Mohd Hadi berkongsi kegembiraan dengan bapanya, Darus.

ALOR SETAR - "Kalau kita cacat, orang tak akan nampak kita cacat kalau kita berjaya," kata Mohd Hadi Darus.

Sebagai pelajar orang kurang upaya (OKU), kata-kata semangat diberikan seorang doktor ketika merawatnya, dijadikan inspirasi untuk belajar bersungguh-sungguh di samping dorongan keluarga.

Kini, Mohd Hadi, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah dinobatkan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dengan keputusan 11A dalam kategori Calon Berkeperluan Khas (CBK), semalam.

Anak kedua daripada lima beradik yang menulis menggunakan kaki kiri itu berkata, kecacatan tidak menghalangnya untuk menjadi pensyarah.

"Saya minat bidang pendidikan. Saya suka nak berkongsi ilmu dengan semua orang. Saya juga selepas ini nak sambung belajar dan mengambil diploma di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu," katanya.

Mohd Hadi yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan berkata, keputusan SPM memberi kejutan kepadanya apabila subjek 'digeruni' turut cemerlang.

"Saya rasa Matematik Tambahan paling susah. Dulu masa percubaan saya dapat C saja. Tapi tengok keputusan hari ini (semalam), saya dapat semua A termasuk subjek itu," katanya.

Mohd Hadi berkata, berkat dorongan keluarga, rakan dan guru-guru membantunya cemerlang dalam SPM.

"Walaupun saya kurang upaya tapi rakan-rakan banyak tolong begitu juga keluarga dan guru," katanya.

Sementara itu ayahnya, Darus Dariman, 53, berkata, kejayaan anaknya itu amat membanggakannya.