Friday, May 30, 2014

RG2011... Fw: Tuhan yang sama haramkan babi, judi dan korupsi

 



 

Tuhan yang sama haramkan babi, judi dan korupsi

kedahlanie.info
– Hamri Ibrahim


Baru-baru ini seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu beragama Islam digemparkan dengan penemuan DNA babi dalam dua produk keluaran Cadbury oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Susulan penemuan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggantung serta merta sijil halal dua produk berkenaan iaitu coklat susu dengan kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan coklat susu dengan buah badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond).

Perkara ini menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia kerana menganggap diri mereka ditipu dan diperdaya oleh Cadbury. Pelbagai kritikan dan reaksi negatif juga dilemparkan kepada Cadbury gara-gara kecewa dan tidak berpuas hati dengan syarikat pengeluar coklat berkenaan.

Yang terbaru, sebuah pertubuhan yang mengaku diri mereka mewakili NGO Islam melancarkan jihad terhadap syarikat berkenaan. Pada sidang media di Kuala Lumpur, presiden Perkid menyeru jihad terhadap syarikat Cadbury kerana cuba melemahkan umat Islam di Malaysia.

Sementara itu, Gabungan Pertubuhan Islam bukan kerajaan (ACCIN) mahu Cadbury menanggung kos penukaran darah umat Islam yang termakan coklat berkenaan. Malah ada yang mencadangkan supaya pengguna yang termakan produk haram berkenaan menyamak mulut mereka. Selain itu, presiden PPIM menggesa kilang Cadbury ditutup dan menyeru umat Islam memboikot produk coklat tersebut. Ada juga pihak yang mencadangkan supaya kilang Cadbury dibakar.

Ya, memang benar! Babi adalah haram dimakan oleh umat Islam dan seharusnya Cadbury tidak boleh menipu umat dengan meletakkan unsur babi dalam produk keluaran syarikatnya. Suatu perbuatan yang sukar diterima oleh umat Islam.

Namun tindakan berlebihan dalam perkara ini seolah-olah menggambarkan umat Islam terlalu sensitif terhadap isu pemakanan khususnya yang melibatkan babi sehingga mengabaikan isu yang lebih mendatangkan mudarat besar terhadap umat Islam dan rakyat Malaysia lainnya seperti judi dan korupsi termasuklah juga arak, zina, pembuangan bayi dan lain-lain.

Perkara ini juga seolah-olah menampakkan jurang yang besar antara isu pemakanan dan perkara lain melibatkan isu sosial dan pentadbiran negara. Bukankah semua hukum ini datangnya daripada Tuhan yang sama?

Sebagai umat Islam, kita dididik sejak kecil makanan yang haram akan menghasilkan darah daging yang haram dan akhirnya akan diazab dalam api neraka di akhirat kelak. Oleh itu, isu pemakanan sangat dititikberatkan dalam sesebuah keluarga Islam.

Namun tidak ramai yang benar-benar menyedari wang ringgit dan hasil pekerjaan daripada sumber haram seperti judi dan korupsi juga mendatangkan impak yang sama seperti memakan babi. Makanan yang dibeli daripada hasil haram akan menghasilkan darah daging haram dan akan diazab di akhirat kelak. Malah judi dan korupsi boleh menyebabkan mudarat lebih besar bukan sahaja kepada pengamalnya tetapi juga kepada orang lain di sekeliling mereka.

Misalnya, kesejahteraan sesebuah negara akan tergugat jika amalan rasuah berleluasa. Penjenayah akan hidup bebas dan boleh melakukan aktiviti mereka sewenang-wenangnya tanpa perlu takut kepada undang-undang. Akibatnya, gejala sosial dan jenayah akan meningkat setiap tahun hasil sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu.

Mengambil kira Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan agama, reaksi umat Islam dalam mendepani isu seperti ini sering menimbulkan kekeliruan dan salah faham masyarakat bukan Islam terhadap ajaran Islam yang sebenar.

Tambahan pula, selepas kejadian bomoh di KLIA beberapa bulan lalu, Malaysia juga sering menjadi tumpuan dunia terutama yang melibatkan isu umat Islam di negara ini. Ia secara tidak langsung memberi gambaran negatif terhadap umat Islam di Malaysia walaupun secara realitinya tidak semua bersetuju dengan tindakan tersebut.

Justeru, perbuatan seperti membakar kilang, menukar darah dan menyamak mulut boleh dianggap sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan imej Islam sebenar. Seserius mana isu tersebut sekalipun, kita perlu menghadapinya dengan rasional tanpa dipengaruhi emosi semata-mata.

Islam sebagai agama "Rahmatal lil a'lamin" (rahmat seluruh alam) sentiasa menonjolkan sifat kasih sayang dan bersopan santun terhadap umatnya dan pada masa sama pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap syarikat berkenaan agar perkara seperti ini tidak berulang di masa akan datang.

Oleh itu, umat Islam di Malaysia perlu bijak dalam mendepani sesuatu isu dan tidak seharusnya bertindak secara keterlaluan. Isu sebegini seharusnya dijadikan medium terbaik untuk memahamkan masyarakat majmuk di Malaysia mengenai ajaran Islam yang sebenar berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Sebaliknya yang berlaku hari ini, perkara sebegini menimbulkan salah faham terhadap orang bukan Islam dan menyebabkan mereka makin jauh daripada ajaran Islam. – 29 Mei, 2014.

* Penulis ialah Presiden Kobim, sebuah pertubuhan menggalakkan remaja khususnya di Manjung, Perak menyertai aktiviti kemasyarakatan.

__._,_.___

Posted by: "-:eSpAcE9808:-" <rienacom@yahoo.com.sg>
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.


.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment