Ramadhan : Penyuntik 'Antivirus Dosa', Menghilang Hipokrasi
dan Oleh
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
"Ustaz, apakah hikmah berpuasa, dan bolehkah hikmah dan objektif diketahui?" Tanya seorang pelajar di UK kepada saya ketika minum bersama
"Bukankah hal ibadah tidak boleh diketahui hikmah dan objektifnya?, ye saya faham tentulah objektifnya sebagai ujian ketaatan kepada Allah, tapi apa lagi ye ustaz" tambahnya lagi sebelum saya sempat membuka mulut untuk memberikan jawapan.
Bagus, soalannya menunjukkan tahap ilmunya dan saya faham apakah bentuk jawapan yang diharapkan. Ia boleh dikelaskan soalan tahap intermediate.
Memang benar, berdasarkan kaedah fiqh yang mashyur dan dipersetujui para ulama merumuskan bahawa di dalam urusan ibadah umum dan hukum hakam berkaitan muamalat antara manusia dengan manusia, lebih mudah terlihat hikmah dan objektifnya. Lebih dekat pula dengan rasional aqal manusia. Contohnya, mengapa diharamkan gharar dalam jual beli, judi dan sebagainya, rasional aqal tanpa iman pun sudah boleh memehaminya dengan baik.
Berbeza dengan hal ehwal ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji. Hikmah yang berbentuk fizikal lagi rasional di sebalik setiap perinciannya mungkin sukar difahami, apatah lagi diterima rasional aqal yang tidak dibajai keimanan kepada hal ghaib.
"Ada sesetengah sarjana Islam berusaha memberikan logika dan objektif di sebalik puasa seperti agar dapat merasai keperitan golongan faqir miskin, merehatkan system penghadaman, menambah kesihatan dan macam-macam lagi." ulas saya
Namun semua itu kekal sebagai faedah-faedah tambahan dan sampingan sahaja, kerana itu bukanlah hikmah atau objektif sebenar bagi ibadah puasa.
"sebenarnya jawapannya ada di dalam firman Allah swt sendiri, dan objektif puasa itu dijelas dengan terang melalui nas dan bukan melalui istinbad atau ijtihad para ulama dan sarjana" terang saya sambil melihat tepat di mata saudara yang bertanya tadi.
"apa ye ustaz Allah kata?" sampuk pelajar ini dengan bersungguh.
Cuba lihat firman Allah yang amat popular di musim Ramadhan ini.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Ertinya :
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa ( Al-Baqarah : 183)
Ada dua perkara yang suka untuk saya terangkan di sini secara ringkas.
OBJEKTIF PUASA & ANTI VIRUS DOSA
Kalimah 'La'alla' di dalam ayat di atas boleh diterjemah kepada maksud, 'agar' atau 'semoga' atau 'mudah-mudahan'
Kalimah ini menjadi tanda bahawa apa yang selepasnya adalah objektif kepada puasa. Kalimah ini memberi makna, pelaksanaan ibadah puasa mampu membawa seseorang untuk memiliki sifat taqwa, sebuah antivirus kepada segala jenis penyakit hati dan dosa.
Di dalam dunia fizikal dan material. Tanpa anti virus, swine flu, brid flu, Aids dan pelabagai lagi virus boleh menjadi asbab kepada kematian manusia.
Tanpa antivirus taqwa, iman dan islam seseorang juga akan mati, sama ada dia seorang kanak-kanak, remaja, dewasa atau tua.
Tanpa antivirus taqwa, manusia hari ini menjadi kelam kabut serta hina tanpa pedoman, hidup sering berpura-pura.
Anak berpura-pura baik di hadapan ibu ayah,
Murid dan pelajar berpura-pura di hadapan guru dan pensyarahnya,
Ibu ayah berpura-pura baik di hadapan anak dan para ustaz,
Para ustaz dan ustazah berpura-pura baik di hadapan khalayak ramai
Isteri berpura-pura baik di hadapa suami,
Suami berpura baik di hadapan isteri
Dan berpanjanganlah senarainya. Semua akibat ketiadaan antivirus dosa, iaitu TAQWA.
Kebaikan dan ibadah menjadi bertempat dan bertempoh, tiada istiqamah serta konsisten. Keredhaan dan pujian manusia lain menjadi objektif tertinggi, menyeleweng dari objektif sebenar.
Tatkala itulah hadirnya musim pemulihan, Allah swt sediakan peluang bagi manusia yang sifatnya asyik berdosa dan berpura-pura agar kembali membetulkan punca salah, bajai akar kehidupan dengan iman, sirami ia dengan air TAQWA selaku pencegah kepada kepura-puraan dan kecintaan kepada nikmat sementara dunia serta perbuatan dosa.
ILMU KEBAL, ISTIQAMAH DAN 'KEKUATAN'
Pernahkah kita menjadi ibu bapa yang buntu serta terfikir, apakah caranya untuk mengajar anak agar tidak menjadi baik hanya dihadapan kita? Ingin kita berikan mereka ilmu kebal iman?
Pernahkah kita inginkan suami atau isteri yang kebal dengan dugaan nafsu, syahwat dan dosa di luar sana.?
Pernahkah kita ingin diri kita, untuk sentiasa mampu menjauhkan diri dari dosa dan maksiat?
Selalukah kita berdoa dan berkata"agar diberi kekuatan oleh Allah untuk terus itu ini..jauhi itu dan ini?
Sedarilah, inilah masa untuk mencipta ilmu kebal, mendapat anti virus dosa dan meraih 'kekuatan' yang sentiasa kita ungkap-ungkapkan dalam ucapan dan tulisan kita. Jangan terleka dan terlalai!, Musimnya sudah tiba. Bulan Ramadhan dan ibadah puasa inilah jalannya, caranya, kaedahnya dan formulanya.
Taqwa inilah yang diwasiatkan oleh Allah awal-awal lagi kepada Nabi Adam a.s
يا بنى آدم قد أنزلنا عليكم لباسًا يوارى سوآتكم وريشًا، ولباس التقوى ذلك خير
Ertinya : Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian TAQWA itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat ( Al-A'raf : 26)
ERTI TAQWA
Kalau sudah mengerti, taqwa itulah objektif, apa pula taqwa itu sendiri?
Erti taqwa dari sudut letal adalah takut atau sentiasa jauh dan berhati-hati.
Namun taqwa dalam konteks istilah khas di dalam Islam, tidak hanya terhad kepada makna takut dan menjauh, tetapi ia juga membawa maksud cinta dan mendekat.
Taqwa ini tidak berbentuk fizikal, tiada bentuk hexagon, bujur, bulat atau bersegi, tidak pula bertablet dan berkapsul. Ia adalah satu SIRAMAN KEIMANAN DAN KEYAKINAN bentuk spiritual. Tiada terlihat dek mata, hidu oleh hidung dan terdengar di telinga.
Nabi s.a.w pernah menerangkan bahawa taqwa itu tempatnya di dalam hati. Bukan hati fizikal di dalam jasad, tetapi hati nurani di dalam diri.
Imam Ibn Kathir menerangkan di dalam tafsirnya, bahawa Umar Al-khattab r.a pernah satu ketika bertanya kepada sahabat Ubay bin Ka'ab r.a tentang erti taqwa, lalu dijawabnya:[1]
أما سلكت طريقاً ذا شوك . قال: بلى. قال: فما عملت.
قال: شمرت واجتهدت.
قال: فذلك التقوى،
Ertinya : Pernahkah engkau melalui satu jalan berduri?
Jawab Umar : pernah
Ubay : Bagaimana kamu lakukan?
Umar : Aku sentiasa bersedia, peka dan berhati-hati dengan penuh usaha agar tidak terpijak duri
Ubay : itulah juga sifat taqwa ( Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/163)
Tepat sekali, itulah tanda taawa sudah tersemat di dalam diri, kesannya boleh dilihat dari perumpamaan yang diberi oleh Umar tadi. Apabila seseorang mempunyai kekuatan untuk terus berhati-hati dalam setiap tingkah laku, percakapan, tulisan, ibadah, niat, kerjaya, pelaburan, dan semua aspek, agar TIDAK MENCALAR redha dan hukum Allah swt, TIDAK mengundang murka Allah swt, tatkala itu. Antivurs dosa, iaitu TAQWA sedang berfungsi molek di dalam dirinya. Namun, tentulah kepenatan dan perlukan usaha bersungguh untuk tujuan itu?.
Tentu kerana baginda Nabi s.a.w telah menyebut bahawa lalau ke syurga adalah dengan duri-duri, sedangkan lorong ke neraka adalah dengan keseronokan dan syahwat.
Seorang lagi sahabat, iaitu Abu Darda r.a berkata :
تمام التقوى :أن يتقى الله العبد حتى يتقيه من مثقال ذرة، وحتى يترك بعض ما يرى أنه حلال ، خشية أن يكون حرامًا
Ertinya : Kesempurnaan taqwa itu adalah sentiasa seorang hamba itu sentiasa berjaga-jaga dengan Allah ( arahan dan larangannya) walau dalam hal sekecil zarah, sehingga dia akan meninggalkan sesuatu yang halal sekalipun, kerana takut jatuh di dalam yang haram.
Apa yang dikatakan oleh Abu Darda ini BERSUMBERKAN sebuah hadis nabi, yang ertinya :
لا يبلغ العبد أن يكون من المتقين حتى يدع ما لا بأس به حذرًا مما به بأس
"Tidak akan sampai seorang hamba ke darjat orang bertaqwa sehingga dia meninggalkan yang hal kecil yang mungkin tidak mengapa, kerana bimbang jatuh di dalam yang ditegah Allah' ( Riwayat Ahmad dan Al-Bukhari dalam At-tarikh)
Ali Bin Abi Talib merumuskan ciri taqwa itu sebagai :
التقوى هي الخوف من الجليل والإيمان بالتنزيل والرضا بالقليل والاستعداد ليوم الرحيل
Ertinya : Taqwa itu adalah :
a. TAKUT kepada (azab dan murka) Al-Jalil (Allah)
b. YAKIN teguh dengan apa yang diturunkan (seluruh inti Al-Quran)
c. REDHA dengan sedikit (nikmat dunia)
d. SEDIA menghadapi hari pemergian kematian)
Apabila semua yang disebut di atas sudah mampu diwujudkan, hidup akan menjadi lebih indah, tiada kepuraan, tiada banyak dukacita, tiada banyak kesedihan kerana dunia.
Akhirnya, apa yang ingin saya tegaskan melalui tulisan ini, adalah Taqwa itulah objektif dan hikmah kepada puasa. Yang memberi kekuatan fitrah kepada manusia setelah tercemar dimamah virus dan bakteria dosa. Agar kembali kepada fitrah, dengan pasakan kukuh tawa sebagai antivirusnya. Hala tuju hidup menjadi jelas dan terang, redha Allah, kematian yang baik dan nikmat di alam selepasnya menjadi sasaran utama.
"Alhamdulilah ustaz, kali ni saya dah jelas" jawab pelajar tadi sambil mengangguk-angguk kepala dan tersenyum, mindanya mungkin ligat berfikir.
"Alhamdulillah, saya saya juga mampu meraih anti virus itu, bercakap dan menulis memang mudah tapi implementasi fizikal dan mengikhlaskan di dalam hati itu cabaran seterusnya." Balas saya sebagai kesimpulan.
"oh ye, tapi ustaz, macam aman nak dapatkan nye semasa ramadhan ini.?"
Ada lagi soalan bermain di mindanya.
"untuk jawapan itu, pelajarilah dan laksanakan tanggungjawab puasa dengan ilmu bukan dengan ikut-ikut semata-mata"
"perincian puasa dengan ilmu itu bagaimana ya ustaz" soalnya
"itu kena bacalah ye, tak sempat nak diulas di sini, cuba dapatkannya di web (www.zaharuddin.net) saya dan lain-lain sumber" jawapan mudah saya kali ini.
Ramadhan Kareem untuk semua.
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
Posted by: "Newsforwarder" <3@pendekarblogger.com>
Reply via web post | • | Reply to sender | • | Reply to group | • | Start a New Topic | • | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment