Monday, September 1, 2014

RG2011... Strategi Menjawab Soalan Lazim Temu Duga

 

 Ceritakan serba sedikit tentang diri anda.

 

1.       Apakah yang anda tahu tentang organisasi/kementerian/jabatan ini?

   2.     Bagaimanakah anda tahu tentang kekosongan jawatan ini?

   3.     Merujuk kepada resume anda, anda mengatakan bahawa anda memegang banyak posisi penting dalam persatuan di universiti. Ceritakan serba sedikit tentang fungsi anda dalam persatuan tersebut.

   4.     Merujuk kepada resume anda, saya dapati anda tidak aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah dan universiti. Kenapa?

   5.     Pernahkah anda bekerja sebelum ini? Jika ya, nyatakan sebab anda berhenti bekerja di situ.

      6.       Apakah pencapaian terbaik anda?

   7.     Apakah kelemahan anda?

   8.     Berikan sebab anda layak untuk jawatan ini.

   9.     Jika kami tawarkan anda jawatan ini, adakah anda sanggup untuk bekerja di Sabah dan Sarawak?

 

Soalan di atas adalah antara soalan yang kerap ditanya sewaktu sesi temu duga.

 

Kadang-kadang, soalan am juga mungkin turut ditanya.

 

Tips: Untuk menjawab soalan berkenaan isu semasa dengan jayanya, anda digalakkan untuk membaca surat khabar. Kaedah ini juga adalah antara yang terbaik untuk anda memantapkan pengetahuan am anda. Soalan berkenaan hal ehwal semasa kerap ditanya dalam sesi temu duga untuk jawatan yang ditawarkan oleh jabatan kerajaan. Amalkan membaca surat khabar pada setiap hari.

 

   Siapakah perdana menteri sekarang?

   Siapakah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani?

   Adakah terdapat menteri wanita di Malaysia? Siapakah mereka?

   Apakah isu yang kerap dilaporkan dalam surat khabar akhir-akhir ini?

   Namakan negara-negara yang menganggotai ASEAN. Nyatakan bilangannya.

   Apakah buku terakhir yang anda baca?

   Adakah anda seorang yang agresif atau konservatif?

 

Hah, jangan panik! Ada strategi yang boleh anda guna pakai untuk memastikan anda dapat menjawab soalan ini dengan berjaya dan yang paling penting jawapan anda dapat memuaskan hati penemu duga.

 

Sebenarnya, setiap soalan yang diajukan kepada anda ketika ditemu duga merupakan peluang keemasan untuk anda menyatakan sebab anda ialah orang terbaik untuk jawatan tersebut. Anda harus memaklumkan kualiti positif anda dan elakkan daripada memberikan sebab anda harus diketepikan. Fikirkan secara keseluruhan strategi anda untuk menjawab soalan lazim ketika ditemu duga.

 

Berikut ialah 4 strategi yang boleh diikuti:

 

1. Berikan contoh

 

Untuk setiap kualiti diri yang anda maklumkan, pastikan bahawa anda sudah menyediakan contoh situasi yang membuktikan kualiti diri anda tersebut. Pada asasnya, anda hendaklah menyediakan bukti kukuh atas kenyataan yang anda keluarkan. Contohnya, dalam sesi temu duga, anda menyatakan bahawa anda bekerja dengan baik bawah tekanan. Pastikan bahawa anda bersedia untuk memberikan contoh situasi yang berkaitan dan hasil kerja yang memuaskan diberi pada akhir tugasan.

 

2. Kemudi sesi temu duga mengikut haluan anda

 

Satu perkara yang harus diawasi ketika temu duga ialah jangan terperangkap dalam soalan helah penemu duga. Jadilah seperti seorang ahli politik. Perhatikan cara seorang ahli politik menjawab soalan pemberita. Ahli politik sering menjawab soalan yang ditanya sambil memberikan maklumat yang ingin mereka sampaikan secara tidak langsung. Anda boleh melakukan perkara yang sama ketika temu duga.

 

Contohnya, jika penemu duga anda bertanya sama ada anda lebih suka bekerja sendiri atau secara berpasukan, beliau mungkin inginkan anda menjawab salah satu daripada pilihan itu. Namun, anda tidak perlu terperangkap dengan soalan helah beliau. Secara realitinya, kebanyakan pekerjaan memerlukan anda untuk bekerja sendiri dan secara berpasukan. Jawapan anda bagi soalan ini perlu menunjukkan bahawa anda boleh bekerja dalam kedua-dua situasi dengan jayanya.

 

Anda juga perlu menyatakan sebab mereka perlu mengambil anda bekerja dengan mereka. INGAT! Setiap syarikat mempunyai masalah. Berikan penyelesaian kepada masalah mereka. Elakkan daripada memberikan sebab anda perlu diketepikan. Sebelum menjawab sesuatu soalan, ambil masa anda, bertenang dan fikirkan tentang jawapan anda. Jawapan bernas yang disampaikan dengan mengambil sedikit masa adalah jauh lebih baik daripada jawapan kosong yang disampaikan dengan pantas. INGAT! Anda tidak dinilai oleh masa yang anda ambil untuk menjawab, tetapi kebernasan jawapan anda.

 

3. Berikan jawapan yang jelas dan padat

 

Anda hendaklah memberikan jawapan yang jujur. Beritahu sesuatu yang benar secara positif. Jangan sekali-kali berbicara dengan cara yang negatif. Jawapan yang panjang adalah kurang efektif daripada jawapan yang jelas dan padat. Jawapan yang panjang juga kerap membuat  penemu duga menjadi syak akan kejujuran anda. Jika anda bercakap lebih daripada 90 saat tanpa interaksi daripada penemu duga, anda mungkin telah memberikan maklumat yang lebih daripada apa yang diminta oleh penemu duga anda. Jika anda rasakan bahawa anda telah bercakap terlalu lama, berhenti dan ajukan soalan seperti berikut kepada penemu duga anda. “Adakah maklumat yang saya berikan ini tepat dengan apa yang encik minta?” Pertanyaan ini memerlukan jawapan yang segera dan menggalakkan pertukaran maklumat secara terbuka. Selain itu, jika jawapan panjang anda membosankan penemu duga anda, soalan seperti ini akan mengejutkan mereka.

 

4. Buka perbualan

 

Selepas anda memberikan jawapan, tanya penemu duga anda soalan seperti “Adakah saya menjawab soalan encik?” Hal ini dapat memastikan bahawa anda difahami. Cara ini juga akan membuat penemu duga anda berfikir bahawa penting bagi anda untuk menyampaikan maklumat yang ditanya oleh beliau. Hal ini juga menggalakkan interaksi dua hala.

 

Anda berhak mendapat yang terbaik. Oleh itu, anda hendaklah berlatih bersungguh-sungguh menjawab soalan lazim temu duga dan buatlah persediaan temu duga yang secukupnya. Ingat pepatah Melayu ini: Sediakan payung sebelum hujan!

 

 

Artikel ini dipetik dari buku POST MORTEM MASALAH TEMU DUGA ANDA. Maklumat lanjut tentang buku ini boleh didapati di www.perintis.com.my. Anda juga boleh menghubungi Cik Nor untuk maklumat lanjut berkenaan buku ini di talian 03-90195303.

 

 

__._,_.___

Posted by: <studioperintis@perintis.com.my>
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.


.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment