Thursday, July 10, 2014

RG2011... Fw: 10 Adab dan Tatatertib Berpuasa

 



 

10 Adab dan Tatatertib Berpuasa

Antara adab berpuasa termasuk mempercepat berbuka, iaitu ketika terbenamnya matahari.

Antara keindahan agama Islam ialah setiap ibadah dan amal yang dilaksanakan umatnya berpandukan adab yang digariskan.  Hal ini bagi memastikan setiap ibadah atau amal yang dilaksanakan dengan penuh ketertiban dan keikhlasan demi mengharap keredaan Allah s.w.t. dan dengan tujuan mengikuti Sunnah Nabi-Nya. 

Hal ini tidak terkecuali bagi ibadah puasa yang difardukan pada bulan Sya`ban, tahun kedua Hijrah.  Antara adab dan tatatertib berpuasa yang perlu diberikan perhatian penting oleh umat Islam termasuklah:

1. Mempercepat berbuka, iaitu ketika terbenamnya matahari. 
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Manusia sentiasa berada dalam keadaan yang baik selagi mereka mempercepat berbuka puasa."  (Bukhari dan Muslim)  Ketika berbuka ini pula digalakkan supaya dimulakan dengan kurma basah (rutab) yang lembut dan manis rasanya dan atau kurma kering.  Jika kedua-duanya tiada, maka bolehlah berbuka puasa dengan meminum air.

Hal ini bersandarkan Hadith yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan Abu Daud bahawa Nabi s.a.w. berbuka puasa sebelum Solat (Maghrib) dengan beberapa biji kurma basah.  Sekiranya tiada , maka Baginda berbuka dengan beberapa biji kurma kering.  Jika tiada juga maka Baginda meneguk beberapa teguk air.  Sesungguhnya air adalah bersih lagi suci.

2.  Bersahur, iaitu menikmati atau mengambil makanan ketika pertengahan malam.  Islam mensyari`atkan supaya individu yang berpuasa bersahur dan waktunya bermula setelah berlalunya separuh malam sehingga sebelum fajar terbit.  Bersahur dapat memastikan tubuh memperoleh kekuatan untuk menahan lapar serta dahaga apabila berpuasa sepanjang hari.

Dalam sebuah Hadith, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Hendaklah kamu bersahur, sesungguhnya sahur itu merupakan makanan yang diberkati." (Al-Nasa'ie)   Dalam Hadith yang lain, Baginda bersabda yang bermaksud, "Hendaklah kamu meminta bantuan dengan (memakan) makanan pada pertengahan malam untuk menjalani ibadah puasa pada siang hari." (Al-Hakim).

Bersahur ialah sama ada dalam kuantiti makanan yang sederhana atau sedikit dan memadai dengan hanya meminum air sahaja.  Selain bertujuan menguatkan tubuh dan memberikan tenaga, bersahur juga bertujuan membezakan antara puasa umat Islam dengan puasa Ahli Kitab daripada kalangan Yahudi dan Nasrani.  Nabi s.a.w. bersabda dalam sebuah Hadith daripada `Amru ibn al-`As r.a. yang bermaksud, "Perbezaan antara puasa (yang dilaksanakan) kita (umat Islam) dengan puasa (yang dilaksanakan) Ahli Kitab ialah memakan sahur." (Muslim) 

3.  Melewatkan bersahur.
Umat Islam digalakkan melewatkan bersahur, iaitu ketika fajar hampir terbit.  Hal ini berdasarkan penegasan yang diberikan oleh Nabi s.a.w. dalam sebuah Hadith yang bermaksud, "Umatku sentiasa berada dalam kebaikan selagi mereka mempercepat berbuka puasa dan melewatkan bersahur." (Ahmad). 

Tempoh antara tamat waktu bersahur dengan Solat Subuh dijelaskan melalui Hadith daripada Anas ibn Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w. dan Zaid ibn Thabit r.a. bersahur.  Setelah selesai menikmati sahur, kedua-duanya bangun untuk mendirikan solat.  Kami (sahabat-sahabat) bertanya kepada Anas, "Berapa lamakah (tempohnya) antara mereka berdua selesai bersahur dan mendirikan solat?"  Anas menjawab, "Mengikut kadar seorang lelaki (seseorang) membaca 50 ayat al-Qur'an." (Al-Bukhari).   

4Mengelakkan tutur bicara atau percakapan yang mengundang dosa seperti berdusta, mencaci dan mengeji, mengumpat, serta menghasut, dan mengelakkan daripada memandang perkara-perkara yang haram
(sebagai contoh memandang wanita ajnabi sehingga merangsang nafsu) serta mendengar perkara-perkara yang melalaikan (seperti mendengar alunan muzik yang mengalpakan pendengarnya).

Ibadah puasa yang dilaksanakan dengan mengawal semua anggota tubuh ini merupakan peringkat tertinggi puasa, iaitu puasa golongan yang paling khusus yang dihuraikan oleh al-Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya' `Ulumuddin. Golongan ini bukan hanya melaksanakan apa yang diperintahkan untuk dijauhi, iaitu perkara-perkara yang membatalkan ibadah puasa tetapi turut meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa. Justeru, perkara-perkara sunat amat dititikberatkan dan anggota tubuh dihalang daripada melakukan perkara-perkara yang menghilangkan pahala dan hati mereka sentiasa mengingati Allah. 

Puasa peringkat kedua membabitkan golongan khas, iaitu yang berpuasa dengan menahan diri daripada perkara yang dilarang serta banyak melakukan perkara-perkara sunat untuk meningkatkan kualitinya.  Seterusnya puasa peringkat pertama atau paling rendah, ialah puasa orang awam yang hanya terhad pada perbuatan meninggalkan makan, minum, dan perkara-perkara yang membatalkan ibadah tersebut.  

Dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan Imam Ahmad, Nabi s.a.w. memberikan amaran tentang hanya sedikit orang yang memperoleh pahala puasa dan yang diperoleh hanya lapar serta dahaga sahaja.  Begitu juga dengan kecilnya bilangan orang yang memperoleh ganjaran daripada tindakannya berjaga malam, sebaliknya yang diperoleh hanyalah bangun untuk berjaga malam semata-mata.

5.  Berdoa ketika berbuka puasa. 
Antara doa yang digalakkan untuk dibaca ketika berbuka puasa dan menikmati makanan yang merupakan rezeki kurniaan Allah termasuklah:

Maksudnya : "Ya Allah! Kami telah berpuasa (semata-mata) untuk-Mu dan berbuka dengan rezeki-Mu, maka terimalah daripada kami.  Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Al-Daruqutni)

Kita juga digalakkan berdoa dan memohon apa sahaja kepada Allah s.w.t. ketika berbuka kerana ia merupakan salah satu waktu mustajab untuk berdoa.  Doa yang dimohon dengan mematuhi adab-adabnya itu didengar dan dimakbulkan oleh Allah s.w.t. serta diaminkan oleh malaikat.  Dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Doa orang yang berpuasa ketika ia berbuka tidak akan ditolak (mustajab)."   

6.  Menyediakan makanan atau hidangan untuk orang yang berpuasa berdasarkan kemampuan. 
Sekiranya kita tidak mampu menyediakan makanan atau hidangan untuk orang yang berpuasa, maka memadailah dengan menyediakan kurma atau minuman untuk mereka berbuka puasa.  Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka (iftar) untuk orang yang berpuasa, maka ia memperoleh ganjaran sepertinya (orang yang berpuasa) dengan tidak dikurangkan ganjaran orang yang berpuasa itu sedikit pun." (Al-Tirmizi). 

Dalam menyediakan hidangan ini, perlu diingat bahawa kadarnya cukup sekadar sederhana dan tidak berlebih-lebihan sehingga membazir.  Pembaziran amat dilarang oleh agama Islam dan memenuhi matlamat ibadah puasa itu sendiri, iaitu untuk mengawal serta menundukkan nafsu.

7.  Membanyakkan sedekah terutama kepada golongan yang memerlukan dan lebih utama yang ahli keluarga atau saudara terdekat.
Anas r.a. berkata, "Rasulullah s.a.w. pernah ditanya, "Wahai Rasulullah!  Apakah sedekah yang paling utama."  Lalu Nabi s.a.w. menjawab, "Sedekah pada bulan Ramadan." 

Sedekah yang dihulurkan haruslah diutamakan bagi ahli keluarga atau saudara terdekat (Surah al-Baqarah 2 : 215) yang fakir, miskin, serta memerlukan dan seterusnya kepada yang lain-lain.  Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Bersedekah kepada orang miskin merupakan satu sedekah dan bersedekah kepada kaum kerabat merupakan dua sedekah (kebaikan), iaitu sedekah dan silaturrahim." (Ibn Majah).  Sedekah juga sebaik-baiknya daripada harta yang baik dan amat disukai kerana tindakan ini dapat menghapuskan kebakhilan dan meningkatkan ketaqwaan diri.

8.  Membaca dan bertadarus al-Qur'an.
Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai bulan al-Qur'an kerana kitab suci itu diturunkan padanya, maka sepanjang Ramadan, umat Islam amat digalakkan bagi mengisi waktu mereka dengan sesempurna mungkin untuk membaca, bertadarus, menghayati, melaksanakan segala perintah serta menjauhi larangan yang terkandung di dalamnya.  Penghayatan mendalam terhadap kandungan al-Qur'an dan pelaksanaannya dalam kehidupan umat Islam merupakan kemestian kerana sebagaimana ditegaskan oleh Allah s.w.t., al-Qura'n merupakan petunjuk kepada jalan yang amat tepat (agama Islam) (Surah al-Isra' 17 : 9) dan penyembuh serta rahmat bagi golongan yang beriman (Surah al-Isra' 17 : 82).

9. Melaksanakan pelbagai amal salih yang lain seperti menghadiri majlis ilmu, mendirikan Solat Tarawih, beriktikaf di masjid, dan sebagainya,
khususnya pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

10. Mengelakkan berbekam
(rawatan yang merupakan Sunnah Nabi s.a.w.) kerana ia boleh menyebabkan orang yang berpuasa menjadi lemah.  Selain itu, disunatkan bagi orang yang berpuasa untuk tidak merasa makanan kerana dbimbangi makanan tersebut ditelan secara tidak sengaja lalu sampai ke perut.

Umat Islam seharusnya berusaha melaksanakan dan menjauhi perkara-perkara yang disunatkan ini dengan tujuan mematuhi adab-adab berpuasa.  Mudah-mudahan ia dapat membentuk akhlak yang luhur dan disiplin diri yang tinggi.  Lantas selanjutnya mereka didorong untuk bukan sahaja melaksanakan ibadah puasa dengan sempurna bahkan seterusnya mengekalkan disiplin serta iltizam yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab dalam kehidupan secara umumnya.

__._,_.___

Posted by: "-:eSpAcE9808:-" <rienacom@yahoo.com.sg>
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)

Yahoo Groups
Control your view and sort preferences per Yahoo Group
You can now control your default Sort & View Preferences for Conversations, Photos and Files in the membership settings page.

" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.


.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment