Friday, November 28, 2014

RG2014... Fw: Pertikai Artis Berhijrah, Wan Aishah Jawab Dr Mashitah.

 



Pertikai Artis Berhijrah, Wan Aishah Jawab Dr Mashitah.

 
 KUALA LUMPUR: "Kami bukan cerita bidang hukum hakam, kami cerita pengalaman kami untuk dijadikan iktibar," demikian luah bekas penyanyi 'Janji Manismu' Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Aishah.

Beliau yang kini sebagai Pengerusi Lajnah Kesenian, Kebudayaan & Rekreasi Muslimat PAS Pusat mengakui malu untuk menceritakan kejahilan di masa lepas namun sekiranya perjalanan hidup itu menjadi insipirasi menuju kepada kebesaran Allah ia harus disampaikan.

Tambahnya, artis mempunyai peminatnya tersendiri dan mungkin ada sesetengah mereka tidak mempeduli kata-kata dan nasihat ustazah.

"Jangan kecam niat baik kami, sama-samalah didik kami. Dakwah tanggungjawab kita bersama," katanya sebagaimana dipetik di laman Facebooknya.

Bagaimanapun beliau melahirkan rasa kecewa apabila ada mereka yang berilmu agama tinggi pula menyelar kegiatan dakwah artis-artis yang berhijrah ini.

Semalam, perwakilan Wanita Umno Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dengan lantang mempertikaikan kewujudan artis yang berhijrah menjadi ustaz dan ustazah ekspres terutama yang berada dalam PAS.

"Seperti penyanyi dan rokers menjadi ustaz, artis pakai tudung dipanggil ustazah. Kewujudan ramai ustaz ekspres dan ustazah jadian yang asal pelakon penyanyi dan rokers masuk PAS, celaru keadaan," kata Mashitah ketika berucap pada persidangan Wanita Umno. - HARAKAHDAILY
 
 
 
Hijrah Artis Bersama Pas, Apa Yang Mashitah Perlu Fahami
 
selatanonline.net
Posted by AbuJihad
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

PAS kini telah berusia 63 tahun mempersadai perjuangan di medan dakwah, siasah dan tarbiah negara ini. Harakatul ummah ini dengan kepelbagaian ahli terus menabur bakti dimedan operasi masyarakat sehingga reputasinya dalam pelbagai sektor telah menjadi tarikan pesona untuk pelbagai pihak menyertai PAS termasuk para artis, selebriti, anak seni dan budayawan.

PAS sentiasa dicemburui terutama pesaingnya , UMNO, Perhimpunan Agong Tahunan mereka adalah medan untuk membelasah PAS yang sentiasa dipandang jelek. Kali ini tidak cukup meremehkan PAS, para selebriti yang berhijrah juga menjadi medan meluahkan kebencian oleh pemimpin UMNO. Dato Mashitah Ibrahim yang menyebut kewujudan ustaz dan ustazah ekspres , iaitu merujuk para artis, bahkan rockers yang menyertai PAS terus dijulang sebagai agamawan. Cukup meleset dan berniat jahat tuduhan itu kepada insan yang mencari jalan pulang berfitrah.

Saya merasa wajar Mashitah dan UMNO difahamkan mengapa para anak seni memilih PAS sebagai wadah mereka mencari jalan untuk hidup bertuhan setelah tersesat dalam belantara industri seni yang tidak patuh Syariah negara ini. Para anak seni ini dahagakan ilmu-ilmu agama, ingin mendalami pelbagai disiplin ilmu Islam, hidup dalam lingkungan sosial yang mesra syariah dan PAS menyediakan apa yang mereka dahagakan. Usrah anak seni yang berhijrah sering diadakan daripada masa ke semasa, antara yang pernah menjadi tenaga pengisi liqa'tarbawi mereka ialah Dr Harun Din, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ust Nasruddin Hasan, Ustaz Syed Qader al Jofree dan lain- lain pimpinan PAS.

Teringat saya pengkisahan anak seni yang berhijrah yang kini paling aktif berdakwah dan membuat kerja kebajikan, Zuar XPDC bekas pemajn bass terkenal kumpulan ala Metallica Malaysia. Dalam mencari jawaban beragama setelah tersedar dalam lamunan hidup, beliau hampir diajak menyertai ajaran Qadiani, ajaran sesat Ayah Pin, ajaran sesat syiah ,namun akibat berjinak melalui kuliah ilmu akhirnya beliau mengenali PAS melalui para asatizah. Zuar sentiasa menghadiri usrah dan majlis ilmu, mendekati pembelajaran di masjid-masjid serta mula berusaha menghafal al Quran. PAS pula memanfaatkan bakat dan kebolehan yang dipunyai oleh anak seni ini untuk menarik anak muda berjinak dengan cara hidup Islam. Beliau juga aktivis sebuah NGO kebajikan tersohor negara ini yang terlibat dalam banyak misi kebajikan dan dakwah.

Seorang anak seni yang bertekad meredah samudera perjuangan bersama PAS ialah Abby Abadi, pelakon dan juga penyanyi berkumpulan dekad 90an. Abby mengakui bahawa PAS telah menyekolahkan beliau untuk memahami tasawwur Islam, mengenal hukum hakam dan memberikan rasa bahagia bila hidup beragama. Anak seni ini sentiasa hadir dalam majlis ilmu disekitar Lembah Kelang dan juga sentiasa dihargai pengalaman hidup apabila hadir dipentas-pentas ceramah, forum,talkshow anjuran PAS. Tiada pula ahli PAS yang mengustazahkan beliau , kerana tema perkongsian program beliau seputar isu mengapa masyarakat perlu berhijrah dan PAS adalah wadah terbaik untuk pengislahan diri.

Bob Lokman atau Mohd Hakim bin Lokman bin Ahmad bin Yusuf al kenali pula paling nekad berhijrah bersama harakah Islam ini. Beliau paling teruk digodam media UMNO dan dibunuh karektor kerana nuansa perjuangannya bersama PAS. Beliau cicit tok kenali, namun perjalanan hidupnya berwarna warni seperti pelangi.

Bob Lokman terselit di tengah fenomena Rock pada dekad 1980an, menjadi pencipta lirik, akhirnya ditengah keriuhan anak seniman terus membina nama dipersada seni tanah air. Bob tersungkur ditengah kegemerlapan namanya, dia tersadung dengan kesakitan. Keperitan dan kejerihan hidup bertindan tindih menerpa, meluluhlantak jiwa seorang bapa dan suami. Ujian demi ujian yang akhirnya menyeruak dunia kegelapan kepada jalan hidup berfikir.

Bob Lokman disapa hidayah tuhan dan dia sanggup menjalani kehidupan yang sederhana, membuang pakaian kesombongan yang dipakainya dalam dunia seni dengan seribu sihir yang memukau. Bob telah merasai dunia ketawa dan tiba masanya untuk dunia menangis, bersama gerakan Islam untuk memanggil insan lain untuk sama-sama merengkuh kasih sayang Tuhan. PAS adalah pilihan Bob, beliau anak saudara almarhum Ustaz Mawardi Ahmad yang juga ADUN Lundang Kelantan. Latarbelakang keturunan dan latarbelakang pengajian Islam yang Bob miliki sangat membantu beliau aktif membantu PAS, terutama menarik anak muda bersama parti Islam tertua ini.

Terlalu ramai artis dan anak seni yang berhijrah dan akhirnya memilih PAS , namun ruang ini sangat terbatas untuk ditumpahkan segala pengalaman hidup mereka. Cukuplah, untuk Mashitah dan pimpinan UMNO memahami bahawa Harakatul ummah ini sentiasa membuka pintu dan ruang untuk pengislahan insan. Ribuan para asatizah dan penyokong ulama yang sentiasa menggerakkan majlis ilmu dan bersedia mendampingi insan yang ingin kembali mencari jalan hidup fitrah. UMNO bukan pilihan membaiki diri, apatah lagi dengan kebobrokan nilai yang sediada. Rakyat disajikan dengan bius hiburan popular dan kemaksiatan yang merencahi program menarik anak muda untuk menyokong parti Melayu dihujung kuasa itu.
( Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah Pusat)

__._,_.___

Posted by: "-:eSpAcE9808:-" <rienacom@yahoo.com.sg>
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
&quot; Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/&quot;

&quot; Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net&quot;

&quot; Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam&quot;

&quot; Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/&quot;

&quot; Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.com&quot;

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.


.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment