Memahami Wala'
telokbakong.blogspot
rojakpasembor.blogspot
MEMAHAMI WALA' (KESETIAAN) KEPADA JAMAAH ISLAM
MENERUSI AYAT 55-56 SURAH AL-MAIDAH :
APLIKASI RINGKAS DALAM ERA TAHALUF SIASI
إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (٥٥) وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ (٥٦)
Maksudnya: Sesungguhnya pelindung kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku' (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman itu pelindungnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang. (Al-Maidah 5:55-56)
PENJELASAN AYAT
Perkataan wala' diambil daripada perkataan kedua dalam ayat di atas iaitu wali yang bererti pelindung, tempat bersetia, memberikan ketaatan dan meletakkan kepatuhan dan kasih sayang. Semua pengertian ini difahami melalui rujukan akar bahasa dan nas-nas al-Quran dan hadis.
Diakhir ayat 56, Allah ta'ala menjelaskan bahawa kumpulan atau parti yang berpegang teguh kepada agama Allah adalah kumpulan yang mendapat kemenangan.
Namun begitu sebelum kemenangan diberikan, Allah ta'ala terlebih dahulu meletakkan syarat dalam ayat sebelumnya iaitu keperluan pemberian wala' yang sempurna. Persoalan timbul, kepada siapa wala' perlu diberikan? Lalu Allah menjawab, wala' perlu diberikan kepada tiga golongan:
1. Allah ta'ala;
2. RasulNya dan;
3. Orang-orang yang beriman
Wala', kesetiaan dan kasih sayang kepada Allah dan rasulNya perlu diberikan secara mutlak, tanpa sebarang pertikaian dan bersyarat.
Namun wala', kesetiaan dan kasih sayang kepada orang-orang beriman, bukan semua orang beriman boleh diberikan wala', lalu Allah ta'ala terus menjelaskan syarat yang perlu ada pada orang-orang beriman yang wajib diberikan wala' kepada mereka, dengan tiga ciri berikut:
1. Orang beriman yang menunaikan solat;
2. Orang beriman yang mengeluarkan zakat dan;
3. Orang beriman yang tuduk terhadap peraturan dan syariat Allah ta'ala.
Maka jelaslah melalui ayat, kepada petugas yang memperjuangkan agama Allah, bahawa kemenangan akan tertangguh dan tergantung melainkan setelah para petugas menyempurnakan wala' dengan syarat-syarat telah dinyatakan.
WALA' DAN TAHALUF SIASI
Tahaluf Siasi atau perjanjian politik yang berlaku antara sesebuah jemaah Islam dengan gerakan politik lain tidak sama sekali menyebabkan berlakunya pertindihan wala'. Wala' ahli jamaah tetap dan wajib hanya kepada jamaah Islam dan pemimpinannya, tidak kepada yang lainnya, malah wala' yang diberikan oleh ahli jamaah kepada jamaah Islam dan kepimpinannya, sebenarnya akan mengharmonikan lagi sesebuah pakatan atau perjanjian politik.
Ini kerana ahli gerakan Islam sepatutnya memahami tuntutan wala' kepada gerakan Islam dan pemimpinnya seperti yang dinyatakan oleh Allah ta'ala dalam firmanNya, yang berbunyi
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ ...(٥٩)
(Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulil-Amri (pemimpin) dari kalangan kamu [ An-Nisa' 4: 59].
Juga sabda Rasulullah s.a.w.:
اسمعوا وأطيعوا وإنِ استعملَ عليكم عبدٌ حبشيٌّ كأنَّ رأسه زَبيبة.
Dengar dan taatilah, walaupun kamu dipimpin oleh seorang hamba Habasyi yang rambutnya seperti kismis. [Hadis riwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya,no hadis 6723]
Ahli jamaah Islam juga perlu mengetahui bahawa setiap gerakan politik mempunyai matlamat masing-masing yang tercatat dalam perlembagaan mereka untuk dicapai dalam perjuangan mereka, sebagai contoh jamaah Islam, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), matlamat jelas tercatat dalam perlembagaan untuk:
"memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah"
Maka, wala' ahli jamaah kepada jamaah Islam dan pimpinannya, bermaksud wala' mereka kepada matlamat yang diperjuangkan oleh jamaah.
Tahaluf siasi atau perjanjian politik yang berlaku dengan gerakan politik yang lain ialah kesepakatan dan perjanjian terhadap prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat, seperti keadilan sejagat (universal justice), pentadbiran yang baik (good governance), kebertanggungjawaban (accountability), ketelusan (transparency), dan lain-lain.
Ahli jamaah Islam perlu mengimani dan meyakini bahawa pemangkin kepada prinsip-prinsip tersebut mestilah berteraskan aqidah dan syariah Islamiah, bukan berteraskan sekularisme, libralisme dan ideologi-ideologi kufur yang lain. Kerana maksud prinsip-prinsip tersebut dapat difahami dan diaplikasikan secara bersepadu melalui kerangka aqidah dan syariah Islamiah. Inilah yang perlu difahami oleh ahli jamaah dalam memperjuangkan matlamat mereka.
Oleh itu, tahaluf siasi atau kesepakatan politik dengan gerakan politik yang lain adalah bersifat wasilah, bukanlah matlamat. Matlamat yang ingin dicapai daripada kesepakatan ini ialah untuk menjelaskan kepada umat manusia, Islam adalah satu-satu sistem yang dapat menyelamatkan umat manusia di dunia dan akhirat dan dapat menggantikan sistem yang ada, yang telah terbukti meruntuhkan sistem nilai dan akhlak manusia. Maka wala' hanya kepada jamaah dan pimpinannya, tahaluf siasi hanya wasilah dakwah yang perlu diperbaiki dan diperkasakan, selama mana tidak menggadaikan matlamat jamaah.
PERBEZAAN WALA' DAN HUBUNGAN BAIK
Apabila disebutkan bahawa wala' hanya boleh diberikan kepada Allah, Rasul dan orang-orang yang beriman seperti huraian di atas, bukanlah bererti tidak boleh mengadakan hubungan yang baik dengan non-muslim. Wala' dan hubungan baik adalah dua perkara yang berbeza. Malah hubungan baik perlu dilakukan kepada seluruh umat manusia dan makhluk Allah ta'ala. Perkara ini dinyatakan dalam nas-nas al-Quran dan hadis yang banyak. Antaranya firman Allah ta'ala:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (٨)
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil [Al-Mumtahanah 60: 8].
Jelas, ayat menganjurkan berbuat baik, sekalipun kepada mereka yang kafir.
KESIMPULAN
1. Adalah menjadi akidah dan pegangan ahli jamaah, kemenangan tetap akan diberikan kepada parti dan jamaah yang mendukung agama Allah ta'ala setelah wala' mereka sempurna terhadap Allah, RasulNya dan orang-orang beriman (jamaah Islam dan kepimpinannya).
2. Wala' ahli jamaah dalam tahaluf siasi hanya kepada jamaah dan pimpinannya sahaja. Tahaluf siasi hanya salah satu wasilah dalam mencapai matlamat dan cita-cita Islam.
3. Wala' dan hubungan baik adalah dua perkara berbeza. Wala' hanya kepada Allah, RasulNya dan orang-orang beriman (jamaah Islam dan kepimpinannya). Hubungan baik perlu dilakukan kepada semua umat manusia, malah kepada seluruh makhluk.
Suhaimi Azhari:
Ketua Urusan Ulamak Tambun.
AJK Dewan Ulamak PAS Negeri Perak.
Artikel asal ini boleh dimuat turun dari sini.
__._,_.___
Posted by: "-:eSpAcE9808:-" <rienacom@yahoo.com.sg>
Reply via web post | • | Reply to sender | • | Reply to group | • | Start a New Topic | • | Messages in this topic (1) |
" Minuman para Anbia : http://higoat-2009.blogspot.com/"
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
.
__,_._,___
No comments:
Post a Comment