HHarian Metro
Berita Utama
Pelumba basikal maut dilanggar van
6 8 Google +2 2 0
DUNGUN: Seorang pelumba basikal Terengganu, terbunuh apabila basikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 71, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Pulau Serai, di sini, hari ini.
Mohammad Asmui Ali, 20, yang berasal dari Kampung Dusun, Kuala Ibai, Kuala Terengganu cedera parah di kepala dan meninggal serta merta di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Dungun Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, ketika kejadian mangsa bersama 17 pelumba lain berbasikal dalam perjalanan dari Kuala Terengganu untuk menyertai sebuah kejohanan berbasikal di Sepang Selangor.
Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang berada di kelompok depan dipercayai berada berdekatan dengan sebuah van Persatuan Lumba Basikal Terengganu yang mengiringi kumpulan pelumba terbabit.
"Mangsa dipercayai terjatuh sebelum dilanggar van terbabit dan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal serta merta di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum dimandi dan dikafankan di hospital terbabit sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan di kampung asalnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
BERITA UTAMA
Enam kes jenayah selesai: KPN
208 15 Google +2 0 0
Oleh Muhammad Apendy Issahak
GERIK: Polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes jenayah termasuk kes bunuh seorang peniaga nasi kukus di Paka, Terengganu dan kes tembak seorang ibu tunggal di Kuantan Pahang baru-baru ini dengan tumpasnya tiga penjenayah yangg ditembak mati di Jalan Intan, Pekan Grik, di sini awal pagi tadi.
Hasil semakan polis mendapati kesemua suspek yang berusia 25, 26 dan 34 tahun berasal dari Kelantan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Dua daripadanya mempunyai enam rekod jenayah, manakala seorang lagi dua rekod.
Dua pistol yangg ditemui dalam kenderaan dinaiki suspek adalah jenis .38 dan .22 serta 11 peluru termasuk tujuh yang sudah digunakan.
Dalam kejadian berbalas tembakan kira-kira jam 1.40 pagi tadi, kesemua suspek terbabit berjaya dikesan menaiki sebuah kereta di kawasan berkenaan.
Difahamkan, sebaik cuba ditahan suspek bertindak mengundurkan kereta dengan laju sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.
Polis kemudian melepaskan tembakan balas dan berjaya menembak mati kesemua suspek terbabit.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Kerja haram 20 tahun
21 0 Google +2 0 0
Oleh Asmah Rusman
Rawang: Tindakan seorang warga emas mengaut keuntungan mudah dengan mengusahakan perniagaan ubat haram sejak 20 tahun lalu berakhir apabila sebuah kilang pemprosesan dan banglo miliknya di Bukit Beruntung, di sini, diserbu anggota Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) Selangor, semalam.
Serbuan jam 12 tengah hari yang disertai 11 pegawai dan anggota CPF Selangor termasuk seorang anggota polis itu turut merampas 71 jenis ubat-ubatan herba Cina yang dianggarkan bernilai RM600,000 dan menahan warga emas terbabit bersama dua anak lelakinya untuk siasatan lanjut.
Penolong Pengarah Kanan Farmasi, Farhan Akmal Mohd Taha, berkata, sebaik menerima aduan awam mengenai operasi haram itu, pihaknya mengambil masa sebulan untuk membuat risikan di kedua-dua lokasi.
"Selain menjual ubat-ubat yang tidak berdaftar, suspek turut memalsukan produk sedia ada di pasaran dengan meniru bungkusan produk berkenaan sebelum meletakkan pelekat hologram palsu.
PEGAWAI farmasi melihat bungkusan ubat yang dirampas di sebuah banglo di Bukit Beruntung.
"Semua proses menghasilkan ubat-ubatan itu termasuk operasi pembungkusan dijalankan di kilang berhampiran rumahnya manakala banglonya pula dijadikan stor simpanan serta pejabat operasi," katanya.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Kereta laju masuk khemah
3562 77 Google +3 1 0
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Syazwan Msar
Kuala Lipis: "Saya lihat kereta itu mengundur dengan laju dan cuba mengelak, namun tidak sempat," kata Siti Aisyah Mohd Ridzuan, 13, seorang daripada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benta, yang parah akibat dilanggar seorang pelajar lain di tapak perkhemahan Kampung Lalang, di sini, kelmarin.
Sebelum kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, seorang guru meminta pelajar berusia 13 tahun terbabit menghidupkan enjin kereta Proton Perdana miliknya untuk memasang penghawa dingin.
Bagaimanapun, pelajar itu secara tidak sengaja memasuki gear undur sebelum melanggar khemah yang diduduki Siti Aisyah bersama Nor Sabina Syakikia Ahmad Nordin, 13, dan Nur Najwa Rahmat, 14,
Akibatnya, Siti Aisyah patah kedua-dua tulang selangka dan pergelangan tangan kanan, Nor Sabina Syakikia patah pinggang serta paha manakala Nur Najwa Rahmat, 14, patah jari kanan.
PERKHEMAHAN dibatalkan akibat insiden berkenaan.
Difahamkan, Nor Sabina Syakikia masih lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL manakala Siti Aisyah dan Nur Najwa sudah dipindahkan ke wad biasa semalam.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Polis buru pencuri dalam masjid
94 4 Google +0 0 5
Oleh Mohd Fadly Samsudin
Selayang: Dia akan berlegar-legar di pekarangan masjid sebelum meluru masuk ke ruang solat wanita dan melarikan beg tangan jemaah wanita ketika sedang bersujud.
Itulah taktik digunakan seorang lelaki berusia 20-an untuk mencuri barangan berharga milik jemaah di Masjid Jamiatus Solahiah, Kampung Sungai Tua Baru, di sini, pada 22 dan 28 September lalu.
Perbuatan keji lelaki itu bagaimanapun terbongkar selepas seorang daripada jemaah wanita yang sedang menunaikan solat Subuh menyedari kejadian itu kemudian berusaha mengejarnya, namun gagal.
Biarpun gagal menahannya, pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan mendapati kejadian pada 28 September lalu bukan pertama kali sebaliknya lelaki sama turut mengulangi jenayah pada 22 September lalu.
IMEJ CCTV menunjukkan suspek mencuri beg tangan jemaah wanita ketika sedang sujud.
Malah, dua rakaman CCTV aksi mencuri lelaki itu kini tersebar meluas di laman YouTube dan Facebook selain mendapat pelbagai kecaman daripada pengguna.
Dua rakaman CCTV masing-masing berdurasi 1 minit 10 saat dan 1 minit 28 saat itu menunjukkan lelaki berkenaan masuk ke ruang solat wanita melalui pintu kaca selepas melihat jemaah mula sujud sebelum melarikan beg mereka.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Tinjauan Harian Metro ke masjid berkenaan semalam, mendapati terdapat 16 CCTV dipasang di kawasan yang menjadi tumpuan untuk melakukan kecurian termasuk di dalam ruang solat.
Sementara itu, Timbalan Nazir masjid berkenaan, Mohd Razid Suli, 52, berkata, pihak pengurusan masjid memandang serius kejadian itu sehingga memaksa CCTV dipasang selepas beberapa kejadian curi pernah berlaku sebelum ini.
"Kami percaya dua kejadian mencuri beg jemaah wanita ini dilakukan individu sama. Malah, pihak polis memberi jaminan akan meneliti rakaman CCTV berkenaan dan mendapatkan paparan sebenar wajah suspek sebelum poster wajahnya diedarkan bagi mengesannya," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
"Pihak kami yakin ia perbuatan orang luar kerana kedudukan masjid hanya bersebelahan dengan jalan besar memudahkan sesiapa sahaja untuk memasuki masjid ini, "katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mohd Razid berkata, dalam kejadian sebelum ini, barang untuk mengadakan program Qurban yang disimpan dalam stor turut dipecah masuk sehingga kerugian hampir RM20,000.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Marah isteri, bunuh zuriat
109 5 Google +1 1 2
Oleh Raja Noraina Raja Rahim
Kuala Lumpur: Simpati dipinta tapi tangan dan kaki yang diterima. Itu nasib malang seorang wanita hamil selepas mengalami turun darah apabila dia bukannya dikasihani, malah dibelasah suaminya hingga dia akhirnya keguguran.
Kejadian berlaku di rumah pasangan terbabit di Setapak, di sini, kira-kira jam 10 malam Sabtu lalu, sebelum wanita yang baru hamil dua bulan itu turut dihalau dari rumah bersama dua anak yang masih kecil.
Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 35 tahun sebelum ini berstatus janda beranak dua dan berkahwin dengan suami barunya itu kira-kira enam bulan lalu.
Menurutnya sumber, ketika mangsa memberitahu dia hamil, suaminya yang berusia lewat 30-an itu amat gembira kerana bakal menimang zuriat sendiri.
"Bagaimanapun, suspek pernah mengugut untuk memukul dan mencederakan mangsa sekiranya kandungannya itu mengalami sebarang masalah.
"Dia berbuat demikian kerana mahu memastikan mangsa melahirkan anak daripada darah dagingnya sendiri," katanya.
Sumber itu berkata, sebab itulah apabila mangsa memberitahu dia mengalami pendarahan, suspek naik marah dan terus mengasari mangsa.
Anehnya, kata sumber itu, sebelum membelasah mangsa lelaki terbabit terlebih dulu membawa mangsa ke klinik untuk menjalani pemeriksaan.
"Bagaimanapun, sejurus tiba di rumah, suspek terus menghamburkan kata-kata kesat dan menuduh mangsa tidak pandai menjaga kandungannya dengan baik.
"Malah, suspek turut menuduh mangsa sengaja tidak menjaga kandungan disebabkan dia sudah ada dua anak hasil perkahwinan sebelum ini," katanya.
Sumber itu berkata, berikutan tuduhan melulu suspek, berlaku pertengkaran di antara kedua-dua mereka sebelum mangsa dibelasah bertubi-tubi.
"Mangsa dipukul hingga terjatuh dan supek hampir memijak perutnya. Selepas puas memukul mangsa, suspek kemudian menghalau mangsa keluar dari rumah.
"Malah, suspek sekali lagi mengugut akan mencederakan mangsa jika mangsa mengalami keguguran," katanya.
Berikutan itu, katanya, mangsa yang dalam kesakitan terpaksa keluar dari rumah bersama dua anaknya berusia tiga dan lima tahun dan menumpang di rumah saudaranya yang terletak tidak jauh daripada rumahnya.
"Keesokannya, mangsa ke klinik sama selepas pendarahan tidak henti-henti dan doktor kemudian mengesahkan dia mengalami keguguran," katanya.
Sumber itu berkata, bimbang suspek akan mencederakannya lagi, suspek membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini, pada hari sama dan Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Bekas tahanan diberkas terbabit 16 kes ragut
0 0 Google +0 1 0
Oleh Yahya Awang
Taiping: Tindakan seorang lelaki yang juga bekas tahanan mengikut Ordinan Darurat (EO) yang tidak pernah serik melakukan kegiatan ragut di sekitar daerah ini membawa padah apabila dia diberkas polis.
Suspek berusia 39 tahun yang dipercayai terbabit dalam 16 kes ragut berjaya diberkas anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada jam 3.45 petang 26 September lalu di sebuah rumah di Jalan Keretapi Lama, Kampung Boyan, di sini.
Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pihaknya berjaya mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes ragut di sekitar daerah ini berdasarkan maklumat orang ramai dan siasatan yang dijalankan.
"Serbuan ke rumah suspek turut menemui tiga surat pajak gadai dan sebuah motosikal curi sebelum suspek membawa polis ke dua kawasan lain berhampiran dan menemui dua beg tangan milik dua wanita yang mengandungi pelbagai dokumen peribadi milik mangsa.
"Polis juga merampas dua kenderaan milik suspek iaitu sebuah motosikal Honda Dash warna oren dan sebuah kereta Proton Saga warna kelabu yang dikenal pasti digunakan suspek dalam kegiatan kes curi, ragut dan cubaan merompak yang sekitar kawasan Taiping," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Majikan suspek lari ke Australia
0 1 Google +0 0 0
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan yang juga majikan kepada suspek utama yang menembak mati pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi, 75, dipercayai berada di Australia selepas kejadian itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki berusia 53 tahun itu dipercayai meninggalkan negara ini selepas kejadian berkenaan dan dikesan masih berada di Australia.
"Lelaki itu masih berada di negara berkenaan.
"Individu itu juga tahu polis sedang mencarinya dan kita sudah beri masa supaya dia tampil untuk memberi keterangan dan kalau tidak, polis akan siarkan gambarnya," katanya, semalam.
TIMBALAN Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairy Ahrasa (depan) mengetuai gerakan mencari bukti di lebuh raya sekitar Sungai Besi.
Menurutnya, pihaknya masih dalam usaha mencari senjata api yang digunakan suspek utama dalam kejadian itu yang dipercayai dibuang di sekitar tasik The Mines, Seri Kembangan, dekat sini.
Katanya, operasi mencari senjata sudah dimulakan sejak kelmarin dengan membawa suspek utama yang juga pembunuh upahan dikenali sebagai Si Empat Mata, 44, yang berpakaian lokap ke tasik berkenaan.
Beliau berkata, sehingga jam 4.30 petang semalam, senjata api yang dicari masih belum ditemui dan pihaknya menamatkan operasi mencari serta akan menyambung semula pencarian itu esok pagi (hari ini).
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Makan ayam sudah busuk
102 2 Google +3 1 0
Oleh Mohamad Hussin, Muhammad Saufi Hassan, Omar Osman dan Nur Syazwana Mansor
Sungai Petani: Jabatan Kesihatan Kedah mengesahkan bahawa punca keracunan makanan sebilangan tetamu majlis perkahwinan itu adalah berpunca daripada masakan ayam masak merah kerana terdapat bukti ayam yang dimasak dipercayai sudah rosak dan busuk.
Pengarah Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati, masakan berkenaan menjadi punca kejadian itu memandangkan tempoh ayam itu disimpan selepas dimasak agak lama dan sesuai untuk pembiakan kuman.
"Menerusi siasatan, kita mendapati ayam berkenaan digoreng pada petang sehari sebelum majlis perkahwinan dan ayam itu dimasak semula pada pagi Sabtu lalu. Tempoh masa yang panjang sesuai untuk pembiakan kuman sekali gus menyebabkan punca keracunan makanan.
"Kita sudah menghantar sampel najis mangsa ke Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh (Kuala Lumpur) dan setakat ini, kita dapati keputusan menunjukkan negatif bagi kolera (taun), bagaimanapun, kita masih menunggu laporan bagi keputusan kuman samonela (biasa terdapat dalam usus ayam)," katanya.
Selain itu, menurutnya, berdasarkan keputusan bedah siasat yang dilakukan menunjukkan punca kematian tiga mangsa adalah daripada hidrasi atau kekurangan cecair dalam badan.
Beliau turut menasihatkan kepada semua individu supaya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran jika mempunyai simptom keracunan makanan seperti muntah atau cirit birit.
"Kita juga sudah menubuhkan satu pasukan khas yang akan melaksanakan siasatan menyeluruh dan mereka ditempatkan di Hospital Yan dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
"Kakitangan di Hospital Yan juga sudah ditambah hasil bantuan daripada Hospital Kuala Nerang dan Jitra," katanya.
Dr Ismail berkata, setakat ini, sebanyak 270 kes dilaporkan mendapatkan rawatan di hospital selepas makan ayam masak merah di rumah majlis perkahwinan berkenaan.
Menurutnya, mangsa yang mendapatkan rawatan di HSAH adalah 127 kes di mana 38 pesakit ditahan dalam wad, manakala dua lagi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Di Hospital Yan, sebanyak 138 kes mendapatkan rawatan di mana 62 pesakit ditahan dalam wad, manakala 68 dirawat sebagai pesakit luar dan 18 kes lagi dirujuk ke Hospital Sik dan Hospital Baling.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut bagi mengenalpasti punca kejadian berkenaan sehingga mengakibatkan tiga mangsa terkorban akibat keracunan makanan selepas makan ayam masak merah itu.
"Kita sedang menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital sebelum mengambil tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Tinjauan Harian Metro di Kampung Huma, Tanjung Dawai, dekat sini, mendapati Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengambil langkah drastik dengan mewujudkan pusat pemeriksaan saringan sementara susulan kejadian keracunan makanan yang sudah mengorbankan tiga individu setakat ini.
Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam) Dr Hayati Mohd Radzi memaklumkan bahawa langkah drastik itu diambil bagi membuat saringan kepada penduduk kampung berkenaan yang mempunyai simptom sama dan mereka yang didapati kronik akan dirujuk ke klinik kesihatan terdekat.
"Setakat jam 12 tengah hari ini (semalam), seramai 71 penduduk kampung sudah datang mendapatkan rawatan dan pemeriksaan berikutan simptom keracunan makanan seperti cirit birit dan muntah.
"Daripada jumlah itu, enam individu sudah dirujuk ke Klinik Kesihatan Merbok dan mereka berusia antara 11 hingga 38 tahun kerana menunjukkan tanda dehidrasi.
"Kami sudah memulakan operasi di pusat sejak 11 pagi tadi (semalam) dan operasi saringan itu akan ditutup sebaik semua penduduk kampung sudah menjalankan pemeriksaan.
"Kita perlu mengetahui jenis makanan diambil dan selepas itu baru tindakan susulan boleh diambil. Setakat ini, kami masih merekodkan maklum balas daripada pesakit," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
'Bekalan dihantar berasingan'
4 0 Google +0 0 1
Oleh Mohamad Hussin, Muhammad Saufi Hassan, Omar Osman dan Nur Syazwana Mansor
Tanjung Dawai: "Memang kami masak secara gotong- royong pada hari perkahwinan Sabtu lalu dan memang terdapat dua stok ayam yang dihantar berasingan. Satu stok dihantar oleh pembekal sehari sebelum hari kenduri, manakala satu stok ayam lagi dimasak petang hari kenduri.
"Waktu kami masak memang nampak elok ayam tu. Saya pun makan ayam masak merah tu tapi tak ada apa-apa yang berlaku. Tidak tahu pula ayam itu dah busuk," kata seorang lelaki berusia 30-an, yang enggan dikenali dan salah seorang ahli keluarga terdekat kepada pengantin perempuan.
Lelaki itu berkata, dia tidak pasti siapa yang memasak lauk ayam masak merah itu yang dikatakan menjadi punca kepada keracunan makanan kerana ketika itu, masing-masing sedang sibuk memasak pelbagai juadah tambahan lain.
Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka masakan itu akan mengakibatkan keracunan makanan kepada individu lain kerana tiada sebarang tanda-tanda pelik pada ayam berkenaan ketika memasaknya, petang Sabtu lalu.
"Saya dengar ramai yang masih dirawat di hospital termasuk keluarga pengantin berkenaan.
"Apa yang saya tahu memang ada dua stok ayam yang dihantar secara berasingan, tetapi tidak pasti mana satu yang menjadi punca kepada kejadian ini," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Huma, di sini yang ditemui, Rosnah Ahmad, 45, berkata, dia mula mengalami sakit perut dan muntah-muntah pada petang Sabtu lalu selepas menghadiri kenduri perkahwinan berkenaan di sebelah pagi.
Katanya, dia memang menikmati masakan ayam masak merah sewaktu majlis berkenaan, namun tidak mengesyaki sebarang yang pelik.
"Selepas pulang, perut saya memulas-mulas dan muntah. Hari ini (semalam), saya datang untuk mendapatkan pemeriksaan dan bimbang juga jika perkara tidak diingini berlaku.
Siti Sarah Mustofa, 32, dari Kampung Jawa, Batu Hampar, Yan, berkata, dia menghadiri majlis berkenaan bersama suami, ibu dan tiga orang anaknya.
"Kami pergi pada jam 3 petang dan ketika itu, saya lihat tetamu masih ramai. Saya kemudiannya duduk bersama ibu dan anak-anak untuk makan, manakala suami saya hanya duduk berbual dengan rakan-rakan lain.
"Suami saya tak mahu makan kerana tak ada selera katanya. Hanya saya dan anak-anak saja yang ambil sambal ayam, manakala ibu saya hanya makan gulai ikan talang," katanya.
Menurutnya, anak keduanya, Mohd Rafiudin Abd Rahim, 9, mengadu sakit perut dan muntah menyebabkan mereka bergegas ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar, Ahad lalu.
Sementara itu, di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Romadi Romli, 38, berkata, empat anaknya Nurzulaika, 14, Aidil Irfan, 12, Mohd Alif, 8, dan Nurzakirah, 4, turut dirawat di wad HSAH kerana mengalami sakit perut dan cirit birit selepas makan di rumah kenduri berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Dapat jawapan banyak kereta Pak Arab kemek
28 0 Google +0 0 0
Oleh Badrila Jamlus
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kisah mengenai kenderaan di bandar ini yang sering kemek di sana sini pernah saya ceritakan sebelum ini dan jawapan kepada insiden itu sebenarnya disebabkan oleh sikap segelintir pemilik kenderaan yang tidak mempunyai masa untuk menghantar kenderaan masing-masing ke bengkel.
Menurut seorang rakyat Malaysia yang sering mengendalikan jemaah untuk ziarah, umrah dan haji dikenali Haji Arshad, kereta adalah satu kaedah pengangkutan yang amat penting di sini dengan kebanyakan mereka memiliki hanya satu kenderaan dan ini menimbulkan kesukaran kepada mereka sekiranya kereta itu dihantar ke bengkel.
"Sebenarnya di sini, bengkel kenderaan lebih banyak berbanding di Malaysia tetapi mereka sendiri tidak ada masa untuk menghantarnya dan tidak kisah untuk terus menggunakan kereta ini meskipun dalam keadaan tidak sempurna.
"Malah, kereta yang baru dibeli juga tidak terkecuali mendapat kesan kerosakan sama ada kecil ataupun besar," katanya.
Jika berlaku kemalangan, kedua-dua pemandu kenderaan perlu menunggu sehingga polis datang untuk menyelesaikannya dengan memberikan notis bagi tujuan tuntutan insurans.
Namun, ada sesetengah pemandu yang lebih bertimbang rasa mengambil sikap 'tidak kisah' atau membuat penyelesaian sesama sendiri.
Bagaimanapun, bagi kenderaan yang dikesan memandu laju, kompaun tinggi dikenakan dan jumlah itu meningkat sehinggalah bayaran saman diselesaikan.
Arshad berkata, harga kenderaan di sini murah dan pemilik hanya perlu membayar insurans tanpa perlu membayar cukai jalan selain harga minyak yang murah menyebabkan mereka tidak kisah memandu kenderaan dengan kapasiti enjin besar.
Peraturan di sini juga melarang wanita memandu kereta dan sebab lain kereta mereka sering kemek juga akibat laluan sempit di beberapa lokasi penempatan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Keajaiban di Tanah Suci
1 1 Google +0 0 0
Daripada Badrila Jamlus di Makkah
"Masa mula-mula naik kapal terbang untuk ke sini, telinga pak cik sering berasa tidak selesa seakan-akan bunyi 'meletup' beberapa kali dan alhamdulillah sebaik tiba di Tanah Suci, pendengaran saya beransur pulih," kata warga emas, Sutan Man, 84, dari Gelugor Pulau Pinang.
Beliau yang masih mempunyai penglihatan baik dan kali pertama menjejakkan kaki di sini, sebelum ini menghadapi masalah pendengaran yang teruk dan tidak menyangka mampu mendengar serta berjalan dengan tongkat untuk menunaikan solat di Masjidil Haram.
Katanya, sudah menjadi harapannya sejak dulu lagi untuk melihat Kaabah dan hanya sempat melakukan satu pusingan tawaf disebabkan masalah kesihatan serta kemudian meneruskan menggunakan kerusi roda bagi melengkapkan rukun umrahnya.
Sutan berkata, disebabkan faktor usia, beliau mendapat bantuan beberapa jemaah Malaysia lain termasuk daripada pengendali pakej haji swasta yang menguruskan perjalanannya sepanjang berada di Tanah Suci ini.
"Cuma dua tiga hari ini saya tidak dapat ke masjid kerana lutut sakit dan berlaku pendarahan pada hidung mungkin disebabkan cuaca panas dan berharap diberikan kesihatan untuk menunaikan haji," katanya.
Isterinya, Siti Reyah Ariffin berkata, suaminya dulu bertugas sebagai kakitangan Lembaga Letrik Negara (LLN) yang sekarang dikenali Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan mula menyimpan di Tabung Haji secara sedikit-sedikit.
Beliau berkata, jarak dari tempat penginapan ke masjid banyak memberi kelebihan kepadanya menunaikan solat bersama suami dan berharap anak dapat mendoakan kesihatannya sepanjang berada di Tanah Suci.
Sementara itu, Wan Mahiran Ariffin, 52, berkata, meskipun menunaikan haji menerusi muassasah, perkhidmatan yang disediakan di maktab penginapan lengkap dan gembira dapat menumpukan perhatian untuk menunaikan ibadat di masjid.
"Saya berkongsi bilik seramai enam orang dan berasa selesa kerana dapat bersama jemaah lain yang datang ke sini semata-mata untuk memberi sepenuh tumpuan menunaikan ibadat haji," katanya.
Rakannya, Kamariah Mohd Daly, 68, berkata, dia berharap dapat melaksanakan umrah sunat beberapa kali sebelum wukuf dan melakukan ibadat sunat lain sepanjang lebih 40 hari berada di Tanah Suci.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Takdir 2 sahabat
427 14 Google +1 1 0
Oleh Suraya Roslan dan Jaafar Mulup
Tampin: "Sebelum ke sekolah, kebiasaannya Bibi (Rachellyna Evenis Elvis) akan mencium kedua-dua belah pipi saya, namun semalam (kelmarin) aneh pula, apabila dia hanya keluar rumah dan terus ke sekolah," kata Joblin Umbang, 39, ibu kepada seorang daripada dua kanak-kanak perempuan yang lemas di sebuah kolam pancing berhampiran Taman Rekreasi Kem Tentera Syed Sirajuddin, Gemas, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, dua sahabat baik, Rachellyna Evenis Elvis dan Clarise Haizer Endyfim, 11, kedua-duanya murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Kem Syed Sirajuddin, dekat sini, ditemui lemas dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam berkenaan.
Joblin berkata, anak kedua daripada empat beradik itu keluar rumah pada jam 6.30 pagi untuk ke sekolah dan pulang jam 2 petang sebelum keluar semula untuk ke kelas tambahan Bahasa Inggeris dan Matematik di sekolahnya 30 minit kemudian.
"Sebelum ke sekolah pagi semalam (kelmarin), tiba-tiba dia meminta mengetip kuku dan bercerita kisah zaman kanak-kanak antara dia dan kakaknya, Michelle yang berusia 14 tahun.
MAYAT mangsa lemas dibawa ke Bilik Mayat Hospital Tampin untuk bedah siasat.
"Saya hairan kenapa dia berkelakuan aneh, namun tidak mengesyaki apa-apa perkara buruk akan berlaku," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tampin, di sini, kelmarin.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Ustaz Azhar dipilih kerana watak bersesuaian: David Teo
0 0 Google +0 0 0
KUALA LUMPUR: Penerbit MIG Production David Teo menafikan mengambil pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus berlakon sebagai strategi untuk melariskan filem terbaru terbitannya Ustaz, Mung Tunggu Aku Datang! arahan Pierre Andre.
Katanya, Ustaz Azhar dipilih kerana watak ustaz itu bersesuaian dengan beliau yang berasal dari Terengganu.
David juga enggan mengulas mengenai jumlah bayaran yang diberikan kepada Ustaz Azhar kerana ia adalah rahsia syarikatnya dan Ustaz Azhar.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Samsung lancar Galaxy Tab 3
1 0 Google +0 0 0
KUALA LUMPUR: Samsung melancarkan tablet terbaru, Galaxy Tab 3 yang pertama kali dikuasakan pemprosesan Intel Atom dipasarkan pada minggu ini.
Ia akan dijual pada harga semurah RM1,299 yang beroperasi pada platform Android 4.2 Jelly Bean.
Tablet senipis 7.95mm itu juga dilengkapkan dengan bateri 6,800mAh yang mempunyai RAM sebanyak 1GB.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
30,000 DVD cetak rompak dirampas
0 0 Google +0 0 0
SEBERANG JAYA: Sebanyak 30,000 cakera video digital (DVD) cetak rompak pelbagai tajuk dirampas dalam serbuan ke atas sebuah rumah teres yang dijadikan tempat mencetak di Taman Chai Leng, di sini, pagi tadi.
Selain itu, sembilan mesin pencetak dan satu set komputer turut dirampas dalam serbuan pada jam 11 pagi itu.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM350,000.
Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang Abdul Rosik Yakob mengesahkan serbuan dan rampasan itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Ali Rustam wakil Melaka di Dewan Negara
0 0 Google +0 0 0
MELAKA: Dewan Undangan Negeri meluluskan usul melantik bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebagai anggota Dewan Negara mewakili Melaka.
Usul itu dicadangkan Ketua Menteri yang juga ADUN Sungai Udang Datuk Wira Idris Haron dan disokong ADUN Asahan Datuk Wira Abdul Ghaffar Atan.
Usul berkenaan diluluskan selepas pergulungan perbahasan dan dipersetujui 20 ahli DUN.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Pengunjung tersangkut Menara Taming Sari alami masalah teknikal
0 0 Google +0 1 0
MELAKA: Suasana di Menara Taming Sari, Banda Hilir di sini, gempar seketika apabila menara pandang berputar setinggi 110 meter itu mengalami masalah teknikal dipercayai lebih sejam, malam tadi menyebabkan mereka dipercayai tersangkut selama hampir sejam.
Difahamkan, ketika kejadian lebih 10 orang awam termasuk beberapa kanak-kanak berada di dalam menara berputar 360 darjah itu yang tiba-tiba mengalami kerosakan ketika mahu turun.
Sepasukan bomba yang menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 10.45 malam bergegas ke lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga.
Bagaimanapun, sistem menara itu dikatakan kembali berfungsi dengan baik dan semua pengunjung berkenaan selamat diturunkan, kira-kira jam 11.30 malam.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Obama tangguh lawatan
0 0 Google +0 0 0
SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman sebentar tadi bahawa Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama terpaksa menangguhkan lawatannya ke Malaysia pada 11 dan 12 oktober ini.
Najib berkata, keputusan itu dibuat Obama berikutan krisis pentabiran dan domestik di Amerika Syarikat yang tidak menentu buat masa ini.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry akan menggantikan Obama dalam lawatan berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Remaja maut motosikal terbabas
0 0 Google +0 0 0
KUALA LUMPUR: Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Semarak, malam tadi.
Dalam kejadian jam 11.50 malam itu, mangsa Mohamed Faez Baharuddin, 19, menunggang motosikal Kawasaki maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Difahamkan, mangsa baru selesai bermain Roller Coaster di sebuah pusat membeli-belah berhampiran sebelum makan malam bersama empat rakan di restoran berdekatan lokasi kejadian.
Selesai makan malam, mangsa menunggang bersendirian untuk pulang ke rumah di Taman Rahmat Jaya, Rawang sebelum terbabas di selekoh susur Jalan Tun Razak menghala ke Jalan semarak.
Akibat pelanggaran itu, mangsa dipercayai tercampak kira-kira 15 meter.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Pelatih kuda miliki dadah dihukum penjara
0 0 Google +0 0 0
IPOH: Mahkamah Tinggi, di sini sebentar tadi menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan 20 sebatan kepada seorang pelatih kuda atas kesalahan memiliki dadah pada November tahun lalu.
Tertuduh Min Faizal Min Sarwi, 38, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Taman Cempaka di sini dan memiliki 973.53 gram dadah jenis kanabis 12 November 2012.
Hakim Datuk Zainal Adzam Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti fakta kes.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Sindiket minyak diesel dipatahkan
0 0 Google +0 0 0
TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan satu sindiket minyak diesel dengan merampas kira-kira 20,400 liter diesel di sebuah premis tidak bernombor, di Sungai Kinabutan, Batu 5, Jalan Apas, malam kelmarin.
Serbuan yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah PPM Tawau Asisten Supritenden Krishnan Ramasamy terbabit turut berjaya merampas dua kenderaan yang diubahsuai untuk tujuan itu dan menahan empat lelaki yang dipercayai dalang kepada sindiket berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Tiada penyelewengan berhubung kehilangan aset PDRM: Ahmad Zahid Hamidi
1 0 Google +0 0 0
PUTRAJAYA: Tiada penyelewengan berhubung kehilangan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2012, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, penjelasan sudah dibuat kepada Jabatan Audit Negara, namun ia tidak dimasukkan dalam laporan berkenaan.
"Perkara ini sudah dijelaskan kepada Jabatan Audir Negara, namun tidak sempat dimasukkan ke dalam laporan audit berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Peralatan Polis Asia (GPEC Asia) 2013 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian mengulas mengenai laporan Ketua Audit Negara berhubung kehilangan aset PDRM sebanyak RM1.33 juta
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Cipta beg udara tepi kereta
3 0 Google +0 0 0
London: Beg udara tambahan yang berfungsi dari bahagian tepi kereta ialah rekaan ciri-ciri keselamatan terbaru yang dibangun industri permotoran.
Beg udara itu akan keluar dari celah pintu kereta dalam tempoh 20-30 milisaat untuk melindungi bahagian tepi kenderaan akibat kesan rempuhan.
Global
Kanak-kanak dua tahun 'hamil'
17 3 Google +0 0 0
Beijing: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun dari Huaxi, China menjalani pembedahan melahirkan anak selepas doktor mendapati dia 'hamil'.
Xiao Feng dibawa ke hospital selepas perutnya membuncit hingga dia sukar bernafas.
Sebaik dimasukkan ke hospital, doktor melakukan imbasan X serta imbasan MRI dan mendapati Xiao Feng membawa janin kembarnya sendiri di dalam perutnya. Dia kemudian segera dibawa ke bilik pembedahan.
Di samping itu, janin yang dibuang oleh kumpulan doktor berkenaan berukuran 20 sentimeter dan mempunyai tulang belakang lengkap serta tangan dan kaki termasuk jari tangan dan jari kaki.
KEADAAN perut Xiao Feng yang membuncit dengan janin kembar parasit di dalamnya.
Kembar parasit berkenaan mungkin menjadi bayi lelaki dan sudah memenuhi hampir dua pertiga daripada perut Xiao Feng dan jika tidak dibuang boleh menyebabkan kanak-kanak terbabit mati.
Menurut pakar, kembar biasa terbentuk apabila telur berpecah kepada dua bahagian selepas persenyawaan, manakala kembar siam pula terjadi apabila telur gagal berpecah sepenuhnya.
Sementara itu, pakar neonatologi di Hospital Kanak-Kanak Rainbow di Cleveland, Dr Jonathan Fanaroff berkata, sesetengah kembar siam boleh menjadi parasit, tetapi ia tidak berlaku apabila satu kembar menyerapi pasangannya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Pereka di TRW Automotif kini berusaha menghasilkan radar dan sistem kamera bagi mengesan detik tepat untuk beg udara itu berfungsi.
Mereka berharap dapat melengkapkan beg udara itu pada kenderaan premium buatan Jerman sebelum akhir dekad ini.
Naib Persiden TRW, Norbert Kagerer berkata, "Rempuhan di bahagian tepi adalah satu daripada kadar kemalangan tertinggi dengan perkiraan 37-40 peratus jumlah nahas.
Projek pembangunan rekaan baru berkenaan dibiayai Kesatuan Eropah dan bermula tiga tahun lalu di Sepanyol.
Beg udara yang diuji itu berukuran 200 sentimeter panjang, 70sm tinggi dan antara 15 hingga 20sm dalam dengan kapasiti 200 liter. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
3 tahun curi 900 beg
0 0 Google +0 0 0
Newport: Seorang ibu kepada dua anak dihukum penjara selepas dia mencuri lebih 900 beg tangan dalam jenayah yang dilakukan sejak tiga tahun lalu.
Jayne Rand, 48, mencuri beg dan dompet berjumlah £500,000 (RM2.6 juta) dari kedai dikunjungi sebelum mencurinya selepas membuang tag keselamatan pada beg berkenaan. Mahkamah agung Newport diberitahu, Jayne mencuri 905 beg dan empat dompet jenama terkemuka seperti Prada, Gucci and Louis Vuitton.
Dia kemudian menjual beg berkenaan dan memperoleh keuntungan tambahan melebihi £1,000 (RM5,250) untuk setiap beg curi yang dijualnya.
Sepanjang kegiatan Jayne, suaminya Phillip Rand yang juga perunding percangan dan dua anak perempuan mereka yang sudah dewasa Gemma serta Amber langsung tidak tahu-menahu mengenai jenayah dilakukannya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Kakitangan awam perlu isytihar ke kasino
0 0 Google +0 0 0
Singapura: Kakitangan perkhidmatan awam Singapura mesti mengisytiharkan sebarang lawatan ke kasino mulai semalam, kata pegawai.
Arahan itu dibuat beberapa bulan selepas seorang pegawai kanan antirasuah dituduh menyalahgunakan wang kerajaan untuk membiayai ketagihan judinya.
Menurut Bahagian Perkhidmatan Awam Singapura, kakitangan kerajaan diberi masa tujuh hari untuk membuat pengisytiharan jika mengunjungi dua kasino milik kerajaan lebih daripada empat kali sebulan.
Mereka diwajibkan membuat pengisytiharan jika membeli pas tahunan yang membolehkan kunjungan ke kasino dibuat tanpa had.
"Kakitangan awam yang terbabit dalam penguatkuasaan perjudian dan sesiapa yang mewakili kerajaan dalam urusan rasmi dengan dua pengendali kasino itu tetap dilarang ke premis itu kecuali atas kapasiti rasmi," kata agensi itu.
Jun lalu Penolong Pengarah Biro Siasatan Amalan Rasuah, Edwin Yeo Seow Hiang, 39, didakwa menyelewengkan wang negara SG$1.76 juta (RM4.54 juta) untuk membiayai ketagihan judinya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Wanita tidak sedar kokain dalam coli
1 1 Google +0 0 0
Dubai: Seorang penumpang kapal terbang dari Thailand semalam dihukum penjara 10 tahun kerana menyeludup 1.2 kilogram kokain yang disembunyikan dalam coli serta bungkusan diikat pada kakinya.
Hakim turut mengarahkan wanita terbabit membayar denda Dh50,000 (RM44,037) dan bakal diusir selepas menamatkan tempoh tahanan.
Dalam perbicaraan, tertuduh mendakwa tidak tahu-menahu mengenai dadah berkenaan ketika dia ditahan sejurus selepas tiba dari Brazil pada 8 April lalu. Penahanan itu dibuat selepas pegawai penguat kuasa mencurigai saiz payu dara tertuduh yang lebih besar daripada biasa.
Polis juga curiga apabila kaki wanita terbabit lebih besar berbanding sepatutnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Dipenjara 2 tahun hina monarki Thailand
Bangkok: Hakim Mahkamah Rayuan semalam mengarahkan pengasas gerakan Baju Kuning, Sondhi Limthongkul, dihukum penjara dua tahun kerana menghina monarki dengan memetik ucapan seorang seteru politiknya.
Dianggap antara tokoh politik paling kontroversi, Sondhi Limthongkul disabitkan kesalahan di bawah undang-undang kontroversi Thailand selepas pendakwa membuat rayuan atas pembebasannya sebelum ini.
Hakim menolak hujah peguam bela yang mendakwa ahli perniagaan dan pemilik empayar media itu tidak berniat menghina istana, sebaliknya menarik perhatian polis kepada ucapan asal. Sondhi - menganggap tuduhan itu bersifat politik - dibebaskan dengan jaminan THB500,000 (RM50,000) sementara menunggu rayuan di Mahkamah Agung. Protes kumpulan Baju Kuning membantu mencetuskan kudeta tentera pada 2006 yang menumbangkan kerajaan pimpinan Thaksin Shinawatra - abang kepada perdana menteri ketika ini, Yingluck Shinawatra. Pada 2010 Sondhi didapati bersalah memfitnah Thaksin dan dihukum penjara enam bulan dengan pelaksanaannya ditangguhkan. Pada Februari tahun lalu mahkamah mengarahkan Sondhi dipenjara 20 tahun atas jenayah korporat pada 1990-an. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Operasi kerajaan AS terhenti
Washington: Untuk kali pertama dalam tempoh hampir dua dekad sebahagian jabatan kerajaan AS akan ditutup secara berperingkat selepas anggota Republikan di Kongres tetap berdegil menuntut perubahan dalam undang-undang penjagaan kesihatan ketika Presiden Barack Obama dan anggota Demokrat tegas menolaknya.
Dalam kebuntuan itu Obama berkata, penutupan berkenaan memberi kesan ekonomi sangat besar kepada orang awam secara serta-merta.
Ratusan ribu kakitangan awam pula akan diarah bercuti tanpa gaji, manakala pusat jagaan orang tua, taman awam, kebanyakan agensi angkasa lepas dan operasi kerajaan terhenti. Obama kemudian menyalahkan kumpulan Republikan kerana cuba memaksa kerajaan membiayai "tuntutan ideologi" mereka bagi menjaga air muka masing-masing selepas membuat beberapa janji yang mustahil kepada sayap kanan parti berkenaan. Bagaimanapun Speaker Kongres, John Boehner sekadar memberi reaksi ringkas.
Katanya, rakyat AS dan dia sendiri tidak mahukan penutupan operasi kerajaan itu.
"Tetapi undang-undang kesihatan baru diperkenalkan Obama memberi kesan kemusnahan dan sesuatu perlu dilakukan," katanya. Ada beberapa isu tidak dipersetujui Republikan dalam reformasi penjagaan kesihatan digelar mereka sebagai Obamacare itu.
Bagi Republikan, pelan yang mahu menyediakan penjagaan ke atas jutaan rakyat AS yang tidak dilindungi insurans dianggap membazir dan mengehadkan kebebasan kerana memerlukan penduduk negara itu memiliki insurans kesihatan. Dianggarkan 800,000 kakitangan awam berdepan penggantungan pekerjaan itu tetapi sesetengahnya petugas sektor sensitif, seperti tentera dan pengawal trafik udara tetap berfungsi seperti biasa. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Pemimpin pembangkang dihukum mati
Dhaka: Sebuah tribunal perang khas di Bangladesh memutuskan seorang pemimpin kanan parti pembangkang utama negara itu dihukum mati kerana terbabit dalam pembunuhan ratusan orang ketika perang pada 1971.
Keputusan terhadap Salauddin Quader Chowdhury itu dibuat dalam kamar mahkamah ketika dia berdiri dalam kandang tertuduh.
Bimbang dengan tindakan penyokong Parti Nasionalis Bangladesh, pihak berkuasa menugaskan pasukan separa tentera berkawal di Chittagong yang menjadi kubu kuat Salauddin.
Dia menjadi ahli parlimen bagi kerusi itu selama enam penggal. Ketua Pendakwa Mahbubey Alam berkata Salauddin disabitkan 23 tuduhan, termasuk empat penghapusan etnik, selain membantu dan mengarahkan pembunuhan 200 orang kebanyakannya penganut Hindu di Chittagong. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Bina hotel hasil wang mengemis
Sana'a: Seorang lelaki Yaman menghadiahkan isterinya kenderaan pacuan empat roda Toyota Land Cruiser, sekeping tanah selain membina hotel dan pusat beli-belah hasil wang mengemis.
Mohammed Taher yang kini antara lelaki terkaya di sebuah wilayah di Yaman tidak memiliki harta apa pun ketika meninggalkan bandar kelahirannya, Lahij di barat daya negara itu ketika berhijrah ke Arab Saudi pada 2003.
Pada beberapa bulan pertama sewaktu bekerja sebagai tukang kayu di Jeddah, dia mendapati golongan pengemis memperoleh pendapatan lebih lumayan daripadanya.
Menurut laman web berita Yaman Sinbad, Mohammed kemudian mengambil keputusan menjadi pengemis.
"Dalam beberapa bulan pertama dia dapat mengumpulkan sejumlah besar wang hasil pemberian orang ramai," lapor Sinbad. Mohammed terus mengemis selama 10 tahun hinggalah tahun ini sebelum dia memutuskan untuk pulang ke Yaman selepas mendapati wang yang disimpannya sudah mencukupi.
Perkara pertama dilakukan sebaik pulang ialah membelikan isterinya kenderaan dan sebidang tanah sebagai balasan kerana setia menunggunya, selain menjaga anak mereka sepanjang ketiadaannya. "Mohammed berjaya meraih kekayaan daripada mengemis dan kini dia membina sebuah hotel dan pusat beli-belah," lapor Sinbad.
Sementara itu, seorang penulis blog Arab Saudi yang terkejut dengan kisah Mohammed mempertikaikan tindakan warga tempatan yang terlalu pemurah.
"Adakah kita sangat polos atau kebaikan kita untuk membantu mereka yang memerlukan sudah keterlaluan," tulisnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Kargo wang tunai RM87.2b tersadai
7 1 Google +0 0 0
Dubai: Sebuah kargo mengandungi wang tunai bernilai kira-kira AS$27 bilion (RM87.2 bilion) tersadai di Lapangan Terbang Moscow kerana tidak dituntut sejak lebih lima tahun lalu.
Daily Mail melaporkan dakwaan ia mungkin harta milik diktator Iraq Saddam Hussein atau pemimpin Libya Muammar Gaddafi.
Kini dikawal ketat di sebuah gudang, wang tunai itu disimpan dalam 200 kotak kayu dengan setiap satunya berjumlah hampir $135 juta (RM436 juta).
Kastam Russia sudah meminta pemilik sah tampil menuntut harta milik mereka. Walaupun terdapat pelbagai individu palsu yang tampil, setakat ini pihak berkuasa belum bertemu lagi pemilik sah wang tunai itu yang membolehkan pemiliknya menjadi lebih kaya berbanding Roman Abramovich, antara bilionair Russia.
Wang tunai itu diterbangkan ke Lapangan Terbang Sheremetyevo, Moscow dari Frankfurt pada 7 Ogos 2007. Yang peliknya, ia tiba di lapangan terbang itu tanpa menyatakan nama penerimanya dan sejak itu ia dibekukan.
Sementara itu, terdapat khabar angin mengatakan wang itu milik mafia Russia atau milik pegawai kerajaan yang terbabit rasuah tetapi bahaya untuk sesiapa pun menuntutnya kerana jumlahnya yang amat banyak. Satu laporan Sabtu lalu mengatakan wang tunai berkenaan ditujukan kepada yayasan "The World of Kind People," yang mempunyai ibu pejabat di Ukraine. Anehnya, ia tidak dihantar ke negara itu, sebaliknya dikirimkan ke Russia.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Lelaki maut diurut tujuh wanita
6 0 Google +0 0 1
Al-Ain: Tujuh wanita Bangladesh berdepan tuduhan membunuh seorang lelaki senegara mereka selepas mencekik mangsa ketika berpura-pura mengurutnya.
Menurut sumber, tujuh wanita terbabit mengaku melakukan jenayah itu, tetapi berkata, mereka bertindak demikian selepas mangsa merampas pasport dan memaksa mereka menjadi pelacur.
Tertuduh memberitahu pendakwa raya, lelaki terbabit yang juga pemandu peribadi membawa mereka dari Ajman ke Al-Ain dengan janji untuk mendapatkan pekerjaan. Bagaimanapun, selepas tiba di bandar oasis itu, dia merampas pasport dan mengurung tertuduh selain memaksa mereka menjadi pelacur. "Seorang daripada wanita terbabit berpura-pura menawar untuk mengurut mangsa dan apabila dia bersetuju, enam wanita yang lain masuk ke dalam bilik berkenaan dan mencekik mangsa dengan sehelai kain hingga mati," lapor sumber berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
Bina universiti khusus hal ehwal haji, umrah
Makkah: Gabenor Makkah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Haji Pusat, Putera Khaled Al-Faisal menggesa dibina sebuah universiti khusus untuk mengajar mengenai hal ehwal pengajian haji dan umrah.
"Universiti seumpamanya dapat memikul tanggungjawab penyelidikan, kajian, latihan dan pemerkasaan berkaitan dengan haji dan umrah," katanya kepada wartawan. kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di kompleks baru jabatan kerajaan di Muzdalifah semalam. Di samping itu, Khaled menyarankan agar Penjaga Institut Penyelidikan Haji dan Institut Dua Masjid Suci dapat berfungsi sebagai permulaan universiti seumpamanya. Dia berharap Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengkaji usul berkenaan dan melaksanakannya.
Khaled turut melakukan kunjungan pemeriksaan di kawasan tanah suci dan meninjau perkembangan projek yang dilaksanakan. Dia memeriksa fasa akhir projek yang menghubungkan kawasan Aziziyah dengan fasa kedua Jambatan Jamrah. - Saudi Gazette
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment