Harga ais kiub naik 50 sen
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 3, 2013
PASIR PUTEH - Sebanyak 16 kilang memproses ais kiub, termasuk satu di Besut bersetuju menaikkan harga ais kiub dari RM2.50 kepada RM3 satu beg berkuat kuasa 5 Oktober nanti.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas Persatuan Pengilang Ais Kiub Kelantan (PPAKK) di sebuah hotel, Kota Bharu, kelmarin, selepas mengambil kira beberapa faktor.
Ahli Jawatankuasa Pemantau Harga PPAKK, Masuki @ Mohd Nazri Baniyamin, 45, berkata, pihaknya menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyemak semula tarif elektrik di kilang mereka berikutan peningkatan mendadak jumlah bil bulanan sebaik meter dinaik taraf sejak awal tahun ini.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pengilang menanggung kos tinggi, selain berdepan kenaikan harga bahan api, perlaksanaan gaji minima dan kenaikan barangan keperluan kilang.
"Melalui mesyuarat sama
"Namun, disebabkan ramai pengilang perlu menanggung kos terlalu tinggi sejak kebelakangan ini, terutama dari segi peningkatan tarif elektrik di luar dugaan itu, pihaknya terpaksa menaikkan semula harga ais kiub bagi menampung kos pengeluaran," katanya ketika ditemui di kilangnya di Padang Pak Amat, dekat sini, semalam.
Mohd Nazri berkata, dua kilang di negeri ini terpaksa 'gulung tikar' dan ada pengusaha menjual premis perniagaan mereka kerana tidak mampu menampung kos tinggi.
Menurutnya, sebelum ini, kilangnya hanya menanggung kos elektrik sekitar RM40,000 sebulan tetapi, terpaksa membayar sehingga RM60,000 sebulan sebaik sahaja meter baru ditukar pihak TNB kira-kira lapan bulan lalu.
"Saya dan pengilang lain menghasilkan pengeluaran ais kiub dalam kuantiti sama dan statik setiap bulan dan tidak wajar sama sekali bil melonjak terlalu mendadak.
"PPAKK bukan berniat mempertikaikan pihak berkenaan tetapi kami merayu kepada mereka supaya menyemak semula tarif elektrik itu kerana tidak mahu ada lagi pengilang lain yang bakal gulung tikar," katanya.
Duduki PMR selepas lahirkan anak
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 3, 2013
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Nor, 15, berkata akibat hubungan terlarang bersama kekasihnya, dia disahkan mengandung setelah perutnya terus membesar.
Remaja terbabit yang bersalin secara normal Ahad lalu, masih dalam keadaan lemah namun tetap bersemangat untuk menjalani peperiksaan.
Menceritakan detik hitam itu, dia terpedaya dengan pujuk rayu lelaki itu, setelah kekasihnya berjanji akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga dirinya.
"Akibat termakan pujuk kerana kasihkan si dia, saya rela dan tidak sangka hubungan saya bersamanya menyebabkan saya semakin jauh terlanjur sehingga melahirkan anak.
"Ibu dan ayah begitu marah dengan perbuatan saya ini memandangkan saya masih bersekolah dan mereka dapat tahu selepas melihat keadaan perut saya yang semakin hari semakin membesar," katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya setakat ini kini kes berkenan mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
Nor berkata, dia kini menyesal dengan perbuatannya itu dan mengharapkan keputusan peperiksaannya lebih baik dari percubaan sebelum ini yang hanya memperolehi 2A.
"Saya nak berjaya dalam peperiksaan ini dan harap dapat sekurang-kurangnya 4A dalam enam mata pelajaran yang diambil supaya saya dapat buktikan bahawa saya masih mampu meneruskan pelajaran untuk ke tingkatan 4 nanti serta dapat menebus kesalahan lalu," katanya.
Mimpi ngeri dua beranak
Oleh: MOHD AZLIM ZAINURY
Tarikh: October 3, 2013
MARANG - Aktiviti menangkap ikan yang menjadi kegiatan harian dua beranak berakhir dengan episod menakutkan apabila bot gentian kaca dinaiki bertembung sebuah bot kayu menyebabkan mereka nyaris lemas di Laut China Selatan, semalam.
Nelayan terbabit, Alias Idris, 47, berkata, selepas bertembung bot kayu berkenaan, dia dan anaknya, Muhammad Aizat, 21, tersungkur dan nyaris terjatuh ke dalam laut, manakala bot gentian kaca dinaiki mereka pecah dan mulai karam.
"Kami langsung tidak nampak bot itu datang menghala ke arah bot kami. Kami bertembung dan menyebabkan bahagian hadapan bot ini pecah. Ia mulai karam apabila air masuk memenuhi ruang bahagian dalam bot.
"Saya secara spontan memaut bot kayu yang berada di depan mata manakala anak saya berusaha menyelamatkan dirinya agar tidak tenggelam bersama bot yang kami naiki," katanya ketika ditemui di Pantai Pulau Kekabu, di sini.
Alias berkata, semasa kejadian keadaan sungguh cemas ditambah dengan suasana gelap gelita, namun dia bernasib baik kerana masih sempat mengikat tali bot miliknya pada bot kayu itu.
"Kejadian berlaku jam 5.30 pagi, kami dua beranak keluar ke laut kira-kira jam 5 pagi dan berada kira-kira lima kilometer dari Pantai Pulau Kekabu sebelum bot gentian kaca ini bertembung dengan bot kayu tersebut.
"Mujurlah saya sempat mengikat bot ini, walaupun ia tenggelam, kami masih dapat selamatkan dan menundanya ke pantai semula," katanya yang keluar awal pada hari kejadian untuk menangkap ikan kembung.
Dalam pada itu, Alias yang juga ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Marang berharap dapat turun semula ke laut dalam masa terdekat ini sebelum berehat panjang dalam menghadapi ketibaan musim tengkujuh
Atlet lumba basikal digilis van
Oleh: NIK MUHAMMAD RAFFIQ
Tarikh: October 3, 2013
DUNGUN – "Tadi dia berat hati sertai konvoi, tak sangka ini petanda dia temui ajal." kata Abdul Aziz Mohd Zahidi, 19, rakan karib Allahyarham Mohamad Asmu'i Ali @ Awang, 19.
Mohamad Asmu'i, pelumba basikal Sukma Terengganu terbunuh dalam kemalangan di Pulau Serai, Dungun, pagi semalam.
Ketika kejadian, mangsa bersama 14 peserta lain termasuk dua peserta wanita sedang berlatih berbasikal menuju ke Balok, Kuantan sebelum ke Sepang, Selangor bagi menyertai satu sirkit.
Tiba di tempat kejadian, basikal dinaiki mangsa hilang kawalan ketika cuba elak jalan rosak sebelum terjatuh dan digilis van mengiringinya.
Turut terbabit dalam kemalangan itu, rakannya, Mohd Fahmi Irfan Mohd Zailani, 21, namun Irfan hanya cedera ringan di lengan dan lutut.
Menceritakan detik sebelum kejadian, Abdul Aziz berkata, sebelum bertolak ke Balok, Kuantan, mereka bersarapan di Flat Hiliran Kuala Terengganu.
Katanya, ketika itu Mohamad Asmu'i tidak banyak cakap cuma memberitahu enggan menyertai perlumbaan di Sepang.
"Ketika minum, dia beberapa kali beritahu saya bahawa dia enggan mengayuh dan tak berapa seronok untuk menyertai perlumbaan itu, katanya kali ini dia hendak naik van saja.
"Tak sangka pula tingkah laku pelik Mohamad Asmu'i itu rupa-rupanya menjadi kenyataan, dia tak sempat berlumba," kata Abdul Aziz.
Seorang lagi rakan arwah, Mohd Irfan berkata, ketika kejadian, dia sedang mengayuh basikal bersama Mohamad Asmu'i.
Katanya, tiba-tiba Allahyarham terbabas lalu terjatuh, manakala dia juga jatuh namun sempat mengelak daripada dilanggar van tersebut.
"Saya tak tahu apa berlaku, bila bangun saya lihat Mohamad Asmu'i sudah terbaring dan darah mengalir atas jalan," kata Irfan.
Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacob tiba di lokasi kejadian berkata, pihaknya sedang mensiasat kes itu.
Katanya, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun.
Jenazah mangsa dituntut ahli keluarga untuk dibawa pulang ke kampungnya di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.
Tragedi ketiga babitkan pelumba basikal
Jun lalu, seorang pelatih skuad projek pelapis lumba basikal Terengganu maut, manakala dua lagi cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori ketika menjalani
latihan harian di Kuala Terengganu.
Mohd Shafik Imran Syahril, 15, dari Kampung Cabang Tiga, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala pelatih cedera ialah Ahmad Fikri Ahmad Fazli, 19, dan Cikku Mohamad Nadzmi Cikku Ramli, 19.
Ia berlaku ketika kira-kira 40 pelatih lumba basikal Terengganu termasuk dari pasukan TSG, Skuad Sukma dan projek pelapis pasukan lumba basikal Terengganu menjalani latihan
harian dari Kuala Terengganu menuju ke Bukit Besi melalui Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2).
Tahun lalu, seorang pelumba dari Kelab Basikal Le Tua maut dirempuh kereta berhampiran Taman Melawati, Ulu Kelang, Selangor.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi pada Mac 2012 itu, Rafizi Hamdan, 37, mati di tempat kejadian selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta Proton Saga, ketika berbasikal di
Jalan Lingkaran Tengah 2 berhampiran Taman Melawati ke arah Gombak.
Allahyarham Rafizi dilaporkan dalam perjalanan menyertai aktiviti berbasikal bersama anggota kelab tersebut.
'Lepas ni mak tak payah basuh baju'
Oleh: NORADILA MAHAMAD
Tarikh: October 3, 2013
KUALA TERENGGANU – "Lepas ni mak tak payah (perlu) basuh baju ambe (saya) doh," itu pesanan terakhir atlet lumba basikal Terengganu, Mohamad Asmu'i Ali@Awang, 20, yang maut di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, 11.30 pagi semalam.
Kata-kata itu diluahkan atlet lumba basikal Sukma Terengganu 2014 pada malam sebelum terlibat dalam kemalangan kepada ibunya, Kuntum Jusoh, 62, sebelum masuk ke bilik tidurnya di kediaman keluarga di Kampung Kolam, Kuala Ibai, di sini.
Bapa mangsa yang ditemui, Ali@Awang Sulong, 68, berkata, arwah memang rapat dengan ibunya dan sekiranya dia (mangsa) sibuk, ibulah yang membasuh pakaiannya termasuk mengemas baju yang hendak dibawa ketika mengikuti kejohanan berbasikal.
"Kami tidak menyangka sikapnya yang agak pendiam malam tadi (malam semalam) adalah petanda kami akan kehilangannya. Biasanya dia agak tegas apabila anak saudaranya buat bising, tetapi malam tadi dia diam sahaja.
"Semua ini berlaku dengan cepat, apa boleh buat, pakcik terima walaupun dia meninggal dalam keadaan begini (berbasikal) sebab memang itu yang dia minat dari kecil lagi," katanya.
Tidak sempat makan lontong
Mohamad Asmu'i sempat bersalaman dengan keluarga jam 8.30 pagi semalam sebelum keluar menyertai latihan berbasikal bersama kumpulannya, sebelum keluarga menerima berita kemalangan itu lebih kurang jam 12 tengah hari.
Kehilangan anak bongsu daripada 10 beradik itu turut dirasai kakaknya, Nor Kamisah, 32, yang bercadang untuk menyediakan makanan kegemaran Allahyarham, iaitu lontong pada Aidil Adha nanti.
"Dia (arwah) suruh saya buat lontong sebab dia memang suka makan yang saya masak, tapi saya janji dengan dia nak buat masa hari raya nanti.
"Bila dah jadi macam ini, saya terkilan sangat sebab tidak sempat memasak makanan kegemarannya," katanya.
Mohamad Asmu'i yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara jurusan Diploma Sains Sukan itu, sempat menghabiskan dua bungkus nasi lemak ketika bersarapan bersama keluarga sebelum keluar pagi semalam.
"Biasanya dia makan sebungkus nasi lemak setiap kali sarapan pagi, tetapi hari ini (semalam) dia habiskan dua bungkus kerana dia kata mahu makan banyak," jelasnya.
Jenazah Mohamad Asmu'i disembahyangkan di Masjid Kampung Kolam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Kolam, selepas waktu Asar, petang semalam.
Sanggup curi dalam masjid
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 3, 2013
GEORGETOWN - Heboh dalam laman sosial facebook apabila gelagat seorang lelaki mencuri beg jemaah wanita yang sedang bersolat berjaya dirakamkan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV).
Memalukan apabila pencuri berkenaan cuba bertindak 'bijak' dengan mengambil beg tangan wanita ketika kesemua jemaah wanita sedang sujud.
Setiausaha Kariah Masjid Hashim Yahaya, Zambri Abdul Rahman berkata, perkara tersebut amat memalukan kerana mencuri ketika orang lain sedang melakukan ibadat.
Menurutnya, Masjid Hashim Yahaya turut tidak terlepas dengan pelbagai kecurian barang lain termasuk basikal, helmet dan juga dompet.
"Kami cuba memantapkan lagi tahap keselamatan di masjid dengan memasang empat lagi CCTV di luar masjid, tempat letak tabung masjid dan juga pejabat.
"Kami tidak boleh meletakkan CCTV di bahagian wanita kerana bimbang timbul isu lain, namun pendekatan lain diambil ialah dengan meletakkan papan amaran yang meminta mereka supaya menjaga barang berharga," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kariah Masjid Al Huda Sungai Ara, Zainudin Haniff berkata, kariah mendapati sasaran utama pencuri di situ adalah kasut berjenama.
Menurutnya, kebiasaannya yang menjadi mangsa adalah orang luar termasuk jemaah yang singgah sekejap untuk bersolat.
"Bagi orang tempatan di sini memang sudah tahu kalau pakai kasut berjenama datang ke masjid sudah pasti akan dicuri, jadi ramai yang hanya pakai selipar sahaja," katanya.
Beliau berkata, selain itu kariah juga menggunakan pendekatan nasihat kepada setiap jemaah ketika waktu Solat Jumaat bagi mengurangkan kes kecurian di masjid.
Menurutnya, sebelum khutbah dibacakan slot selama 30 minit diambil.
"Pada masa itu kami menasihati jemaah supaya menjaga anak-anak mereka daripada gejala mencuri dan menjaga barang berharga.
"Sedikit sebanyak ini membantu mengurangkan masalah kecurian," katanya.
Cabul murid sekolah
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 3, 2013
BALING - Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah di Kuala Ketil ditahan polis setelah didakwa mencabul murid 10 tahun dalam bilik darjah kira-kira jam 6.50 pagi, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Asisten Superintendan, Md Nadzir Osman berkata, lelaki berusia 48 tahun itu didakwa memeluk, mencium dan meraba kemaluan mangsa.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa berada berada seorang diri di dalam kelas terbabit sebelum didatangi pengawal keselamatan itu.
"Mangsa kemudian melaporkan kejadian itu kepada guru sekolahnya sebelum memaklumkan kepada ibu bapa mangsa," katanya.
Md Nadzir berkata, sejurus menerima laporan, pihaknya menahan lelaki terbabit di kediamannya pada jam 9.30 malam pada hari yang sama.
Menurutnya, lelaki terbabit kini direman selama tiga hari untuk siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, denda RM2,000 atau sebat dan mana-mana salah satu yang disabitkan kesalahan.
Mengulas mengenai operasi penguatkuasaan trafik baru-baru ini, Md Nadzir berkata, sebanyak 48 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.
Katanya, operasi itu diketuai oleh Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling, Inspektor Fauzeli Mohd Ali dengan kekuatan 10 anggota polis.
"Operasi ini bertujuan menyedarkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya.
"Antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh termasuk pengubahsuaian nombor pendaftaran kenderaan.
"Operasi ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi mendidik pengguna jalan raya, agar terus dapat menyedarkan masyarakat mengenai keselamatan jalan raya," katanya kepada Sinar Harian.
Wanita Indonesia ditemui mati dijerut
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dipercayai akibat dijerut di sebuah rumah di Kampung Changkat, Gombak dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, wanita itu dikenali sebagai Kasmawati, 48, dari Indonesia ditemui mati oleh majikan suaminya di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan pada kira-kira 12 tengah hari.
"Siasatan awal mendapati mangsa baru seminggu tiba di Malaysia dan datang ke negara ini untuk berjumpa dengan suaminya yang bekerja sebagai penjahit tudung," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada tuan rumah yang juga majikan suami mangsa.
Abdul Rahim berkata, siasatan awal memdapati mangsa kali terakhir dilihat bersama suaminya pada jam 11 malam semalam dan suami mangsa dipercayai telah melarikan diri.
Punca kejadian masih disiasat, katanya. - Bernama
Keracunan: Ibu tak salahkan keluarga pengantin
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
SUNGAI PETANI - Ibu seorang daripada empat mangsa yang meninggal dunia akibat keracunan makanan di Kampung Huma, Tanjung Dawai dekat sini tidak menyalahkan keluarga yang mengadakan kenduri kahwin itu dan reda dengan kematian anaknya.
Lijah Mahmud, 70, ibu Allahyarham Wan Razali Wan Yaacob, 56, berkata, kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan dia menerimanya sebagai takdir ALLAH.
Katanya anaknya yang menetap di Kampung Banggol Belau, Merbok meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani kira-kira jam 7.15 malam semalam akibat kegagalan organ dalaman.
"Arwah adalah nelayan yang baik dan dia selalu hantar ikan ke rumah makcik di Tanjung Dawai," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Atiq Kampung Merbok dekat sini hari ini.
Lijah berkata, dia tidak menghadiri majlis perkahwinan itu Sabtu lepas.
Jenazah Wan Razali dibawa ke masjid itu kira-kira jam 11 pagi sebelum dikebumikan di tanah perkuburan itu.
Mangsa berada di HSAH dalam keadaan kritikal sejak dimasukkan ke hospital Ahad lepas sebelum meninggal dunia semalam.
Wan Razali adalah kawan rapat tuan rumah kenduri kahwin itu kerana kedua-duanya bekerja sebagai nelayan di kawasan Tanjung Dawai.
Allahyarham Wan Razali merupakan mangsa keempat meninggal dunia selepas menghadiri kenduri kahwin di Kampung Huma itu. Tiga lagi mangsa meninggal dunia pada Ahad.
Sementara itu, lebih 200 orang lagi tetamu kenduri itu mendapatkan rawatan di beberapa hospital berdekatan dengan yang paling banyak ialah di Hospital Yan dan HSAH.
Kesemua mangsa dipercayai mengalami cirit-birit dan muntah-muntah yang kronik selepas memakan lauk ayam masak merah pada kenduri itu. - Bernama
Pemotong rumput temui mayat reput tepi parit
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
SANDAKAN - Seorang pekerja pemotong rumput di sini terkejut apabila menjumpai mayat seorang lelaki yang sudah reput di tepi parit berhampiran sebuah gereja di Batu 4, Kim Fung, semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata mayat Christi Sidin, 43, ditemui kira-kira jam 4.10 petang dan dipercayai mati biasa tanpa unsur jenayah.
Turut ditemui di tempat kejadian ialah beg sandang serta dompet berisi kad pengenalan dan dua buah telefon bimbit milik mangsa.
Rowell berkata siasatan awal polis menunjukkan tiada kesan luka atau unsur jenayah ke atas diri mangsa.
Katanya, polis telah memanggil waris atau keluarga mangsa untuk tampil membuat pengecaman di Hospital Duchess of Kent. - Bernama
PR sedia beri kerjasama selesai isu ketirisan
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 3, 2013
KUALA LUMPUR - PR tawar kerjasama dengan kerajaan untuk membentuk sebuah majlis bagi membantu menyelesai masalah ketirisan dalam jabatan kerajaan yang didakwa berlaku sejak sekian lama.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, majlis itu akan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
Menurutnya, Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) tidak efektif menyelesaikan masalah itu.
"Penubuhannya supaya tindakan dapat diambil terhadap pegawai yang menyeleweng.
"Ia juga dapat pastikan reformasi lebih sistematik dalam jabatan kerajaan," katanya di lobi Parlimen, semalam.
Ketika ditanya adakah PAC selama ini tidak memberikan sebarang hasil, beliau berkata, PAC hanya mampu mengeluarkan laporan tanpa boleh ambil tindakan tegas.
"Mereka (PAC) hanya sediakan laporan, dan melepas batok di tangga, tetapi selepas seminggu orang akan lupa," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan tidak mengambil iktibar di atas cadangan yang telah dibuat oleh Jabatan Audit Negara.
"Kita lihat saban tahun ada ketirisan dan penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir kerajaan," katanya.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut menyifatkan, tawaran yang dibuat PR untuk bekerjasama dengan kerajaan adalah bagi mengatasi masalah yang berlaku.
"Saya lihat trend sekarang, laporan audit ini sering kali diberikan pada saat-saat akhir Parlimen. Untuk mengelak ahli parlimen memberi kritikan atau menegur salah guna kuasa yang berlaku.
"Seperti sedia maklum, ahli parlimen PR akan teliti setiap laporan itu.
"Kami akan bahas dalam perbahasan akan datang," katanya.
Selain daripada pembentukan majlis berkenaan, PR juga mencadangkan pemberian tender terbuka secara kompetitif dilakukan bagi mengurangkan penyalahgunaan kuasa.
Difahamkan PR akan menyerahkan surat rasmi berhubung cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam masa terdekat.
7 suspek samun lori kontena muatan syampu ditahan
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
SHAH ALAM - Tujuh lelaki termasuk seorang warga asing ditahan dipercayai menyamun sebuah lori bersama kontena bermuatan syampu di Seksyen 33 di sini membabitkan kerugian RM500,000 Ogos lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kesemua mereka ditahan secara berperingkat di beberapa tempat di Selangor, iaitu di sekitar Subang Jaya, Klang Utara, Klang Selatan, Petaling Jaya dan Puchong.
"Susulan penangkapan suspek, polis menemui hampir 75 peratus barangan yang disamun termasuk lori serta wang tunai RM55,000 yang merupakan hasil jualan syampu berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd Shukri berkata, dalam kejadian 2.15 pagi, 19 Ogos lepas, lima lelaki dilaporkan mengikat seorang pengawal keselamatan di kilang terbabit sebelum melarikan lori jenis Scania bersama kontena bermuatan syampu bernilai RM180,000.
"Berdasarkan modus operandi kumpulan ini, pada 17 Ogos lepas, seorang daripada suspek, yang merupakan pemandu syarikat syampu berkenaan, telah membawa muatan syampu bernilai RM180,000 dari Thailand," katanya.
Mohd Shukri berkata pemandu lori itu, yang turut ditahan, didakwa merancang bersama rakan-rakannya untuk menyamun lori itu yang diparkir di perkarangan kilang.
Beliau berkata tiga suspek didakwa di Mahkamah Shah Alam mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan pada 2 Sept lepas, dan suspek lain masih ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut.
Polis sedang mengesan tiga lagi suspek iaitu K. Murugan, 30, V. Nalan, 22, dan K. Nanda, 31.
"Mana-mana individu yang mengenali, mengetahui atau melihat suspek ini sila hubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat ASP Ghanthi di talian 019-3363732," katanya. - Bernama
Gas beracun: 27 murid, seorang guru masuk hospital
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
ALOR SETAR - Seramai 27 murid dan seorang guru Sekolah Kebangsaan Batu 4, Jalan Jeniang, Gurun dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan Hospital Yan kerana terhidu gas beracun hari ini.
Kejadian kira-kira 6 petang itu dipercayai berpunca daripada racun perosak serangga yang disembur pekerja sebuah ladang berhampiran sekolah itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah Datuk Tajul Urus Md Zain berkata, berdasarkan makluman awal daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda/Yan, kejadian berlaku ketika kebanyakan murid berada di sekolah bagi sesi petang.
Beliau berkata, kejadian disedari selepas beberapa murid mengadu pening kepala dan muntah-muntah.
"Mangsa dihantar ke klinik kesihatan berdekatan sebelum dirujuk ke Hospital Yan. Namun, disebabkan hospital itu masih mempunyai ramai pesakit yang dirawat akibat keracunan makanan tempoh hari, murid terlibat kemudian dihantar ke HSAH malam ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tajul Urus berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan manakala mereka yang dirujuk ke hospital kini berada dalam keadaan stabil.
Beliau meminta murid atau penduduk sekitar kawasan sekolah yang mengalami simptom seperti terhidu gas agar segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan. - Bernama
Imigresen tahan 11 warga asing termasuk pondan
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
BUTTERWORTH - Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 11 warga asing membabitkan 10 wanita dan seorang pondan dalam Ops Bersepadu 6P di lima rumah urut dan hotel bajet di sekitar negeri ini, semalam.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Basri Othman berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan bermula 7 malam hingga 10 malam itu, pihaknya menahan seorang wanita warga Indonesia dan lima wanita warga Thailand serta seorang pondan juga warga Thailand.
Katanya, mereka yang ditahan itu dipercayai bekerja sebagai tukang urut serta turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan di premis terbabit.
"Dalam pemeriksaan di sebuah hotel bajet di Georgetown pada 1 pagi, tiga wanita Vietnam dan seorang lagi dari China turut ditahan.
"Mereka juga dipercayai menawarkan khidmat seks dan menjadikan hotel bajet terbabit sebagai 'sarang' untuk mengadakan hubungan seks dengan pelanggan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, ada pusat urut yang diperiksa itu didapati beroperasi secara haram dan difahamkan mereka menawarkan khidmat urut dengan kadar bayaran RM50 hingga RM80 sejam.
Basri berkata, pihaknya menjalankan intipan dan penyamaran sejak seminggu lepas sebelum mengenal pasti kehadiran wanita warga asing terbabit serta kegiatan mereka. - Bernama
Lelaki lalok pecah masuk hostel
Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN
Tarikh: October 2, 2013
PUCHONG – Seorang lelaki diberkas polis ketika leka memecah masuk sebuah asrama pekerja di Jalan Kenari 7, Puchong Jaya, petang semalam.
Tingkahlakunya yang mencurigakan sebelum itu diperhatikan orang awam sebelum maklumat disalurkan kepada pihak polis.
Bertindak atas maklumat, Ketua Polis Balai Puchong, Inspektor Hailmi Zil Azam Nordin bersama sepasukan anggota pecegahan jenayah yang bergegas ke lokasi mendapati pintu asrama sudah dipecahkan dan dalam keadaan terbuka.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat seorang lelaki yang bukan penghuni sebenar asrama itu di dalamnya.
Sebaik anggota memperkenalkan diri sebagai polis, suspek berusia 28 tahun yang dalam keadaan lalok itu bertindak agresif dan cuba melarikan diri.
Berlaku pergelutan antara suspek yang beralamat dari Kuala Lumpur itu dengan anggota ketika proses menahannya.
Suspek bertatu penuh di bahagian dada sebelah kanan didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan pecah masuk rumah.
"Pemeriksaan terhadap beg galas yang dibawanya menemukan polis dengan peralatan pecah rumah, empat telefon bimbit, sepasang kasut dan dua utas jam tangan berjenama.
"Motosikal yang digunakan jenis Yamaha Lagenda berwarna hitam dirampas dan suspek disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Bekas wakil rakyat dakwa guru tampar anak saudara
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
GEORGETOWN, - Bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng hari ini membuat laporan polis mendakwa guru sebuah sekolah di sini menampar anak saudaranya semalam, menyebabkan gegendangnya retak.
Beliau berkata, guru lelaki berusia 40-an itu marah kerana anak saudaranya itu, Tan Xin Ren, 11, didakwa berbual dalam kelas dan tidak memberi tumpuan dan telah menamparnya selepas memintanya menemuinya selepas waktu persekolahan.
Pemeriksaan doktor di Hospital Island di sini mengesahkan gegendang telinga kiri anak saudaranya retak dan pendengarannya terjejas, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya laporan telah dibuat di Balai Polis Tanjong Tokong dan beliau akan membawa anak saudaranya itu ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.
Tan berkata sekiranya anak saudaranya nakal, guru terbabit sepatutnya mengambil pendekatan berhemah untuk mendidik pelajar mereka. - Bernama
Bayi enam bulan maut tersedak susu
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
KUALA LUMPUR - Seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut tersedak selepas diberi susu oleh ibunya dalam kejadian kira-kira jam 1 petang semalam, di rumahnya di Bandar Mahkota, Cheras.
Ketua Polis Daerah Kajang Ab Rashid Ab Wahab berkata Lai Kim Hui diberikan susu botol sebelum ditinggalkan ibunya di dalam buaian jenis duduk.
"Ibu bayi itu kemudiannya melakukan kerja harian mengemas rumah dan sebagainya.
"Bayi itu hanya disedari tersedak susu selepas ibunya melihat air susu meleleh keluar dari mulutnya dan menghubungi suami memaklumkan kejadian itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Ab Rashid berkata pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes itu dan mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian. - Bernama
Polis tembak mati 3 penjenayah kes bunuh, samun
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
GERIK - Polis menembak mati tiga penjenayah kerana dipercayai terlibat dengan kes bunuh, samun bersenjata dan curi kenderaan dalam insiden berbalas tembakan di Jalan Intan di sini, awal hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sebelum itu, ketiga-tiga lelaki berumur 25 hingga 34 tahun dan berasal dari Kelantan itu ditahan dalam Ops Cantas, kira-kira jam 1.40 pagi.
"Kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mereka berhenti ketika diarahkan polis, namun suspek terus mengundurkan kenderaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.
"Polis kemudian membalas tembakan dan mengenai ketiga-tiga lelaki terbabit,"katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik di sini.
Katanya hasil pemeriksaan, polis menemui dua pucuk pistol iaitu .38 di bawah paha sebelah kanan penumpang dan sepucuk pistol .22 di bawah kaki pemandu, selain peralatan memecah masuk rumah dan mencuri kenderaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kumpulan ini dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang peniaga nasi kukus di Paka, Terengganu dan cubaan membunuh seorang ibu tunggal yang sedang memandu sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard dengan melepaskan tembakan, baru-baru ini.
"Mereka turut terlibat dalam tiga kes samun bersenjata api dan curi kenderaan mewah. Dua daripada suspek mempunyai enam rekod kesalahan lampau manakala seorang lagi mempunyai dua rekod kesalahan lampau," katanya.
Khalid tidak menolak kemungkinan suspek melakukan jenayah di seluruh negara dan sedang mengatur strategi untuk melakukan jenayah di kawasan Gerik.
"Penjenayah ini mereka boleh bergerak merata-rata tempat untuk menjalankan aktiviti menyamun dan mengelak daripada ditangkap. Sebab itu bila ada peluang, mereka akan lakukan jenayah," katanya.
Dengan kejayaan itu, polis dapat menyelesaikan enam kes jenayah dan sedang mengenal pasti anggota lain terlibat dalam kumpulan itu, katanya. - Bernama
Calon PMR ambil periksa dalam wad selepas bersalin
Oleh: ROSALWANI CHE SOH
Tarikh: October 2, 2013
KOTA BHARU - Seorang calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di sini, terpaksa menduduki peperiksaan terbabit di wad sebuah hospital...
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Nor,15, berkata, akibat hubungan terlarang bersama kekasihnya yang dikenali dua tahun lalu, dia disahkan mengandung setelah perutnya terus membesar.
Remaja terbabit yang bersalin secara normal Ahad lalu, masih dalam keadaan lemah namun tetap bersemangat untuk menduduki peperiksaan.
Menceritakan detik hitam itu, dia terpedaya dengan pujuk rayu lelaki itu, setelah kekasihnya berjanji akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga dirinya.
"Akibat termakan pujuk kerana kasihkan si dia, saya rela dan tidak sangka hubungan saya bersamanya menyebabkan saya semakin jauh terlanjur sehingga melahirkan anak.
"Ibu dan ayah begitu marah dengan perbuatan saya ini memandangkan saya masih bersekolah dan mereka dapat tahu selepas melihat keadaan perut saya yang semakin hari semakin membesar," katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, setakat ini kini kes berkenan mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
Nor berkata, dia kini menyesal dengan perbuatannya itu dan mengharapkan keputusan peperiksaannya lebih baik daripada peperiksaan percubaan sebelum ini yang hanya memperolehi 2A.
"Saya nak berjaya dalam peperiksaan ini dan harap dapat sekurang-kurangnya 4A dalam enam mata pelajaran yang diambil supaya saya dapat buktikan bahawa saya masih mampu meneruskan pelajaran untuk ke tingkatan 4 nanti serta dapat menebus kesalahan lalu," katanya.
Nor berharap, selepas ini dia dapat meneruskan persekolahan dan menumpukan perhatian dalam pelajaran walaupun pernah terlanjur dan tidak mengulangi kesilapan lalu.
6 pelajar keracunan makanan duduki PMR di hospital
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
ALOR SETAR - Enam pelajar yang menjadi mangsa keracunan makanan selepas menghadiri kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung Dawai dekat Sungai Petani Sabtu lepas, merupakan antara calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hari ini.
Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah, Mansor Lat berkata, empat mangsa menduduki peperiksaan itu di Hospital Yan, seorang pelajar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan seorang di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
"Kesemua pelajar dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, di Hospital Yan, seorang pelajar Nurul Syakiroh Dahalin, 15, yang mendapat rawatan akibat keracunan makanan Sabtu lepas berkata walaupun sakit dia tetap mahu mengambil peperiksaan yang berlangsung selama empat hari itu.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Badong, Merbok itu berkata, walaupun terpaksa menjawab kertas peperiksaan dalam keadaan dirinya yang tidak sihat, dia yakin dapat menjawab dengan baik.
"Di sini saya ada masa juga untuk ulang kaji pelajaran. Saya ulang kaji mata pelajaran untuk ambil periksa ini.
Dalam pukul 10 sampai 11 malam saya baca buku dengan kawan yang lain.
"Rasa mengantuk pun ada dan cuba untuk fokus kepada peperiksaan ini. Perkara nak jadi...saya terima," katanya.
Bagi Nurul Asyikin Mahamad Nor, 15, berkata, dia agak sedih kerana tidak dapat menjawab peperiksaan bersama rakan yang lain dalam dewan peperiksaan di sekolahnya iaitu SMK Seri Badong.
Katanya usaha kerasnya selama ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membolehkannya mendapat keputusan yang cemerlang walaupun terpaksa menghadapi peperiksaan di hospital.
Berikutan kes keracunan makanan itu, empat orang maut pada Ahad dan semalam, manakala lebih 200 orang lagi telah mendapatkan rawatan di beberapa hospital berdekatan dengan yang paling ramai di Hospital Yan dan HSAH. - Bernama
Kenduri beracun: Pengantin baharu terkilan
Oleh: NOOR FAIZAL GHAZALI
Tarikh: October 2, 2013
YAN - Tragedi keracunan makanan di majlis kenduri perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai, yang meragut tiga nyawa kelmarin menjadi sejarah hitam buat pengantin baru berkenaan.
Hasliyana Yusuf, 22, berkata, dia sedih dengan kejadian dan tidak menyangka majlis raja sehari bertukar menjadi tragedi hitam.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, trauma dan kesal dengan apa yang berlaku pastinya tidak dapat dilupakan.
"Kami sekeluarga begitu gembira dengan majlis yang diadakan memandangkan saya anak pertama yang melangsungkan perkahwinan.
"Namun, kejadian ini berubah menjadi nasib malang buat kami," katanya ketika ditemui di Hospital Yan, semalam.
Menurut bekas pelajar Politeknik Port Dickson itu, keluarganya sendiri turut mengalami keracunan sama.
"Mak, kakak dan adik saya turut mengalami keracunan dan ditahan di wad. Manakala keluarga sebelah suami saya tidak ada yang menerima kesan keracunan itu," katanya.
Bapa pengantin, Yusuf Ahmad, 55, berkata, masakan yang disediakan kepada tetamu jemputan sempena kenduri itu dimasak oleh kakaknya dengan bantuan saudara-mara lain.
"Juadah yang kami sediakan ialah ayam masak merah, gulai ikan talang, kerabu pucuk paku dan sambal ikan bilis.
"Manakala ayam yang dijadikan juadah ditempah daripada dua pembekal dan satunya membekalkan ayam yang sudah berbau," katanya.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain yang juga Adun Tanjong Dawai berkata, kerajaan negeri menghulurkan sumbangan RM1,000 kepada keluarga yang maut manakala RM200 kepada mangsa yang dirawat di hospital.
Katanya, kerajaan negeri bersimpati dengan peristiwa ini yang merupakan satu tragedi yang tidak diduga sesiapa termasuk tuan rumah.," katanya ketika melawat 63 mangsa yang masih menerima rawatan di Hospital Yan, semalam.
Lelaki maut, rumah papan didiami terbakar
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut apabila rumah papan yang didiaminya terbakar dalam kejadian di Jalan Kota Tinggi dekat Ulu Tiram, awal hari ini.
Mangsa, Nagi Sakura, 40-an, berasal dari Sarawak, ditemui mati dipercayai akibat terhidu asap tebal di bilik belakang rumah terbabit oleh lapan anggota bomba yang berusaha memadamkan kebakaran.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Johor Hamid Suari berkata selain rumah Nagi Sakura, kebakaran itu turut melibatkan dua lagi rumah bersebelahan, namun enam penghuninya yang juga berasal dari Sarawak terselamat.
"Bomba menerima panggilan kebakaran pada pukul 1.45 pagi sebelum satu jentera melibatkan lapan anggota dan dua kenderaan utiliti dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya tiba di lokasi sembilan minit kemudian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata kebakaran di rumah yang dipercayai berusia lebih 50 tahun itu kemudian berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.51 pagi.
Katanya kejadian berkemungkinan berpunca dari rumah Nagi Sakura, namun pasukan forensik bomba sedang menyiasat punca sebenar.
Sementara itu, seorang wanita yang terselamat, Lika Dugas, 67, berkata dia sedang tidur dan tersedar apabila anjingnya yang digelar 'Kopi' menarik bajunya seolah-olah memberi isyarat menyuruh keluar dari rumah.
"Kopi berada di ruang tamu ketika saya masuk ke bilik tidur tiga jam sebelum kejadian.
"Saya menyuruhnya jangan menggangu tidur tetapi dia memberi isyarat seperti sesuatu sedang berlaku sebelum saya menyedari ada asap dari luar rumah," katanya yang bersyukur terselamat dalam kejadian terbabit. - Bernama
Pelumba basikal Terengganu maut
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
DUNGUN - Seorang pelumba basikal Terengganu maut dalam nahas jalan raya di Km 71, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan pagi ini.
Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu (PLBNT) Datuk Saidi Ismail berkata mangsa dikenali sebagai Mohamad Asmu'i Ali @ Awang, 20, berasal dari Kampung Dusun Kuala Ibai, Kuala Terengganu.
"Mayat mangsa kini berada di Hospital Dungun dan akan dibawa balik ke Kuala Ibai setelah semua urusan selesai nanti," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kejadian berlaku semasa Mohamad Asmu'i hendak mengambil air dari van pengiring dan beliau dikatakan terjatuh dan terlanggar dengan van berkenaan.
Mangsa bersama pelumba yang lain sedang dalam misi kayuhan untuk menyertai kejohanan kreterium di Sepang Ahad ini.
Sehubungan kemalangan itu, Saidi berkata misi kayuhan ke Sepang itu telah dibatalkan.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi akaun twitternya megucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad Asmu'i Ali.
"Al Fatihah dan takziah kepada keluarga pelumba basikal Terengganu Mohd Asmu'i Ali Awang, 19, yang maut ketika menjalani latihan di sepanjang Jalan Kuala Terengganu-Kuantan pada 11.30 pagi," katanya.
- Bernama
Obama tangguh datang ke Malaysia
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
SEPANG - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama menangguhkan lawatannya ke Malaysia pada bulan ini berikutan krisis penutupan sebahagian operasi pentadbiran di negara itu.
Najib yang menerima panggilan daripada Obama pagi tadi, berkata beliau memahami masalah yang dihadapi oleh Obama yang berdepan dengan permasalahan dalaman negara dan cabaran beliau untuk menaikkan had maksimum hutang negara pada 17 Oktober ini.
"Namun demikian, Obama menyatakan beliau tetap berhasrat melawat Malaysia pada satu tarikh yang akan kita tentukan.
"Saya telah menyatakan bahawa saya faham keadaan domestik di AS yang tidak mengizinkan beliau melakukan lawatan dan sekiranya beliau membuat lawatan ke Malaysia sudah tentu akan dipertikaikan oleh masyarakat di sana," kata Perdana Menteri pada sidang media selepas melancarkan pembinaan Hangar Kedua Pusat Penyelenggaraan dan Baikpulih (MRO) Pesawat Airbus Serantau dan Kemudahan Perkhidmatan Pelanggan Airbus di sini hari ini.
Najib berkata Obama turut menyatakan bahawa beliau tetap komited untuk membuat lawatan ke Malaysia.
"Beliau (Obama) menghargai peranan yang dimainkan oleh Malaysia dan juga hubungan dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat," kata Najib.
Presiden AS itu dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Keempat (GES) 2013 di Kuala Lumpur pada 11 Oktober. Ia akan menjadi lawatan pertamanya ke Malaysia.
Pejabat Pengurusan dan Belanjawan White House semalam mengarahkan sebahagian agensi kerajaan AS ditutup selepas Kongres gagal meluluskan satu belanjawan persekutuan khas bagi mengelak kegagalan fungsi kerajaan, kali pertama seumpamanya dalam tempoh 17 tahun.
Najib berkata Obama turut memaklumkan bahawa lawatan beliau akan diwakili oleh Setiausaha Negara AS John Kerry, Setiausaha Perdagangan Penny Pritzker dan wakil perdadangan AS Michael Froman.
"Ia merupakan suatu yang tidak dijangka dan diduga (mengenai krisis) ... saya bersimpati dan faham, sekiranya saya berada dalam situasi yang sama, saya akan melakukan perkara yang serupa, dengan krisis penting dalam negara yang sudah tentu menjadi sangat sukar bagi Presiden AS meninggalkan negaranya.
Semasa ditanya mengenai krisis berkenaan yang mungkin menjejaskan ekonomi Malaysia, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam jangka segera, perkara itu tidak akan memberi kesan.
"Tetapi kita tidak tahu selama mana penutupan itu akan berterusan.
"Kesan yang paling serius adalah pada 17 Okt apabila mereka tidak mengkaji semula had maksimum hutang, yang bermakna akan membawa akibat yang serius kepada ekonomi AS dan dengan kelembapan dan kemelesetan yang teruk, ia tentunya akan mempengaruhi pertumbuhan global dan akan menjejaskan juga Malaysia.
"Masih terlalu awal untuk menyatakan. Kami akan memantau keadaan dengan teliti," kata beliau.
Semasa ditanya mengenai sama ada Malaysia akan meneruskan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) setelah AS sebagai negara tuan rumah berdepan dengan krisis, Najib berkata: "ia suatu yang berbeza daripada krisis semasa di AS yang tertakluk kepada proses dalaman. Ia tiada kaitan dengan TPPA ".- Bernama
Rasuah: Pengarah syarikat tak mengaku salah
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat perikanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM200,000, Jun lepas.
Choh Chaw Khiang, 41, didakwa secara rasuah memberikan dua suapan berjumlah RM100,000 kepada Arman Alies, pada 1 pagi dan 4.25 petang, pada 8 Jun lepas.
Wang itu kononnya untuk diberikan kepada pegawai atasan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Putrajaya sebagai dorongan melepaskan dua bot yang ditahan atas kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Choh didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing, di dalam tandas Restoran Melting Pot, Hotel Concorde, Jalan Sultan Ismail dan di Restoran Dine All Day Dining, Hotel Sri Petaling, Bandar Baru Sri Petaling.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Nur Lokman Samingan menawarkan jaminan RM600,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Peguam R.Kengadharan memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga, isterinya seorang suri rumah warga Vietnam dan mempunyai tiga anak masing-masing berusia lapan bulan, lima dan tujuh tahun.
Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu berserta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 7 Nov untuk sebutan kes. - Bernama
Kes Dharmenderan: Polis tak mengaku bersalah
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
KUALA LUMPUR - Inspektor polis S. Hare Krishnan dan tiga anggota yang lain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang tahanan lokap N. Dharmenderan pada 21 Mei lepas.
Hare Krishnan, 40, bersama tiga yang lain iaitu Sarjan Jaffri Jaafar, 44, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 45, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 32, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Siasatan Khas (D9), Tingkat 7, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah di sini antara 12.20 tengah hari dan 2.50 petang, 21 Mei lepas.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Jean Sharmila Jesudason memohon kes Hare Krishnan dibicara bersama dengan tiga anggota lain kerana siasatan kes itu dibuat oleh seorang pegawai penyiasat yang sama.
"Ini kerana fakta kes adalah sama dan melibatkan saksi-saksi yang sama manakala tarikh, masa, dan tempat kejadian untuk kedua-dua kes itu juga sama," katanya.
Jaffri, Mohd Nahar dan Mohd Haswadi sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh Dharmenderan pada 5 Jun lepas dan kemudiannya Hare Krishnan turut didakwa terhadap pertuduhan sama pada 30 Julai lalu.
Hakim Kamardin Hashim kemudian memerintahkan kes itu dibicarakan bersama dan menetapkan 6 November depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Mahkamah turut menetapkan 17 hingga 28 Feb tahun depan untuk perbicaraan.
Hare Krishnan diwakili peguam M. Athimulan, Jaffri diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, peguam Datuk Baljit Singh mewakili Mohd Nahar manakala Mohd Haswadi diwakili peguam Ariff Azami Hussein. - Bernama
Kes pecah kedai gambar, 4 ditahan
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 2, 2013
PASIR PUTEH - Polis menahan dua lelaki dan dua perempuan berusia 20 hingga 31 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jelor di sini, kelmarin, dipercayai terlibat dalam kes pecah kedai gambar di bandar ini beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Ganti Jiny.
Menurutnya, lapan unit kamera kompak berjenama dirampas dalam serbuan itu.
"Sementara, tuan rumah yang dikenali sebagai Mohd Hamdan Jusoh, 33, berjaya melarikan diri. Kini dicari polis untuk membantu siasatan.
"Kita percaya suspek ditahan terlibat dengan kes pecah kedai gambar di bandar ini," katanya.
Dua lelaki yang ditahan positif dadah dan kesemua mereka ditahan reman untuk membantu siasatan.
"Kita bertindak hasil maklumat orang ramai dan polis meminta masyarakat terus memberikan kerjasama, termasuk membantu polis mencari tuan rumah yang berjaya meloloskan diri dalam serbuan," katanya.
Mohd Kamal berkata, kejadian pecah kedai gambar itu menyebabkan pengurusnya, Zuraidi Hassan, 41, mengalami kerugian kira-kira RM9,000.
Menurutnya, pengurus kedai itu menutup premisnya di hadapan Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh, kira-kira jam 6.30 petang, 26 September lalu.
"Mangsa yang memulakan operasi kira-kira jam 8.30 pagi pada 28 September lalu, mendapati pintu besi lipat terbuka dan besi pelindung kunci terdapat kesan dipotong.
"Setelah masuk ke kedai, mangsa membuat pemeriksaan dan mendapati, 28 kamera pelbagai jenis dan jenama dalam kedainya hilang," katanya.
Rampasan ubat-ubatan tidak berdaftar
Oleh: Mohd Zailani Abdul Rahman
Tarikh: October 2, 2013
KOTA BHARU- Cawangan Penguat kuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan berjaya merampas pelbagai ubat-ubatan haram bernilai RM60,000 dalam sekatan jalan raya di jalan utama Jeli-Grik.
Dalam operasi yang disertai seramai 20 Pegawai Penguat kuasa Farmasi dibantu 10 anggota JPJ, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis ubat termasuk Jamu Mustajab Mahkota Dewa Plus yang banyak dijual di kedai-kedai makan di negeri ini selain dari Jamu Ajaib yang selalu digunakan untuk sakit sendi.
Selain produk-produk lain yang turut dirampas antaranya Minyak Gamat cap Puteri, Minyak Panas Cap Kuda 1, Minyak Gosok Cap Menara, Minyak Ubat Cap Menara, Pil Jamu Cap Menara, Ubat Pil Jamu Pilihan Cap Menara dan sebagainya.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Ahmad Razin Datuk Ahmad Mahir berkata, beliau amat memandang serius tentang kegiatan penjualan dan pengedaran ubat-ubatan tidak berdaftar di negeri ini.
"Semua ubat-ubatan tidak berdaftar tersebut dirampas daripada tiga kenderaan yang diperiksa dan operasi bersepadu sekatan jalan raya. Operasi ini diadakan di Stesen JPJ Bukit Bunga dengan kerjasama JPJ," katanya, kelmarin.
Beliau berkata, ubat tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan amat diragui dari segi kualiti, effikasi dan keselamatannya.
"Ubat yang tidak berdaftar ini juga dikhuatiri diproses di kilang-kilang haram ataupun premis yang tidak menepati standard Amalan Pengilangan Baik.
"Ubat-ubatan tidak berdaftar mungkin mempunyai bahan toksik yang membahayakan kesihatan pengguna. Kehadiran bahan toksik yang tidak diketahui dalam ubat tidak berdaftar menjadikan keadaan pesakit lebih teruk," katanya.
Orang ramai yang ingin membuat aduan dan maklumat boleh hubungi Cawangan Penguat kuasa Farmasi di talian 09-7730586 dan boleh melayari www.facebook.com/CPFKelantan untuk maklumat lanjut.
Meninggal selepas 8 tahun derita
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 2, 2013
ALOR SETAR - Hasrat seorang wanita mendirikan rumah tangga bersama kekasih hatinya tidak tercapai apabila meninggal dunia pada 11 September lalu akibat tiga penyakit kronik dialaminya sejak lapan tahun lepas.
Ibunya, Fatimah Lat, 55, berkata, anak keenam daripada 10 adik beradik, Nor Adibah Mohd Rejab, 26, dikesan mengidap jantung berlubang, masalah paru-paru berubah kedudukan dan glaukoma selepas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 2/2005 di Kem Tasik Meranti, Perlis.
"Bagaimanapun, kami sekeluarga tidak menyangka dia akan meninggal dunia selepas lapan tahun menanggung penderitaan ini. Sedangkan, dia masih kelihatan seperti biasa beberapa hari sebelumnya, cuma dia ada meluahkan hasrat.
"Sepatutnya, dia perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Namun, apabila tidak sedarkan diri dan ditempatkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kira-kira tiga hari, akhirnya pada Rabu lalu, Adibah pergi menghadap Ilahi," katanya.
Katanya, mereka sekeluarga tidak menyangka perbuatan pelik ditunjukkan Adibah sejak belakangan ini seperti ingin bekerja, melahirkan hasrat berkahwin, menaiki kapal terbang dan tidur bersama adik-beradiknya merupakan petanda buat mereka.
Menurutnya, Adibah yang juga bekas pelajar tahun dua Sijil Pelukis Pelan Seni Bina di Kolej Bandar Baru Darul Aman, Jitra ini hanya sempat menunaikan hasrat pertamanya, yakni bekerja sebulan selepas mendapat kebenaran mereka.
"Dia sudah lama jatuh sakit, jadi dia rasa teringin untuk bekerja. Walaupun pada awalnya kami tidak beri kebenaran, dia tekad dengan hasratnya. Jadi, kami tidak sampai hati melarangnya, namun dia hanya sempat bekerja sebulan sahaja kerana penyakitnya," katanya.
Bagaimanapun, katanya, anak perempuannya masih sempat meminta maaf kepada mereka sekeluarga, malah menghubungi rakannya semasa di hospital untuk bertanya khabar.
Dalam pada itu, katanya, mereka sekeluarga berhasrat menyerahkan mesin oksigen milik Adibah kepada mana-mana pihak yang memerlukan.
Katanya, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak seperti keluarga kekasihnya, Fahmy yang membantu mereka sejak Adibah mula dikesan mengalami penyakit terbabit.
Katanya, dia terharu kerana lelaki sebaik Fahmy sanggup berkawan dengan anaknya sebaik membaca berita mengenai kisah hidup Adibah di akhbar, malah masih setia melayani setiap kerenah anak perempuannya walaupun tidak sempat mempunyai ikatan sah.
"Banyak pihak termasuklah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Hospital Selayang, Hospital Pulau Pinang (HPP), Hospital Kuala Lumpur mahupun Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) membantu kami sekeluarga, malah menjaganya tanpa pernah jemu dalam tempoh lapan tahun ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) Kampung Pegawai, Ku Zuhairi Ku Yahya, berkata, dia juga ingin mengucapkan terima kasih atas segala pertolongan dihulurkan kepada keluarga Fatimah selama ini.
Laporan Audit:Pemimpin jangan bisu, kata KJ
Oleh: MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
Tarikh: October 2, 2013
SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan Khairy jamaluddin, hari ini menegaskan pemimpin – pemimpin kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap pendedahan dalam laporan Ketua Audit Negara.
Jelas Khairy beliau memandang serius pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara tersebut.
"Jika kita serius melakukan transformasi kearah kerajaan yang lebih telus dan amanah, laporan tersebut tidak boleh diketepikan.
"Rakyat tidak mahu melihat pemimpin-pemimpin kerajaan membisu tentang laporan ini," katanya memetik kenyataannya di laman mikro Facebooknya.
Menyentuh perkara yang sama Khairy turut menegaskan beliau juga turut bertanggungjawab terhadap perbelanjaan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS),walaupun sebelum baliau dilantik sebagai Menteri di Kementerian tersebut.
"Saya juga tidak boleh menggunakan alasan bahawa laporan ini adalah tentang perbelanjaan di KBS sebelum saya dilantik sebagai menteri.
"Prinsip kebertanggungjawaban bersama atau 'collective responsibility' bermakna saya mesti menjawab dan bertindak ke atas apa yang berlaku dalam kementerian saya. Kita tidak boleh lari dari tanggungjawab dan amanah," tegasnya.
Manakala menyentuh mengenai kes 'claim' kerja yang dibayar oleh Majlis Belia Malaysia dimana pembayaran untuk kerja yang sama dibuat beberapa kali, katanya pihak SPRM telahpun menjalankan siasatan dan beliau diberitahu siasatan tersebut sudah sampaidi peringkat terakhir.
Sementara menyentuh mengenai konsert K-pop di sambutan Hari Belia 2012 yang mendapat perhatian orang ramai baginya memang betul konsert itu dibiayai oleh KBS.
"Kenyataan awal bahawa konsert itu ditaja oleh pihak swasta dibuat kerana pada ketika itu ada tawaran dari pihak swasta untuk menaja aktiviti tersebut.
" Namun, tajaan itu akhirnya tidak diberi dan KBS terpaksa tanggung pembayaran untuk konsert K-pop di Hari Belia 2012. Untuk makluman, acara konsert K-pop dibatalkan untuk Hari Belia 2013,"katanya.
Sehubungan itu menurut Khairy,KBS akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan ketirisan dan kepincangan dapat diatasi.
"Dana karajaan adalah wang rakyat.
"Kita mesti 'accountable' pada setiap sen yang dibelanjakan," tegasnya.
Petronas sumbang RM732bilion kepada kerajaan
Oleh:
Tarikh: October 2, 2013
KUALA LUMPUR - Jumlah sumbangan Petronas kepada kerajaan sejak penubuhannya pada 1974 hingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012 ialah RM732 bilion.
Perdana Menter,i Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, daripada jumlah itu, dividen terkumpul adalah sebanyak RM278 bilion, bayaran hasil petroleum (RM124 bilion), cukai pendapatan (RM310 bilion) dan duti eksport (RM20 bilion).
"Petronas memang telah banyak memberi sumbangan yang besar kepada negara sejak penubuhannya pada 1974," katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Nga Kor Ming (DAP-Taiping) dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan satu persatu sumbangan Petronas kepada kerajaan sejak penubuhan syarikat minyak negara itu dari tahun 1974 hingga kini. - Bernama
Shila: 'Kenyataan tidak bertanggungjawab'
Oleh: NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
Tarikh: October 2, 2013
PENYANYI popular, Shila Amzah menafikan dakwaan blog tempatan yang mengaitkan perasaan traumanya terhadap keganasan lelaki kepada wanita kerana disebabkan perbuatan bekas kekasihnya kepada beliau sebelum ini.
Beliau yang kecewa dengan dakwaan tersebut menyifatkan kenyataan ditulis oleh sebuah blog itu sebagai tidak bertanggungjawab.
"Saya langsung tak kaitkan cerita saya dengan sesiapa pun. Jadi tolong takyah kaitkan la.. Siapa yang tulis itu memang tak bertanggungjawab la.
"Tolong lah blog yang tak bertanggungjawab ini. Maaf cakap tapi kalian tak jaga langsung sensitivity orang lain. Tulis ikut sedap sahaja," katanya menerusi laman Twitternya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menimbulkan kontrovesi bahawa situasi dialami penyanyi ini terhadap keganasan lelaki melibatkan kekasih lamanya yang mana perpisahan mereka menjadi bualan ramai tidak lama dahulu.
Dalam blog serta portal hiburan hari ini membuat spekulasi bahawa status Shila di akaun Twitter yang takut untuk menonton filem Bencinta mengundang persoalan sama ada benar penyanyi ini pernah di kasari oleh individu yang pernah rapat dengan dirinya dahulu.
"Takut nak tengok Bencinta. Tapi teringin nak tengok Kak Nora (Danish) berlakon macam tu — takut terbayang-bayang. Been there. Esoklah gagahkan diri," tulis Shila Amzah.
Shila yang dihubungi portal Gua baru - baru ini mengakui yang beliau pernah menjalani situasi seperti jalan cerita filem Bencinta di mana watak Nora Danish menjadi mangsa keganasan seorang suami lakonan Farid Kamil.
"Saya kemaskini status demikian kerana saya pernah mengalami situasi tersebut. Saya masih trauma dengan keadaan itu," jelas beliau tentang status tersebut.
Dek kerana Shila Amzah tidak pernah berkahwin, ramai peminat mula berspekulasi yang situasi yang pernah dialami penyanyi ini melibatkan kekasih lamanya yang mana perpisahan mereka menjadi bualan ramai tidak lama dahulu.
Mr Bean sudah peluk agama Islam?
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 2, 2013
BERITA ini mungkin akan mengejutkan dunia hiburan seluruh dunia.
Sebentar tadi, melalui sebuah portal berita yang dipetik dari Islampos.com dan laman web Sadalbadi.com melaporkan bahawa selebriti yang popular dengan watak lucu Mr Bean iaitu Rowan Atkinson, dipercayai telah memeluk agama Islam baru-baru ini.
Menurut laman web berkenaan, Rowan dipercayai terbuka hati untuk memeluk agama Islam selepas menonton filem Innocent of Muslim.
Melalui sebuah portal berita dari Indonesia pula, mereka memberitahu, "Mr Bean tak berbicara banyak ketika ditanya media, hanya mengangkat jari saja sebagai isyarat dia bersyahadat."
Menurut beberapa sumber portal media, Sheikh Rashid Ghannousyi, adalah salah seorang pembimbing Mr Bean.
"Banyak yang memberi selamat kepadanya di sepanjang jalan" – dipetik dari Islampos.com.
Sehingga kini, masih belum dapat dipastikan lagi kesahihan berita ini.
Khabarnya, media-media barat masih belum menyiarkan lagi apa-apa berita mengenai Rowan Atkinson.
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment