Rezeki bukan minuman, makanan, harta, kenderaan dan segala rupa bentuk kebendaan semata-mata. - Gambar hiasan

SIFAT iman dan takwa sewajarnya membuatkan seorang individu Muslim itu tidak terburu-buru dalam masalah takfir (mengkafirkan) individu Muslim yang lain. Ini kerana implikasinya yang besar dan berat terhadap kedua tertuduh dan yang menuduh.

Bagi tertuduh yang dihukum kafir; sekiranya benar dia telah kafir maka umat Islam yang lain wajib melaknatnya, membencinya, menganggap hatinya terkunci, amalannya tergugur, kehinaan telah menimpanya. Dia tidak akan diampunkan dan akan kekal dalam api neraka selama-lamanya bersama dengan orang kafir lain.

Di samping itu, dia wajib dipisahkan daripada isterinya yang  Muslimah, dihukum bunuh kerana murtad, hartanya tidak akan diwarisi keluarganya yang Islam, jenazahnya tidak akan disolatkan dan dia tidak akan dikuburkan di perkuburan orang Islam.

Adapun implikasinya terhadap yang menuduh jika tuduhannya tidak benar; tuduhan kafir itu akan terpantul semula kepadanya. Sabda Nabi Muhammad SAW: "Barang siapa berkata kepada saudaranya, 'Wahai kafir', maka pengkafiran itu akan kembali kepada seorang daripada mereka; sama ada ungkapan itu benar atau ia akan kembali kepadanya." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Nabi SAW bersabda: "Tidaklah seseorang itu menuduh seorang yang lain sebagai fasik atau mengkafirkannya melainkan ia akan terpantul semula kepadanya sekiranya saudaranya tidak sebegitu." (Riwayat Bukhari)

Demi menjaga maruah sesama saudara seislam, memelihara kesatuan umat serta mengelak daripada berlakunya fitnah tuduh menuduh, syariat Islam bertegas dalam masalah mengkafirkan seseorang Muslim.

Hukuman kafir tidak boleh diambil mudah apatah lagi dilakukan secara terburu-buru, mengikut emosi, kerana perbezaan pendapat, pandangan politik dan seumpamanya.

Sabda Nabi SAW: "Barang siapa bersumpah dengan selain Islam (dengan tujuan) untuk berbohong (dalam sumpah itu) maka dia adalah seperti itu (terkeluar daripada Islam) dan barang siapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu (alat) itu maka dia akan diseksa dalam api neraka dengan (alat) itu juga; mencela orang yang beriman adalah umpama membunuhnya sebagaimana menuduh orang yang beriman sebagai kafir juga adalah umpama membunuhnya." (Riwayat Bukhari)

Penjelasan ulama

Berkata Imam Al-Ghazali, "Apa yang wajar dihindari adalah perbuatan mengkafirkan orang lain sedaya yang mungkin. Ini kerana perbuatan menghalalkan darah dan harta orang yang solat menghadap kiblat yang secara jelas mengucapkan La ilaha illa Allah, Muhammad Rasulullah adalah satu kesalahan. Dan kesalahan membiarkan seribu orang kafir hidup jauh lebih mudah daripada  menumpahkan darah seorang Muslim." (Al-Iqtisad fi Al-I'tiqad, halaman 269)

Berkata Ibnu Abi Al-Izz Al-Hanafi, "Adalah sangat melampau untuk bersaksi ke atas seorang individu, ALLAH tidak akan mengampuninya mahupun merahmatinya, dan ALLAH akan mengekalkannya terus dalam api neraka. Ini kerana hukuman ini khas buat orang kafir sahaja sesudah dia mati." (Syarah Al-Thahawiyyah, 2/432)

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, "Tidak patut bagi seseorang untuk mengkafirkan orang Islam yang lain walaupun setelah dia melakukan kesalahan dan kesilapan melainkan dengan menegakkan hujah terhadapnya terlebih dahulu serta memberi penjelasan kepadanya. Sesiapa yang telah masuk Islam secara pasti, keislamannya sama sekali tidak boleh ditarik balik dengan suatu yang diragui. Keislamannya hanya akan gugur setelah hujah ditegakkan dan syubhah dihapuskan." (Majmu' Al-Fatawa oleh Ibnu Taimiyah,12/468)

Berkata Imam Al-Syaukani, "Ketahuilah seseorang Muslim itu tidak patut  menghukum seseorang Muslim yang lain sebagai terkeluar daripada Islam dan menjadi kafir melainkan dengan dalil jelas yang lebih jelas daripada matahari." (Al-Sail Al-Jarar, 4/578)
Menegakkan hujah

Syarak menuntut supaya kita yakin dan pasti ketika menjatuhkan apa jua hukum. Sama sekali tidak boleh bertindak atas prasangka dan tanggapan semata-mata tanpa mendapat kepastian terlebih dahulu. Apatah lagi dalam masalah yang berat seperti mengkafirkan orang.

Firman ALLAH: "Dan tiadalah Kami (akan) mengazabkan sesiapapun melainkan setelah Kami mengutus seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah agar hujah dapat ditegakkan)." (Surah Al-Israa': 15)

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa." (Surah Al-Hujurat:12)

Demi memperoleh keyakinan dan memastikan keadilan, hujah perlu ditegakkan dan penjelasan perlu diberikan ke atas seseorang yang melakukan perbuatan yang jelas boleh membuatkannya jatuh kafir.

Tiga syarat perlu dipastikan terlebih dahulu pada orang tersebut:
1. Orang itu tahu dan bukan jahil perbuatannya itu kufur;
2. Dia sedar dan bukan tidak sedar;
3. Dia rela dan bukan terpaksa.

Dalil syarat pertama: Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang lelaki yang telah lalai selama hidupnya (banyak berbuat dosa) ketika sedang nazak dia berkata kepada anak-anaknya, "Setelah aku mati nanti bakarlah jasadku, setelah itu hancur lumatkan jasadku dan lemparkan debunya ke udara. Demi ALLAH, sekiranya aku berdepan dengan ALLAH nanti aku akan diseksa dengan azab yang tidak terperi sakitnya." Setelah dia mati, wasiatnya pun ditunaikan. ALLAH memerintahkan bumi menghimpunkannya semula dan tatkala lelaki itu dibawa ke hadapan-Nya, ALLAH bertanya kepadanya: Mengapa engkau berwasiat sedemikian? Jawabnya, "Kerana takut terhadap-Mu." Maka ALLAH mengampuninya. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Tanggapan bahawa ALLAH tidak akan mampu menghidupkan semula jasad yang dibakar dan ditebarkan ke udara setelah dihancur lumatkan jelas kufur.

Lelaki itu beranggapan sebegitu kerana dia jahil tetapi dalam masa yang sama dia beriman dengan ALLAH.

Bahkan perasaan takutnya terhadap seksaan ALLAH lah yang telah membuatnya bertindak sedemikian. Atas sebab itu ALLAH mengampuninya.

Dalil syarat kedua: Kisah seorang lelaki yang keseorangan ketika dia kehilangan haiwan tunggangannya yang membawa makan minumnya di tengah padang pasir. Setelah berputus asa mencarinya dia baring terlelap di bawah pokok. Dan tatkala dia bangun dia mendapati tunggangannya berdiri di hadapannya. Akibat terlalu gembira dia berkata, "Ya ALLAH! Engkau hambaku dan aku tuhanmu!" (Hadis Anas bin Malik, riwayat Muslim no. 2747)

Kata-kata kufur ini sebagaimana dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dimaafkan kerana ia dituturkan tanpa disedari oleh lelaki itu di kala dia terlalu gembira bertemu semula dengan tunggangannya.

Dalil syarat ketiga: Firman ALLAH SWT: "Sesiapa yang kufur terhadap ALLAH sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab daripada ALLAH), kecuali mereka yang dipaksa (melakukan kufur) sedangkan hatinya tenang tenteram dengan iman." (Surah Al-Nahl: 106)

Perlu difahami tertegaknya hujah bukan hanya dengan menyampaikan hujah dan dalil semata tetapi hendaklah dalam masa yang sama dipastikan individu itu memahami hujah dan dalil disampaikan itu.

Berkata Ibnu Taimiyah, "Begitulah halnya dengan kata-kata yang membawa kepada kekufuran. Barangkali individu yang mengucapnya tidak tahu itu adalah kufur. Barangkali penjelasan telah pun diberikan kepadanya tetapi masih belum dapat meyakinkannya atau dia tidak memahami penjelasan itu. Barangkali individu itu juga masih mempunyai syubhahnya yang belum terjawab  boleh dimaafkan  ALLAH." (Majmu' Al-Fatawa oleh Ibnu Taimiyah, 23/346)

Mengkafirkan secara umum

Sekiranya syarak menetapkan hujah perlu ditegakkan terlebih dahulu sebelum hukuman kafir dijatuhkan ke atas seseorang individu Muslim, maka jelaslah perbuatan mengkafirkan sesebuah kelompok masyarakat Islam secara pukul rata tanpa mengira sama ada: Mereka jahil atau berilmu; Mereka sedar atau tidak sedar; Mereka terpaksa atau rela; adalah salah dan menyimpang daripada fahaman ahli sunnah wal jamaah.

Ini berdasarkan kepada prinsip dan dasar Ahli Sunnah wal Jamaah yang membezakan antara:

1. Pelaku perbuatan kufur
2. Perbuatan kufur itu sendiri.

Barangkali perbuatannya kufur tetapi pelakunya belum tentu lagi kecuali setelah ditegakkan hujah terhadapnya.