Thursday, July 10, 2014

RG2011... Penatnya kalau jadi wanita...

 

Penatnya kalau jadi wanita...
MUHAMAD MAT YAKIM
11 Julai 2014

SEJAK reti berfikir, saya sering anggap diri bertuah kerana dilahirkan sebagai lelaki. Pada masa itu, perkiraan saya adalah betapa sukarnya jadi wanita, betapa beratnya beban yang mereka tanggung terutama dalam hal kandung mengandung.

Ya, saya akui sekarang saya sendiri juga berperut besar malah besarnya perut saya tiada had tempoh seperti wanita.

Namun dalam keadaan berperut besar, lelaki masih boleh ketawa besar, berjaga malam tonton Piala Dunia di kedai mamak atau kedai tomyam sedangkan wanita yang berperut besar, wajah mereka ketat, selalu berasa loya, sakit kepala dan nampak penat.

Itu belum lagi dikira perlu lapor diri di klinik untuk diperiksa tekanan darah bagi yang bermasalah.

Itu satu hal.

Setiap kali bulan puasa, saya selalu teringat akan  lebih sukarnya jadi wanita, terutama pada zaman sekarang di mana kebanyakan isteri bukan sekadar menguruskan rumahtangga bahkan juga seganding dengan suami bekerja mencari rezeki. Ini berbeza dengan zaman emak atau nenek moyang kita dahulu. Ketika itu, kerja harian wanita rata-ratanya hanya menguruskan anak, membasuh dan memasak.

Kalau ada pun yang terlibat dengan urusan cari rezeki, mungkin hanya sesekali seperti menampi padi. Kerja berat atau yang jauh dari rumah diuruskan oleh lelaki. Sekarang sudah tidak sama lagi.

Awal-awal pagi, mereka juga seperti lelaki keluar rumah mencari rezeki. Menjelang malam baharu pulang, malah ada juga yang lebih lewat daripada suami. Sampai di rumah, kalau lelaki mungkin masih boleh berehat, menyandar menonton TV. Tetapi bagi isteri tidak boleh begitu. Masuk rumah, letak beg tangan terus sinting lengan masuk dapur.

Bulan puasa ini, berganda-gandalah lagi banyaknya kerja mereka. Saya ambil contoh paling dekat, isteri saya. Saban hari, selepas balik dari kerja, dia yang menguruskan semuanya. Daripada membeli juadah berbuka, menjemput anak dari taska, kesemuanya.

Ini kerana waima dalam bulan puasa, saya jarang-jarang dapat berada di rumah pada waktu petang melainkan pada hari cuti.

Itu pun dalam seminggu hanya dua hari. Sepanjang bulan puasa, tidak lebih seminggu saya dapat berbuka di rumah. Selainnya di pejabat. Jadi kesemua perkara, tidak dapat tidak, isterilah yang menguruskannya. Dan saya pulang ke rumah, paling cepat jam 11 ataupun 12 malam.

Tidak. Bukanlah niat saya membangkitkan hal ini untuk merangsang wanita berasa negatif. Tujuan saya hanya untuk golongan wanita terutama isteri sedar bahawa bebanan berganda yang mereka tanggung bukan sia-sia sebaliknya sudah dijanjikan ALLAH dengan ganjaran yang amat besar. Berbakti kepada keluarga, menyediakan makan minum untuk berbuka, terlalu banyak pahalanya.

Yang kedua, kepada suami-suami, janganlah lagi jadi ular sawa kenyang berlingkar di depan TV dengan membiarkan isteri di dapur seorang diri. Ya, saya bukan mengata orang lain tetapi diri sendiri. Ini kerana kita selalu anggap hal di dapur adalah tanggungjawab hakiki isteri sedangkan kita terlupa, tanggungjawab hakiki kita, mencari rezeki juga sudah diambil oleh isteri. Jadi, jangan terlalu berkira dengan isteri!

Selesai berbuka, mencuci pinggan mangkuk, lap meja, pun isteri juga. Suami... berlingkar di depan TV kononnya untuk memudahkan proses penghadaman supaya nanti tidak semput waktu bertarawih. Sudahnya, terawih tidak juga kerana ada siaran ulangan Piala Dunia.

Walaupun pagi tadi sudah tengok, masih mahu tengok lagi sambil 'berharap' kalau-kalau keputusan 1-7 itu berubah!

Sudah siap kerja dapur, baharulah ada ruang untuk isteri mandi, solat dan bersiap. Itu pun ada suami yang merungut 'bau masam' dan sebagainya. Sudahnya, kerja lain pula menunggu.. cuci baju, melipat baju, seterika baju. Tidak lagi dikira dengan permintaan/ arahan 'buka baju'.

Memang tidak syak lagi bahawa jadi wanita memang penat. Apa pun, jika semua itu dilakukan dengan ikhlas, reda, ALLAH yang maha adil tidak akan mensia-siakannya. Cuma, suami juga jangan ambil kesempatan. Oleh kerana ganjaran pahala yang besar untuk isteri, maka semua kerja mahu diserah kepada isteri untuk isteri dapat lebih banyak pahala kononnya.

Jangan dilupa, ALLAH juga maha kaya lagi maha pemurah. Tidak akan berkurang pahala untuk isteri jika suami juga turut sama membantu.

Akhirnya dalam usia yang semakin dewasa, bagi saya, siapa pun kita, setiap ketentuan Tuhan ada kelebihannya. Yang penting, kita mesti reda.

__._,_.___

Posted by: Pendekar Bloggerz <pendekarbloggerz@gmail.com>
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.


.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment