Tuesday, November 5, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 061113 bersamaan 2 Muharram 1435H

 

 

Tasik Ringlet makin mendap

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 6, 2013

CAMERON HIGHLANDS - Banjir lumpur di Lembah Bertam, yang mengorbankan empat nyawa pada 23 Oktober lalu, sewajarnya membuka mata ramai pihak terutama penduduk setempat bahawa Tasik Ringlet sudah semakin 'tenat'.

Tasik buatan manusia ini, yang menakung air bagi menjana elektrik di Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar, sebenarnya sudah tidak lagi dapat menampung kapasiti seperti ia mula beroperasi 50 tahun lalu.

Kelodak, pasir dan sampah sarap yang dibawa dari hulu sungai juga membuatkan tasik seluas 0.5 kilometer persegi ini hilang sebahagian fungsi keduanya, iaitu menebat banjir.

Dalam kejadian 1 pagi itu, banjir lumpur melanda Lembah Bertam, Ringlet, apabila air sungai melimpah susulan pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar. Akibat insiden itu, empat maut, termasuk seorang yang menin ggal dunia kerana serangan jantung. Ia turut memusnahkan 80 kediaman dan kira-kira 100 kenderaan.
   
Air keruh, berkeladak 

Tinjauan dari udara di kawasan itu mendapati air tasik dan sungai-sungai yang mengalir ke dalamnya keruh berwarna seperti teh tarik, tanda ia penuh lumpur dan kelodak.

Selain itu, lereng-lereng bukit di sekeliling kawasan yang teruk dilanda banjir lumpur dua minggu lalu kebanyakannya ditarah secara agresif untuk pembangunan.

Di hulu sungai, kelihatan kebun-kebun sayur dan tanaman lain serta pembukaan tanah giat berjalan, sebahagiannya kelihatan tidak terkawal.

Dari udara juga kelihatan beberapa buah jentera di tepi sungai untuk mengeluarkan kelodak, pasir dan sampah manakala bot-bot kecil membersihkan permukaan tasik daripada sampah sarap.

Hakikatnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB), membelanjakan lebih RM180 juta sejak lima tahun lalu untuk membersihkan Tasik Ringlet dan Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar.

Kira-kira 350,000 meter padu keladak dikeluarkan dari Tasik Ringlet setiap tahun. Namun, usaha itu tidak mampu mengatasi jumlah pengumpulan mendapan di tasik berkenaan yang dianggarkan 500,000 meter padu setahun.

Sejumlah RM300,000 lagi dibelanjakan setiap tahun untuk membersihkan permukaan dan dasar tasik daripada sampah sarap yang mencecah 200 metrik tan setahun.

Sambil menelusuri kawasan tasik dan empangan itu, Bernama diberitahu bahawa dua pertiga daripada Tasik Ringlet mengandungi mendapan dan ini bermakna hampir 27 meter kedalaman tasik itu dipenuhi dengan kelodak dan pasir serta sampah sarap yang separa timbul.

Mendapan dan Sampah sarap

Menerima aliran air dari empat batang sungai iaitu Sungai Ringlet, Bertam, Habu dan Tenom, Tasik Ringlet dianggarkan berkapasiti takungan 4.6 juta meter padu air.

Namun kini tidak lebih daripada 9.0 meter sahaja ketinggiannya yang berair, bermakna kapasiti tasik itu berkurangan sehingga ke paras hampir 2.0 juta meter padu.

Penerokaan tanah untuk pembangunan dan pertanian yang giat dijalankan di Cameron Highlands terutama di lereng-lereng curam dan bukit, menyebabkan hakisan dan ini memburukkan lagi keadaan, menjadikan masalah mendapan di Tasik Ringlet semakin kritikal.

Jika dikumpulkan jumlah mendapan ini, saiznya boleh dianggarkan seluas sembilan padang bola dengan ketinggian hampir 6.0 meter bersamaan dengan kira-kira 500,000 meter padu pengumpulan mendapan kelodak setahun.
   
Risiko banjir

Pengurus Besar Stesen-stesen Janaelektrik Cameron Highlands, Bahagian Penjanaan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mustafa Hashim berkata: "Apabila hujan turun dengan lebat, risiko limpahan air sungai dan empangan boleh berlaku pada bila-bila masa. Hujan lebat berpanjangan dan mendapan kelodak, pasir serta sampah sarap menambahkan risiko.

"Ketika banjir baru-baru ini, keadaan diburukkan lagi oleh alur masuk terowong bawah tanah ke unit penjanaan yang tersumbat," jelas Mustafa, yang sebelum ini bertugas di Empangan Kenyir, Terengganu.

Pada hari kejadian, paras air tasik naik dengan drastik iaitu 1.96 kaki (kira-kira 0.6 meter) sejam, dan ia adalah 13 kali ganda berbanding musim tengkujuh sebelum ini.

Akibatnya, air empangan tasik terpaksa dilepaskan secara manual melalui satu pintu alur limpah bagi mengelakkan kejadian buruk sekiranya air dilepaskan secara automatik menerusi empat pintu alur limpah.
   
Skim hidroelektrik

Skim Hidroelektrik Cameron Highlands, yang mula beroperasi pada 1959, terdiri daripada dua skim yang bercantum menjadi satu iaitu skim hidroelektrik Cameron Highlands di Pahang dan skim hidroelektrik di Batang Padang, Perak.

Menggunakan jenis sistem 'run-of-the-river', skim ini mendapat punca air dari alur masuk sepanjang sungai dan kawasan tadahan di Cameron Highlands dan Batang Padang.

Sungai-sungai utama di sepanjang skim hidroelektrik Cameron Highlands ini iaitu sungai - Pla'aur, Telom, Terla, Ikan, Kodol, Kial, Bertam,  Ulu Merlah, Habu, Kilat, Ulong dan Ringlet.

Air daripada Sungai Ringlet, Bertam, Habu dan Tenom akan memenuhi Tasik Ringlet melalui terowong bawah tanah sepanjang 11.0 kilometer, memasuki alur masuk Bertam untuk disalurkan ke stesen janaelektrik Sultan Yussuf di Batu 19 Cameron Highlands.

Air berkenaan disalurkan ke Empangan Jor sebelum mengalir melalui terowong bawah tanah Menglang sejauh 14.5 kilometer sehingga ke stesen jana eletrik Sultan Idris II. Stesen terakhir ialah di stesen janaelektrik Odak di Batu 7, Cameron Highlands.

Awas! wang RM100 palsu

Oleh: SYAMILAH ZULKIFLI

Tarikh: November 6, 2013

SEREMBAN – Seorang pemilik kedai kasut di Taman Seremban Jaya Fasa 9 di sini, kecewa apabila mendapati not RM100 yang diterimanya daripada seorang pelanggan merupakan wang palsu.

Madam Loh, 42, berkata, wang berkenaan diterima Jumaat lalu, dan hanya disedari oleh anaknya ketika mengira hasil jualan pada hari sama, sebaik saja kedainya ditutup.

Menurut Loh, wang tersebut diterima daripada seorang pelanggan lelaki yang sebelum itu membeli sepasang kasut di kedainya.

Menurutnya, lelaki itu keluar selepas membuat pembayaran, namun berpatah balik untuk membuat tukaran sekeping wang RM100.

"Dia memberi alasan mahu menukar wang berkenaan kepada dua keping RM50 untuk memudahkannya memberi angpau kepada ahli keluarga sempena Deepavali keesokan harinya.

"Ketika itu, kedai saya ramai pelanggan dan tanpa mengesyaki apa-apa saya memberi dua keping RM50 untuk ditukar dengan RM100 diberinya," katanya.

Menurutnya, seperti kebiasaan, setiap hari wang hasil jualan akan dikira untuk rekod perniagaannya sebelum dimasukkan ke dalam bank.

"Ketika anak saya sedang mengira wang, tiba-tiba dia memanggil saya dan memberitahu terdapat sekeping RM100 yang kertas dan warnanya mencurigakan.

"Saya memerika wang tersebut dan terkejut apabila mendapati ia sebenarnya wang palsu," katanya.

Loh berkata, kejadian seumpama itu kali pertama berlaku terhadapnya dan dia menasihatkan orang ramai terutama peniaga berhati-hati ketika menerima not RM100 dengan memeriksa terlebih dahulu sebelum mengambilnya.

Sementara itu Pengerusi Gerakan negeri, David Choong Vee Hing ketika hadir ke kedai mangsa berkata, kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku di kawasan itu.

Menurutnya, pihaknya sudah menerima beberapa aduan daripada peniaga yang turut mengalami nasib sama.

"Saya dapati individu tidak bertanggungjawab ini sengaja membuat tukaran wang palsu bagi mendapatkan wang sebenar.

"Mereka bertindak licik apabila hanya pergi ke kedai yang agak sibuk dengan pelanggan bagi mengelakkan dikesan," katanya.

Beliau turut menasihatkan peniaga menyediakan mesin pengimbas wang palsu di kedai masing-masing agar kejadian sama tidak berulang.

Jumpa cicak dalam kek kahwin

Oleh: Siti Zubaidah Zakaraya

Tarikh: November 6, 2013

TIKAM BATU - Sebuah keluarga yang baru sahaja selesai menganjurkan majlis perkahwinan anak kelima Sabtu lalu, terkejut apabila mendapati kek perkahwinan dua tingkat yang hanya tinggal separuh selepas habis dimakan mengandungi seekor cicak.

Siti Hajar Rohani, 30, berkata, acara memotong kek perkahwinan dua tingkat berperisa coklat itu hanya dimulakan sekitar jam 4 petang sebelum diedarkan kepada seluruh ahli keluarga.

Menurutnya, kek itu hanya tinggal separuh bahagian tingkat bawah sahaja sementara bahagian tingkat atas sudah habis dimakan selepas selesai majlis yang diadakan di Kampung Belantik, Sik itu.

"Saya kemudian mengambil potongan kek berkenaan untuk dimakan sambil menonton televisyen kira-kira jam 9 malam, sementara ahli keluarga lain kebanyakan sudah menjamahnya dan masing-masing mengakui kesedapan kek berkenaan yang hanya dibeli tidak jauh dari rumah kenduri.

"Selesai dua kali suapan ke dalam mulut, saya berasakan ada bendasing keras dalam kek berkenaan dan mengesyaki terdapat plastik di dalamnya," katanya ketika ditemui di rumah ibunya dekat Tikam Batu semalam.

Menurut Siti Hajar, selepas tergigit sesuatu yang 'pelik' dia bertanyakan kepada suami, Mohd Suffian Mohd Salleh, 37, yang berada bersebelahan.

"Saya keluarkan bendasing hitam itu dan menunjukkan kepada suami.

"Alangkah terkejutnya apabila masing-masing mengesahkan ia sebenarnya seekor cicak, di mana saya sudah tergigit bahagian lehernya," katanya.

Siti Hajar berkata, sejak kejadian itu, dia menjadi fobia melihat kek dan menyebabkan tekaknya berasa loya.

Katanya, susulan penemuan bendasing berkenaan, adik bongsu yang berusia tujuh tahun mengalami muntah-muntah empat jam kemudian kerana didakwa paling banyak makan kek berkenaan.

Sementara itu, Mohd Suffian berkata, selepas mengetahui kek mengandungi cicak, ahli keluarga ada menghubungi pemilik kedai berusia 30an untuk memaklumkan perkara itu.

"Dia kata akan beri wang semula sebagai ganti rugi dan kami membuat keputusan membawa sisa kek bersama cicak ke kedainya bagi mengesahkan dakwaan berkenaan.

"Setelah berjumpa keesokan hari, pemilik seolah-olah menafikan punca kejadian datang daripadanya, selain bertanya sekiranya kami cuai atau salah letak sehingga menyebabkan seekor cicak masuk ke dalamnya.

"Dia kemudian mahu memberi kek baru sebagai ganti kek yang lama namun kami tidak menerimanya selepas masing-masing tiada selera dan fobia untuk itu," katanya.

Mohd Suffian berkata, pendedahan dibuat agar orang ramai lebih berhati-hati di samping memberi kesedaran kepada pengusaha supaya menitik beratkan aspek kebersihan setiap kali mahu menyediakan sebarang produk.

"Kami juga mengharapkan pemantauan daripada pihak berkaitan dari segi penguatkuasaan bagi memastikan kualiti produk yang dihasilkan memuaskan pelanggan dan standard yang ditetapkan kerajaan," katanya.

 

Media dihalang buat liputan di HSNZ

Oleh:

Tarikh: November 5, 2013

KUALA TERENGGANU - Sekumpulan wartawan dan jurugambar yang membuat liputan ketua polis Terengganu melawat mangsa kes curi kenderaan dan kemalangan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, dihalang daripada memasuki kawasan wad hospital itu.
   
Pertengkaran kecil tercetus antara pihak media dan pengawal keselamatan hospital itu apabila media dilarang memasuki dan merakam gambar wanita yang cedera dalam kejadian itu dan dirawat di wad HSNZ.
   
Pihak media diminta ke hospital itu kira-kira jam 1 petang apabila Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa memaklumkan ingin mengadakan sidang akhbar khas berhubung kes itu selepas beliau melawat mangsa kejadian terbabit.
   
Bagaimanapun ketika wartawan dan jurugambar menunggu kehadiran Jamshah mereka dimaklumkan tidak boleh memasuki dan merakam gambar bayi yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) HSNZ.
   
Siti Jamilah Hanim dari RTM Terengganu, 29, berkata mereka memang maklum mengenai peraturan ketika berada di hospital dan sememangnya tidak boleh merakam gambar mangsa di wad ICU.

Namun ketika Jamshah melawat ibu bayi itu yang dirawat di wad biasa, pihak media sekali lagi dihalang daripada memasuki wad berkenaan untuk membuat liputan walaupun mengikuti rombongan ketua polis Terengganu.
   
"Kami faham prosedur ketika membuat liputan di hospital dan kami hormati arahan itu namun apabila di wad biasa pun kami turut dihalang masuk ke wad berkenaan, bagaimana kami nak buat kerja?" kata Siti Jamilah di sini hari ini.
   
Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, seorang remaja berusia 17 tahun melarikan dua kenderaan dan sebuah daripadanya terlibat dalam kemalangan menyebabkan pasangan suami isteri cedera dan anak mereka berusia sembilan bulan koma.
   
Lew I-Ling, 31, dari akhbar Sin Chew Jit Poh berkata mereka agak terkilan dengan kejadian itu.
   
"Sebelum ini jika VVIP (orang kenamaan) datang melawat dan meminta kami membuat liputan masalah seperti ini tidak timbul sebegini teruk tetapi kenapa kali ini kami langsung tidak dibenarkan masuk," katanya.
   
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri Dr Mohamad Omar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu kerana menurutnya beliau belum menerima laporan mengenai perkara itu. - Bernama

10 pasangan nikah sempena Maal Hijrah

Oleh:

Tarikh: November 5, 2013

KUALA LUMPUR - Sempena keberkatan sambutan Maal Hijrah 1435 Hijrah hari ini, sebanyak 10 pasangan di sekitar Gombak melangsungkan pernikahan secara beramai-ramai untuk berhijrah ke status baharu bergelar sebagai suami isteri.
   
Kesemua pasangan pengantin yang berusia lingkungan 20-an itu dinikahkan oleh lima jurunikah bertauliah dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak dekat sini dalam program anjuran masjid berkenaan.
   
Berikutan cuti umum sempena Maal Hijrah, kira-kira 1,000 orang tetamu termasuk anggota keluarga pasangan pengantin hadir untuk menyaksikan majlis pernikahan itu di Masjid Al-Khariyah, yang bermula 10.30 pagi.
   
Kerani syarikat swasta Muhamad Syafiq Fazly Mohd Sabri, 21, berkata beliau dan pasangannya Dayang Fauziah Japar, 29, yang juga kerani memilih melangsungkan pernikahan pada sambutan Maal Hijrah kerana ia simbolik penghijrahan kepada kehidupan baharu.
   
"Dahulunya bujang, sekarang sudah bergelar suami. Pernikahan ini adalah satu penghijrahan dalam hidup kerana sekarang saya sudah punya komitmen.

"Adalah penting buat saya untuk mengubah sikap ke arah lebih baik dan bertanggungjawab supaya saya dan isteri akan dapat mengekalkan hubungan perkahwinan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pernikahan itu.
   
Pelayan Muhammad Ajmal Mohd Sabri, 20, dan pasangannya Rusediana Atiqah Izzati Ahmad Saifuddin, 20, yang masih menuntut di Mahsa College menganggap majlis pernikahan mereka cukup bermakna kerana ia adalah permulaan untuk mereka menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri.
   
"Kami sudah lama berkawan. Adalah lebih baik kami menghalalkan perhubungan melalui perkahwinan. Bagi saya, ini juga adalah satu penghijrahan buat kami untuk lebih matang dan bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan sebagai suami isteri," katanya.
   
Sementara itu, Nazir Masjid Al-Khairiyah Ir Mohd Rozi Salleh berkata pihaknya menganjurkan majlis itu pada sambutan Maal Hijrah kerana melihat ia adalah tahun baharu Islam dan merupakan antara bulan mulia yang mempunyai hikmah tersendiri.
   
"Justeru, dengan tarikh 1 Muharam ini, ia menjadi satu penghijrahan kepada pasangan belia remaja kita ini daripada kehidupan mereka sebelumnya kepada satu kehidupan lebih baik iaitu menjadi ketua keluarga dan ibu kepada anak-anak yang dilahirkan nanti," katanya.
   
Beliau berkata masjid itu membelanjakan RM10,000 untuk kos makanan, pelamin, khemah dan cenderahati tetamu. - Bernama

 

 

 

Ribut: 23 bumbung rumah di Kampung Manjoi rosak

OLEH:

Tarikh: November 5, 2013

IPOH - Sebanyak 23 bumbung rumah di Kampung Manjoi di sini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut lewat petang semalam.
   
Anggota Dewan Undangan Negeri Manjoi Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin berkata kejadian pada pukul 6.45 petang itu mengakibatkan beberapa bumbung rumah ranap manakala yang lain mengalami sedikit kerosakan akibat kejadian itu.
   
Bumbung rosak membabitkan 13 buah rumah di Jalan Juara, Jalan Pemimpin (empat buah), Jalan Menteri (empat), Jalan Perwira (1) dan Jalan Pegawai (1), katanya.
   
Katanya kejadian itu dimaklumkan oleh seorang jemaah pada satu program yang berlangsung di sebuah surau di Kampung Manjoi semalam, katanya.
   
Beliau berkata empat keluarga yang tinggal di rumah sewa di Jalan Pemimpin dipindahkan ke pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Manjoi hari ini.

"Mereka tinggal di pusat pemindahan sehingga bumbung rumah mereka siap dibaiki dan sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diberikan," katanya.
   
Ziad berkata anggota Gerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno kawasan Tambun digerakkan ke tempat kejadian untuk membantu mangsa membersihkan rumah mereka, petang ini.
   
"Buat sementara ini bumbung rumah mangsa diganti dengan plastik tebal kerana kita mempunyai kekangan untuk mendapatkan bumbung baru berikutan hari ini merupakan cuti umum, namun pengedar berjanji untuk memberi bumbung baru itu esok," katanya. - Bernama

Remaja larikan dua kereta, 2 cedera, bayi koma

OLEH:

Tarikh: November 5, 2013

KUALA TERENGGANU - Dua keluarga melalui detik cemas apabila seorang remaja lelaki melarikan dua kereta bersama anggota keluarga mereka dalam dua kejadian di Dungun semalam.
  
Kejadian yang bermula kira-kira 5 petang di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Pantai Timur di Bukit Besi-Ajil itu menyebabkan Abdul Pirhat Karim, 34, dan Che Mastura Che Awang, 31, cedera manakala anak mereka Muhammad Ashraf Ikhwan yang berusia sembilan bulan koma.
   
Bayi itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, manakala Che Mastura yang patah tulang rusuk juga dirawat di hospital sama.
   
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata, kejadian bermula apabila remaja berusia 17 tahun itu melarikan sebuah kereta Nissan Grand Livina yang berhenti di kawasan R&R itu bersama sepasang suami isteri dan bayi mereka di dalam kenderaan itu.
   
"Kenderaan itu berhenti di kawasan berkenaan dan pemandu kereta itu bersama isteri, kedua-duanya anggota polis dari Brickfields, ke tandas meninggalkan abang dan kakak ipar mereka bersama bayi itu di dalam kereta.

"Keluarga itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarah keluarga di Tumpat, Kelantan," katanya kepada pemberita selepas melawat bayi itu hari ini.
   
Beliau berkata, ketika remaja terbabit memandu kereta itu menghala ke Dungun, berlaku pergelutan antara remaja itu dan Abdul Pirhat menyebabkan kereta itu hilang kawalan dan merempuh sebuah Proton Waja dan sebuah lori tanah dari arah yang sama.
   
Rempuhan itu menyebabkan penumpang kereta berkenaan dan bayi mereka tercampak keluar daripada kenderaan itu, katanya sambil memberitahu yang remaja terbabit sebelum itu cuba melarikan sebuah Proton Persona di R&R yang sama tetapi gagal.
   
Jamshah berkata, selepas kemalangan di Km88 Jalan Jerangau-Jabor itu, remaja terbabit menahan kereta Perodua Myvi yang dinaiki sebuah keluarga dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu dan berpura-pura meminta pertolongan.
  
"Apabila wanita berusia 18 tahun yang memandu kereta itu dan ayahnya berusia 55 tahun keluar daripada kereta, remaja terbabit dengan pantas masuk ke dalam
kereta dan melarikan kereta itu bersama ibu, adik dan dua anak saudara wanita itu," katanya.   

Beliau berkata, pemandu dan dua penumpang kereta Proton Waja serta pemandu lori yang dirempuh remaja itu tidak cedera.
   
Drama dua jam itu berakhir apabila polis, yang melancarkan gerakan memburu remaja terbabit berjaya menahannya bersama kereta Myvi yang dilarikan dengan empat penumpang di dalamnya dalam sekatan jalan raya di Batu Rakit dekat sini, kira-kira 7 malam.
   
Jamshah berkata, siasatan awal polis mendapati remaja lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian air kencing juga mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.
   
Remaja yang telah berhenti sekolah semasa dalam tingkatan dua itu berasal dari Kemaman, katanya sambil memberitahu bahawa suspek dipercayai bukan mahu merompak, sebaliknya hanya melarikan kenderaan.
   
Beliau berkata, polis masih menyiasat latar belakang suspek dan remaja yang dipercayai mengalami masalah mental itu akan dirujuk kepada pakar perubatan. - Bernama

Hina ALLAH, Nabi: MJMM buat laporan polis

OLEH:

Tarikh: November 5, 2013

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pemilik akaun laman sosial Facebook (FB) yang didakwa menghina ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW.
  
Pengerusinya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, laporan itu dibuat terhadap pemilik akaun yang dikenali sebagai Adlin Abd Jalil di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 10 pagi ini.
   
"Saya meminta pihak polis, pihak berkuasa sama ada Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia melihat perkara ini dan mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap individu itu.
   
"Kerajaan perlu ambil tindakan tegas terhadap individu itu kerana kenyataannya dalam laman sosial FB itu mengundang kemarahan seluruh umat Islam," katanya selepas membuat laporan itu bersama-sama 21 anggota MJMM.
   
Pemilik akaun itu memaparkan gambar babi panggang dengan tertera nama ALLAH dan Muhammad serta logo halal JAKIM pada 3 September lepas.  - Bernama

Polis tahan dalang sindiket palsu pas kerja

OLEH:

Tarikh: November 5, 2013

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Johor menahan seorang lelaki warganegara India berusia 44 tahun yang disyaki dalang sindiket pemalsuan pas lawatan kerja sementara di sebuah premis di Taman Sri Puteri, Skudai di sini hari ini.
   
Dalam serbuan pada 2.30 pagi selepas intipan sebulan itu, jabatan tersebut turut menahan 42 warganegara India dan seorang warganegara Nepal yang sedang menunggu pas palsu disiapkan.
   
Ketua Penyelaras Ops Bersepadu 6P Masri Adul berkata siasatan awal mendapati sindiket itu telah beroperasi hampir setahun dengan premis itu dijadikan tempat transit pekerja asing yang mendapatkan pas itu dengan bayaran RM8,400 seorang.
   
"Modus operandi yang digunakan mereka mudah, ejen akan membawa pekerja dari India dengan menggunakan pas lawatan sosial dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
   
"Mereka bergerak ke Johor dengan menaiki bas pada waktu yang ditetapkan ejen mereka, ia bagi mengelak pihak berkuasa dan tinggal di tempat transit selama seminggu untuk mendapat pas palsu sebelum dihantar ke kilang-kilang atau premis yang memerlukan pekerja asing," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Masri berkata siasatan awal juga mendapati ada pihak majikan bekerjasama dengan ejen untuk mendapatkan bekalan pekerja asing tanpa melalui Jabatan Imigresen bagi menjimatkan kos tanpa perlu membayar levi dan pemeriksaan kesihatan.
   
Pihak jabatan akan membuat siasatan terhadap kilang yang dipercayai bekerjasama dengan ejen terbabit, katanya.
   
Masri berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas 81 pasport, dakwat, komputer, mesin pencetak dan sebuah kereta yang digunakan sindiket itu.
   
Kesemua yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah akan dihantar ke depoh tahanan di Pekan Nanas, Pontian untuk siasatan, katanya. - Bernama

17 pak guard diberkas

OLEH: AHMAD ISMADI ISMAIL

Tarikh: November 5, 2013

SHAH ALAM - Seramai 17 pengawal keselamatan warga asing diberkas dalam dua operasi, di sini, semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Putrajaya, Mohd Izzat Mohd Jamil berkata, operasi bermula pada jam 10.30 pagi itu bertumpu di dua pusat membeli belah.

"Seramai sembilan warga Nepal yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan ditahan untuk siasatan. Turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan yang dipercayai cuba melindungi warga asing itu," katanya.

 Katanya, operasi bersama Jabatan Pendaftaran Negara itu adalah hasil maklumat dan risikan yang dijalankan beberapa hari sebelum serbuan dilakukan.

"Dalam serbuan kedua pula, kita menahan lapan warga Nepal. Mereka juga gagal mengemukakan dokumen perjalanan. Kita turut menahan penyelia pengawal keselamatan untuk membantu siasatan," katanya.

Kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 40 tahun dan dihantar ke Depoh Tahanan Jabatan Imigresen Putrajaya untuk siasatan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 56 (1)(d).

Tahu rakan mati selepas baca Sinar Harian

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 5, 2013

SHAH ALAM - Telahan seorang lelaki Bangladesh  yang sangsi selepas membaca berita penemuan mayat di Seksyen 24 yang disiarkan akhbar ini 1 November lalu ada kena mengena dengan kehilangan rakannya,terjawab apabila pengecaman mayat di hospital mengesahkan lelaki itu adalah mayat rakannya yang hilang sejak 23 Oktober lalu, dipercayai diculik.

Sumber polis memaklumkan rakan mangsa pernah membuat laporan polis pada 24 Oktober lalu memaklumkan bahawa rakannya dilarikan oleh sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta di tepi Jalan Persiaran USJ 25 menghala ke Klang kira-kira jam 6.30 petang.

"Rakan mangsa terbaca di  Sinar Harian kelmarin dan  terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk memaklumkan kehilangan rakan mereka.

"Setelah itu, mereka semua dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk pengecaman dan mereka mengesahkan bahawa lelaki terbabit adalah rakan mereka  yang dikenali sebagai Anwar berusia 34 tahun" katanya.

Menurut sumber, hasil bedah siasat mendapati mangsa dibunuh dengan cara  mulut dan hidungnya ditutup oleh suspek sebelum mayatnya dicampak ke dalam sungai.

Katanya, mayat lelaki itu sudah berada di dalam air antara tempoh tiga atau empat hari.

Maut dilanggar: 'Saya tiada kaitan'

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 5, 2013

PUCHONG – "Bukan saya yang langgar budak itu sehingga mati," kata pesara tentera, Fan Ah Chye, 68, sekali gus menafikan kes kemalangan menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan maut di Bandar Kinrara 5 pada 22 Oktober lalu membabitkan dirinya.

Salah faham timbul apabila beberapa akhbar berbahasa Cina memaparkan gambar depan rumahnya dan melaporkan pemilik rumah adalah individu yang melanggar.

Ah Chye berkata, ketika kejadian kemalangan, dia tiada di rumah dan bercuti di Genting Highlands.

Dia langsung tidak tahu menahu kes kemalangan itu sehinggalah diberitahu seorang rakan gambar depan rumahnya terpapar di akhbar.

Sejak gambar itu tersebar luas, dia mendakwa hidupnya tidak tenteram. Lebih malang lagi, apabila ada beberapa jiran di kawasan perumahan berhampiran bertanya sama ada benar dia yang melanggar kanak-kanak itu sehingga mati.

"Mereka yang melalui depan rumah akan pandang semacam seolah-olah saya pesalah, hingga kini saya memang rasa tidak aman," katanya.

Ah Chye mendakwa laporan akhbar yang menyebut kereta jenis Honda Civic adalah kenderaan terbabit dengan kemalangan menambahkan lagi prasangka orang ramai kepadanya yang turut miliki kenderaan serupa.

"Kereta itu saya tutup dengan kain untuk elak panahan matahari, memang sebelum tarikh kejadian lagi saya sudah menutupnya tetapi ramai orang menyangka saya mahu menutup kereta itu kerana sudah melanggar mangsa," katanya.

Dia yang tinggal di rumah berkenaan bersama isteri, Yeoh Guat Cheng, 70, dan seorang pembantu rumah meminta pihak akhbar berkenaan membuat permohonan maaf,.

Sementara itu, Adun Kinrara, Ng Sze Han, memohon orang ramai tidak menyalahtafsirkan Ah Chye kerana pesara tentera itu langsung tidak terlibat dengan kejadian.

Pengawal keselamatan maut, anak saudara parah

OLEH:

Tarikh: November 5, 2013

KUALA TERENGGANU - Seorang pengawal keselamatan maut manakala anak saudaranya parah selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta yang terbabas dari arah bertentangan di Km6, Jalan Dungun-Bukit Besi di Dungun hari ini.
   
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, Che Wan Manan Che Wan Awang, 57, yang bertugas di Bank CIMB Dungun maut di tempat kejadian.
   
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacob berkata anak saudara Che Wan Manan, Muhamad Riduan Mat Lazim, 10, patah tangan dan paha kiri kini dirawat di Hospital Dungun.
   
Isteri mangsa Mek Ngah Taha, 53, dan pemandu sebuah lagi kereta Mohd Shahiran Aurika Hamdi, 22, isterinya Nor Fatin Farahanim Azami, 17, dan anak mereka Mohamad Wildan Ikhwan, 11 bulan, hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama, katanya ketika dihubungi Bernama. - Bernama

Melaka naik elaun bilal, noja dan pengurus jenazah

OLEH:

Tarikh: November 5, 2013

MELAKA - Elaun bilal, noja dan pengurus jenazah wanita di negeri Melaka akan dinaikkan bermula awal tahun depan.
   
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron ketika mengumumkan perkara itu berkata ia membabitkan 181 masjid kariah di seluruh negeri.
   
Beliau berkata elaun bilal akan dinaikkan daripada RM290 kepada RM310; elaun noja daripada RM280 kepada RM300 dan elaun pengurus jenazah wanita daripada RM160 kepada RM200.
   
"Dengan kenaikan ini, diharap akan memberi keselesaan kepada para bilal, noja dan pengurus jenazah untuk bertugas dengan lebih semangat di samping mengiktiraf pengorbanan mereka," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maal Hijrah 1435 peringkat Melaka dirasmikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.
   
Pada majlis itu, Mohd Khalil turut melancarkan kad perakuan nikah baharu menggunakan teknologi kod "Quick Response" (QR).
 
Idris berkata Melaka merupakan negeri pertama di negara ini menggunakan teknologi kod QR pada kad perakuan nikah.
   
Beliau berkata melalui teknologi itu, pihak berkuasa boleh mengesan ketulenan dan kesahihan kad perakuan nikah dalam tempoh masa yang cepat menggunakan telefon pintar.
   
Katanya ia merupakan komitmen kerajaan negeri untuk mempertingkat perkhidmatan berkaitan keagamaan khususnya pengurusan nikah, cerai dan rujuk.
   
"Kesemua ini merupakan satu proses penghijrahan cara berfikir dan bertindak untuk memberikan perkhidmatan yang cekap, cepat, terbaik dan mesra rakyat," katanya.
   
Kad perakuan nikah berkenaan bersaiz kecil, tidak mudah patah atau dipalsukan serta mengandungi hologram. - Bernama

Misi ketiga tawan Everest

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 5, 2013

KLUANG - Persatuan Kembara Negara merancang meneruskan misi persatuan untuk menawan semula puncak Gunung Everest buat kali ketiga pada 2015.

Presidennya, Datuk Khalid Yunus berkata, pihaknya mahu mengulangi kejayaan mendaki puncak tertinggi dunia itu pada 2011 menerusi ekspedisi 'Misi Perdana de' Everest Tibet 2011'.

Menurutnya, kegagalannya pada ekspedisi Merdeka De' Everest 2007, tidak mematahkan semangatnya untuk cuba mendaki dan perancangan ekspedisi ke puncak Everest akan dilaksanakan setiap empat tahun sekali.

Jelasnya, persatuan sememangnya mempunyai perancangan dan akan adakan satu lagi pendakian pada 2015, sama ada pendakian itu jadi ataupun tidak, ia bergantung kepada faktor kewangan.

"Sekiranya tiada sebarang halangan, persatuan akan mainkan peranan utama dalam menjayakan ekspedisi ini. Itu adalah misi persatuan kita pada ekspedisi kali ini dan saya juga akan libatkan diri untuk mendaki.

"Berjaya atau tidak sampai ke puncak ia bergantung kepada diri dan tahap kesihatan saya. Bagaimanapun, masa masih panjang untuk membuat segala persediaan mendaki gunung Everest," katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Aku, Kamu dan Troposposfera di Dewan
Jemerlang, di sini, malam kelmarin.

Khalid berkata, beliau reda dengan kegagalannya untuk menawan puncak Gunung Everest pada 2007, dan hanya berjaya sampai pada ketinggian 7,200 meter sebelum dinasihatkan doktor supaya tidak meneruskan pendakian demi keselamatan dirinya.

Menceritakan pengalamannya, beliau memberitahu mengalami masalah 'mabuk gunung ketika perjalanan dari Kem 3 ke kem 4 pada paras ketinggian 7,200 meter dari aras laut ketika ekspedisi berkenaan.

"Pendakian 2007 melakar sejarah tanah air dan saya akan pastikan sejarah itu bakal berulang pada 2015.

"Pada ekspedisi yang akan datang ini saya akan merancang untuk membawa lebih ramai pendaki wanita untuk tawan puncak tertinggi itu," katanya.

Mendidik, bukan mahu menghukum

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 5, 2013

OPERASI penguatkuasaan Bahagian Perlesenan, Jabatan Pelancongan Johor mengeluarkan 40 notis pemeriksaan terhadap agensi pelancongan yang melanggar syarat mengikut Akta Industri Pelancongan 1992.

Jumlah berkenaan adalah hasil operasi penguatkuasaan jabatan itu selama tiga hari bermula 1 November lalu, di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (KIK) Sultan Abu Bakar, Gelang Patah yang juga salah satu pintu masuk utama ke negara ini di selatan tanah air.

Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Johor, Mohammad Isa Abdul Halim, berkata, sepanjang operasi berkenaan sebanyak 212 bas persiaran diperiksa membabitkan 139 bas yang didaftarkan di Malaysia manakala selebihnya daripada negara jiran.

"Sempena operasi ini juga kita hanya menjalankan pemeriksaan ke atas bas persiaran sahaja dan ia tidak melibatkan bas ekspres dan bas komersial.

"Tujuan kita mengadakan operasi ini bukanlah untuk menghukum mana-mana agensi pelancongan yang tidak mematuhi syarat ditetapkan mengikut Akta terbabit, sebaliknya bersifat untuk mendidik dalam menjaga imej negara," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Dalam operasi berkenaan  kesalahan yang paling banyak dikesan mengikut perkara 6 (1)(i)(iii) Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan).

Mengikut peruntukan peraturan itu, menetapkan bahawa mana-mana bas persiaran yang membawa pelancong dan tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong adalah satu kesalahan. Bagi operasi berkenaan 27 kes berjaya dikesan.

Kesemua 27 kes itu membabitkan bas persiaran yang didaftarkan di negara ini. Jika sabit kesalahan, agensi pelancongan yang didapati bersalah boleh dikompaun minimum sebanyak RM2,000.
 
Etika pemandu pelancong

Bagi kesalahan lain yang berjaya dikesan dalam operasi berkenaan adalah mengikut Perkara 7 (2) Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan) 1992 iaitu menggunakan bahasa lain dari yang dinyatakan dalam kad pemandu pelancong semasa menjalankan tugas.

Sebanyak 2 kes dicatatkan bagi bas persiaran yang didaftarkan di negara ini manakala 10 kes berjaya dikesan bagi bas persiaran yang didaftarkan di negara jiran.

"Bahasa yang digunakan oleh pemandu pelancong mestilah bersesuaian dengan bahasa yang digunakan oleh kumpulan pelancong yang dibawa.

Sekiranya bahasa yang dicatatkan adalah bahasa Inggeris tetapi membawa pelancong contohnya dari China, ia adalah tidak sesuai," katanya.

Selain itu, pemandu pelancong yang bertugas perlu mematuhi etika berpakaian iaitu memakai baju batik, memakai kasut dan tidak dibenarkan memakai jeans.

"Dalam operasi ini terdapat agensi pelancongan yang telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Industri Pelancongan 1992 iaitu sebanyak 1 kes membabitkan bas persiaran dari negara ini yang bertindak sebagai pemandu pelancong tanpa lesen," katanya.

Katanya pihaknya mendapati berdasarkan pemeriksaan operasi penguatkuasaan mendapati bas yang memasuki negara ini melalui pintu masuk di selatan tanah air kebanyakannya menuju ke Nusajaya.

"Sekiranya agensi pelancongan yang didapati bersalah dan tidak menjelaskan kompaun yang dikenakan mereka tidak dibenarkan untuk memperbaharui lesen mereka.

"Kita juga akan mengesan kompaun yang masih tertunggak melalui Sistem Perlesenan Industri Pelancongan (SPIP) yang diperkenalkan bermula tahun 2012," katanya.

Beliau berkata, pihaknya hanya mengeluarkan lesen bagi tempoh singkat iaitu dari setahun sehingga tiga tahun sahaja, justeru agensi pelancongan yang tidak membayar kompaun tidak akan dapat memperbaharui lesen mereka.

Terpaksa galas tugas berganda

OLEH: NURUL ZAILA MOHD TAHIR

Tarikh: November 5, 2013

KUANTAN – Kematian mengejut pasangan hidup beberapa bulan lalu, membuatkan kehidupan seorang bapa Rezaman Daud, 45 berubah dalam sekelip mata dan dia kini terpaksa menggalas tanggungjawab berganda.

Jika sebelum ini, rutin hariannya sebagai peniaga kedai runcit agak ringan kerana kerja-kerja rumah diuruskan arwah isterinya, S. Norwahimah Syed Abd Wahab tetapi sekarang dia mengambil–alih tugas berkenaan dan hanya dibantu ibunya yang sudah berusia.

Rezaman berkata,  isterinya meninggal dunia pada Jun lalu selepas mengadu sakit kepala dan meninggalkan lima orang anak.

Bagaimanapun, menurutnya, kerjanya sebagai peruncit akan menjadi lebih ringan apabila dia turut menerima bantuan motosikal roda tiga menerusi program pembangunan usahawan di bawah Fama negeri Pahang.

"Sebelum ini isteri saya tidak pernah sakit teruk tetapi pada hari kejadian dia mengadu sakit kepala dan kami ke hospital serta selepas itu dia meninggal dunia begitu sahaja.

"Kalau dulu kerja saya sebagai peruncit lebih mudah tetapi sekarang banyak tanggungjawab perlu dilaksanakan sendiri termasuk menyediakan keperluan harian anak-anak.

"Saya harap, kerja saya akan lebih baik selepas ini apabila menerima bantuan motosikal roda tiga dan ia boleh digunakan untuk mengangkat barang atau memenuhi keperluan pelanggan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Fama Kuantan, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Fama Pahang, Ibrahim Mahmood.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Fama Pahang, Azman Kaman berkata, projek berkenaan dilaksanakan bagi mengurangkan masalah orang tengah dan pembantu usahawan kecil.

"Contoh seperti petani yang mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan satu beban untuk mereka menyewa lori untuk mengangkat sayuran untuk dipasarkan.

"Apabila kemudahan motosikal roda tiga disediakan, kerja mereka lebih mudah, malah pasaran juga lebih meluas.

"Konsep yang digunakan ialah bayaran dibiayai separuh, manakala selebihnya dilangsaikan secara ansuran oleh penerima iaitu minima sebanyak RM 100 sebulan.

"Bermula 2010 hingga 2013, sebanyak 35 usahawan kecil telah menerima bantuan ini dan akan diteruskan mengikut keperluan.

"Nilai jualan juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 0.9 Juta bagi tempoh Januari hingga Oktober 2013,"katanya.

Tembok rumah tiba-tiba roboh

OLEH: ASYRAF MUHAMMAD

Tarikh: November 5, 2013

SUNGAI BULOH - "Saya berasa terkejut apabila ternampak air masuk ke dalam rumah ketika sedang asyik menonton perlawanan akhir Piala Malaysia."

Begitulah keluhan salah seorang penduduk di Kampung Kubu Gajah, Mohd Faizul Mazni, 49,  setelah kediamannya dimasuki air ekoran hujan lebat, malam kelmarin.

Menurut Faizul, kejadian itu turut menyebabkan tembok belakang rumah penduduk di Jalan Gajah 10 roboh akibat dipukul arus yang kuat.

Faizul berkata, ketika air masuk, mereka sekeluarga bergegas mengambil barangan serta dokumen penting dan duduk di tingkat atas rumah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Ketika air masuk, kami bergegas naik ke atas dan selepas itu saya terdengar bunyi yang kuat datang dari belakang rumah," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Musykil dengan bunyi kuat berkenaan, Faizul mengambil keputusan untuk turun bagi memantau keadaan di belakang rumahnya.

Dia terkejut apabila mendapati tembok di belakang rumahnya serta jiran roboh dipukul arus yang kuat.

"Arus pada waktu itu sangat kuat sehingga tembok di belakang rumah saya boleh tumbang dan pecah dan ini merupakan kejadian yang pertama berlaku di sini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Halim Hashim, 53, keadaan sistem saliran di kawasan tersebut yang sempit tidak mampu menampung jumlah kapasiti air akibat hujan lebat.

Selain itu, kata Halim projek pembinaan rumah banglo bertingkat yang sedang giat dijalankan berhampiran Lebuhraya Gutrie turut menjadi faktor utama banjir.

"Pembinaan projek itu menyebabkan arus lebih kuat dan  turun ke kawasan penduduk.

"Dulu keadaan banjir di sini tidak seteruk ini dan ia benar-benar menimbulkan kerisauan di kalangan penduduk di sini," katanya.

Menurut Halim, pemaju perumahan berkenaan perlu mengkaji terlebih dahulu sistem saliran di sini sebelum menjalankan sebarang projek memandangkan ia mampu memberi kesan kepada penduduk setempat.

Halim berkata, kejadian itu membuatkan sebilangan penduduk gusar sekiranya kediaman mereka turut roboh akibat keadaan banjir yang sering berlaku di sini.

"Kita cuma risaukan tanah menjadi mendap dan ditambah pula dengan arus yang kuat ekoran daripada perlaksanaan projek perumahan tersebut," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai permasalahan itu, Halim memaklumkan pihaknya telah menghubungi pemaju projek berkenaan bagi memaklumkan mengenai kejadian yang berlaku tersebut.

Tambahnya, pihak berkenaan memaklumkan akan menghantar wakil bagi menyiasat perkara itu pada Rabu ini bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

"Saya juga akan membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelong supaya  tindakan selanjutnya diambil pihak bertangungjawab," katanya.

'Nyawa selamat pun dah untung'

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 5, 2013

SEJAK 59  tahun tinggal di sini, itu kejadian banjir terburuk pernah dialami, demikian menurut seorang penduduk Batu 23 ½, Kampung Rinching Hulu, Kajang, Zaleha Osman, 59, menceritakan kembali insiden banjir lumpur melanda kampung itu 27 Oktober lalu.

Akibat kejadian itu, dia kerugian lebih RM10,000 apabila semua barangan elektrik dalam rumah rosak terendam dalam air setinggi paras lutut.

Menceritakan kejadian, Zaleha berkata, dia yang tinggal berseorangan tidak sempat menyelamatkan peralatan rumah dan perabot kerana air melimpah masuk dengan cepat.

Tilam, dua televisyen, peti sejuk dan mesin basuh kesemuanya didakwa rosak dan gagal berfungsi selepas banjir mulai surut.

"Saya nampak air 'bergulung-gulung' keluar dari celah rumah jiran dan terus masuk ke ruang dapur, sekejap sahaja air sudah tinggi, ketika itu memang tidak fikir lain terus lari ke rumah abang yang terletak bersebelahan," katanya.

Seumur hidup jelasnya, dia tidak pernah lihat banjir di kampung tersebut.

"Batu pasir mengalir deras, barangan hanyut tidak sempat dicapai, nyawa selamat pun dah untung besar masa itu," katanya.

Katanya lagi, dia terpaksa mengambil cuti selama seminggu untuk membersihkan keseluruhan ruang rumah yang dipenuhi lumpur.

Dia bernasib baik kerana pihak pemaju yang menjalankan projek bersebelahan kampung memberi pertolongan untuk membersihkan rumahnya.

Rumahnya yang terletak agak rendah menyebabkan mudah ditenggelami air namun punca sebenar kejadian tidak diketahuinya.

"Kalau boleh biarlah itu kejadian pertama dan terakhir, tidak sanggup lagi berdepan bencana seperti itu apatah lagi dalam keadaan yang sudah tua dan mulai uzur ini," katanya.

Seorang lagi penduduk Mad Isa, 67, kejadian banjir yang melanda kampung didudukinya boleh diibaratkan seperti tsunami kecil.

Kebiasaan air hanya melalui kampung namun pada hari kejadian (27 Oktober) air membuak-membuak melimpah dari kawasan tinggi ke rumah penduduk kampung.

"Air melimpah dengan cepat penduduk di kawasan rendah semua terjejas akibat kejadian itu," katanya.

Noriah jejaki saudara mara terpisah

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 5, 2013

HULU BERNAM - Seorang warga emas ingin menjejaki ahli keluarganya yang terpisah sejak berpuluh tahun lamanya.

Noriah Ahmad, 63, berkata, hasrat itu ingin disempurnakan sebelum ALLAH SWT menjemputnya.

"Buat semua keluarga yang mengenali, khabar-khabarkanlah. Kalau jumpa saya, Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi.

"Saya perkenalkan, ayah saya bernama Ahmad Sampul, bernikah dengan Simah Abdullah. Fatimah namanya dahulu, Simah namanya sekarang. Orang panggil Hajah Simah.

"Datuk bernama Sampul Pandak atau Naris, Gempal, Pandak Endut. Opah bernama Cik Kembang, anak kepada Cik Mansur, juga digelar Pandak Lam atau Datuk Maharajalela," katanya.

Menurut Noriah, Allahyarham Ahmad bernikah dengan Fatimah, saudara sepupu di Hulu Bernam, Selangor.

Katanya, moyang lelaki mempunyai tiga anak iaitu Gempal (atau Naris, Pandak Endut) manakala moyang perempuan bernama Siram.

"Opah saya pula bernama Jariah atau Buruk. Kebanyakan saudara-saudara ayah kaum keluarga, moyang di Bagan Datuk, Kayan Setiawan, Manjung, Taiping, Kuala Kangsar, Parit Buntar, Pulau Pinang, Sabak Bernam, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Pahang, Pangkur di Perak.

"Opah saya ada dua orang di Selangor. Opah yang pertama dengan tiga anak masa datang ke Malaysia yang besar sekali, umur 7 tahun ke 8 tahun, yang nombor Kedua, 5 tahun ke 4 tahun, dan yang kecil, 2 tahun ke 3 tahun," katanya.

Noriah bersyukur kepada ALLAH kerana moyang lelaki datang ke negara ini apabila keadaan selamat (tidak diketahui tahun bila) tetapi hampa kerana isterinya telah bernikah.

Menurutnya, moyang  lelaki  balik semula dan dinikahkan oleh keluarga dengan keluarga sendiri sebelum datang lagi ke Malaysia.

Katanya, moyang dikurniakan lima anak lelaki kesemuanya dan menetap di Perak.

Katanya, kepada sesiapa yang mengenali dirinya berdayarkan maklumat diberikan diharap menghubunginya di talian 012-299 6818.

Hanya indah khabar dari rupa

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 5, 2013

KEGEMBIRAAN  untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara JDT dan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Julai lalu, bertukar kepada pengalaman pahit kerana terpaksa menaiki bas sekolah.

Janji yang diberikan pihak penganjur yang mahu menyediakan bas persiaran berhawa dingin sebagai pengangkutan utama nyata hanya indah khabar dari rupa.

Seorang peserta, Sahizan Saibon berkata, kira-kira 40 peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan di Pontian menyertai rombongan bagi menyaksikan perlawanan akhir itu.

"Bayaran sebanyak RM110 dikenakan penganjur kepada peserta bagi urusan pengangkutan dan tiket perlawanan.

"Penganjur menjanjikan bas persiaran berhawa dingin yang biasanya digunakan untuk perjalanan yang jauh ke Kuala Lumpur," katanya.

Namun, pada hari yang dijanjikan tiada bas persiaran yang dijanjikan sebaliknya hanya bas sekolah sahaja.

"Kami ada bertanya kepada pihak penganjur namun tiada jawapan yang diberikan membuatkan peserta mula marah.

"Bas sekolah yang disediakan itu juga datang dari luar kerana nombor pendaftarannya yang tertera menunjukkan nombor pendaftaran dari Negeri Sembilan," katanya.

Walaupun kesal dengan pihak penganjur, namun peserta ketika itu tidak mempunyai pilihan lain selain menaiki bas yang disediakan itu.

"Kami juga bimbang dengan keadaan bas yang dikhuatiri tidak selamat untuk perjalanan agak jauh," katanya.

Menurutnya, selepas kembali dari rombongan tersebut, satu laporan polis telah dibuat kepada pihak penganjur kerana gagal menunaikan janji yang ditawarkan kepada peserta.

Sementara itu bagi bagi Hazni Harun, 45, berkata pengguna perlu memainkan peranan dalam menangani masalah penipuan oleh golongan yang menawarkan pakej rombongan atau percutian.

"Situasi rombongan diatur oleh orang yang dikenali merupakan perkara biasa yang berlaku di kawasan luar bandar di kampung-kampung.

"Tidak sama seperti di bandar, di mana penduduk bandar lebih percaya kepada agensi pelancongan yang berdaftar bagi mengelakkan timbul sebarang penipuan," katanya.

Jelasnya, risiko ditipu ketika menyertai rombongan yang dilakukan oleh orang perseorangan atau kumpulan yang didakwa dikenali cukup tinggi.

"Latar belakang orang perseorangan atau kumpulan yang hendak menawarkan pakej rombongan perlu diselidik terlebih dahulu.

"Kebiasaannya aduan tidak dibuat walaupun merasakan diri tertipu dengan pakej yang ditawarkan disebabkan oleh adanya ikatan hubungan kawan atau persaudaraan dengan penganjur," katanya.

Jelasnya, sikap tersebut hanya akan memberi ruang kepada penipuan yang lebih besar berlaku.

"Jika terdapat sebarang penipuan yang dikesan berlaku sepanjang, aduan perlu dibuat segera kepada pihak atau agensi berkaitan perlindungan pengguna.

"Tindakan undang-undang yang setimpal perlu dikenakan kepada individu yang terlibat menipu pakej rombongan yang ditawarkan," katanya.

Parah dirempuh peserta konvoi

OLEH: SHAIFUL AZHAR AHMAD ALI

Tarikh: November 5, 2013

KULIM - Keghairahan ratusan remaja bermotosikal berkumpul di Sedim bagi perhimpunan Ladys Rempit Utara berakhir dengan tragedi apabila salah seorang peserta konvoi terlibat dalam kemalangan di Taman Sena kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian, dua penduduk tempatan yang merupakan warga emas sedang menunggang motosikal berasingan dari arah Labu Besar menuju ke Jubai.

"Konvoi ini melibatkan remaja bermotosikal dari seluruh pelosok Utara. Mereka dalam perjalanan ke Latar Sedim.

"Tiba di tempat kejadian, salah seorang peserta memasuki jalan bertentangan sebelum merempuh mangsa pertama dan kemudiannya merempuh mangsa kedua," katanya.

Katanya, akibat rempuhan itu dua mangsa yang terdiri dari warga emas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan badan.

"Kesemua mangsa terlibat kemudiannya dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Kulim untuk menerima rawatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Rakan Cop Labu Besar yang juga Pengerusi Pekida kawasan itu, Ahmad Nordin Ismail berkata, jalan Labu Besar sering digunakan golongan remaja untuk berlumba terutama pada hari Sabtu dan Ahad.

Menurutnya, keadaan ini akan menjadi lebih sesak apabila puluhan motosikal yang datang dari daerah luar menggunakan laluan itu untuk berkelah di Latar Sedim.

"Untuk memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin, Nordin meminta polis mengadakan sekatan jalan atau mengawasi laluan itu.

"Dari pemeriksaan dibuat terhadap suspek yang terlibat dalam kemalangan, kami dapati motosikal yang ditunggangnya tidak mempunyai cukai jalan dan nombor pendaftaran," katanya.

Dalam pada itu, katanya, selain motosikal suspek tidak mempunyai cukai jalan, suspek  juga tidak memiliki lesen memandu yang sah.

"Saya meminta polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membuat sekatan jalan dan membuat pemeriksaan terhadap mereka terlibat.

"Selain itu kami turut menerima laporan tentang penglibatan individu dan kumpulan yang melakukan jenayah curi motosikal di sekitar kawasan ini," katanya.

Panik lihat kepulan angin hitam

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 5, 2013

SUNGAI PETANI – "Saya belum mulakan perniagaan saya lagi ketika ternampak kepulan angin hitam kemudian berpusing-pusing menyebabkan saya membuat keputusan melarikan diri ke masjid."

Demikiancerita mangsa ribut, Mohamad Ridzuan, 30, ketika berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian angin kencang dekat Taman Keladi lebih kurang jam 4 petang kelmarin.

Menurutnya, seperti biasa, dia sedang membuat persiapan di gerainya yang terletak di tepi jalan dekat Taman Keladi sebelum menyedari kehadiran ribut yang memusnahkan bumbung gerai tersebut.

"Angin kali ini cukup dahsyat, saya tidak dapat berbuat apa-apa.

"Sebaik berlari ke masjid, bumbung gerai saya serta-merta runtuh," katanya.

Menurutnya, bencana yang berlaku menyebabkan dia tidak dapat membuka perniagaan untuk beberapa hari dan bertindak mengedarkan nasi lemak secara percuma kepada orang ramai kelmarin.

Selain itu, Beh Chai Shi, 21, berkata, dia menerima panggilan daripada jiran mengatakan beberapa rumah di Lorong Teja 7 ditimpa ribut sehingga menjejaskan rumah ibu mentuanya menyebabkan dia segera pulang bagi memastikan keadaan itu.

"Ketika sampai saya dapati habis bumbung semua rosak akibat ribut dan anggaran kerugian kemungkinan mencecah RM1,000," katanya.

Menurutnya, mujur ketika kejadian, ibu mentua dan ahli keluarga lain tiada di rumah.

Sementara itu, penduduk yang hanya mahu dikenal sebagai Liew, 40, berkata, ketika kejadian, dia berada dalam rumah sebelum terdengar bunyi yang cukup kuat seolah-olah bumbung rumahnya dihempap sesuatu.

"Memandangkan ketika itu angin kuat, saya tidak berani nak keluar untuk pastikan apa yang berlaku. Selepas beberapa ketika, saya beranikan diri keluar dan mendapati bumbung milik orang lain menghempap bumbung rumah saya," katanya.

Seorang remaja yang dikenali sebagai Rashini, 16, ketika itu, berada di sebuah kedai makan berkata, angin kuat yang berlaku depan mata menyebabkan motosikalnya yang diletakkan di luar kawasan restoran itu terjatuh.

"Saya cuba keluar untuk angkat motosikal. Sebaik keluar, bumbung di kedai itu terus terpelanting hingga menyebabkan seorang kanak-kanak 10 tahun cedera di kepala," katanya.

Dalam perkembangan sama, Adun Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min yang melawat lokasi kejadian berkata, beberapa bumbung rumah penduduk terjejas selain kedai makan berhampiran.

"Mujur tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Menurut beliau, penduduk dinasihatkan berada dalam rumah dan elakkan dari berada di kawasan luar sekiranya berhadapan situasi berkenaan.

"Kita juga memohon mangsa terlibat supaya membuat laporan polis selain membuat permohonan bantuan kebajikan bagi mereka yang layak," katanya.

Pesakit dakwa terima salah ubat

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 5, 2013

ALOR SETAR - Seorang pesakit dari Taman Flora, Kuala Sungai, dekat sini, mendakwa menerima salah ubat sewaktu mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan di Jalan Putra, di sini, Januari lalu.

Pesakit, Mohd Rashid Nawabudin, 56, berkata, dia berasa kecewa berikutan mendakwa telah menerima beberapa jenis ubat tanpa pemeriksaan terperinci dan lengkap daripada klinik berkenaan, walaupun badannya berasa tidak selesa.

"Saya ke klinik berkenaan kerana berasa tidak sedap badan, manakala dada berasa sakit. Bagaimanapun, tanpa pemeriksaan lebih lanjut saya telah diberikan beberapa jenis ubat yang dirasakan tidak ada kena mengena dengan kesakitan dialami.

"Malah, sakit semakin menjadi-jadi sebaik makan ubat. Lantas, saya bergegas ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan berikutan tidak dapat menahan lagi sakit," katanya.

Mujur dia segera ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan, jika terlambat, nyawanya didakwa pasti akan terancam.

Justeru, katanya, dia mengharapkan pihak berkenaan dapat mengambil tindakan seperti memberi penjelasan lanjut mahupun meningkatkan mutu perkhidmatan mereka supaya perkara ini tidak berulang lagi.

Menurutnya, kejadian sedemikian sebenarnya pernah berlaku pada dirinya beberapa tahun lepas apabila mendakwa hanya menerima ubat sapu untuk rawatan betis kirinya yang bernanah, manakala parasetamol ketika sakit dada.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Ismail Abu Taat, berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terlebih dahulu mengenai dakwaan menerima salah ubat dikemukakan pesakit terbabit sama ada benar mahupun tidak.

Katanya, kes berkenaan telah berlaku kira-kira sembilan bulan lepas, namun mengapa baru kini ditimbulkan pesakit terbabit sedangkan sepatutnya sebarang aduan perlu dilakukan segera.

Cabul anak teman wanita

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 5, 2013

TAIPING - Seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan atas kesalahan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak bawah umur, di sebuah rumah dekat Taman Kami, Aulong.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kejadian yang berlaku pada 2 Disember lalu, lebih kurang jam 10 malam itu hanya disedari ibu mangsa apabila pulang ke rumah.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek berkenaan adalah teman lelaki kepada ibu mangsa.

"Pada hari berkenaan, ibu mangsa berusia 38 tahun, seorang warga Vietnam telah keluar rumah kira-kira jam 8 malam dan meninggalkan mangsa bersama dengan teman lelakinya.

"Ibu mangsa kemudiannya pulang semula ke rumah kira-kira jam 10 malam dan mendapati suspek baru sahaja keluar dari bilik mangsa," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, tidak senang hati dan curiga dengan lelaki berkenaan, wanita terbabit kemudiannya membuat pemeriksaan di bilik berkenaan dan mendapati anaknya terbaring di atas katil, berselimut dan tidak memakai seluar.

Yusuf berkata, mangsa kemudiannya memaklumkan kepada ibunya bahawa suspek telah mencabul kehormatannya.

Katanya, ibu mangsa memberitahu pihak polis perbuatan seperti itu bukanlah yang pertama kali dilakukan sebaliknya ia pernah dilakukan beberapa kali sebelum ini.

Menurutnya, selepas menerima laporan, pihak polis kemudiannya telah membawa mangsa untuk dirujuk kepada pihak Hospital Taiping dan laporan menunjukkan tiada kesan kecederaan (penetration).

"Suspek adalah warga tempatan akhirnya berjaya ditangkap kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam (kelmarin) di sebuah rumah di Taiping," katanya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan suspek direman sehingga 9 November ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Pemandu menangis kereta bos masuk parit

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 5, 2013

BAGAN SERAI - Seorang pemandu lelaki menangis setelah menjadi punca kereta kepunyaan majikan yang dipandunya terbabas dan memasuki sebuah parit berhadapan Kolej Vokasional Bagan Serai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengahari, mangsa berusia lingkungan 20-an yang sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Kurau menghala Bagan Serai dipercayai terbabas dengan sendiri setelah kenderaan dipandu hilang kawalan.

Saksi kejadian, Johari Zainal Abiddin, 56, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang menunggu anak pulang dari sekolah sebelum melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda meluncur laju menghala ke arah sebuah parit sebelum terjunam ke dalamnya.

"Saya bersama beberapa lagi rakan segera membantu mengeluarkan mangsa namun hairan melihat gelagat pemandu tersebut yang tidak henti-henti menangis.

"Ketika ditanya, pemandu terbabit ketakutan kerana kereta dipandunya itu milik majikan," katanya.

Sementara itu, mangsa yang dikenali sebagai Zarul berkata, dia bimbang dipecat majikan akibat insiden itu.

"Saya sedang memandu kenderaan itu seperti biasa sebelum ia hilang kawalan dipercayai akibat masalah tayar.

"Saya sudah membuat laporan polis dan berharap majikan boleh membuat tuntutan insurans untuk membaik pulih kenderaan itu," katanya.

Tak mampu beli ubat RM4 sebiji

OLEH: AMRAN ALI

Tarikh: November 5, 2013

UMBAI - Seorang ibu tunggal yang hidup dalam serba kekurangan, terpaksa menahan sakit kesan daripada sakit tulang belakang, akibat tidak mampu untuk membeli ubat yang berharga RM4 sebiji.

Latipah Mat Yasin, 38, juga dikesan mengidap pelbagai penyakit lain di samping membesarkan seorang anak lelaki yang berusia enam tahun.

Menurutnya yang tinggal di rumah pusaka peninggalan arwah ibu dan bapanya di Pekan Umbai, dia juga mengalami penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis dan asma.

Katanya, kesan sakit tulang belakang menyebabkan dia kini berdepan masalah untuk berjalan setiap kali mahu menghantar anaknya, Muhammad Aliff Najmi, belajar di Tadika berdekatan.  

"Sehingga kini saya perlu bergantung pada ubat tahan sakit, tapi tidak mampu untuk membelinya kerana harganya RM4 sebiji dan ia terlalu mahal bagi saya.

"Kalau ada duit lebih barulah saya dapat beli lebih daripada sebiji pil, malah itupun saya perlu berjimat iaitu apabila terlalu sakit barulah saya makan," katanya.

Latipah berkata, buat masa ini dia mendapatkan bekalan ubat bagi penyakit lainnya di Klinik Kesihatan Umbai, sementara ubat tahan sakit tulang belakang terpaksa membelinya sendiri memandangkan tiada sesiapa yang boleh membantu ke hospital.

"Apa pun, saya bersyukur kerana menerima bantuan bulanan barangan dapur bernilai RM150 termasuk bantuan bagi perbelanjaan membeli ubat sebanyak RM150 sebulan daripada pihak Majlis Agama Islam Melaka (Maim) sejak Februari lalu.

 "Namun, sejak kesihatan semakin terjejas, saya tidak lagi mampu mengambil upah menjahit baju sebagai pendapatan sampingan dan lebih sukar lagi apabila saya terpaksa membeli lauk basah seperti ikan dan sayur setiap hari memandangkan tiada peti sejuk di rumah,"
katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, Muhammad Aliff adalah satu-satunya anak hasil perkongsian hidup dengan suaminya, sebelum bercerai kira-kira dua tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, anaknya itu tidak ke sekolah berikutan dia tidak berdaya menghantarnya kerana sering tidak sihat dan selalu mengalami masalah kekurangan kandungan gula dalam badan.

Namun begitu, Latipah berterima kasih kepada  Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Umbai (JKKK) Umbai serta Adun terbabit yang melawatnya sebelum ini.

"JKKK turut mengambil maklumat diri saya untuk permohonan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Saya juga berterima kasih kepada pihak yang membantu mendapatkan bantuan membaiki kerosakan rumah pusaka ini menerusi peruntukan Kementerian
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,  Mac lalu," katanya.

Budak sekolah cekup pencuri

OLEH: NURULATIQ AHMAD BANDI

Tarikh: November 5, 2013

LUKUT - Seorang lelaki berkelakuan mencurigakan kerana berada di atas bumbung rumah penduduk di Taman Selasih berjaya dicekup sembilan remaja berusia 12 hingga 16 tahun, kira-kira jam 5 pagi, Ahad lalu.

Abdullah Yusof Mazman, 16, berkata, ketika kejadian, dia bersama lapan rakannya sedang bersembang di beranda rumahnya sebelum salah seorang daripada mereka memberitahu terlihat kelibat seseorang di atas bumbung rumah jirannya.

"Kami segera ke rumah jiran untuk memeriksa keadaan. Terkejut dengan kehadiran kami, lelaki berkenaan terus melarikan diri dengan melompat dari bumbung ke bumbung rumah yang lain sebelum menyembunyikan diri di tepi tangki air yang terletak di atas bumbung salah sebuah rumah di taman perumahan ini.

"Seorang rakan saya bertindak memanjat bumbung rumah berkenaan dan menangkap lelaki itu sebelum menyerahkan kepada pihak polis," katanya.

Menurut Abdullah, keesokan harinya, mereka dimaklumkan besi tingkap rumah jirannya bengkok kemungkinan disebabkan cubaan lelaki berkenaan untuk melakukan jenayah.

Sementara itu, bapa Abdullah, Mazman Mansor, 50, berkata, sekitar jam 4 pagi, dia melihat ada tiga lelaki sedang menunggang motosikal berlegar-legar di kawasan perumahan tersebut selepas pulang dari rumah rakannya.

"Saya memberitahu anak saya agar memerhatikan keadaan sekeliling kerana melihat kelakuan tiga lelaki itu mencurigakan sebelum masuk tidur.

"Tidak lama kemudian, Abdullah mengejutkan saya dan memberitahu ternampak seseorang di atas bumbung jiran dan saya mengarahkan mereka mengepung lelaki berkenaan serta dalam masa sama saya menghubungi polis," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Abd Wahab Harun, mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengesan rakan suspek yang berjaya melarikan diri.

Abd Wahab menasihatkan orang ramai untuk segera menghubungi polis jika melihat sebarang tindakan mencurigakan dari mana-mana individu.

'Duit hanya cukup beli beras...'

OLEH: NIK MUHD. RAFIQ ABD. GHANI

Tarikh: November 5, 2013

DUNGUN - "Mak saya miskin, tak mampu nak beli alat tulis. Jadi, saya pinjam dengan kawan-kawan. Impian saya kalau ada duit, saya cuma nak beli alat tulis untuk memudahkan saya buat kerja sekolah."

Demikian luahan hati adik Intan Syafiqah, 11, seorang murid miskin yang terpaksa meneruskan persekolahan dalam serba kepayahan kerana ibunya, Kembang Mohd, 54, yang berstatus ibu tunggal, tidak mampu untuk menyediakan kemudahan diperlukannya.

Lebih menyedihkan apabila anak bongsu daripada empat beradik itu kadangkala tidak membawa wang saku ke sekolah sehingga berminggu-minggu dan hanya bergantung harap kepada Rancangan Makan Tambahan (RMT) untuk mengisi perut yang kosong.

Syafiqah berkata, kadangkala terdetik di hatinya untuk menikmati makanan lazat dan kemudahan persekolahan mencukupi seperti murid lain, namun dia hanya memendamkan hasrat itu setelah memikirkan ketidakmampuan ibunya.

"Duit ibu ada cuma untuk beli beras sahaja. Jadi, tak bawa duit ke sekolah pun tak apa, yang penting saya dapat meneruskan persekolahan.

"Cuma saya sedih sebab tak ada alat tulis yang lengkap seperti kawan lain. Nak minta dengan ibu, dia tidak mampu beli," kata murid tahun lima SK Delong itu.

Kakaknya, Intan Shahirah, 13, yang bersekolah di SMK Padang Pulut turut menghadapi situasi sama apabila dia gagal menjelaskan yuran asramanya.

Menurutnya, dia tetap tabah menghadapi situasi itu walaupun sebagai pelajar perempuan, kegagalan menjelaskan yuran asrama sedikit sebanyak menjejaskan keyakinannya untuk belajar.

"Kadang-kadang sahaja saya bawa wang saku ke sekolah. Kebanyakannya, saya pergi sekolah dengan poket kosong.

"Yuran asrama pula banyak tertangguh. Nak suruh ibu bayar pun dia tidak bekerja, hanya mengharapkan wang bantuan bulanan untuk bayar yuran. Duit itu juga untuk beli keperluan asas lain. Jadi, saya tak boleh minta lebih daripada ibu," katanya.

Hanya bergantung bantuan RM200 sebulan

Sementara itu, Kembang berkata, akibat kemiskinan hidup, dia bersama dua anaknya terpaksa tinggal di rumah kosong peninggalan bekas suaminya, biarpun rumah tersebut sebenarnya tidak layak dijadikan kediaman kerana tidak mempunyai kemudahan air dan elektrik.

Menurutnya, dia cuba sedaya upaya untuk keluar daripada situasi memeritkan itu, namun tidak berkemampuan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Saya cuma dapat duit bantuan JKM sebanyak RM200 sebulan. Dengan duit itulah, saya buat belanja anak sekolah dan beli beras.

"Jumlah itu tidak mencukupi, nasib baik sekali-sekala ada jiran tampil menghulurkan makanan. Jika tidak, kami tiga beranak pasti mati kelaparan," katanya.

Kembang juga berkata, dia amat berharap ada insan bersimpati untuk membantu terutama bagi membaiki rumah peninggalan didiami mereka tiga beranak itu yang tidak mempunyai pintu dan tingkap bilik air, selain bilik air serta tandas tidak sempurna.

"Saya sudah beberapa kali memohon bantuan rumah daripada pihak berkenaan, namun sehingga kini permohonan itu masih tidak mendapat maklum balas sewajarnya.

"Kini saya hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti, kehidupan kami sekeluarga akan berubah," katanya.

29,297 graduan UiTM bakal terima ijazah, diploma

OLEH:

Tarikh: November 5, 2013

SHAH ALAM - Seramai 29,297 graduan bakal menerima diploma dan ijazah masing-masing pada istiadat Konvokesyen ke-79 Universiti Teknologi MARA (UiTM), bermula Sabtu hingga 19 November.
   
Konvokesyen itu akan berlangsung dalam 17 sidang di Dewan Agung Tuanku Canselor Kampus UiTM di sini, empat sidang masing-masing di kampus UiTM Perak, UiTM Pahang, UiTM Sarawak dan UiTM Pulau Pinang sementara lima sidang di UiTM Melaka, enam sidang di UiTM Terengganu dan lapan sidang di UiTM Perlis.
   
Sempena konvokesyen itu, UiTM akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
   
Sidang pertama di sini pada Sabtu menyaksikan 220 graduan menerima ijazah masing-masing terdiri daripada 24 graduan Doktor Falsafah (PhD) dan 196 graduan Sarjana yang akan disampaikan Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah selaku Canselor UiTM.
   
Pada istiadat itu, UiTM akan menganugerahkan 12 kategori anugerah graduan terbaik tahun 2013 iaitu Anugerah Kedoktoran Cemerlang Tuanku Canselor, Anugerah Sarjana Cemerlang Tuanku Canselor, Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor, Anugerah Pingat  Emas Naib Canselor, Anugerah Tun Abdul Razak, Anugerah Cemerlang Tan Sri Arshad Ayub, Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Cemerlang Pharmaniaga, Anugerah Sains & Teknologi (Pharmaniaga Bhd), Anugerah Pingat Emas Yayasan Budiman UiTM, Anugerah Pingat Emas Tun Fatimah Hashim dan Anugerah Kepimpinan Cemerlang.

Dalam sidang kedua dan seterusnya, penganugerahan akan diberikan kepada 15,536 graduan Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma di Shah Alam.
   
Jumlah graduan yang diraikan di kampus-kampus cawangan juga meningkat kali ini dengan julung kalinya istiadat konvokesyen diadakan di UiTM Pulau Pinang, UiTM Melaka dan UiTM Pahang.
   
Istiadat konvokesyen UiTM Perak akan bermula dari 10 hingga 11 Nov melibatkan 2,352 graduan, UiTM Perlis dan Melaka dari 12 hingga 14 November melibatkan 2,110 graduan di Perlis dan 2,680 di Melaka sementara di UiTM Terengganu daripada 16 hingga 18 November melibatkan 1,988 graduan.
   
Seramai 1,034 graduan di UiTM Sarawak akan menerima ijazah dan diploma pada 12 hingga 13 November, 1,588 graduan di UiTM Pahang dari 18 hingga 19 November dan 2,009 graduan di UiTM Pulau Pinang daripada 16 hingga 17 November. - Bernama

Ambil sepenuhnya semangat Hijrah

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 5, 2013

SHAH ALAM - Pentadbiran yang mengabaikan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan perlu segera diatasi serta diperbaiki demi membangunkan ummah, kata Ketua Pembangkang, Datuk seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, penghayatan Hijrah seharusnya disemai menerusi pemahaman terhadap falsafah pembaharuan yang digagaskan oleh baginda Rasulullah SAW.
 
"Peristiwa Hijrah sememangnya telah membuka dimensi baru dalam sejarah ketamadunan Islam, sentimen dan faham perkauman berteras semangat kabilah dan suku yang menebal di kalangan masyarakat Arab ketika itu telah berjaya dirobek dan dipecahkan.

"Pembaziran dan ketirisan yang menjadi budaya dalam amalan tadbir urus mutakhir ini tidak boleh dibiarkan terus berlaku," katanya dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1435H yang disambut umat Islam, hari ini.

Tambahnya lagi, perubahan tidak akan dicapai seandainya rakyat terus bersikap laih dan lesu.
 
"Bagi pihak PKR, saya mengucapkan Salam Maal Hijrah 1435 kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
 
"Semoga ALLAH SWT terus melimpahkan rahmat dan hidayah untuk kita semua serta memberikan kita kekuatan untuk meneruskan perjuangan membawa perubahan di negara Malaysia yang tercinta ini," ujarnya.

Abdul Hamid, Dr Zakir tokoh Maal Hijrah

OLEH: RAZIATUL HANUM A.RAJAK

Tarikh: November 5, 2013

PUTRAJAYA - Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1435H/2013M, hari ini.

Sementara, pendakwah terkenal, Dr Zakir Abdul Karim Naik dari India dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa.

"Pemilihan tokoh tersebut dibuat atas asas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global yang diiktiraf oleh pelbagai pihak," ujar Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha,

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan nama pemenang di Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Hadiah disampaikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Kedua-dua tokoh menerima hadiah berupa wang tunai RM100,000, pingat dan sijil penghargaan.

 

Nelayan takut nak turun laut

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 5, 2013

SEKINCHAN – Pendapatan kira-kira 500 nelayan pukat tunda di Sekinchan di sini, terjejas berikutan tidak keluar menjalankan aktiviti menangkap ikan ke laut sejak 1 November lalu selepas penguatkuasaan Akta Perikanan 1985.

Rata-rata mereka mendakwa, penguatkuasaan akta itu hanya menyusahkan nelayan kerana terpaksa menggunakan pukat kelongsong 38 milimeter (mm) berbanding hanya 22mm yang digunakan mereka sebelum ini.

Penggunaan pukat kelongsong 38 mm itu menyebabkan hasil tangkapan nelayan pukat tunda semakin berkurangan, malah ada yang mendakwa tidak memperoleh hasil tangkapan seperti yang diharapkan hingga terpaksa menanggung kerugian.

Nelayan pukat tunda bukan saja terpaksa menukar saiz pukat kelongsong, malah kecewa dengan kenaikan harga minyak diesel sebanyak RM0.20 sen yang sudah tentu memberi impak kepada pengeluaran ikan di kawasan itu.

Bagi nelayan pukat tunda Zon B pula, mereka pula berdepan masalah tidak boleh menggaji pekerja asing berikutan keputusan kerajaan tidak membenarkan mereka menggunakan khidmat nelayan asing.


Takut kena saman

Setiausaha Eksekutif Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan, Lau Ka Yeau berkata, dengan penguatkuasaan akta itu, kesemua nelayan di Sekinchan tidak turun ke laut sejak Jumaat lalu.

"Mereka (nelayan pukat tunda) tak berani turun ke laut kerana takut kena saman. Kebanyakan mereka masih menggunakan pukat kelongsong 22mm berbanding 38mm yang dikuatkuasakan kerajaan," katanya.

Ka Yeau berkata, setiap nelayan terpaksa mengeluarkan wang membeli pukat kelongsong 38mm bagi menggantikan pukat kelongsong sedia ada pada harga RM800 bagi setiap empat meter pukat tersebut.

Menurutnya, pukat kelongsong bersaiz lebih besar itu hanya merugikan nelayan kerana tangkapan ikan akan merosot dan hanya ikan bersaiz tertentu sahaja dapat diraih jika menggunakan pukat terbabit.


Pukat disyor merugikan

"Kami tidak ada masalah jika ingin menukar pukat, tetapi pukat yang disyorkan kerajaan tidak menguntungkan nelayan kerana saiznya lebih besar dan menyebabkan kebanyakan ikan dan udang mudah terlepas daripada pukat akan tercedera.

"Jika ikan-ikan ini tercedera, ia sudah tentu merugikan sumber ikan negara kerana mungkin habitat ini tidak dapat hidup lebih lama," katanya.

Katanya, berbeza dengan penggunaan pukat kelongsong 22mm, kebanyakan ikan sederhana kecil mudah terperangkap dalam jaring dan keadaan itu menyebabkan hasil tangkapan nelayan lebih tinggi.

"Macam mana mereka hendak meneruskan aktiviti menangkap ikan jika keadaan ini berterusan, malah mereka pula terpaksa menanggung kerugian apabila hasil pendapatan yang diraih berkurangan," katanya.

Pemangku Pengerusi Persatuan Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan, Lee Aik Leong berkata, dengan pengurangan subsidi kerajaan, nelayan pukat tunda terpaksa menampung kenaikan diesel sebanyak RM0.20 sen seliter.

"Kenaikan minyak diesel ini menyulitkan lagi keadaan nelayan yang kebanyakannya hanya bergantung kepada hasil tangkapan laut, apatah lagi dengan beban kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.


Akta beri tekanan

Beliau berkata, dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup golongan nelayan, kenaikan harga minyak diesel hanya menambah beban golongan itu, tambahan pula dengan penguatkuasaan Akta Perikanan 1985.

"Sudahlah hasil tangkapan semakin berkurangan, nelayan pula terpaksa menanggung beban kos diesel antara RM3, 000 hingga RM4, 000 sebulan disebabkan pengurangan subsidi bahan api yang diumumkan kerajaan," katanya.

Seorang Nelayan Pukat Tunda Zon B, Heng Chen Peng, 42, berkata, sejak penguatkuasaan akta itu, beliau tidak turun ke laut hampir seminggu kerana bimbang akan dikenakan tindakan penguatkuasaan yang tegas.

Malah, katanya, dia juga terpaksa melupakan khidmat pekerja asing dengan langkah penguatkuasaan tersebut.

"Macam mana nak keluar tangkap ikan kerana sebelum ini kesemua pekerja saya adalah warga asing. Keadaan ini beri tekanan kepada saya untuk meneruskan aktiviti ini," katanya.

Seorang lagi nelayan, Khor Kwee Meng, 33, berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diminta membantu nelayan menyelesaikan konflik itu sekali gus memberi satu harapan baru kepada mereka untuk meneruskan aktiviti tersebut.

"Kita minta campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan masalah kami kerana tidak mahu hasil tangkapan kami terjejas selain bimbang memberi kesan kepada hasil pengeluaran ikan di kawasan ini," katanya.

Jadi perdana menteri kena berani, kata Anwar

OLEH: RAZIATUL HANUM A. RAJAK

Tarikh: November 4, 2013

SHAH ALAM – Ketua Umum Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan seorang perdana menteri perlu memiliki sifat berani menegakkan keadilan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas antara kandungan buku tulisan Senator Dr Syed Husin Ali, 'The Malay Rulers: Regression or Reform?' pada majlis pelancaran buku tersebut, semalam.

Dalam salah satu bab buku tersebut ada merujuk kepada sejarah Melayu berhubung pembunuhan anak Tun Perak, Tun Besar oleh anakanda Sultan Mansur Shah, Raja Muhamad, di mana Anwar berpendapat tindakan Tun Perak amat wajar.

Tun Perak adalah Bendahara Melaka ke-5 yang mempunyai kuasa sama seperti perdana menteri.

"Adakah Tun Perak berdiam diri dan membiarkan perkara itu (anaknya dibunuh anak raja)? Sudah tentu tidak.

"Tun Perak berkata : 'Hamba Melayu tidak pernah tidak taat tapi kita tidak sepatutnya mempunyai putera ini (Raja Muhamad) sebagai ketua'.

"Ini bukan cerita tentang ketidaktaatan ataupun penderhakaan tapi tentang perdana menteri yang mempunyai keberanian berdepan dengan penguasa (Raja) bagi menegakkan keadilan," katanya mengulas kandungan buku itu.

Menurutnya, ada juga perkara yang tidak boleh dilupakan iaitu cerita tentang keadilan dan kesaksamaan Sultan.

"Kekejaman itu bukan dilakukan olehnya tetapi pewarisnya. Akhirnya, Raja Muhamad tidak menjadi pewaris.

"Dan dengan melucutkan kedudukan anaknya itu, Sultan telah membenarkan keadilan ditegakkan," katanya.

Buku tersebut mengkaji kedudukan, peranan dan kuasa Raja-raja seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang dan bagaimana ia diamalkan.

 

Pistol ditemui dalam tandas stadium

OLEH: MUHAMMAD AFHAM RAMLI

Tarikh: November 4, 2013

SHAH ALAM – Sepucuk pistol lama jenis Browning ditemui di dalam tandas lelaki Stadium Shah Alam di sini, ketika perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang, malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Roslan Abdullah berkata, pistol mengandungi tujuh butir peluru itu ditemui oleh anggota polis yang melakukan rondaan di sekitar stadium itu kira-kira jam 9.30 malam.

Menurutnya, polis masih belum dapat mengenal pasti motif pistol itu dibawa masuk.

"Kita tidak tahu siapa pemilik pistol itu." katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Dalam perkembangan lain, seramai lima individu berumur 19 hingga 24 tahun ditahan kerana membakar mercun, suar dan membaling botol, manakala 86 lagi ditahan kerana terlibat  menjual tiket palsu.

Pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan tidak ada rekod jenayah. Seorang daripada mereka adalah penuntut sebuah universiti tempatan.

"Keterangan mereka telah diambil dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Sorok bahan lucah bawah sofa

OLEH: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: November 4, 2013

SUBANG JAYA – Pelanggan dibawa ke bilik kecil, diberi peluang  memilih tajuk disukai sebelum penjaga kedai akan mengambil bahan lucah dipesan yang disembunyikan di bawah sofa buruk terletak di belakang kedai.

Itu modus operandi digunakan pengusaha pusat jualan cakera video digital (DVD) di SS15/4, Subang Jaya di sini untuk memasarkan bahan lucah kepada pelanggan bagi mengelakkan aktiviti dihidu pihak  berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan haram dua premis terbabit lumpuh selepas diserbu 16 pegawai dan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN), petang tadi.

Pengarah Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN Selangor, Noor Aziah Abdullah berkata, pengusaha sebuah premis yang diserbu juga didapati menjadikan sebuah bilik sebagai pintu rahsia menyimpan bahan terlarang itu.

"Wujud pintu rahsia direka khas dalam bilik belakang menyerupai rak pameran, pengusaha letakkan kulit filem lucah di atas meja tetapi kandungan disorok disebalik pintu rahsia,"katanya.

Beliau berkata, pengusaha didapati melakukan kesalahan tidak mempamerkan tanda kelulusan perakuan B.

Jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihaknya merampas 630 keping DVD lucah dari kedua-dua premis terbabit, 230 ditemui di bawah sofa usang terletak di bahagian belakang kedai.

Jelasnya, penjaga premis warga tempatan berusia lingkungan 30-an turut ditahan. Tindakan diambil bawah Seksyen 5, Akta Penapisan Filem 2002.

Menurutnya, mereka yang memiliki kulit filem juga boleh dikenakan tindakan bahwa akta sama.

Katanya lagi,dari Januari hingga Oktober pihaknya sudah merampas lebih2 juta keping DVD yang tidak mempunyai perakuan B.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, antara tajuk filem DVD yang dirampas pihaknya termasuk KL Gangster 2, Dampak dan Tanda Putera.

Beliau berkata, anggotanya terpaksa memecah masuk sebuah premis yang ditutup ketika diserbu dan menemui  5,000 keping DVD filem pelbagai tajuk dengan nilai rampasan hampir RM50,000.

Tindakan diambil bawah Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Cakera Optik 2000.

Sekiranya sabit kesalahan, pengusaha berdepan denda RM2,000 bagi setiap filem atau lima tahun penjara atau kedua-dua sekali.

Melaka tawar RM1 sekilogram minyak masak terpakai

OLEH:

Tarikh: November 4, 2013

MELAKA - Kerajaan Melaka menerusi Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) menawarkan RM1 untuk setiap kilogram minyak masak terpakai dalam usaha merancakkan lagi projek pemprosesan biodiesel di negeri itu.

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Datuk Md Yunos Husin berkata orang ramai boleh menjual minyak masak terpakai kepada PTHM di 28 pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Melaka (Japerun) dalam tempoh dua minggu lagi.

"Ramai penduduk mahupun peniaga di negeri ini masih belum mengetahui kelebihan menjual minyak masak terpakai dan kebanyakan mereka membuang bahan itu ke dalam longkang rumah mereka begitu sahaja.

"Ini menyebabkan pencemaran alam sekitar dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurutnya pada masa ini secara purata PTHM hanya dapat mengumpulkan sekitar tiga tan minyak sebulan berbanding kapasitinya memproses 50 tan sehari.

Beliau turut meminta PTHM dan pihak berkuasa tempatan di negeri itu mengadakan lebih banyak program kesedaran mengenai cara mengitar semula minyak masak terpakai yang betul kepada orang ramai. 

"Program mengenai pemprosesan minyak terpakai ini perlu diadakan secara menyeluruh dengan memberi penerangan kepada orang ramai bagaimana minyak terpakai ini boleh diguna untuk dijadikan biodiesel," katanya. 

Sementara itu PTHM melalui kenyataannya berkata selain menghantar sendiri minyak terbabit ke pejabat Japerun, orang ramai boleh mendaftar dalam talian di laman sesawang PTHM iaitu www.melakagreentech.gov.my/biodiesel. 

"PTHM akan membekalkan tong minyak masak plastik untuk kutipan minyak masak itu dan peserta boleh menyimpan sisa minyak masak mereka sehingga penuh, kemudian PTHM akan mengutip tong itu ke depoh simpanan sebelum diproses menjadi biodiesel," kata kenyataan itu.

Penggunaan bahan api biodiesel boleh mengurangkan 'carbon footprint' dunia dan diiktiraf sebagai alternatif yang baik untuk diesel daripada bahan api fosil. - Bernama

Jangan pandang ringan tangga gaji pensyarah

OLEH: JAMILAH HAMZAH

Tarikh: November 4, 2013

SHAH ALAM - Majlis Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) menuntut kerajaan mengkaji semula Skim Pensyarah dan Pengajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi mengkaji pelarasan gaji baru tanpa mengira kepakaran.

Pengerusinya, Prof Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata, kerajaan tidak boleh terlepas pandang ekoran skim yang melibat pensyarah hanya dikaji 10 tahun lalu.

"Gaji pensyarah di Malaysia kita lihat ia jauh ketinggalan dengan negara lain.

"Kerajaan perlu mengkaji pencapaian pensyarah berdasarkan human developement index (HDI) atau modal pembangunan insan.

"Kerajaan tidak boleh pinggirkan pensyarah walaupun ia dilihat kumpulan kecil, namun pensyarah telah berjaya membentuk modal insan," katanya pada satu sidang media, di Hotel Intekma, hari ini.

Sebelum pembentangan Bajet 2014 lalu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) telah menyatakan akan mengkaji semula 86 skim perkhidmatan bagi memastikan gaji minimum dan elaun penjawat awam sentiasa selaras dengan kenaikan kos sara hidup semasa.

Safwan Anang tinggalkan SMM

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 4, 2013

SHAH ALAM - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan menerima pengerusi baru bagi sesi 2013/2014, kata penyandangnya Safwan Anang.

Menurutnya jawatan yang pengerusi yang dipegangnya bakal diserahkan kepada kepimpinan baru iaitu Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM, Bukhairy Sufian.

"Pasca PRU13 yang lalu telah genap setahun saya dan pimpinan lain memegang tampuk kepimpinan SMM bagi sesi 2012/2013.

"Masa ini adalah tepat untuk menyerahkan baton kepimpinan kepada kepimpinan baru SMM yang sudah semestinya akan lebih mengerti berkenaan situasi semasa yang memerlukan corak dan orientasi yang tersendiri.

"Kami berkeyakinan penuh terhadap kepimpinan baru ini akan dapat melunasi kehendak rakyat termasuk mahasiswa dalam jangka masa terdekat ini," katanya yang dipetik sebuah portal berita, hari ini.

Diserang ketika rai Deepavali

OLEH:

Tarikh: November 4, 2013

BUKIT MERTAJAM - Seorang pemandu lori yang sedang meraikan Hari Deepavali di rumahnya cedera diserang di Taman Perwira, Permatang Tinggi di sini Sabtu lepas.

Jurucakap polis berkata, lelaki berusia 42 tahun itu berada di rumah bersama keluarganya bagi meraikan Hari Deepavali sebelum didatangi seorang lelaki yang dikenalinya pada pukul 2.30 petang.

"Lelaki berkenaan dikatakan marah dan pergi ke rumah pemandu lori itu kerana mendakwa anak saudara mangsa (pemandu lori) memandu kereta dalam keadaan laju dan hampir melanggar adiknya dalam kejadian pada Jumaat.

"Dia turut mengugut untuk membunuh anak saudara mangsa dan lelaki itu bertindak mengambil batu bata di luar rumah itu serta memukul mangsa. Dia turut memecahkan tingkap rumah itu sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa minit selepas kejadian itu, dua lelaki berusia 20-an bersenjatakan dua bilah pedang samurai ke rumah pemandu lori berkenaan, tetapi kedua-dua lelaki yang tidak dikenali itu tidak dapat memasuki kediaman pemandu lori itu kerana pintu pagar rumahnya berkunci.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

Pemandu lori berkenaan cedera di muka serta beberapa bahagian badan dan dirawat di sebuah hospital swasta di sini, katanya sambil memberitahu polis sedang mengesan dua lagi lelaki yang bersenjatakan pedang samurai itu. - Bernama

Cubaan 'Pak Guard' melarikan diri gagal

OLEH: MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

Tarikh: November 4, 2013

KUALA LUMPUR - Pengawal keselamatan yang merompak sebuah kedai emas di pusat membeli-belah di Setapak Khamis lalu, berjaya ditahan polis di Terminal Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang, pagi semalam.

Lelaki Filipina yang berumur 27 tahun itu, ditahan pada jam 7 pagi bersama seorang rakan senegaranya berumur 28 tahun ketika mereka sedang menunggu penerbangan untuk ke Sabah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek ditahan di sebuah restoran makanan segera di lapangan terbang itu dengan menggunakan kad pengenalan palsu.

"Lelaki terbabit mengaku melakukan samun di kedai emas berkenaan hasil soal siasat polis. Lanjutan daripada itu, suspek utama dibawa polis ke sebuah rumah di Pandan Jaya.

"Kami berjaya menemui sepucuk pistol Smith & Weeson, lima butir peluru, satu sarung pistol dan beberapa tag harga rantai," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit menggunakan kad pengenalan palsu beridentitikan dua lelaki Melayu tempatan.

Pada Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pengawal keselamatan nekad melarikan kira-kira 100 utas rantai leher.

Pengawal terbabit mengacukan pistol ke arah pengurus kedai itu dan meminta semua pekerja kedai tersebut mencangkung dan diam sebelum melarikan semua rantai emas terbabit.

Susulan itu, polis berjaya menahan dua orang lelaki di Sentul dan Shah Alam, Jumaat lalu untuk membantu siasatan.

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment