 bot diketahui sebulan lagi

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

KUANTAN - Siasatan kes kebakaran yang memusnahkan tujuh bot termasuk bot tiga milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Julai lepas, dijangka diketahui dalam tempoh sebulan lagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata unit forensik jabatan itu bersama agensi lain yang berkaitan masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

"Sehingga kini, semua pihak terlibat sedang mengumpulkan bahan bukti serta sampel dan kini dalam peringkat analisa bagi menentukan punca sebenar kebakaran.

"Setakat ini belum ada bukti mengaitkan kebakaran itu dengan unsur sabotaj.

Apa pun kami sudah memanggil semua saksi minggu lepas untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya dan Jamuan Mesra Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.  

Dalam kejadian pukul 7 malam 31 Julai lepas, empat bot nelayan dan tiga lagi milik APMM musnah dalam kebakaran di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata jabatan itu akan berpindah ke bangunan baharu yang dibina dengan kos RM16 juta pada akhir September ini.

"Bangunan itu siap dibina dalam tempoh dua tahun dan dilengkapi pelbagai kemudahan terkini," katanya. - Bernama

Usaha 4 suspek loloskan diri gagal

Oleh: NOOR'AINON MOHAMED YUSOF

Tarikh: August 25, 2013

BERCHAM – Serbuan sepasukan polis ke atas sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Syukur, di sini, semalam, menyaksikan berlaku adegan tembak menembak di bumbung rumah penduduk antara pasukan keselamatan itu dengan penjenayah.

Ketika serbuan dilakukan pasukan dari Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) pada jam 9.30 malam, penduduk di lorong Medan Bercham Selatan 4 dan 6 diarahkan mengosongkan rumah masing-masing, apabila seorang penjenayah yang masih bersenjata api melarikan diri melalui siling deretan rumah terbabit.

Bagaimanapun, kira-kira jam 12.30 tengah malam, beberapa das tembakan kedengaran dari lokasi kejadian menyebabkan penduduk yang berkumpul di situ melarikan diri.

Adengan lebih dua jam itu berakhir apabila polis berjaya menahan empat lelaki berusia 30-an yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penagihan dan pengedaran dadah serta menembak mati seorang lelaki di Kampung Simee pada 28 Julai lalu.

Penjenayah jatuh siling

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam memaklumkan, dua suspek berjaya diberkas di tingkat bawah rumah yang diserbu manakala dua lagi meloloskan diri melalui siling rumah sebelum salah seorang ditangkap di rumah bersebelahan selepas terjatuh dari siling.

Menurut beliau, suspek keempat berjaya lolos ke rumah bersebelahan dan telah melepaskan antara tujuh hingga lapan das tembakan ke arah apsukan keselamatan dalam cubaannya untuk melarikan diri.

"Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri sebelum suspek berkenaan terjatuh ke bahagian dapur sebuah rumah. Kita berjaya rampas pistol automaik jenis Baretta 9mm bersama kelopak dan dua peluru hidup.

"Rumah-rumah terbabit berjaya dikosongkan dan semua penduduk dipindahkan untuk keselamatan mereka semasa serbuan dijalankan. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini," katanya yang turut menegaskan bahawa operasi berkenaan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Dalam pada itu, Paramasivam berkata, polis percaya rumah yang diserbu dijadikan makmal mini untuk memproses dadah berikutan hasil pemeriksaan menemui sejumlah dadah jenis eramin 5 siap dibungkus.

Katanya, dengan penahanan suspek, polis percaya dapat menyelesaikan siasatan kes pembunuhan seorang lelaki yang ditembak di hadapan sebuah restoran di Kampung Simee.

"Tiga minggu lalu kita berjaya menahan tiga suspek termasuk wanita berkaitan kes berkenaan dan kali ini kita berjaya tahan empat suspek. Kes di Kampung Simee dianggap selesai.

"Siasatan akan diteruskan terhadap suspek termasuk cubaan bunuh mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (penalti lebih berat) serta Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Tidak sangka jiran penjenayah

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 58 berkata, dia tidak menyangka jirannya merupakan penjenayah tegar.

Katanya, semasa kejadian berlaku dia bersama anaknya sedang mencuci kereta di halaman rumah mereka apabila terdengar suatu benda besar jatuh dari tingkat atas rumahnya.

"Pada masa yang sama, kami dapat lihat ramai anggota polis datang ke kawasan rumah dan saya bersama anak saya segera keluar dari rumah.

"Kemudian polis memasuki rumah dan menangkap seorang lelaki yang terjatuh di bilik anak saya," katanya.

Mengakui gementar apabila mengetahui penjenayah terbabit memiliki senjata api, Tan berkata, dia terus menyorok di rumah-rumah jiran berhampiran kerana bimbangkan keselamatan diri serta takur terkena peluru sesat.

"Saya bersyukur kerana polis bertindak cepat ketika memberkas penjenayah terbabit," katanya.

Kes tembak: Keluarga boleh mohon inkues

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

GEORGETOWN - Anggota keluarga lima geng kongsi gelap yang mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis awal pagi Isnin lepas, boleh memohon untuk mengadakan inkues, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau berkata sesiapa sahaja mempunyai hak untuk mendapat pembelaan dan kerajaan tidak akan mengetepikan hak mereka untuk membela diri, walaupun membabitkan penjenayah.

"Sekiranya diperlukan untuk mengadakan inkues, (keluarga) boleh mohon. Cuma setakat ini (kes itu) masih dalam siasatan polis. Apabila selesai siasatan polis, baru dikemukakan pada pejabat Peguam Negara selepas itu barulah dapat diteruskan dengan inkues.

"Tapi tak ada masalah (untuk mengadakan inkues) sebab kita telah persetujui setiap negeri ada mahkamah koroner yang akan mengendalikan kes-kes yang memerlukan inkues," katanya kepada pemberita selepas majlis Malam Lagenda Aidil Fitri anjuran Jawatankuasa Peguam Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan beberapa pihak yang mahukan satu inkues diadakan bagi membolehkan keluarga lima lelaki berkenaan mengetahui kejadian sebenar kes itu.

Sebelum ini, akhbar melaporkan keluarga lima lelaki berkenaan tidak berpuas hati terhadap tindakan polis yang menembak suspek secara bertubi-tubi dan mendakwa ia tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Dalam kejadian awal pagi Isnin lepas, polis menembak mati lima anggota kumpulan kongsi gelap yang dipercayai pembunuh upahan yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Nancy berkata penubuhan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sedikit sebanyak membantu orang ramai termasuk tertuduh yang kurang berkemampuan mendapatkan bantuan guaman.

"Pada tahun 2011, kerajaan memperuntukkan geran sebanyak RM5 juta kepada YBGK dan RM10 juta pada tahun berikutnya. Manakala pada tahun ini, RM20 juta disalurkan kepada YBGK. Di situ kita melihat keprihatinan kerajaan untuk membantu mereka yang dituduh menyatakan pendirian mereka," katanya.

Beliau berkata dari Januari hingga 31 Julai tahun ini, sebanyak 21 peratus kes didengar di mahkamah menerusi perkhidmatan YBGK dan beliau yakin sasaran 30 peratus dapat dicapai pada tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata rang undang-undang Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Jabatan Insolvensi Malaysia kini dalam proses meminda Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bagi memudahkan individu yang diisytihar bankrap mendapat pelepasan kebankrapan. - Bernama

Bukit Aman siasat kes Ummu Jah

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 25, 2013

SHAH ALAM – Kertas siasatan Hatijah Aam atau Ummu Jah, balu pengasas Al-Arqam, pertubuhan yang diharamkan pada 1994, telah diserahkan kepada Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, penyerahan itu dilakukan berikutan penahanan Ummu Jah dua hari lalu.

"Bukit Aman akan tentukan berapa hari Ummu Jah direman," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Rabu lalu, selepas menghadirkan diri di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Ummu Jah ditahan polis untuk siasatan berhubung dengan kes penyelewengan dana rumah amal dan ajaran sesat.

Ummu Jah dijangka didakwa di Mahkamah Rendah Syariah daerah Gombak, Selangor, 22 November depan atas pertuduhan memimpin, menyebar dan menghidupkan semula ajaran sesat pertubuhan itu.

Penolong Pengarah Seksyen Perundangan dan Kesalahan Bahagian Penguatkuasaan Jais, Sharom Maarof berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan. 

Dalam perkembangan lain, Jakim sudah membuat pertemuan dengan jabatan agama Islam negeri untuk memantau 81 buah rumah amal di bawah syarikat itu yang dipercayai digunakan sebagai salah satu cara mendapatkan dana bagi kegunaan dan pergerakan mereka.

Mengikut rekod Jakim, sehingga kini terdapat sekitar 5,000 pengikut Al-Arqam bernaung di bawah GISB.

Enam nyaris maut kena tembak

Oleh: SITI NUR MAS ERAH AMRAN

Tarikh: August 25, 2013

NIBONG TEBAL - Enam lelaki yang sedang minum di sebuah kedai kopi di Taman Kasawari, Simpang Ampat cedera setelah terkena tembakan rambang yang dilepaskan dua lelaki, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.45 malam itu, kesemua mangsa yang sedang duduk di dalam kedai cedera di beberapa bahagian badan termasuk rusuk, kaki dan punggung akibat tembakan berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dua suspek yang menunggang motosikal melepaskan tembakan rambang secara tiba-tiba sebelum melarikan diri.

"Akibat tembakan itu, dua lelaki mengalami kecederaan pada bahagian rusuk dan punggung, manakala empat lagi luka di beberapa bahagian badan akibat terkena serpihan peluru dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Bakap.

"Bagaimanapun, kecederaan yang dialami tidak serius dan mereka dilaporkan stabil," katanya.

Beliau berkata, motif tembakan masih disiasat dan polis masih mengenal pasti jumlah tembakan yang dilepaskan di tempat kejadian.

Menurut, Abdul Rahim mangsa yang cedera duduk di dua buah meja paling hadapan, iaitu dua yang terkena tembakan duduk di sebuah meja, manakala empat lagi yang duduk di meja bersebelahan terkena serpihan peluru.Mangsa yang berusia antara 20 dan 50 tahun.

"Menurut saksi yang berada di kedai berkenaan, dua lelaki yang melepaskan tembakan itu memakai topi keledar penuh dan mereka terus memecut laju sebaik melepaskan tembakan," katanya.

Abdul Rahim berkata, polis tidak menolak kemungkinan kejadian ada kaitan dengan geng kongsi gelap.

"Setakat ini, kita belum tahu motif sebenar kejadian, tetapi polis percaya ia mempunyai kaitan dengan geng kongsi gelap. Kita tidak akan berdiam diri dan akan cari mereka yang terlibat dalam kes ini segera," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh. 

Dalam kejadian di Simpang Empat Keladi di Kulim 18 Julai lalu, seorang maut ditembak kira-kira 30 km dari lokasi kejadian.

Kejadian berlaku jam 12.25 tengah hari ketika K Shanmugam, 45, dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Bidara ke tempat kerjanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berapit, Bukit Mertajam dekat sini.

Nahas bas: Siasatan hampir selesai

Oleh: NORFARAHAH OTHMAN & NURUL ZAILA MOHD TAHIR

Tarikh: August 25, 2013

BENTONG - Siasatan ke atas bas henti-henti yang terlibat dalam kejadian kemalangan di Kilometer 3.6 Jalan Genting- Kuala Lumpur Rabu lalu hampir selesai.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, siasatan sudah dijalankan di tempat kejadian semalam dan kertas siasatan sedang dilengkapkan.

Katanya, selepas berpuas hati dengan siasatan dijalankan, bas itu akan diserahkan kepada syarikat bas terbabit.

"Bas sudah dibawa ke Bentong dan ditempatkan di tempat khas bagi mengelakkan ia menjadi tumpuan orang awam.

"Hasil siasatan berhubung punca sebenar bas terjunam ke dalam gaung juga tidak dapat didedahkan setakat ini," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam perkembangan sama, terdapat dua mayat mangsa nahas iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang belum dituntut ahli keluarga setakat jam 12.30 tengah hari semalam.

Katanya, mereka yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil untuk membuat pengecaman di Hospital Kuala Lumpur.

Mayat lelaki ditemui terapung dalam longkang

Oleh:

Tarikh: August 24, 2013

KUALA LUMPUR - Mayat lelaki, dengan tangan terikat ke belakang, ditemui terapung dalam kawasan tadahan atau longkang berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Kepong ke Batu Caves di Gombak bari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata mayat tanpa pengenalan diri itu ditemui separuh bogel dengan tiga kesan tetakan iaitu di belakang badan, bahu kanan dan kepala.

"Kita belum kenal pasti bangsa dan umurnya. Berdasarkan fizikal badan mayat yang ditemui kembung dan berbau, dipercayai mangsa mati lebih dua hari lepas.

"Mayat itu ditemui kira-kira pukul 1.15 petang tadi oleh seorang juru ukur yang terlibat dalam kerja-kerja pembesaran jalan di kawasan itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. - Bernama

Tembok penghadang di kawasan nahas dibaik pulih

Oleh:

Tarikh: August 24, 2013

GENTING HIGHLANDS - Tembok penghadang jalan yang runtuh di kawasan nahas bas di Kilometer 3.5 Jalan Genting Highlands, yang meragut 37 nyawa Rabu lepas, sudah dibaik pulih.

Tinjauan Bernama mendapati kerja pembinaan tembok itu siap pagi tadi, namun laluan berkenaan masih ditutup kepada kenderaan umum.

Sebuah papan tanda besar berwarna merah, yang tertera perkataan 'Lorong Perhentian Kecemasan', turut dipasang di sebelah zon penampan kecemasan yang terletak berhampiran lokasi nahas.

Turut kelihatan beberapa pelancong mengambil gambar lokasi nahas dari pekarangan Kuil Chin See.

Seorang pelancong dari India, yang hanya ingin dikenali sebagai Ravi, berkata beliau mengetahui nahas itu selepas dimaklumkan pemandu bas pelancong.

Sementara itu, seorang anggota polis yang ditemui berkata laluan berkenaan akan dibuka kepada trafik selewat-lewatnya Isnin ini. - Bernama

Jenazah anggota Malbatt dibawa pulang Isnin

Oleh:

Tarikh: August 24, 2013

KUALA LUMPUR - Jenazah anggota pengaman Malaysia Allahyarham Sarjan Rosdi Mohamad Zan, yang terlibat dalam satu nahas jalan raya ketika bertugas di Beirut, Lubnan dijangka dibawa pulang ke tanah air Isnin ini.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Kedutaan Besar Malaysia akan bekerjasama dengan Batalion Malaysia (Malbatt), Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) dan Kementerian Pertahanan untuk proses membawa pulang jenazah.

Jenazah Rosdi kini ditempatkan di Hospital Tinbin, Selatan Lubnan.

Anifah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Rosdi dan melahirkan rasa simpati kepada dua lagi rakan mangsa, Lans Koperal Norsyahied Taib dan Lans Koperal Mohamad Aizuwan Atan, yang turut terlibat dalam nahas itu.

Norsyaheid, yang mengalami kecederaan serius, kini dirawat di Hospital St George, Beirut manakala Aizuwan, yang cedera ringan, dirawat di Hospital Tibnin dan dijangka dipindahkan ke Hospital Unifil di Naquora, selatan Lubnan.

Semalam, ketiga-tiga anggota pengaman itu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 5.30 petang waktu tempatan semasa bertugas di Houla selepas kenderaan kembalik dipandu Rosdi terbabas ketika menunda kenderaan berperisai kondor milik Malbatt yang rosak. - Bernama

Mekanik maut diseret treler 300 meter

Oleh:

Tarikh: August 24, 2013

KEPALA BATAS - Seorang penunggang motosikal maut selepas diseret treler dalam kemalangan jalan raya di KM 123.1 Lebuh Raya Utara Selatan di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 1.56 petang ini, mangsa Lam Siong Yew, 40, dalam perjalanan dari arah Sungai Dua menghala ke Kepala Batas, gagal mengawal motosikalnya sebelum merempuh bahagian tepi sebuah kereta Proton Savvy yang berhenti di laluan kecemasan.

"Akibat rempuhan itu motosikal dinaiki mangsa terbabas dan terjatuh di atas laluan berkenaan.

"Dalam masa sama, sebuah treler dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh dan mengheret mangsa bersama motosikalnya," kata jurucakap polis kepada pemberita di sini.

Katanya mangsa, yang bekerja sebagai mekanik, diseret kira-kira 300 meter sebelum pemandu itu memberhentikan kenderaannya dan mendapati mangsa tersepit di bahagian tayar trelernya.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah," katanya. - Bernama

Wartawan Sinar Harian kena samun

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 24, 2013

PERAI - Seorang wartawan Sinar Harian disamun seorang lelaki bermotosikal di stesen minyak di Jalan Tenggiri di sini, hari ini.

Siti Nur Mas Erah Amran, 29 berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4.50 petang dia baru selesai membeli barang dalam kedai stesen itu dan duduk di meja yang disediakan untuk menyiapkan tugasan yang perlu dihantar.

"Seorang lelaki bertopi keledar datang dari bahagian rak roti di belakang saya, mengambil dompet yang diletakkan di atas meja dan melarikan diri dengan motosikal.

"Kejadian itu berlaku dengan pantas dan beberapa pelanggan di situ nampak tergamam dan tidak sempat menghalang tindakan lelaki tersebut.

"Mujurlah saya memegang kuat iPad di atas meja dan pencuri hanya mengambil dompet yang mengandungi wang tunai RM50 dan beberapa dokumen penting antaranya My Kad dan kad bank serta kad perubatan," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya.

Siti Nur Mas Erah, yang sering mengguna perkhidmatan internet di stesen minyak itu berkata, pengalaman pahit itu menjadi pengajaran kepadanya.

"Walaupun di tempat tertutup yang ada kamera litar tertutup (CCTV), kejadian seumpama itu boleh berlaku. Saya akan lebih berhati-hati selepas ini," katanya.

 

Hoki: Malaysia tewas 1-4 di tangan Pakistan

Oleh:

Tarikh: August 25, 2013

IPOH - Malaysia gagal mengekalkan momentum memburu kemenangan kedua apabila tumpas 4-1 kepada bekas juara Pakistan pada saingan kumpulan A di Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini malam ini.

Kesilapan benteng pertahanan pada babak kedua perlawanan membawa padah apabila Pakistan mengambil kesempatan untuk melakarkan kemenangan kedua selepas membenam Jepun 7-0 semalam.

Skuad negara, yang membelasah Taiwan 10-2 semalam, memulakan permainan dengan garang apabila membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-26.

Tersentak dengan gol tersebut, Pakistan bangkit semula untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi gol padang Muhammad Zubair.

Pada babak kedua, kelekaan pada barisan pertahanan negara membuka peluang kepada Pakistan mendahului dengan gol kedua Muhammad Dilber pada minit ke-46 diikuti jaringan ketiga oleh kapten Muhammad Waqas pada minit ke-60.

Shafaq Rasool mengesahkan tempat Pakistan ke separuh akhir dengan jaringan pada minit ke-66.

Pakistan, yang belum layak ke Piala Dunia 2014, akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang Taiwan, Selasa ini.

Jurulatih negara Paul Revington ternyata kecewa dengan kekalahan itu dan mengakui benteng pertahanan agak longgar sehingga membolehkan Pakistan mengambil kesempatan menjaringkan gol.

Beliau berkata perlawanan akhir kumpulan menentang Jepun pada Selasa ini adalah amat penting kerana kedua-dua pasukan itu mencatatkan satu kemenangan dan bersaing untuk layak ke separuh akhir.

"Kita perlu mengambil sedikit masa untuk memperbaiki barisan pertahanan sebelum perlawanan menentang Jepun," katanya.

Pada perlawanan sebelum itu, juara bertahan Korea Selatan membuktikan mereka masih merupakan pasukan yang perlu disegani apabila membelasah Bangladesh 9-0 dalam saingan kumpulan B.

Jepun pula mengalahkan Taiwan 5-1 untuk menghuni tempat ketiga dalam kumpulan dengan tiga mata.

Esok, Bangladesh akan menentang Oman manakala India bertemu Korea Selatan, kedua-dua perlawanan dalam kumpulan B. - Bernama

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment