ALOR SETAR - Bayi lapan bulan, Muhammad Nasrullah Khairul Nizam, yang sebahagian besar kulitnya kelihatan seolah-olah melecur dikenal pasti mengalami jangkitan kuman.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Ismail Abu Taat berkata, ia adalah penyakit kulit biasa bagi kanak-kanak, namun boleh melarat jika tidak dirawat segera.

"Dalam kes ini, kesan melepuh kelihatan selepas eczema terkena jangkitan kuman. Hasil pemeriksaan mendapati kesan kulit kehitaman itu bukan melecur akibat reaksi alahan ubat yang diambilnya sebelum itu," katanya.

Menurutnya, bayi itu menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selama tiga hari dan  dibenarkan keluar wad, namun masih dalam pemantauan hospital.

"Rawatan diberi ketika dirawat di HSB dan kita akan pantau hingga pulih sepenuhnya. Mungkin proses pemulihan ambil masa satu hingga dua minggu untuk kembali seperti sedia kala," katanya.
Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, keluarga itu boleh memohon mendapatkan laporan perubatan bayi dari Jabatan Rekod Perubatan HSB untuk mengetahui secara terperinci masalah anak mereka.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan kulit bayi sulung pasangan Khairul Nizam Lebai Jusoh, 41, dan Nur Shazira Mohd Salleh, 23, mengalami kemerahan dan melecur sehingga bertukar kehitaman, setelah mendapat rawatan di sebuah klinik swasta.

Berikutan itu, bayi berkenaan dirujuk ke HSB pada 25 Februari lalu dan dimasukkan ke wad selama tiga hari.

Eczema dirujuk sebagai kategori kulit yang boleh menyebabkannya menjadi bengkak, radang dan gatal yang melampau hingga menyebabkan kulit bertukar kemerahan atau melecur.

Berdasarkan statistik, dua daripada 10 penduduk di Malaysia dan 10-14 peratus kanak-kanak berumur kurang 14 tahun adalah penghidap eczema.

Antara simptom yang boleh dilihat pada penghidap eczema ialah kulit kering, kemerah-merahan dan kegatalan berterusan.