'Finale' pantai timur
6 1 Google +1 1 0
Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin dan Robert Kenneth
Kuching: Keupayaan pemain Pahang menyerap tekanan beraksi di depan 22, 000 penyokong tegar Sarawak membolehkan mereka mengiringi Kelantan ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
Keputusan seri 1-1 pada perlawanan separuh akhir kedua menentang Sarawak di Stadium Negeri sebentar tadi sudah cukup melayakkan skuad Tok Gajah dengan aggregat 4-2.
Sarawak yang dilihat lebih menguasai perlawanan banyak mencipta peluang dan hasilnya gol pertama hadir pada minit ke 31 apabila Bobby Gonzales menanduk sempurna hantaran Joseph Kalang Tie.
Beraksi di depan penyokong sendiri ternyata memberi tonik kepada anak buah Robert Alberts, namun mereka dikejutkan dengan jaringan Fauzi Roslan yang mendapat sentuhan pertama sebaik dimasukkan pada minit ke 73 yang memberi kelebihan kepada Pahang.
PEMAIN Sarawak, Mohd Hairol Mokhtar cuba mengasak pemain Pahang dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Negeri Kuching.
Usaha kedua-dua pemain pasukan terutamanya Sarawak untuk menambah jaringan menemui jalan buntu sehingga tamat masa tambahan tiga minit.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/26
Anggota polis terlepas tembakan ditahan kerja
0 0 Google +0 0 0
IPOH: Polis Bukit Aman mengeluarkan arahan menahan kerja anggota polis yang terlepas tembakan dan mengenai kanak-kanak berumur 10 tahun ketika mengosongkan pistolnya dalam kejadian di Kampung Belanja Kiri, Parit pada 14 Okt lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, perkara itu telah dimaklumkan pada Jumaat lepas dan surat tersebut dijangka akan diterima minggu depan.
"Surat itu akan diserahkan kepada anggota tersebut. Berapa lama dia (anggota) ditahan kerja bergantung kepada keadaan tetapi kebiasaannya ia bergantung kepada tempoh perbicaraan, namun saya percaya kes ini tentu sekali diberi keutamaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Golf Piala Ketua Polis Negara di sini hari ini.
Seramai 258 anggota dari seluruh negara menyertai kejohanan itu antaranya melibatkan polis dari kontinjen Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
Dalam perkembangan lain beliau berkata kertas siasatan berhubung kes itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu lepas untuk tindakan lanjut.
Kanak-kanak itu selamat menjalani pembedahan mengeluarkan peluru itu pada 20 Okt lepas. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Tiga kampung di Gua Musang dilanda banjir
6 0 Google +0 0 0
GUA MUSANG: Sebanyak 26 rumah yang didiami 100 penduduk di Kampung Batu Papan, Kampung Kundur dan Kampung Pulai di sini ditenggelami banjir awal pagi tadi berikutan hujan lebat sejak semalam.
Namun tiada penduduk yang dipindahkan.
Hanya beberapa keluarga yang berpindah ke rumah saudara-mara mereka dan pulang semula sekitar 10 pagi selepas banjir surut.
Tinjauan Bernama mendapati sebuah jambatan gantung yang merentangi Sungai Galas turut runtuh dihanyutkan arus sungai.
Manan Mat Saman, 51, berkata beliau menyedari mengenai banjir apabila air sungai di belakang rumahnya melimpahi ke tebing dan memasuki rumahnya kira-kira 4 pagi.
Beliau dan isterinya serta lima orang anak mereka terpaksa menumpang di rumah abangnya yang terletak tidak jauh dari situ.
Rohani Ibrahim, 47, berkata banyak peralatan rumahnya gagal diselamatkan berikutan air naik dengan cepat.
"Saya menyedari kejadian banjir kira-kira 6 pagi ketika hendak ke dapur untuk minum air dan ternampak air memenuhi kawasan dapur sebelum saya mengejutkan suami dan anak saya," katanya. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Konstabel maut kemalangan kejar penunggang motosikal
3 0 Google +1 0 0
JOHOR BAHRU: Seorang konstabel polis maut akibat kemalangan motosikal ketika mengejar seorang penunggang lelaki dalam rondaan cegah jenayah di Kampung Baru Pandan, di sini hari ini.
Dalam kejadian 2.15 pagi ini, Jucille Juin, 23, maut selepas kenderaannya bergesel dengan motosikal lelaki itu menyebabkan motosikalnya hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu jalan dan terjatuh ke dalam longkang.
Timbalan Ketua Polis I Daerah Johor Bahru Selatan Supt Abdul Wahib Musa berkata, dalam kejadian itu Jucille bersama seorang lagi rakan setugas terserempak dengan lelaki berkenaan dalam rondaan bermotosikal di Jalan Loo Hong Jung.
"Jucille dan rakannya yang lengkap berpakaian seragam polis bertindak mengejar lelaki bermotosikal itu apabila lelaki terbabit memecut kenderaannya.
"Motosikal Jucille kemudian bergesel dengan motosikal lelaki itu yang menyebabkan kedua-dua mereka hilang kawalan dan mangsa melanggar tiang lampu dan terjatuh ke dalam longkang manakala motosikal lelaki terbabit terjatuh ke atas jalan raya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Wahib berkata, Jucille yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail di sini.
Beliau berkata lelaki berumur 21 tahun terbabit yang patah kaki kiri kini dirawat di hospital sama selepas ditahan rakan setugas mangsa.
Katanya Jucille yang akan menyambut ulang tahun kelahiran pada 30 Okt ini menyertai polis pada Ogos 2009 dan kejadian berlaku ketika dia dan seorang lagi anggota polis itu dalam waktu penugasan mulai 12 malam tadi hingga 8 pagi ini.
Katanya lelaki terbabit yang bekerja sebagai pembantu cef di sebuah hotel di sini didapati tidak mempunyai rekod jenayah dan bebas pengaruh dadah, namun siasatan terhadapnya sedang dilakukan berhubung motif dia melarikan diri ketika terserempak dengan pihak berkuasa.
Sementara itu, isteri Jucille, Line Marlina Stephen, 22, ketika ditemui di bilik forensik HSI berkata suaminya sempat berpesan supaya menjaga kandungan sulung mereka yang mencecah lima bulan dengan baik sebelum keluar bekerja tengah malam tadi.
"Dia (Jucille) ada beritahu rasa sengal-sengal badan dan penat, namun saya tidak sangka dia ditimpa kemalangan ini," katanya.
Line Marlina berkata jasad suaminya akan disemadikan di kampung halaman mendiang di Kampung Mabpai, Inanam, Sabah. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Bomba Terengganu siap sedia hadapi banjir
0 0 Google +0 0 0
KUALA TERENGGANU: Seramai 700 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu telah dikerah untuk menghadapi banjir menjelang musim tengkujuh.
Pegawai Perhubungan JBPM Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata mereka akan ditempatkan di semua 15 balai di seluruh negeri dan sekiranya jumlah itu tidak mencukupi, 314 anggota sukarela akan turut dikerah.
"Pihak kami juga telah menyediakan 50 buah bot dan lima buah lori untuk kerja-kerja menyelamat," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata bagi melicinkan lagi operasi bomba, cuti pegawai dan anggota bomba akan dibekukan secara berperingkat.
Sementara itu kerajaan negeri dilapor telah mewujudkan 118 pangkalan hadapan bagi menempatkan bekalan makanan dan keperluan asas untuk disalur kepada mangsa.
Maklumat mengenai banjir boleh diperoleh dengan menghubungi Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negeri di talian 09-6222231 dan 09-6316021, Bilik Gerakan Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di talian 09-6354743 serta Bilik Gerakan JKR di talian 09-6274092. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu didakwa hina MAIDAM
0 0 Google +0 0 0
KUALA TERENGGANU: Bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Syariah di sini terhadap dua pertuduhan menghina dan mempertikaikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan arahan Sultan Terengganu berhubung penstrukturan semula MAIDAM pada tahun lepas.
Bagi pertuduhan pertama Datuk Ismail Yahya, 57, didapati bertindak secara bertulis menghina MAIDAM melalui surat kepada Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK).
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa mengutus surat kepada SUK mempertikaikan arahan sultan selaku ketua Agama Islam yang memberi perkenan pelaksanaan penstrukturan baharu Institusi Pentadbiran pejabat Maidam seperti dinyatakan di dalam minit mesyuarat MAIDAM kelima pada 21 Okt 2012.
Ismail didakwa mengutus kedua-dua surat itu beralamat di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu pada 29 Okt tahun lepas.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM800 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 26 Feb tahun depan tarikh perbicaraan.
Pendakwaan dijalankan Ketua Pendakwa Syarie Mustafar Hamzah. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Ops mencari dan menyelamat mangsa masuk hari kelima
0 0 Google +0 0 0
CAMERON HIGHLANDS: Operasi mencari dan menyelamat seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam, di sini diteruskan.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, operasi yang memasuki hari kelima diteruskan dengan kekuatan 69 pegawai dan anggota pasukan keselamatan dibahagikan kepada tiga pasukan.
Beliau berkata operasi yang bermula 8 pagi itu dipecahkan bagi melakukan proses mencari di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.
Bagaimanapun katanya operasi hari ini tidak menggunakan khidmat anjing pengesan K-9 dan unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat sebaliknya pencarian dilakukan secara manual dan menggunakan jentera berat.
"Operasi yang dilakukan secara besar-besaran ini akan ditamatkan sepenuhnya pada hari ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun operasi mencari dalam skala kecil seperti rondaan harian akan diteruskan seperti biasa esok, katanya.
Dalam kejadian 1 pagi Rabu lepas, banjir lumpur melanda Lembah Bertam, Ringlet di sini apabila air sungai melimpah susulan pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar.
Insiden itu mengorbankan tiga nyawa selain seorang mangsa hilang. Ia turut memusnahkan 80 kediaman dan kira-kira 100 kenderaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 Jumaat lalu, mengumumkan peruntukan RM40 juta untuk melebar dan mendalamkan Sungai Bertam. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
16 Jemaah haji Malaysia meninggal dunia di tanah suci
0 0 Google +0 0 0
ALOR SETAR: Sebanyak 16 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di tanah suci kerana masalah kesihatan ketika mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata segala urusan pengebumian dan sijil kematian diuruskan oleh Tabung Haji di sana dan kemudian dihantar kepada waris di negara ini.
"Petugas Tabung Haji yang berada di Makkah akan memaklumkan kepada saya sekiranya ada jemaah haji kita yang meninggal di sana supaya pihak kita dapat memaklumkan kepada waris si mati," katanya kepada pemberita ketika melawat keluarga seorang jemaah yang meninggal dunia di Makkah, di Kampung Pokok Pauh Dalam, Pokok Sena dekat sini hari ini.
Abdul Azeez menziarahi keluarga Allahyarham Jasin Taib, 73, yang meninggal dunia di Hospital King Abdulaziz di Jeddah pada Isnin lalu akibat sakit tua.
Rombongan Tabung Haji hadir di kediaman keluarga Allahyarham bagi menyampaikan bantuan khairat kematian kepada anak sulung Allahyarham, Ghazali, 52.
Abdul Azeez berkata Allahyarham merupakan jemaah ke-15 yang meninggal dunia di Makkah dan jenazah disemadikan di tanah perkuburan Syara'ik di Makkah.
Beliau berkata isteri arwah, Siti Aminah Abau, 70, dan anak bongsu, Abdul Rashid, 40, yang turut serta menunaikan haji akan pulang ke Malaysia pada 14 Nov ini.
Abdul Azeez berkata setakat ini, lebih 2,000 jemaah haji Malaysia telah pulang ke Malaysia dan penerbangan terakhir bagi musim haji kali ini adalah pada 17 Nov.
Sementara itu, Ghazali berkata arwah ayahnya sepatutnya menunaikan haji pada tahun lepas tetapi disebabkan kesihatannya tidak mengizinkan, tahun ini baru arwah boleh ke sana.
"Arwah ada penyakit kencing manis dan darah tinggi. Sebelum berangkat, arwah sedikit bimbang untuk ke sana kerana tidak berapa sihat. Ayah dah lama simpan duit untuk ke Makkah. Dia bekerja buat bendang dan hasil duit itulah membolehkannya pergi menunaikan haji dengan mak," katanya. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Anggota bomba maut nahas langgar lari
0 0 Google +0 0 0
BUTTERWORTH: Seorang anggota bomba maut dalam kejadian langgar lari berhampiran Taman Ampang Jajar pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa, Shamsudin Kasim, 51, menunggang motosikal jenis Yamaha Legenda ke tempat kerjanya di Unit Marin Butterworth.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Lelaki maut dipercayai ditikam
10 0 Google +0 0 0
PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas dipercayai ditikam di hadapan perhentian bas di Kilometer 28.9 Lebuhraya Persekutuan menghala Shah Alam, di sini, 11 malam tadi.
Mangsa dipercayai warga asing ditemui orang awam dalam keadaan cedera parah sebelum dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian terbabit.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Lelaki mabuk ancam isteri
0 0 Google +0 0 0
MIRI: Berang ditegur kerana mabuk, seorang lelaki mengamuk dan mengancam mahu mencederakan isteri serta keluarga mentuanya dalam kejadian di Desa Pujut, Permyjaya di sini, semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan selepas keluarga isterinya menghubungi polis.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Parah angkara botol kicap 'terbang'
5 0 Google +1 0 0
Georgetown: Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) parah di kepala selepas terkena botol kicap dipercayai dibuang individu tidak bertanggungjawab di Flat Padang Tembak, Air Itam, di sini, malam kelmarin.
Kejadian berlaku jam 4.30 petang apabila penjual surat khabar Kwok Aik Siew, 59, melalui jalan antara blok A dan B sebelum botol kicap itu mengenai kepalanya, menyebabkannya rebah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Ismail Idris berkata, mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) oleh orang awam dan menjalani pemeriksaan X-ray untuk melihat kesan kecederaan.
Katanya, mangsa setakat ini tidak sedarkan diri kerana dibius dan siasatan awal mendapati insiden itu kemalangan yang tidak disengajakan menyebabkan botol kicap itu dibaling ke arah mangsa.
"Sehingga kini tiada saksi tampil untuk menyatakan objek itu dibuang atau jatuh dari aras mana dan difahamkan, kejadian objek jatuh kerap berlaku di situ.
"Ketua Balai Polis Air Itam diarah mengatur pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa Penduduk untuk mengenal pasti punca, sekali gus mengambil tindakan agar tidak berulang," katanya.
LELAKI OKU berdarah di kepala akibat terkena botol kicap.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Ikan rupa buaya
9 0 Google +0 1 0
Oleh SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Bukit Merah: Penduduk di sekitar Tasik Bukit Merah, di sini, gempar dengan penemuan seekor ikan yang mempunyai mulut dan deretan gigi tajam menyerupai buaya.
Ikan itu ditangkap nelayan tasik Abu Zabar Husin 75, selepas terperangkap di dalam bubu dawai dipasangnya di tasik berhampiran Jalan Keretapi Bukit Merah, di sini, jam 5 petang kelmarin.
Abu Zabar berkata, dia terkejut kerana tidak pernah menangkap atau berjumpa ikan itu sejak menjadi nelayan di situ lebih 50 tahun lalu.
"Ini kali pertama saya melihat ikan dengan bentuk kepala menyerupai buaya. Ikan itu ditemui terperangkap di dalam bubu bersama ikan lain.
"Ketika bubu diangkat, saya terperanjat dan menyangka anak buaya," katanya.
Menurutnya, ikan itu agresif dan hampir terlepas ketika dipegangnya.
"Penemuan ikan ini menyebabkan rumah saya dikunjungi ramai penduduk dari daerah Kerian yang datang berpusu-pusu untuk melihatnya dari dekat.
"Orang ramai turut pelik kerana ikan itu bermuncung dan deretan gigi seperti buaya. Setahu saya ikan seperti ini tidak pernah wujud di Tasik Bukit Merah," katanya.
Sifat ingin tahu orang ramai, termasuk dari Semanggol dan daerah Selama, menyebabkan rumahnya dikunjungi sehingga lewat malam.
Abu Zahar berkata, misteri spesies ikan itu terjawab apabila seorang kakitangan Jabatan Perikanan yang mengunjungi rumahnya mengesahkan ia spesies 'Aligator Gar'.
"Berdasarkan maklumat, spesies ikan ini hanya wujud di Amerika Utara dan boleh membesar sepanjang tiga meter dan seberat hampir 100 kilogram.
"Saya hairan bagaimanapun ikan ini boleh muncul di Tasik Bukit Merah. Jika benar ikan ini berhijrah, ia perlu berenang ribuan kilometer untuk sampai ke Malaysia," katanya.
Difahamkan, spesies ikan pemakan daging ini pernah dilaporkan ditangkap di Tasik Bera, Pahang oleh seorang nelayan pada Januari 2008.
"Ada kemungkinan ia ikan hiasan sebelum sengaja dilepaskan ke tasik," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Pelajar perubatan Malaysia meninggal di India
0 0 Google +0 0 0
New Delhi: Pelajar perubatan tahun pertama dari Sabah Arnaz V Malitam, 20, meninggal dunia akibat masalah pernafasan atau 'cardio respiratory arrest' di Mangalore, Karnataka.
Arnaz, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di KMC Medical College di Mangalore, tidak sihat sejak sekian lama dan dimasukkan ke sebuah hospital tempatan.
Beliau meninggal dunia pada petang Jumaat dan ibu bapa pelajar itu kini berada di Mangalore.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsul Jeneral di Chennai membantu mereka dalam urusan untuk membawa pulang mayat pelajar itu ke Malaysia. — BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Cagar MyKad
6 0 Google +0 0 0
Oleh SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Bagan Serai: Polis mengesan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir penagih dadah tegar di daerah itu yang sanggup menjual atau mencagar MyKad masing-masing untuk mendapatkan bekalan dadah.
Difahamkan, MyKad itu dijual kepada sindiket yang kemudian membekalkannya kepada pendatang asing tanpa izin pada harga tinggi.
Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, perbuatan terdesak itu kini makin popular dalam kalangan penagih dadah warga tempatan yang tidak menghargai dokumen kewarganegaraan dimiliki.
Menurutnya, trend menjual atau mencagar MyKad untuk mendapatkan bekalan dadah semakin berleluasa sejak kebelakangan ini apabila polis menahan beberapa penagih yang terbabit dengan perbuatan itu di sekitar daerah Kerian.
"Berdasarkan siasatan, trend ini biasanya diamalkan penagih dadah yang mempunyai hubungan rapat dengan pengedar dadah. Pengedar sanggup menerima cagaran kad pengenalan atas dasar persahabatan.
"Si pengedar kebiasaannya memberi tempoh masa tertentu kepada si penagih untuk menebus kembali MyKad yang dipajak," katanya.
Menurutnya, penagih dadah terbabit akhirnya terpaksa melakukan perbuatan jenayah seperti mencuri dan meragut bagi mendapatkan MyKad kembali," katanya di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian Deputi Superintendan Muhd Radzuan Bachik dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kerian Asisten Superintendan Fredial Anak Nyambong.
"Polis akan menyiasat kes ini dan memberkas pengedar dadah yang didapati menjadi tauke 'kedai pajak' yang menyimpan MyKad penagih.
"Perbuatan menyimpan MyKad milik individu lain satu jenayah dan boleh diambil tindakan undang-undang," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Bongkar persundalan warga Nepal
3 0 Google +1 0 0
Gelang Patah: Aktiviti persundalan membabitkan wanita warga asing didalangi sindiket tertentu dibongkar Jabatan Imigresen hasil pemeriksaan di dua rumah di Taman Nusa Perintis di sini, jam 1.30 pagi semalam.
Dalam serbuan itu, 35 individu diperiksa dan lapan lelaki serta dua wanita warga Nepal berusia 24 hingga 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Semua warga Nepal yang ditahan terbabit dengan aktiviti persundalan selain melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.
Ketua Penyelaras Operasi Bersepadu 6P Jabatan Imigresen Johor Masri Adul berkata, ketika serbuan, dua wanita Nepal dengan pasangan masing-masing itu asyik memadu asmara di dalam dua bilik di sebuah daripada rumah terbabit.
"Pemeriksaan lanjut menemui kondom, ubat kuat dan pil perancang disediakan sindiket untuk kegunaan pelanggan.
"Sindiket terbabit menawarkan perkhidmatan itu hanya kepada lelaki warga asing dengan bayaran tertentu. Bagi mengelak lokasi persundalan dihidu pihak berkuasa, sindiket memilih rumah di pinggir bandar yang dirasakan selamat.
"Ada kalangan pelanggan datang dari luar kawasan ini, pelanggan akan menghubungi ahli sindiket sebelum dijemput di lokasi dijanjikan sebelum dibawa ke rumah itu," katanya.
Masri berkata, pasangan yang ditahan juga mengaku mereka bukan suami isteri sebaliknya rakan sekerja.
Menurut Masri, pihaknya percaya masih ada lagi premis disewa warga asing dijadikan pusat persundalan.
Operasi yang tamat jam 4 pagi itu diketuai Ketua Operasi Zon Selatan Jabatan Imigresen Timbalan Penolong Pengarah Kanan Anuar Zainal serta 12 anggota juga pegawai.
Masri juga kesal kerana masih ada penduduk tempatan atau pemilik premis menyewa premis mereka kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
"Warga tempatan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002). Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pendatang yang ditemui di premis," katanya.
Semua warga Nepal yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa memiliki dokumen perjalanan sah.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Wanita larikan RM18,850 kantoi
0 0 Google +0 0 0
Ipoh: Seorang wanita dipercayai melakukan kegiatan penipuan menggunakan pelbagai taktik, terutama kononnya menjual barangan berjenama bebas cukai dengan tawaran harga murah, akhirnya tumpas selepas hampir setahun diburu polis.
Wanita tempatan berusia 47 tahun itu disyaki menipu sekurang-kurangnya empat mangsa di negeri ini bermula Januari lalu yang membabitkan kerugian RM18,850 dan berjaya ditahan hasil serbuan polis di Taman Politeknik, Port Dickson, Negeri Sembilan, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Superintendan Maszely Minhad berkata, wanita terbabit menggunakan modus operandi menawarkan barangan bebas cukai kastam seperti komputer riba, telefon pintar, barangan elektrik dan motosikal berkuasa tinggi kepada mangsa melalui panggilan telefon.
Menurutnya, suspek turut menawarkan untuk dapatkan lesen stesen minyak dengan mendakwa mempunyai 'orang dalam' di agensi tertentu.
"Antara mangsanya adalah peniaga wanita berusia 44 tahun yang ditipu pada 29 Januari lalu, apabila dia dihubungi suspek yang menggelar dirinya sebagai Salina dan menawarkan barangan bebas cukai kastam iaitu komputer riba dan i-Pad.
"Mangsa yang terpedaya kemudian setuju membeli barangan itu serta memasukkan wang RM7,000 ke dalam akaun bank suspek, namun suspek gagal dihubungi beberapa hari kemudian," katanya.
"Seorang lagi wanita, pekerja kilang berusia 26 tahun berasal dari Kampung Cegar, Bidor, dekat sini, menjadi mangsa selepas ditawarkan barangan komputer riba, pencetak, Samsung Galaxy Tab dan televisyen dengan harga RM1,850 pada Jun lalu, tetapi perkara sama berlaku selepas mangsa memasukkan duit ke dalam akaun suspek," katanya di sini, semalam.
Maszely berkata, dua lagi mangsa adalah lelaki di mana seorang ditawarkan membeli motosikal berkuasa tinggi dengan harga serendah RM1,500 selain hanya perlu menambah bayaran cukai jalan bernilai RM3,600.
"Seorang lagi mangsa lelaki yang juga anggota tentera diperdaya dengan suspek memperkenalkan diri sebagai Salina Pegawai Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, dan mendakwa abangnya pegawai pelesenan syarikat minyak terkemuka dan menawarkan untuk dapatkan lesen stesen minyak kepada mangsa dengan harga RM4,900," katanya.
Katanya, hasil siasatan dan risikan berdasarkan laporan yang diterima daripada semua mangsa, suspek berjaya ditahan jam 2.30 petang Khamis lalu di Port Dickson dan suspek kini direman empat hari bermula semalam (kelmarin) untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Menurutnya, mana-mana individu yang pernah ditipu suspek menggunakan taktik sama diminta menghubungi balai polis berhampiran.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Kenakan bunga tinggi kepada Bumiputera
4 0 Google +0 0 0
Kuala Lumpur: Sindiket along didapati mengamalkan sentimen perkauman apabila mengenakan faedah lebih tinggi kepada peminjam Bumiputera hingga mencecah 100 peratus daripada jumlah pinjaman.
Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, trend berkenaan dikesannya berdasarkan aduan diterima daripada mangsa Bumiputera.
"Saya hairan apabila banyak kes membabitkan peminjam dari kalangan Bumiputera dikehendaki membayar bunga sehingga 100 peratus daripada jumlah pinjaman.
"Namun, saya tidak tahu mengapa along bertindak demikian dan apabila ditanya, mereka enggan menjawab. Yang pasti, along bertindak sesuka hati kerana undang-undang di tangan mereka," katanya.
Beliau mengulas laporan Metro Ahad mengenai perbuatan seorang wanita mengelar tangannya selepas tertekan dengan tindakan along mengenakan faedah tidak masuk akal hingga mencecah 60 peratus, sedangkan pinjaman untuk menguruskan majlis perkahwinannya hanya RM1,000.
Menurutnya, peminjam yang cuba membunuh diri selepas tidak tahan diganggu along sebenarnya hanya merumitkan lagi keadaan apabila along akan memburu keluarga mereka pula.
"Banyak kali saya nasihatkan orang ramai supaya jangan pinjam wang daripada along kerana mereka zalim. Namun, kerana inginkan wang dengan jalan mudah, peminjam tidak hiraukan nasihat dan akhirnya menerima padah," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Tak tinggal solat dhuha
11 0 Google +0 0 0
Oleh ANIZA ZAINUDIN
Serdang: Niat mendapatkan ilmu, menunaikan solat dhuha dan berkongsi pengetahuan dengan teman menjadi resipi kejayaan penerima Anugerah Pingat Emas Canselor dan Pingat Emas Alumni, Universiti Putra Malaysia (UPM) Muhammad Syawal Amran, 24.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling itu antara 7,149 siswazah yang menerima ijazah dan diploma pelbagai bidang sempena Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-37 dirasmikan Canselornya Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bermula semalam hingga 29 Oktober ini.
Anak kedua daripada empat beradik berasal dari Shah Alam ini meluahkan perasaan gembira dan bersyukur atas penghargaan diterima sambil menyifatkannya sebagai hadiah buat keluarga, teman dan pelajarnya.
"Saya ingin menjadi insan yang memberi manfaat kepada orang lain. Saya berharap kejayaan ini dijadikan inspirasi kepada pelajar saya untuk berjaya dalam pelajaran bukan sekadar memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Saya tidak suka membuang masa bagi perkara tidak berfaedah. Menjadi kebiasaan pada setiap semester saya menghubungi beberapa sekolah di Shah Alam, tiga minggu sebelum peperiksaan akhir untuk menawarkan diri sebagai guru sementara.
"Bagi saya, universiti platform untuk mempelajari ilmu kepemimpinan dan ia harus dikongsi bersama masyarakat di luar," katanya yang turut aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar, Projek Pembangunan Komuniti dan juruhebah radio universiti.
Sementara itu graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Nor Hani Ithanin, 24, menganggap kesibukan bergelar usahawan burung puyuh sambilan sejak tahun dua bukan alasan untuk mengabaikan pelajarannya.
Meskipun tidak mempunyai banyak masa lapang gara-gara sibuk menghantar pesanan pelanggan, Nor Hani bijak membahagikan masa bagi melaksanakan dua tanggungjawab sebagai pelajar dan usahawan kerana ingin melihat kejayaan perniagaan dan pendidikan berjalan seiring.
Meminati dunia perniagaan, gadis berasal dari Bandar Tenggara ini berkata, idea untuk berniaga timbul apabila menyedari permintaan tinggi terhadap pasaran burung puyuh namun sukar mendapat bekalan.
Berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana, Nor Hani turut meluahkan rasa terima kasih kepada Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) kerana memberi peluang untuk memajukan perniagaannya di UPM dan kawasan sekitar Serdang.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Fokus 100 peratus
0 0 Google +0 0 0
Bestari Jaya: 'Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.' Itulah pepatah Melayu dipegang Nurul Izzah Ahmad, 23, hingga membantunya dipilih sebagai penerima Anugerah Pengerusi pada Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Industri Selangor (UNISEL) ke-8, di sini, semalam.
Pelajar jurusan Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) (Komunikasi Korporat) yang juga anak sulung daripada empat beradik itu berkata, tiada resipi tertentu diamalkan dalam mencapai kejayaan cemerlang itu melainkan berusaha bersungguh-sungguh selain memberi tumpuan terhadap apa disampaikan pensyarah.
"Yang penting, ketika di kelas, saya tumpukan 100 peratus perhatian dan fokus kepada ajaran pensyarah kerana jika kita hilang tumpuan, apa disampaikan tidak dapat diterima.
"Kerap mengutarakan soalan kepada pensyarah juga menjadi rutin kebiasaan jika saya tidak faham apa disampaikan, kerana melalui pertanyaan kita cepat dapat mengingati apa diterangkan pensyarah," katanya selepas majlis.
Nurul Izzah berkata, dia terkejut dan tidak sangka terpilih sebagai penerima kerana ada ramai lagi pelajar cemerlang.
Sementara itu, Canselor UNISEL Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dalam ucapannya berkata, pelajar perlu bergerak aktif membabitkan diri dalam aktiviti universiti sebagai membalas balik jasa apabila sudah berjaya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Rindu kenang saat tatap Kaabah
Assalamualaikum. Rindu! Satu patah perkataan yang menyimpan ribuan makna dan pelbagai tafsiran, bergantung kepada setiap individu yang berpeluang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci. Rindu pada suasana di dalam Masjid Nabawi yang tenang dan Masjidil Haram yang sibuk dengan jutaan manusia.
Saat paling dirindukan ialah menatap Kaabah di depan mata. Subhanallah. Kedinginan lantar marmar setiap kali melangkah ke pintu Safa, air zam-zam yang dingin dan kesesakan yang perlu ditempuh menuju ke Kaabah adalah 'warna-warni' haji yang dapat dirasakan setiap jemaah yang berkesempatan berada di sini.
Sepanjang berada di dua kota suci ini, saya dapat melihat pelbagai ragam manusia sama ada secara langsung atau tidak dan memberi pengalaman berharga yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan semuanya atas keizinan Allah. Liputan setiap hari tanpa jemu oleh petugas media di sini merangkumi pelbagai aspek, suka dan duka jemaah haji serta petugas haji TH yang bertugas siang dan malam untuk menyantuni Dhuyufurrahman (tetamu Allah) pada musim haji 1434H kali ini.
Semuanya menjadi satu kenangan berharga meskipun terpaksa berjauhan dengan keluarga hampir dua bulan, satu tempoh panjang yang menuntut kesabaran dan pengorbanan tinggi dari segi mental serta fizikal bagi memberi laporan terbaik untuk tatapan pembaca setia akhbar ini.
Terlalu banyak hendak dicoretkan dalam kolum terakhir ini, namun sebagai penutup tirai musim haji tahun ini, saya menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf jika ada perkataan yang menyinggung hati dan perasaan.
Sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan sama ada secara sengaja atau tidak. Pada kesempatan ini, saya juga ingin merakam setinggi penghargaan terima kasih kepada Tabung Haji yang kali pertama kali menjemput Harian Metro membuat liputan dan juga kepada semua petugas media terbabit. Tidak dilupakan kepada semua pegawai media diketuai Pengarah Operasi Media TH Anis Zuhani Ahmad yang tidak jemu-jemu menghulur bantuan ketika diperlukan, meskipun ada kekurangan di sana sini yang sudah tentu menjadi lumrah dalam kehidupan.
Semoga semua jasa baik anda mendapat balasan ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Kepada semua jemaah haji Malaysia, semoga perjalanan pulang anda dari Makkah ke destinasi masing-masing tiba dengan selamat dan dikurniakan haji yang mabrur, insya-Allah.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Ada 57 lagi penerbangan pulang
0 0 Google +0 0 0
Georgetown: Seramai 19,482 jemaah Malaysia dari Makkah akan dibawa pulang secara berperingkat-peringkat membabitkan 57 penerbangan sehingga 18 November ini.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sehingga kini tujuh penerbangan selamat tiba ke Malaysia dengan membawa 2,492 jemaah.
"Keseluruhan sebanyak 64 penerbangan digunakan untuk membawa pulang semua jemaah Malaysia dengan kumpulan terakhir dijangka tiba pada 18 November ini.
"Bagi jemaah dari Pulau Pinang, mereka akan mula pulang pada 2, 3 dan 4 November ini membabitkan lima penerbangan, manakala petugas TH akan menamatkan operasi pada 20 November ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi waris keluarga Allahyarhamah Jamilah Hussain, 62, jemaah Malaysia ke-16 yang meninggal dunia di Tanah Suci di Teluk Bahang, di sini, semalam.
Abdul Azeez turut mengadakan majlis tahlil dan menyampaikan bantuan khairat daripada TH yang diterima adik arwah iaitu Mohammad Mohd Husin.
Jamilah meninggal dunia pada 23 November lalu akibat serangan jantung.
Sementara itu Mohammad berkata, kakaknya berpesan kepada isterinya yang dia mahu tinggal di Tanah Suci buat selama-lamanya.
"Saya hanya tahu perkara ini apabila isteri menceritakannya selepas kami terima berita kematiannya.
"Saya tinggal di rumah kakak sementara arwah pergi menunaikan haji memandangkan anak tunggalnya berada di luar negara bagi menyambung pengajian dan akan pulang awal Februari depan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Bukan cukai tambahan
1 0 Google +0 0 0
Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR
Putrajaya: "Saya ingin jelaskan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan kerajaan mulai 1 April 2015 bukan cukai tambahan, sebaliknya ia menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang sedang diguna pakai kini," itu jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Abdul Wahid yang ditemui selepas merasmikan Larian Statistik 2013 di Kompleks Air, Presint 6, di sini, semalam berkata, beliau mahu rakyat faham sepenuhnya mengenai pengenalan GST dan tidak termakan dakyah disebarkan pihak pembangkang yang menyifatkan cukai baru itu membebankan rakyat.
Beliau berkata, kerajaan tidak melihat pengenalan GST sesuatu yang membebankan kerana kadar ditetapkan sangat berpatutan dan relevan berbanding kadar lebih tinggi dilaksana beberapa negara jiran lain.
"Sebenarnya rakyat sudah dimomok dengan maklumat tidak tepat mengenai GST oleh pihak pembangkang. Justeru, rakyat tidak perlu marah dengan pengenalan cukai berkenaan.
"Kadar yang kita perkenalkan adalah enam peratus dan ia masih rendah berbanding Singapura dan Thailand yang menetapkan tujuh peratus. Malaysia bukan negara pertama yang memperkenalkan GST sebaliknya ia sudah lama diperkenalkan di tujuh negara ASEAN lain," katanya.
Katanya, kadar GST diperkenalkan kerajaan itu terendah di Asia Tenggara, malah masih banyak barangan dikecualikan cukai berkenaan.
Abdul Wahid berkata, kerajaan juga memberi bantuan kewangan kepada isi rumah yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi menampung kesan pengenalan cukai berkenaan kelak.
Sementara itu, Abdul Wahid turut menyifatkan Bajet 2014 dibentangkan kelmarin begitu komprehensif dan bertanggungjawab kerana ia mempunyai ciri-ciri utama untuk membantu ekonomi negara berkembang secara mampan.
"Bajet berkenaan juga akan memimpin negara menguruskan kewangan dengan lebih baik, sekali gus membantu kerajaan untuk mengurangkan defisit kepada 3.5 peratus pada 2014 dan tiga peratus menjelang 2015.
"Ia juga selaras dengan matlamat jangka panjang negara untuk menyediakan bajet seimbang menjelang 2020," katanya.
Terdahulu, seramai 2,500 peserta menyertai larian berkenaan semalam yang turut disertai Abdul Wahid.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Pemansuhan subsidi gula jaga kesihatan
2 0 Google +0 0 0
Oleh AHMAD SAUFI MANSOR
Yan: Rakyat perlu melihat secara positif pemansuhan subsidi gula sebanyak 34 sen bagi setiap kilogram berkonsep serampang dua mata iaitu menjaga kesihatan selain penjimatan peruntukan berkenaan boleh disalurkan kepada pembangunan infrastruktur.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berkata, tindakan diambil kerajaan mungkin kurang popular, namun ia secara tidak langsung dapat menjimatkan peruntukan subsidi, sekali gus boleh digunakan untuk keperluan lain.
Menurutnya, selain itu, ia adalah salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian rakyat akibat penyakit kencing manis dan penyakit jantung, mahupun penyakit lain berkaitan pengambilan gula berlebihan.
"Dengan pemansuhan subsidi gula, kerajaan dapat menjimatkan peruntukan sebanyak RM64.02 juta bagi tempoh 2013 ini, dan angka berkenaan akan meningkat kepada RM551.25 tahun depan.
"Berdasarkan jumlah yang dapat dijimatkan itu, kerajaan boleh menambah peruntukan sedia ada untuk aspek pembangunan infrastruktur seperti pembinaan sekolah, jalan raya, hospital dan klinik di samping pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Rakyat tidak perlu risau kerana harga gula akan dipastikan tidak meningkat melebihi paras harga sedia ada kerana ia adalah barangan kawalan, cuma mereka perlu melihat kerajaan mahu memastikan tahap kesihatan rakyat sentiasa dijaga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Jom Check Motor anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di perkarangan tempat letak kereta Taman Mahsuri, Sungai Limau Dalam, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Nik Ali Mat Yunus.
Menurutnya, barangan keperluan seperti gula adalah barang kawalan dan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga yang sengaja menaikkan harga sesuka hati.
Katanya, pihaknya menahan dua peniaga di Putrajaya, malam kelmarin kerana disyaki cuba menyorok bekalan gula selepas menyedari kerajaan akan memansuhkan subsidi barangan itu dalam Bajet 2014, demi mengaut keuntungan mudah.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
'Kerajaan patut beri penerangan jelas'
0 0 Google +0 0 0
Shah Alam: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan kerajaan supaya memberikan penerangan jelas mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi memastikan rakyat benar-benar faham kebaikan serta kelebihan langkah itu.
Beliau berkata, semua lapisan masyarakat perlu diberi pemahaman mengenai cukai itu dan bagaimana ia akan dilaksanakan termasuk rasional di sebalik keputusan itu bagi menangkis dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan ia membebankan rakyat.
"Isu GST sudah diperkatakan sejak dua tahun lalu dan sebenarnya sudah ada penerimaan serta ada yang memahami perkara ini. Jadi, sekarang kerajaan perlu menunjukkan keyakinan bahawa langkah ini akan dapat dilaksanakan dengan baik.
"Apabila kita umumkan GST ini, pada masa sama kita perlu bersedia untuk perkenalkannya kepada rakyat. Kalau hanya cakap sikit-sikit tidak cukup, semua agensi kerajaan mesti bersungguh-sungguh dalam memberi penerangan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian 'Going Green UiTM 2013' dengan menanam 2,013 batang pokok 'Meranti Bukit' di kawasan kampus induk Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, semalam.
Turut hadir isterinya, Tun Jeanne Abdullah yang juga Pengerusi Landskap Malaysia dan Naib Canselor UiTM, Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah tentu memikirkan semasak-masaknya setiap keputusan yang dibuat dan tidak akan melaksanakannya jika ia tidak membawa kebaikan kepada rakyat. "Seperti keputusan kerajaan memansuh subsidi gula berkuat kuasa hari ini, ia satu keputusan yang sudah mengambil kira semua faktor. Begitu juga dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinaikkan kepada RM650 yang saya percaya banyak membantu rakyat berpendapatan rendah," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
40 korban bom kereta di Syria
1 0 Google +0 0 0
Damsyik: Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh apabila dua kereta sarat dengan bom meletup di kawasan parkir di luar sebuah masjid berhampiran bandar raya ini.
Sejumlah besar jemaah turut cedera dalam kejadian di bandar Suq Wadi Barada, kata kumpulan pemerhati Hak Asasi Syria yang berpangkalan di Britain.
Suq Wadi Barada dikuasai kumpulan penentang rejim Bashar al-Assad sejak beberapa bulan lalu.
"Jumlah kematian dalam seranghan itu meningkat 40 orang termasuk tujuh kanak-kanak dan seorang wanita.
GAMBAR yang diedarkan agensi berita Syria menunjukkan mayat beberapa kumpulan penentang rejim Bashar bergelimpangan di kawasan Tasik al-Otaiba selepas mereka diserang hendap oleh tentera kerajaan, kelmarin.
"Ia dijangka meningkat kerana ramai yang cedera, kebanyakan mereka kritikal," kata kumpulan hak asasi itu.
Rejim Bashar dan kumpulan penentang menuduh satu sama lain bertanggungjawab terhadap kejadian itu.
Agensi berita Syria (SANA) berkata, laporan awal menunjukkan letupan itu dilakukan pemberontak.
"Kereta itu meletup ketika pemberontak membungkus bahan letupan," lapor agensi berita rasmi Syria itu.
Sementara itu, kumpulan penentang mendakwa rejim Bashar bertanggungjawab menyebabkan kematian itu dengan meletakkan bom dalam dua kereta di luar masjid Osama Bin Zeid.
"Kumpulan rejim Bashar meletupkan bom dalam dua kereta yang diletakkan di depan masjid Osama Bin Zeid," kata jurucakap kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Beberapa serangan bom kereta meragut ratusan nyawa di negara itu sejak beberapa bulan lalu.
Dalam kejadian lain, 24 pejuang terbunuh selepas diserang hendap oleh tentera Bashar.
Pemerhati berkata jumlah itu mungkin meningkat 40 orang. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Tisu tandas emas RM4.3j
7 2 Google +0 0 0
Sydney: Nampaknya tiada sebarang batasan untuk sesiapa menunjuk-nunjuk kemewahan masing-masing kepada umum.
Sebuah syarikat Australia semalam dilaporkan menjadi pengeluar pertama kertas tandas diperbuat daripada emas dengan harga AS$1,376,900 (RM4,346,666).
Menurut laman sesawang syarikat Toilet Paper Man itu, kertas tisu itu menggunakan emas 22 karat dan setiap satu gulung disertakan sebotol champagne percuma.
"Setiap pesanan akan dihantar sendiri kepada pelanggan kami," katanya. Bagi sesiapa yang bimbang kertas tisu emas itu tidak menyediakan kebersihan sepatutnya, syarikat terbabit berkata, mereka memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku.
Kata jurucakapnya, produk itu dihasilkan dalam tiga lapisan untuk memberikan keselesaan maksimum.
"Kami mendapat idea untuk menghasilkan kertas tisu ini selepas melihat beberapa hotel di Dubai menggunakan kelengkapan bersalut emas," katanya. Menurut jurucakap itu, mereka menghabiskan masa empat tahun untuk menghasilkan segulung produk berkenaan.
"Ini adalah kertas tisu tandas paling mahal di dunia," katanya. Setakat ini hanya satu gulung dihasilkan dan ia dijamin selamat digunakan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Wanita jalin hubungan dengan bapa mentua tanpa disedari
44 0 Google +0 0 0
Heilongjiang: Satu keluarga di sini bergaduh besar gara-gara seorang isteri yang bertindak curang terhadap suaminya mengadakan temu janji dengan lelaki yang hanya dikenalinya menerusi Internet.
Pergaduhan antara keluarga itu berlaku di bandar di timur laut China ini kerana kekasih gelap wanita berkenaan ialah bapa mentuanya sendiri.
Selepas beberapa bulan menjalinkan hubungan dengan lelaki itu yang tidak disedarinya adalah bapa suaminya, Lili, 28 dan Wang Pai, 57, mengatur pertemuan di sebuah hotel.
Masing-masing tidak mengenali satu sama lain di alam maya kerana kedua-duanya menggunakan nama samaran.
Tanpa disedari, suami wanita itu yang juga anak lelaki berkenaan, Wang Jai yang mengesyaki kecurangan isterinya mengekori Lili ke hotel berkenaan.
Di situ, Wang Jai melihat isterinya memasuki sebuah kamar hotel dan menukar jubah mandi ungu sebelum menekan loceng kamar sebelah.
Apabila melihat yang bapanya sendiri membuka pintu Wang Jai hilang akal dan menyerang isteri dan juga bapanya.
Kakitangan hotel terpaksa menelefon polis bagi menghentikan pergaduhan antara anak dengan bapa itu.
Menurut Wang Pai, dia menjalinkan hubungan dengan wanita itu tanpa menyedari dia menantunya. Dia menggunakan gambarnya ketika muda sementara wanita itu mengguna gambar rakannya. "Kami bersetuju untuk menjalinkan hubungan asmara. Tetapi apabila membuka pintu, saya terkejut dan dia juga terperanjat. Dia berpusing dan lari ke tangga, terus kepada anak saya yang mengintip kami. "Suaminya menjerit seperti hilang akal dan menyerang saya.
Sementara itu, polis menahan Wang Jai selepas dia menumbuk isterinya hingga dua gigi Lili patah dan menyebabkan kecederaan kepada bapanya. -Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
Kien Keat/Boon Heong mara ke final Terbuka Perancis, Chong Wei gagal
0 0 Google +0 0 0
KUALA LUMPUR: Impian jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei untuk mara ke final Terbuka Perancis di Stadium Pierre De Coubertin, Paris diranapkan pemain perseorangan Jepun Kenichi Tago.
Dalam perlawanan separuh akhir awal pagi ini waktu Malaysia, Tago menewaskan Chong Wei 17-21, 21-16, 21-12 dalam masa 61 minit, demikian menurut laman web kejohanan www.yonexifb.com.
Tago akan menentang Jan O Jorgensen dari Denmark pada final yang bermula 8 malam ini waktu Malaysia.
Sementara itu, beregu utama negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong terpaksa berkerja keras untuk mengenepikan rakan sepasukan Hoon Thien How/Tan Wee Kiong dengan 21-19, 15-21, 21-18 dalam masa 57 minit.
Menanti Kien Keat/Boon Heong di final ialah Gideon Markus Fernaldi/Markis Kido dari Indonesia yang menundukkan Liu Xiaolong/Qiu Zihan dari China 16-21, 21-19, 21-14 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/27
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.



No comments:
Post a Comment