Monday, September 23, 2013

RG2011... RE: Sinar Harian di TH 240913 bersamaan 18 Zulkaedah 1434H

 

Ekcelli, apa fungsi PLKN tu..? Cam xde pape jerrrrr….

 

From: Haron, Saipudin [mailto:Saipudin.Haron@Mattel.com]
Sent: Tuesday, September 24, 2013 8:27 AM
To: TemanHidup@yahoogroups.com; respeks_group@yahoogroups.com; mahligai@yahoogroups.com
Subject: Sinar Harian di TH 240913 bersamaan 18 Zulkaedah 1434H

 

 

Hajat buat akikah tidak kesampaian

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

GEORGETOWN - Hajat Allahyarham Kpl Zal-Azri Abdul Somad membuat akikah untuk anak lelaki bongsunya pada Hari Raya Haji bulan depan tidak kesampaian apabila maut ketika bergelut untuk menahan seorang suspek dalam Ops Lejang di Taman Teknologi Cheng di Melaka, hari ini.
   
Ibunya Zaiton Ismail, 54, yang terkejut sewaktu menerima berita kematian itu berkata anak keduanya pernah menyuarakan hasrat untuk membuat akikah sewaktu pulang berhari raya pada Ogos lepas.
   
"Walaupun sedih tapi mak cik redha dengan ketentuan ini, Zal-Azri anak yang baik dan sangat disenangi ahli keluarga dan jiran-jiran," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
   
Zaiton berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu daripada menantunya Atiqah Mohd Rosdi, 29, kira-kira pukul 9 pagi.

"Tak tergambar perasaan mak cik ketika itu. Mak cik sedih dan terkedu apabila diberitahu oleh menantu. Kali terakhir kami berjumpa semasa dia pulang beraya bulan lepas dan tiada sebarang perubahan sikap yang ditunjukkan," katanya.
   
Dalam pergelutan itu, Zal-Azri, 31, daripada Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, cedera di kepala dan muka dipercayai dipukul dengan batu dan mati di tempat kejadian.
   
Ketua Polis Melaka SAC Datuk Chua Ghee Lye berkata, Zal-Azri ditemui anggota pasukannya dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 25 meter dari tempat pergelutan itu, sebelum meninggal dunia.
   
Beliau berkata suspek yang dapat melarikan diri selepas pergelutan itu, berjaya ditahan di Krubong pada pukul 10.50 pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
   
Jenazah Allahyarham Zal-Azri dijangka dikebumikan di tanah perkubburan Islam Sungai Gelugor malam ini. - Bernama

Lelaki maut motosikal langgar tembok pencawang

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

TAWAU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi terbabas sebelum melanggar tembok pencawang elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Batu 2, Jalan Apas, awal pagi tadi.
   
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Supt Keong Ho Eng berkata dalam kejadian pukul 1 pagi itu, Are Muhammad, 23, yang tidak mempunyai lesen sedang dalam perjalanan dari bandar Tawau ke Batu 3 di sini.
   
"Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar tembok pencawang SESB," kata dalam kenyataan hari ini.
   
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di  tempat kejadian. - Bernama

 

Pelatih PLKN Kem Pinggiran Putra meninggal dunia

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

KUANTAN - Seorang pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah, mati di Hospital Muadzam Shah, selepas ditemui rakannya dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik air, kira-kira jam 12.04 tengah malam tadi.
    
Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18, dari Kerdau, Temerloh dijumpai seorang rakannya dalam keadaan terbaring sebelum memanggil ketua komandan kem yang kemudiannya menghantar mangsa ke Hospital Muadzam Shah sebelum disahkan meninggal dunia.
    
Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Jabatan Latihan Khidmat Negara, Rozainor Ramli, ketika dihubungi Bernama berkata punca kematian masih dalam siasatan.
    
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Supt Johari Yahaya yang mengesahkan kematian pelatih tersebut berkata mayat pelatih berkenaan masih dibedah siasat di Hospital Muadzam Shah.
    
"Polis masih menunggu laporan bedah siasat yang dijangka selesai petang nanti," kata Johari.  - Bernama

 

60 peratus jemaah haji berada di Tanah Suci

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

MAKKAH - Hampir 60 peratus atau lebih 12,000 jemaah haji Malaysia kini sudah berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah bagi menunaikan ibadah haji bulan depan.

Pihak berkuasa Arab Saudi menetapkan kuota 22,320 jemaah haji dari Malaysia untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini. 

Ketua Rombongan Haji Malaysia Tabung Haji (TH), Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jumlah jemaah haji Malaysia sekarang semakin ramai di Makkah setelah penerbangan terus membawa jemaah haji ke Makkah bermula semalam.

Beliau berkata, jemaah haji Malaysia di Makkah kini berjumlah hampir 7,000 orang manakala yang masih berada di Madinah telah berkurangan dan sedang memasuki Makkah secara berperingkat sehingga 28 September.  

"Pada hari ini tiga lagi penerbangan yang membawa 910 jemaah haji terus ke Makkah dan TH menyambut kira-kira 1,000 jemaah di Makkah termasuk yang tiba dari Madinah pada setiap hari," katanya kepada pemberita di sini hari ini.  

Syed Saleh berkata, setakat ini lima daripada lapan maktab TH di Makkah telah beroperasi sepenuhnya dan TH juga telah mengatur program-program untuk jemaah.

Katanya, antara program itu ialah ulangkaji tatacara ibadat haji dan juga lawatan ke tempat-tempat bersejarah.

"Mulai sekarang, jemaah haji dari Malaysia telah memakai ihram kerana mereka memasuki terus ke Makkah dan perlu mengerjakan umrah. 

"Disebabkan itu kita juga menempatkan dua pegawai bimbingan ibadah di setiap stesen pelepasan bagi membimbing dan menasihati jemaah haji mengenai pantang
larang," katanya.

Penerbangan akhir musim haji tahun ini ialah pada 9 Oktober dan hari wukuf di Arafah ialah 14 Oktober. – Bernama

Lelaki mati dalam keadaan melecur seluruh badan

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki, dipercayai penagih dadah ditemui mati dalam keadaan melecur hampir keseluruhan badannya di tepi jalan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini hari ini.
    
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata mayat lelaki tanpa identiti dan berumur lingkungan 20-an itu ditemui orang awam dalam keadaan bogel pada pukul 1 tengah hari sebelum memaklumkannya kepada polis.
    
"Polis yang tiba 10 minit kemudian, menemui mayat lelaki itu...turut berada bersamanya di situ adalah beberapa tin 'thinner' dan peralatan untuk menghisap dadah.
    
"Polis percaya lelaki itu mati kerana disambar api yang terhasil daripada tin 'thinner' yang meletup ketika lelaki itu asyik melakukan 'aktivitinya' di kawasan itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
    
Mohan berkata hasil siasatan polis menunjukkan, lokasi itu yang dikelilingi hutan kecil, sering menjadi lokasi penagih untuk menghisap dadah serta menghidu gam dan 'thinner', selain menjadi jalan pintas kepada orang awam.
    
"Lelaki itu dipercayai mati dalam tempoh 24 hingga 48 jam lepas. Mayatnya  dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat," katanya. - Bernama

Pemuda dipenjara seumur hidup kerana membunuh

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

SIBU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang pemuda kerana mendapatinya bersalah bagi empat tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 dan satu cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
    
Pemuda berusia 19 thun itu didapati bersalah membunuh ahli perniagaan Ling Tong Hock, 36, ibu Ling yang berusia 76 tahun Leong Nyuk Lan, anak lelakinya David Ling Chei Qi, 10 dan anak perempuannya Amy Ling Zi Jiun, 7, dengan memukul mereka hingga mati menggunakan tukul besi.
    
Dia juga didapati bersalah bagi tuduhan cuba membunuh seorang lagi anak lelaki Ling bernama Kelvin Ling Chei You di rumah mereka di Jalan RTM di sini pada kira-kira pukul 7 pagi 3 Jan 2012.   
    
Ketika mengumumkan keputusan penghakimannya, Hakim Supang Lian berkata ketika kesalahan itu dilakukan, pemuda berkenaan berusia 17 tahun tujuh bulan dan dengan itu ditakrifkan sebagai 'kanak-kanak' mengikut Seksyen 2 Akta Kanak-kanak 2011.    

"Berdasarkan hakikat ini, bagi keempat-empat tuduhan membunuh itu, mengikut Seksyen 97 (1) Akta Kanak-kanak 2001, hukuman mati tidak boleh dikenakan atau direkod terhadap tertuduh.
   
"Mengikut Seksyen 97(2) Akta sama, hanya terdapat satu hukuman bagi menggantikan hukuman bunuh. Mahkamah akan memerintahkan seseorang yang disabitkan kesalahan membunuh ditahan di dalam penjara atas perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak," katanya.
    
Beliau berkata bagi tuduhan cuba membunuh pula, hukuman maksimum yang diperuntukkan undang-undang ialah 20 tahun penjara.
    
Katanya laporan yang disediakan Dr Zul Imran Malek Abdul Hamid menunjukkan mangsa (Kelvin Ling) mengalami luka teruk, mungkin akibat dipukul berkali-kali dengan objek tajam seperti kepala tukul yang bersegi.
    
"Pada saya, ia merupakan satu serangan menggila dan adalah sesuatu yang melampaui keajaiban sekiranya mangsa bukan sahaja boleh terselamat daripada kejadian dahsyat itu, tetapi akan kembali sembuh.
    
"Bagaimanapun, ia tetap merupakan jenayah yang amat dahsyat dan menyebabkan kesakitan yang amat sangat, sama ada terhadap fizikal atau emosi dan psikologi seperti yang dinyatakan dalam kenyataan impak mangsa," katanya.
    
Supang berkata laporan pegawai kebajikan Ali Taha Ayang "menggambarkan tertuduh adalah seorang anak muda yang lebih suka menyepikan diri dan melakukan sesuatu aktiviti secara bersendirian daripada berinteraksi dengan orang lain dan amat tidak matang dari segi berfikir".
    
"Hasil pemerhatian ini adalah sejajar dengan laporan pemerhatian psikiatrik daripada pengarah Hospital Sentosa Dr Lau Kim Kah di Kuching, yang menyebut bahawa tertuduh mengalami 'Asperger's Disorder', berdasarkan gangguan yang dialaminya dari segi interaksi sosial, tingkah laku terhad dan streotaip hingga menyebabkannya mengalami gangguan teruk dari segi fungsi sosial, pekerjaan dan psikologi," katanya.
    
Beliau berkata berdasarkan bukti yang dikemukakan semasa perbicaraan dan pemeriksaan latar belakang yang dilakukan Ali Taha, keluarga tertuduh "besar kemungkinan merupakan sebuah keluarga disfungsi".
    
"Saya berpendapat tertuduh boleh membahayakan orang lain jika tidak ditempatkan di dalam kurungan," katanya.
    
Beliau berkata walaupun pemuda itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, undang-undang tetap menuntut hukuman bagi tuduhan kelima dan oleh itu dia dikenakan hukuman lapan tahun penjara, yang berjalan serentak dengan hukuman bagi tuduhan membunuh.
    
Timbalan pendakwa raya Franklin Ganggan Bennet mewakili timbalan pendakwa raya Ab Hamid pada penghakiman itu, manakala Daren Ling mewakili pihak pendakwa. - Bernama

Polis Selangor tahan 3 suspek, rampas DVD haram

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

SHAH ALAM - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor menahan tiga suspek dan merampas 8,179 keping DVD haram bernilai RM60,000 di sebuah kondominium mewah di Petaling Jaya Jumaat lepas.
    
Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata suspek berkenaan ialah seorang lelaki warga Myanmar berusia 30 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan dua penduduk tempatan dipercayai penjual serta pembungkus DVD haram untuk sebuah sindiket.
    
Beliau berkata polis turut menemui sepasang gari, lampu suluh, dua kelopak peluru pistol, sarung pistol, peluru plastik, peluru bebola besi dan sebilah pisau 'Luminox' di kondominium berkenaan.
    
Siasatan awal terhadap suspek lelaki warga tempatan itu membawa polis ke sebuah premis di Amcorp Mall, Petaling Jaya pada hari sama dan menemui sepucuk pistol tiruan hitam jenama Milspec dan satu kelopak peluru kosong.
    
Mohd Shukri berkata suspek ditahan reman dari Sabtu lepas hingga esok dan kes DVD haram disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Penapisan Filem 2002 manakala kes pistol tiruan disiasat mengikut Seksyen 2 Akta Senjata Api 1959.
    
Beliau berkata siasatan juga dijalankan bagi mengetahui operasi sindiket penjualan DVD haram yang disyaki beroperasi sejak tahun lepas bagi pasaran di negeri ini. - Bernama

Dua didenda tahan, pecah cermin bas pada PRU13

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

KLANG - Dua lelaki masing-masing didenda RM700 dan RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menahan serta memecahkan cermin sebuah bas di Pandamaran pada 5 Mei lepas.
   
Majistret Mohd Fadhly Yaacob menjatuhkan hukuman itu ke atas penjual telefon bimbit Gew Chen Hsiang, 32, dan juruteknik pendingin hawa Chua Kian Boon, 21, selepas kedua-dua tertuduh menukar pengakuan masing-masing kepada bersalah.
   
Gew didakwa bersama-sama empat lagi yang masih bebas menahan secara salah bas Wawasan Sutera T&T Sdn Bhd dinaiki 23 penumpang di Jalan Sijangkang pada kira-kira 3.45 petang mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
   
Chua pula didakwa bersama-sama beberapa individu lain yang masih bebas terlibat dalam rusuhan dan menggunakan batu sebagai senjata untuk memecahkan cermin bas berkenaan di tempat, masa dan tarikh yang sama.
   
Dia didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.    
   
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Mahmoodah Abd Latiff manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam V. Murali dan C.Y. Ng.
   
Gew dan Chua membayar denda. - Bernama

NGO serah petisyen, mahu temukan Anwar, Dr M

Oleh: MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

Tarikh: September 23, 2013

PETALING JAYA - Dua badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan petisyen bagi mempertemukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad di pentas sama.

Kedua-dua pemimpin ini ingin dipertemukan di pentas kemuncak jelajah Bantah TPPA pada 10 Oktober ini.

Siri Jelajah TPPA di seluruh negara bermula sejak 17 September lalu.

Oleh yang demikian, kedua-dua NGO ini, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berhasrat mahu kedua-dua pemimpin ini yang dilihat menolak perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) untuk berada di pentas raksasa anjurannya.

Menurut Pengerusi SMM, Safwan Anang, tujuan utama penganjuran jelajah ini ialah untuk membangkitkan kesedaran umum tentang bahana perjanjian TTP.

"Perjanjian ini akan mengawal ekonomi negara kecil seperti Malaysia, ianya akan menjadi barah yang sama sekali boleh menggangu gugat kedaulatan negara," katanya ketika menyerahkan petisyen undangan ini kepada setiausaha politik Anwar, Mohd Farhan di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Terdahulu petisyen undangan Tun Mahathir diserahkan oleh SMM di pejabatnya di Perdana Leadership Foundation Putrajaya.

Namun petisyen tersebut hanya dapat diserahkan kepada pengawal keselamatan kerana ketiadaan Dr Mahathir di pejabat.
.
Sementara mengulas lanjut mengenai pemilihan dua nama pemimpin besar ini, Safwan berkata, dengan kehadiran kedua-dua pemimpin ini diharap akan memberi kesan dan aspirasi yang besar kepada rakyat khususnya dalam usaha menentang Perjanjian TTP.

"Rakyat harus disedarkan betapa perjanjian ini adalah 'keganasan ekonomi' yang bukan sahaja bakal menyebabkan rakyat ditindas oleh konglomerat bertaraf dunia yang bersifat 'samseng antabangsa' secara terus, malah maruah negara turut tergadai," katanya.

#BantahTTPA ini adalah anjuran bersama SSM, SAMM dengan kerjasama Gabungan membantah TTP (Bantah) dengan pendokong utamanya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

6 bot laut dalam ditahan

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perikanan Terengganu menahan enam buah bot pukat tunda Zon C (laut dalam) kerana menceroboh dan melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan pesisir pantai malam semalam.

Kesemua bot terbabit yang didaftarkan di Pahang ditahan kira-kira enam batu nautika dari Pulau Kapas, kata Pengarah Perikanan Terengganu, Abdul Khalil Abdul Karim.

Dalam operasi pukul 12 tengah malam itu, 36 nelayan warga Thailand dan seorang tekong dari Selangor ditahan, katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya ada antara bot yang ditahan itu pernah ditangkap kerana melakukan kesalahan sama.

"Operasi dijalankan selama dua jam bermula 10 malam hasil aduan nelayan tempatan," katanya.

Abdul Khalil berkata antara kawasan yang sering diceroboh ialah di Marang, Merchang serta Pulau Kapas dan pihaknya akan menjalankan operasi berterusan bagi membanteras kegiatan itu.

"Pihak kami memandang serius perkara ini kerana selain menjejaskan pendapatan nelayan mereka juga telah melanggar syarat lesen (Zon C) memukat ikan bawah 12 batu nautika dari pantai," katanya.

Kesemua nelayan terbabit yang berusia antara 20 dan 30 tahun ditahan reman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, manakala hasil tangkapan pula akan dilelong, katanya.

Sementara wakil nelayan Awang Omar, 63,  berkata pencerobohan bot pukat tunda semakin berleluasa terutama di Pulau Kapas.

"Bot ini melakukan aktiviti menunda ikan pada waktu malam dan sejak tiga bulan lalu hampir 400 unjam yang dibuat oleh nelayan pesisir pantai rosak akibat aktiviti tersebut," katanya. - Bernama

Polis maut bergelut suspek curi besi buruk

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

MELAKA - Seorang koperal polis maut ketika bergelut untuk menahan seorang suspek dalam Ops Lejang di Taman Teknologi Cheng di sini, hari ini.

Dalam pergelutan itu, Kpl Zal-Azri Abdul Somad, 31, dari Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, cedera di kepala dan mati di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata Zal-Azri menyertai operasi itu bersama seorang pegawai dan tiga anggota lain
dari bahagian itu untuk menangkap sekumpulan lelaki yang disyaki cuba mencuri besi buruk di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Cheng awal pagi ini.

Polis berjaya menahan tiga lelaki masing-masing berusia 17, 22 dan 23 tahun dan kira-kira pukul 8.30 pagi, seorang daripada suspek itu cuba melarikan diri.

"Zal-Azri cuba menahan suspek berusia 17 tahun itu dan berlaku pergelutan antara mereka menyebabkan anggota kami cedera di kepala," katanya kepada pemberita di sini hari ini.   

Raja Shahrom berkata suspek yang dapat melarikan diri selepas pergelutan itu, berjaya ditahan di Krubong pada pukul 10.50 pagi ini.

Beliau berkata serbuan ke kawasan kilang itu dibuat setelah polis mendapat maklumat tentang sebuah lori curi yang digunakan untuk kegiatan mencuri besi buruk berada di kawasan itu.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Zal-Azri telah berkhidmat selama 15 tahun sebagai anggota polis dan baharu dua bulan ditukarkan ke bahagian itu berdasarkan perkhidmatan cemerlangnya
sebelum ini di Alor Gajah," katanya.

