BONGKAR!!! Pusat Patut Ikut Langkah Pulau Pinang [SAKSIKAN...]

Kerajaan persekutuan dan semua kerajaan negeri patut mencontohi langkah Pulau Pinang yang memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang demi ke arah demokrasi yang lebih matang, kata anggota Parlimen pembangkang.

Zairil Khir Johari (Bukit Bendera) dan Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) berkata, menafikan peruntukan kepada golongan itu satu diskriminasi, pencabulan prinsip demokrasi dan menghina rakyat di kawasan terlibat.
NONE"Kami juga berharap perdana menteri akan mengambil peluang ini untuk bertindak secara berhemah dan membelakangkan kepentingan politik sempit demi mencapai kematangan proses demokrasi di negara kita," kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Lim Guan Eng, ketua menteri Pulau Pinang semalam mengumumkan, sepuluh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno negeri itu akan diberikan peruntukan untuk projek pembangunan kecil sebanyak RM40,000 setahun, mulai 2014.

Katanya, peruntukan kepada pembangkang negeri "diluluskan secara prinsip" dalam mesyuarat exco negeri pada 18 September lalu, antaranya bagi menunjukkan keterbukaan Pakatan Rakyat menghormati prinsip demokrasi

Sementara itu, Zairil dan Sim berkata, pada tahun ini, sejumlah RM185.5 juta diperuntukkan kepada kesemua 222 kawasan Parlimen, bersamaan RM835,000 setiap kawasan.

"Malangnya, ahli Parlimen pembangkang langsung tidak diberi kuasa untuk mengurus ataupun meluluskan sebarang projek menggunakan peruntukan tersebut," kata mereka lagi.

4 ADUN Johor tampil desak
Sementara itu, empat lagi ADUN dari Johor turut tampil melalui kenyataan bersama mereka mendesak supaya semua negeri mencontohi langkah Pulau Pinang itu.

"Kami mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Pulau Pinang atas langkah ke arah mewujudkan demokrasi yang matang di negara kita.

"Kami juga berpendapat bahawa langkah tersebut wajar dicontohi oleh semua kerajaan negeri di Malaysia," kata mereka - Liow Cai Tung (Johor Jaya), Wong Shu Qi (Senai), Lim Eng Guan (Bekok) dan Tan Hong Pin (Mengkibol).

Dalam kenyataan itu, mereka berkata, pembangkang selama ini seringkali berhadapan masalah apabila memohon bantuan kewangan untuk kawasan masing-masing. - Malaysiakini.