Mohamed Azmin menunjukkan senarai nama Exco Selangor yang baharu. - Foto Sinar Harian Online oleh RAZIATUL HANUM A.RAJAK

SHAH ALAM - Jawatan Timbalan Speaker Dun Selangor yang sebelum ini disandang oleh Adun PKR akan diwakili Pas, kata Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin berkata, keputusan itu dibuat setelah Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Adun Seri Setia daripada PKR meletakkan jawatan sebagai Timbalan Speaker Dun Selangor bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Exco Selangor.

Saya bersetuju supaya jawatan Timbalan Speaker disandang oleh Pas bagi mewakili Pakatan Rakyat," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, Timbalan Speaker baharu akan dilantik ketika persidangan Dun Selangor yang dijadual pada November ini.

Mengulas mengenai komposisi jawatan Exco diperuntukkan kepada Pas yang berkurangan daripada empat sebelum ini kepada tiga, Azmin berkata, keputusan itu dicapai setelah mengambil kira pandangan semua pihak termasuk parti komponen Pakatan Rakyat semalam.

Azmin hari ini mengumumkan barisan Exco baharu dengan formula 4:3:3 iaitu empat kerusi Exco bagi calon PKR, manakala masing-masing tiga bagi Pas dan DAP.

Tiga muka baharu adalah antara 10 anggota Exco yang dilantik Mohamed Azmin iaitu Nik Nazmi, Adun Batu Caves Amirudin Shari, kedua-duanya daripada PKR dan Adun Taman Templer Zaidy Abdul Talib daripada Pas.

Barisan Exco kali ini turut menyaksikan dua daripada empat Exco Pas yang bersama pentabiran bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim digugurkan,
iaitu Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali dan Adun Sabak, Sallehen Mukhyi.

Komposisi calon wanita dalam barisan Exco kali ini juga berkurangan daripada tiga kepada dua iaitu Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping dan Adun Sementa Dr Daroyah Alwi, kedua-duanya daripada PKR. - Bernama