Raja Shahrom berkata Zal-Azri yang berasal dari Pulau Pinang meninggalkan seorang balu dan dua anak. - Bernama

3 suspek tembak pengasas Ambank ditahan

Oleh: AHMAD ISMADI ISMAIL

Tarikh: September 23, 2013

KUALA LUMPUR – Suspek utama yang terlibat dalam kes pembunuhan pengasas Ambank  Hussain Ahmad Najadi,  ditahan bersama dua rakannya  dalam serbuan polis di sebuah rumah di Larut Tin Tambahan,Taiping Perak jam 12.30 malam tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ketiga –tiga suspek berusia 26 hingga 31 tahun ini kini ditahan dan akan disiasat dibawah Seksyen 302 dan 212 kanun keseksaan," katanya pada sidang media di IPPKL, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2 petang, 29 Julai lalu, mangsa yang berusia 75 tahun dan isteri, Cheong Mei Kuan, 49, mengunjungi  Tokong Kuan Yin di Jalan Ceylon, dekat sini, dipercayai untuk berbincang dengan seorang rakan niaga bergelar Datuk mengenai pembelian saham.

Walaupun bagaimanapun, ketika berjalan di parkir kereta untuk pulang, suspek ditembak oleh salah seorang daripada tiga lelaki  yang bersedia menunggunya di luar tokong.

Wartawan nyaris jadi mangsa samun

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 23, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang wartawan sebuah majalah terbitan Kumpulan Media Karangkraf (KMK) berhadapan detik cemas apabila dia nyaris jadi mangsa kes pecah cermin kereta dan samun dalam satu insiden di Taman Desa Petaling, Jumaat lalu.

Ketika kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Khairun Nisa Ishak, 33, yang bersendirian menghentikan kereta Proton Saga miliknya di persimpangan lampu isyarat ketika dalam perjalanan balik kerja.

Katanya, dua lelaki menaiki sebuah motosikal menghampiri keretanya, sebelum salah seorang daripada mereka memecah tingkap kereta di tempat duduk penumpang.

"Saya melihat salah seorang daripada mereka memegang satu objek seperti penukul besi, manakala seorang lagi cuba ragut beg tangan yang diletakkan di tempat duduk penumpang.

"Saya segera merampas semula beg, sebelum kedua-dua suspek yang panik itu melarikan diri," katanya.

Khairun Nisa berkata, dia membuat laporan di balai polis berhampiran sejurus kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, kejadian seperti itu boleh dicegah dengan orang ramai mengambil langkah berwaspada terhadap keadaan sekeliling.

"Jangan letak beg tangan atau barang berharga di tempat duduk penumpang kerana ia menarik perhatian penjenayah.

"Orang ramai juga perlu gunakan cermin sisi dan belakang untuk melihat motosikal yang dinaiki individu yang mencurigakan," katanya.

Ahli Geng 18, GRO asing ditahan di pub

Oleh: HASNIZA HUSSAIN

Tarikh: September 23, 2013

KLANG - Seorang ahli kumpulan kongsi gelap dari Geng 18 ditahan ketika sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Batu Nilam 21C, Bandar Bukit Tinggi, di sini, awal pagi semalam.

Turut ditahan dalam Ops Cantas Khas oleh Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Selangor itu, 15 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang bekerja di premis terbabit.

Pegawai Turus Cawangan D7 Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, dalam serbuan kira-kira jam 12.15 pagi itu, 50 pengunjung premis diperiksa.

Dalam pemeriksaan itu, katanya, pihaknya mengesan seorang lelaki mempunyai tatu menyerupai lambang kumpulan kongsi gelap Geng 18.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 29 tahun itu menyertai kumpulan kongsi gelap terbabit sejak berusia 15 tahun.

Katanya, suspek lelaki itu turut membelanjakan kira-kira RM1,400 untuk membuat tatu lambang kumpulan tersebut di beberapa bahagian badannya.

Dalam perkembangan sama, Rohan Shah berkata, seramai 15 GRO asing termasuk seorang berusia 18 tahun turut ditahan.

"Sembilan daripada mereka termasuk seorang berusia 18 tahun warga Vietnam, empat warga Thailand, seorang warga Indonesia dan seorang warga Myanmar.

"Kesemua mereka ditahan kerana didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial," katanya, semalam.

Katanya, turut ditahan, seorang penjaga premis tempatan dan semakan menunjukkan kelab hiburan itu pernah diserbu polis sebelum ini.

"Kesemua GRO, penjaga premis serta seorang ahli Geng 18 yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan bagi tindakan selanjutnya," katanya.

 

Nizar: Saya bukan saudara Chin Peng

Oleh: NURUL MAZWANA HAMDAN

Tarikh: September 23, 2013

IPOH  – Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan tuduhan yang mengaitkan dirinya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

 Menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah yang amat dahsyat, Mohammad Nizar secara berseloroh menawarkan DNA miliknya untuk dibandingkan dengan DNA milik bekas pemimpin PKM itu bagi membuktikan kesahihan penafiannya.

 "Ini merupakan satu fitnah yang amat dahsyat kepada diri saya. Ambillah DNA saya dan periksalah daripada debu-debu Chin Peng sama ada saya ada hubungan tali kekeluargaan, saya pun nak tahu  juga, kalau mereka buktikan dengan DNA, saya boleh buat pertimbangan semula.

 "Sebenarnya kita semua ini satu keturunan, itu sahaja. Saya menafikan sekeras-kerasnya.. Kalau mereka buktikan dengan DNA, saya boleh buat pertimbangan semula" katanya tersenyum.

 Sebelum ini, beberapa buah blog mendakwa Adun Changkat Jering itu mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng, di mana ibunya dikatakan merupakan sepupu kepada bekas pemimpin pengganas itu.

 Memetik dakwaan sebuah blog, Kulaan Niring (http://kulaanniring.blogspot.com), Chin Peng juga adalah bapa saudara kepada Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming.

 Kor Ming sebelum ini turut menafikan dakwaan tersebut.

Wisma Putra gesa tangguh perjalanan ke Mesir

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

KUALA LUMPUR - Wisma Putra sekali lagi menasihat warga Malaysia yang tidak mempunyai rancangan penting di Mesir supaya menangguh atau menjadual semula pelan perjalanan ke negara itu.  
   
Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata ini memandangkan keadaan keselamatan serta ketidaktentuan suasana politik di negara itu sekarang.
 
Kerajaan Mesir telah juga melanjutkan perintah darurat selama sebulan yang diisytiharkan pada 14 Ogos, ke dua bulan lagi berkuatkuasa 12 Sept, kata kenyataan itu.  
   
Kenyataan itu menambah pihak berkuasa Mesir kini membuat opsyen keselamatan di beberapa kawasan iaitu Kirdasah di Kaherah; bandar Delga di wilayah Minya dan Wilayah Sinai Utara.
   
"Warga Malaysia kini di Mesir dinasihat mengelakkan kawasan-kawasan tersebut," ujar kenyataan tersebut.
   
Kementerian juga menasihatkan mereka menghubungi Kedutaan Malaysia di Kaherah untuk maklumat terkini.  
   
Kedutaan terletak di 21 El Aanab Street, Mohandesseen, Giza dan boleh dihubungi di (202) 37610013/19/68/73 atau faks di (202) 37610216 atau e-mel di malcairo@kln.gov.my. - Bernama

Kedatangan Obama bukan satu kebanggaan: Nik Aziz

Oleh: MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

Tarikh: September 23, 2013

SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan kedatangan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia bukanlah satu kebanggaan buat rakyat negara ini.

Sebaliknya kunjungan Obama ke Malaysia hanyalah dianggap sebagai lambang kerjasama yang telah terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara tersebut.

"Tiada yang membanggakan jika Malaysia dikunjungi Presiden Amerika kerana ia hanyalah mengesahkan hubungan baik antara kedua-duanya yang telah terjalin sekian lama.

"Kunjungan tersebut juga hanyalah tanda terima kasih Amerika Syarikat kepada Malaysia yang selama ini menyokong pendirian Amerika dalam pelbagai isu antarabangsa termasuk
dalam isu rampasan kuasa tentera di Mesir yang mana Malaysia hanya sanggup menyatakan tidak setuju dengan kadar yang paling minimum sahaja," katanya menerusi laman Facebook hari ini.

Dalam laporan media tempatan baru-baru ini, Obama akan melawat Malaysia dalam rangka lawatan empat negara Asia pada Oktober ini..

Obama dijangka akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan yang disifatkan sebagai "mengukuhkan hubungan dua hala yang semakin berkembang" di antara kedua-dua negara.

Kenyataan daripada Rumah Putih turut menyebut bahawa Obama akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Keusahawanan Global yang akan diadakan di ibu negara pada 11 hingga12 Oktober.
 Kali terakhir Malaysia menerima lawatan Presiden Amerika Syarikat ialah pada 1966, oleh Presiden Lyndon Johnson.

Hanya 0.45 peratus banduan kembali ke penjara

Oleh: RAZIATUL HANUM A.RAJAK

Tarikh: September 23, 2013

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan mengesahkan kejayaan program Pusat Pemulihan Pemasyarakatan (PPP) apabila jumlah kemasukan berulang ke penjara hanya 0.45 peratus.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kejayaan itu turut menjimatkan kos di mana kerajaan tidak perlu lagi membina penjara baru.

"Setakat semalam, jumlah banduan yang telah keluar 2664 dan jumlah kemasukan berulang hanya 0.45%.

"Ini satu kejayaan dalam usaha kita nak memastikan kepelbagaian kemahiran kepada banduan-banduan ini.

"Kerajaan tidak lagi perlu membina penjara baru yang menelan belanja antara RM50 juta hingga RM60juta," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Melalui inisiatif PPP ini, banduan diberi latihan dan kemahiran untuk dapat hidup berdikari serta menyumbang kepada peningkatan sosio ekonomi.

Mengulas lanjut soal kejayaan itu, beliau menyifatkan kini negara berada dalam landasan terbaik.

"Saya rasa fakta angka ini membuktikan kita berada di landasan terbaik.

"Ini adalah keputusan kepada rehabilitasi yang dijalankan yang memberikan mereka kemahiran supaya mereka boleh masuk ke dalam masyarakat," katanya.

Isu khutbah: Islam tak musuhi Kristian

Oleh: RAZIATUL HANUM A.RAJAK

Tarikh: September 23, 2013

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan bahawa tidak wujud istilah agama Islam membenci agama Kristian.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham pada persidangan Dewan Rakyat pertama, hari ini.

Dalam jawapannya, Jamil Khir menjelaskan bahawa Islam menghormati agama-agama lain di negara ini.

"Tidak ada dalam konteks di negara ini yang membenci agama Kristian.

"Kita hormati agama-agama lain. Islam tak pernah memusuhi mana-mana agama," katanya.

Koo Ham mendakwa dalam khutbah bertarikh 30 Ogos lalu menyebut bahawa orang Kristian dianggap musuh oleh orang Islam.

Sebelum dibenar mengemukakan soalan, beliau sempat diingatkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa isu agama adalah sensitif.

Insentif kahwin 29 pasangan ibu, bapa tunggal

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

MARANG - Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyediakan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada 50 ibu dan bapa tunggal yang melangsungkan perkahwinan di dewan bangunan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Marang di sini hari ini.
   
Pengarahnya, Mohd Safaruddin Mustaffa berkata setiap ibu atau bapa tunggal menerima RM2,000.
   
"Daripada 29 pasangan yang berkahwin di daerah Marang ini, 21 adalah pasangan ibu tunggal dengan bapa tunggal, lima pasangan ibu tunggal dengan teruna dan tiga pasangan bapa tunggal dengan anak dara.
   
"Insentif ini diharap dapat meringankan beban kewangan golongan itu untuk meneruskan kehidupan baharu bersama pasangan masing-masing, seterusnya memastikan institusi keluarga di negeri ini terus kukuh untuk pembinaan generasi cemerlang pada masa depan," katanya kepada pemberita.
   
Majlis perkahwinan itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri Terengganu A Latiff Awang.

YPKT membelanjakan kira-kira RM380,000 sebagai insentif kepada 191 pasangan ibu dan bapa tunggal bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
   
Kemaman mencatat jumlah perkahwinan tertinggi iaitu 47 pasangan, Marang (29), Hulu Terengganu dan Dungun (masing-masing 25), Kuala Terengganu (23), Besut (18) manakala Setiu serta Kuala Nerus (12).
   
Mohd Safarudin juga berkata kerajaan negeri Terengganu, melalui YPKT, memperuntuk kira-kira RM600,000 bagi membiayai 300 ibu dan bapa tunggal yang dijangka berkahwin tahun ini.
   
"Sehingga kini, sebanyak 262 ibu dan bapa tunggal layak menerima insentif itu daripada 287 permohonan yang diterima pada tahun ini.
   
"Mereka yang ingin berkahwin boleh mengisi borang yang disediakan, dan mestilah rakyat negeri ini sahaja," katanya. - Bernama

'Itu gimik politik'

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 23, 2013

KOTA TINGGI - Tindakan pihak tertentu membangkitkan kononnya Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai tali barut Jepun jelas membuktikan satu pembohongan.

Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, tindakan pihak terbabit menyebarkan fitnah ke atas Perdana Menteri Malaysia kedua itu juga disifatkan sebagai gimik politik yang cetek.

"Kalau nak bercerita, cerita betul-betul. Ini tidak, kenapa yang pernah menjadi askar Force 136 yang berjuang demi masa depan Malaya ketika itu tidak digembar-gemburkan?

"Apa yang saya lihat, ia hanyalah gimik politik oleh mereka yang cetek akal.

"Bukti dan fakta Tun Abdul Razak menjadi askar adalah memperjuangkan hala tuju rakyat Malaya dan saya harap rakyat masa kini tidak percaya dengan isu ini," katanya, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu yang mendakwa Tun Abdul Razak sebagai tali barut kepada Jepun yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.

Mengikut sejarah, Tun Abdul Razak menyertai Wataniah (gerakan Melayu anti-Jepun) menjadi agen menyamar di bawah pentadbiran Jepun.

Difahamkan, Tun Abdul Razak yang merupakan salah seorang daripada Force 136 terlibat dalam memporak-perandakan tentera Jepun semasa penjajahan Jepun di Malaya ketika itu.

Pada pertemuan sama, Abdul Azeez menyokong dengan tindakan kerajaan yang tidak membenarkan jasad atau abu mayat bekas Setiausaha Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

"Saya memuji tindakan berani Perdana Menteri kerana mengarahkan abu mayat Chin Peng tidak dibawa pulang ke tanah air.

"Sejarah terdahulu cukup memberi kesan kepada keluarga mangsa yang masih hidup malah mengguris hati rakyat," katanya.

Selain itu, beliau turut menyatakan keyakinan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan perdana menteri mampu mengangkat martabat sosioekonomi Melayu-Bumiputera.

"Saya optimis pelbagai program telah dikaji dan dirancang untuk mengangkat martabat Bumiputera malah yakin ia akan berjaya sekali gus Bumiputera tidak menjadi pengemis di bumi ini," katanya.

Hati tenang bila dengar azan

Oleh: AZLINA OTHMAN

Tarikh: September 23, 2013

JOHOR BAHRU – "Mendengar kelunakan bilal melaungkan azan di subuh hari sejak berusia tujuh tahun meskipun tidak mengetahui maksudnya menyebabkan hati jadi lebih tenang.

"Malah saya mulai tertanya-tanya apakah makna di sebalik kalimah suci itu," luah Saifuddin Yong Abdullah, 55.

Menurutnya, pergaulan bersama masyarakat Islam di tempat tinggalnya dan rakan di sekolah juga membuatkan dirinya semakin tertarik untuk mengucap dua kalimah syahadah sekali gus membawa kepada pengislamannya sejak 36 tahun lalu.

"Ketika itu saya baru sahaja berusia 19 tahun. Selepas memeluk Islam, saya memberitahu kepada ibu dan ayah saya. Ibu saya menangis manakala ayah saya hanya diam sahaja. Mereka tidak pula memarahi saya, begitu juga kakak dan abang saya.

"Lama-kelamaan mereka mulai menerima dan merestui keputusan saya selepas mendengar ceramah daripada televisyen tentang saudara baru yang memeluk Islam dalam bahasa Mandarin dan hingga kini hubungan kami sekeluarga tetap baik," katanya kepada media selepas ditemui pada Seminar Al-Quran sebagai Penawar di Pusat Islam Iskandar, di sini, semalam.

Saifuddin berkata, selepas tiga tahun memeluk Islam, beliau mendapat mimpi yang masih diingati hingga kini iaitu melihat batu nisan di dalam air lautan yang jernih dan terdengar suara yang menyebut akan menyeksanya sebanyak tiga kali.

"Kemudian saya terus tersedar. Saya tanya rakan-rakan dan jiran-jiran yang baik dengan saya tentang mimpi itu. Mungkin mimpi itu memberi petunjuk supaya saya lebih taat akan perintah-Nya dan meninggalkan perkara yang dilarang.

"Selain itu, selepas memeluk Islam saya dapat rasakan seperti malaikat bersama dan bantu saya kerana dalam masa sejam sahaja buat kali pertama saya dapat menghafal bacaan dalam solat iaitu surah Al-Fatihah dan bacaan tahiyat awal dan
tahiyat akhir. Saya amat yakin dengan perasaan itu," katanya.

Kemanisan pengislaman Saifuddin Yong tambah bermakna apabila beliau bertemu jodoh dengan isterinya yang berbangsa Melayu selepas lima tahun menjadi Muslim dan kini dikurniakan tiga zuriat berusia 11 hingga 27 tahun berserta tiga orang cucu.

"Syukur walaupun berlainan agama ibu dan ayah saya tetap menerima menantu, cucu dan cicitnya. Hubungan kami juga sangat akrab.

"Berbeza agama tidak menjadi halangan kami untuk hidup bahagia. Saya juga masih kerap datang ke kelas agama bagi mendalami ilmu tentang Islam," katanya.

Anggota polis cedera dilanggar

Oleh: SITI NOOR SEPEE

Tarikh: September 23, 2013

JOHOR BAHRU – Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam patah kaki kiri dan kedua belah tangan selepas dirempuh sebuah kereta.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari kelmarin itu, Lans Koperal Mohd Redzuan dirempuh sebuah kereta yang dipandu secara berbahaya.

Mohd Redzuan berkata, ketika kejadian, dia sedang melakukan rondaan di Jalan Dedap, Taman Johor Jaya bersama empat anggota lain sebelum mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, ketika diarah berhenti, suspek bertindak memusingkan kenderaan terbabit dalam cubaan untuk meloloskan diri dengan keluar semula dari Jalan Kampung Baru Plentong menghala ke laluan Masai Lama.

"Ketika kejadian kejar mengejar itu, saya yang datang dari arah Giant Plentong dirempuh kenderaan dinaiki suspek yang tiba-tiba keluar secara mengejut dari simpang tiga.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dan akibat pelanggaran itu, saya tercampak ke bahu jalan.

"Selepas itu, saya tidak ingat apa-apa, sedar-sedar sudah berada di hospital," katanya selepas menerima kunjungan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff di Hospital Sultan Ismail, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ahmad dan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin.

Mohd Redzuan berkata, kejadian itu merupakan kali pertama menimpanya sepanjang enam tahun berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Mohd Mokhtar memberitahu, kedua-dua suspek berumur 30an berjaya ditahan dan kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

"Saya ingin ingatkan kepada semua pihak supaya memberikan kerjasama kepada pihak polis dan patuhi undang undang.

"Tidak perlu takut jika tidak bersalah. Jika diarah berhenti, sila ikut arahan, jangan sesekali membahayakan dan menyusahkan orang lain.

"Sudah tentu ada sebab mengapa pihak polis bertindak demikian, bukan kita suka-suka mengeluarkan arahan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar memaklumkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan diketuai timbalannya, Datuk Ismail Yatim dalam mengurangkan kadar jenayah berkaitan kes melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di negeri ini.

Katanya, polis juga akan memanggil semua pihak yang berkaitan bagi meningkatkan tahap keselamatan ATM dalam masa terdekat.

 

Al-Shabaab ancam bunuh tebusan

Oleh:

Tarikh: September 24, 2013

NAIROBI - KENYA . Kumpulan militan al-Shabaab, mengancam membunuh kesemua tebusan di pusat beli-belah Westgate di ibu negara selepas tentera mara untuk menumpaskan anggota rangkaian al-Qaeda tersebut.

Jurucakap kumpulan itu, Ali Mohamud Rage memberitahu, anggota mereka diberi kuasa mengambil 'tindakan' jika berterusan menerima tekanan daripada pihak berkuasa yang bertindak meningkatkan operasi sejak 72 jam lalu.

Dalam perkembangan lain, tiga letupan kuat tercetus menyebabkan kepulan asap tebal di premis terbabit disusuli bunyi tembakan bertalu-talu.

Jurucakap tentera Kenya (KDF), Cyrus Oguna berkata, mereka mengawal hampir seluruh kawasan kompleks setinggi empat tingkat itu.

"Kami masih tidak dapat memastikan nasib tebusan lain," katanya dipetik dari laporan AFP.

Sementara itu, Pusat Operasi Bencana Nasional mengesahkan, anggota keselamatan melancarkan serangan besar-besaran untuk menamatkan insiden serangan berdarah tersebut.

"Kami akan menentang pencerobohan ini habis-habisan untuk memastikan kemenangan," menurut kenyataan mereka di Twitter.

Wanita Tunisia jadi hamba seks

Oleh:

Tarikh: September 24, 2013

TUNIS - Kementerian Wanita sedang merangka strategi pembangunan dalam usaha menyekat sindiket pemerdagangan wanita untuk dijadikan hamba seks kepada militan di Syria.

Jurucakap kementerian berkata, unit khas ditubuhkan untuk menyiasat kesahihan kegiatan itu.

"Kami bekerjasama dengan Syria untuk menangani kegiatan yang dikatakan ada permintaan tinggi," katanya menurut laporan Press TV.

Khamis lalu, Menteri Dalam Negeri Lotfi Ben Jeddou mendedahkan, ramai wanita Tunisia memasuki Syria untuk bekerja sebagai hamba seks kerana pulangan lumayan.

"Mereka buat hubungan seks dengan puluhan militan dan kembali semula ke Tunisia apabila mengandung," katanya.

 

Mangsa banjir diancam buaya sesat

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

ACAPULCO - MEXICO.  Mangsa banjir di Mexico kini  berhadapan dengan ancaman buaya susulan kesan hujan lebat yang melanda dua pertiga kawasan di negara itu sepanjang minggu lalu.

Menteri Dalam Negeri Miguel Angel Osorio Chong berkata,  penduduk mulai khuatir sekiranya reptilia itu memasuki kediaman atau premis untuk mencari perlindungan dan makanan.

"Seekor buaya ditangkap di tepi jalan utama. Mereka percaya akan ada banyak lagi buaya berkeliaran di sekitar bandar ketika ini," katanya.

Menurut laporan dipetik dari AFP, sejak 14 September lalu, Mexico dilanda ribut tropika Ingrid dan Manuel yang mengakibatkan kemusnahan kepada puluhan ribu rumah di Pintada, pinggir Acapulco.

Tragedi itu juga mengakibatkan lebih 100 maut manakala lebih 65 orang dipercayai hilang.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, kali terakhir Mexico dilanda ribut kuat serentak adalah pada 1958.

Bo dipenjara seumur hidup

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

BEIJING - CHINA. Bekas pemimpin Parti Komunis di Chongqing, Bo Xilai dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah tinggi, semalam.

Bo, 64, didapati bersalah berhubung kes rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh mahkamah di bandar timur Jinan, Wang Xuguang.

Hakim mahkamah turut mengarahkan semua aset peribadinya dirampas.

Bulan lalu, ahli politik yang diramal berpotensi besar mendaki kuasa di China itu didakwa menerima suapan 21.8 juta Yuan (RM11.25 juta) daripada dua ahli perniagaan Dalian.

Beliau bagaimanapun menafikan semua tuduhan terbabit.

Menurut laporan dipetik dari Reuters, kerjaya politik Bo yang sedang meningkat terbantut tahun lalu susulan skandal pembunuhan ahli perniagaan British, Neil Heywood oleh isterinya, Gu Kailai.

Abang tiri Obama nafi ahli IM

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

NAIROBI - KENYA. Abang tiri Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menafikan tuduhan beliau terlibat dengan pergerakan Ikhwanul Muslimin (IM) di Mesir.

Malik Obama secara tegas menyangkal dakwaan itu dan menyatakan beliau tidak pernah ke Mesir atau terlibat dengan gerakan IM.

"Tuduhan itu tidak masuk akal. Buat apa saya ke negara yang sedang huru hara itu?," katanya kepada Agensi media Turkish Anadolu.

Menurutnya, beliau kini sedang sibuk menguruskan kerja amal di bawah Yayasan Barack H Obama.

"Sebagai ketua keluarga Obama saya kini giat melakukan program mempromosikan keamanan dunia dan pembangunan modal insan," katanya.

Spekulasi tercetus, selepas seorang peguam Mesir membuat aduan kepada Pegawai Pendakwa negara itu untuk menyenaraikan Malik sebagai individu paling dikehendaki kerana terlibat dengan pergerakan IM yang kini diharamkan di negara terbabit, laporan dipetik dari Press TV.

Drama tebusan di pusat beli-belah

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

NAIROBI - KENYA. Kumpulan lelaki bersenjata al-Shabaab masih menawan tebusan di pusat beli-belah Westgate di ibu negara Kenya, semalam.

Beberapa individu dibebaskan selepas lebih 12 jam insiden serangan menggemparkan itu tercetus.

Pusat Operasi Bencana Kebangsaan memaklumkan, (sehingga jam 10 malam waktu tempatan), seramai 59 maut, 175 cedera dan 1,000 orang diselamatkan.

Saksi mendakwa, bunyi tembakan kedengaran bertali arus dari dalam kompleks tersebut selepas anggota keselamatan bertempur dengan ahli kumpulan rangkaian militan al-Qaeda terbabit.

"Kumpulan bersenjata itu membaling bom tangan ketika serangan. Kami menjerit ketakutan dan ada yang cedera akibat terkena tembakan.

"Kami terpaksa tunduk ke lantai, menyorok di celah tiang. Saya nampak darah terpercik ke lantai dan dinding," menurut warga Australia, Sarah Williamson, 23 yang masih trauma.

Dalam satu kenyataan, laporan dipetik dari AFP Presiden Kenya Uhuru Kenyatta berkata, dua diplomat Kanada antara mangsa maut.    

"Saya diberitahu penyerang terdiri daripada 15 ke 20 anggota militan," tegasnya.   

Sementara itu, jurucakap al-Shabaab berkata, serangan itu dilancarkan kononnya sebagai tindak balas terhadap kehadiran kira-kira 4,000 askar di selatan Somalia yang dikerah untuk memerangi kegiatan militan sejak 2011.

Temui otak dalam sos tomato

Oleh:

Tarikh: September 23, 2013

LONDON - Seorang ibu kepada tiga anak terkejut selepas menemui 'otak' di dalam sos tomato ketika sedang menyediakan hidangan untuk keluarganya, minggu lalu.

Jullen Marter, 47, dari Worcester, Britain mendakwa ketulan objek pelik yang berukuran garis pusat 10 sentimeter itu ditemui terapung pada permukaan bawah bekas sos  terbabit.

"Ia kelihatan seperti otak dan turut menyebabkan sos yang sepatutnya berwarna merah bertukar kehitaman," katanya lagi.

Susulan daripada penemuan mengerikan itu, Marter bertindak membuat aduan di bahagian talian khidmat pelanggan produk tersebut, namun ditertawakan oleh pekerja terbabit, laporan dipetik dari DailyMail.

Penemuan 200 bilion meter padu rizab air tawar

Oleh: NOR HANAFARIZA HARUN

Tarikh: September 23, 2013

Tengah bulan lalu, Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengumumkan, penemuan kira-kira 200 bilion meter padu rizab air tawar di Turkana, Kenya.

Kawasan akuifer (bahagian bawah tanah terdiri daripada kerikil mengandungi air) di ampangan Lotikipi digerudi dan mengandungi akses air bersih yang boleh dibekalkan kepada penduduk negara itu selama lebih 70 tahun akan datang.

Secara teorinya, melalui pengurusan yang betul akuifer tidak akan pernah kering kerana pergunungan di kawasan berhampiran sentiasa mengalirkan air ke dalamnya.

Sejumlah lima akuifer ditemui dengan menggunakan sistem Watex, iaitu teknologi cari gali minyak dan teknik hidrologi konvensional yang dicipta firma peneroka sumber asli, Teknologi Radar Antarabangsa (RTI).

RTI menjalankan kajian bagi pihak Unesco dan kerajaan Kenya dengan bantuan kewangan dari Jepun.

Akuifer Lotikipi berukuran 10,000 meter persegi dan mengandungi kira-kira 200 bilion meter padu air tawar, iaitu 900 peratus lebih daripada rizab air semasa Kenya dan mampu meningkatkan sehingga 17 peratus bahagian air yang ada di negara itu.

Daripada populasi lebih 41 juta penduduk Kenya, 17 juta kurang akses kepada air bersih dan 28 juta tidak menitik beratkan soal kebersihan.

Seorang saintis Unesco Abou Amani berkata, setelah menyaksikan kejadian itu, penjagaan berterusan adalah amat penting supaya ia kekal menjadi sumber air utama.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Sains Semulajadi Unesco, Gretchen Kalonji berpendapat, penemuan terbaru itu dapat membuktikan bagaimana sains dan teknologi dapat menyumbang kepada pengindustrian dan pertumbuhan ekonomi.

"Ia juga dapat menyelesaikan isu masyarakat setempat seperti keperluan akses air," katanya.

Presiden RTI, Alain Gachet percaya masih terdapat banyak lagi rizab air bawah tanah di Afrika.

"Air bawah tanah ini dapat meningkatkan prospek untuk memperbaiki kehidupan rakyat Turkana yang kebanyakannya hidup dalam kemiskinan dan kurangnya akses kepada dan air bersih," katanya.

"Teknologi Watex mampu mencari akuifer tambahan supaya ia boleh dimanfaatkan," katanya.

Pada asalnya, Gachet menggunakan teknologi itu untuk mencari rizab mineral di Afrika. Tetapi penduduk merasakan penemuan air tawar adalah jauh lebih bermakna berbanding minyak atau gas.

Sistem radar, satelit dan peta geologi kawasan itu digunakan untuk mengkaji apa yang terdapat di bawah tanah. Dengan ketepatan permukaan sehingga 6.25 meter, peta itu mampu memberi keputusan tepat lebih 94 peratus.

Sementara itu, Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli Kenya, Judi Wakhungu berkata, penemuan bersejarah ini diharap dapat membuka pintu untuk masa depan lebih cerah kepada penduduk di Turkana dan negara secara keseluruhannya.

"Penemuan kekayaan sumber air ini adalah tepat pada waktunya iaitu ketika ia sangat diperlukan.

"Kini kita perlu berusaha untuk meneroka sumber ini dengan lebih lagi di samping melindunginya untuk generasi akan datang," katanya.

Penemuan itu dilakukan berhampiran Tasik Turkana, yang merupakan tasik kekal dan alkali terbesar di dunia. Selama ini, rantau itu telah menghasilkan pelbagai kajian purba berkaitan manusia dari berjuta tahun dahulu.

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (2)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment