Adakah Perkasa akan gigit tangan yang menyuapnya?
ANALISIS BERITA OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Published: 19 December 2014
Perkasa yang dinaung bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) kini dilihat memberi lebih kritikan kepada pemimpin Umno, dengan kata-kata kesat yang dirasakan tidak sesuai oleh parti tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Disember, 2014. Hubungan antara Umno-Perkasa memasuki satu fasa baru minggu ini apabila pertubuhan bukan kerajaan itu, yang dikenali sebagai penyokong kuat kepimpinan Umno dan pejuang hak Melayu menunjukkan satu sisi yang berlainan, malah menuduh beberapa pemimpin Umno sebagai bangsat.
Agak aneh juga apabila pada masa yang sama, 'kemahuan' kumpulan pendesak Melayu itu kelihatan seperti dipenuhi ketika Perhimpunan Agung Umno bulan lalu.
Di pentas tersebut, dapat diperhatikan pemimpin Umno menonjolkan warna sebenar mereka, lebih-lebih lagi apabila Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak bertindak bukan sahaja mengekalkan, tetapi turut memperkukuhkan Akta Hasutan 1948 sebagaimana tuntutan Perkasa.
Namun ia masih belum mencukupi bagi Perkasa yang kini menghalakan 'senapang' mereka ke arah kepimpinan Najib apabila timbalan presidennya, yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, secara terus-terang meminta Najib berhenti menipu rakyat berhubung kedudukan negara.
Dengan penuh yakin, Rashid mencadangkan agar badan bukan kerajaan itu diubah, dari kumpulan pendesak kepada parti politik sepenuhnya dengan menegaskan, inilah sahaja cara untuk memastikan "negara ini ditadbir orang yang tepat".
Serangan Rashid dan Perkasa terhadap Najib bukan datang dengan begitu sahaja. Ia sebenarnya dimulakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang nyata masih berpengaruh, yang kebetulan juga adalah penaung Perkasa.
Dalam masa yang sama, Najib turut menerima kritikan demi kritikan terutama dari blogger-blogger pro-Umno sehingga beliau terpaksa menggunakan istilah 'bangang' terhadap mereka.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dalam mempertahankan Najib, bagaimanapun menyifatkan Rashid bermungkinan bekas pegawai kerajaan yang tidak gembira kerana tidak mendapat 'benda' ketika dan selepas berkhidmat dengan kerajaan.
Seorang lagi menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz juga menyelar Perkasa kerana mengkritik Najib yang selalu keluar negara dengan meminta NGO tersebut supaya mencermin diri sebelum menasihati perdana menteri.
Mengulas kemelut terkini, penganalisis politik Profesor Madya Azizuddin Mohd Sani berkata, Perkasa mungkin terasa tercabar dan bimbang diketepikan Umno, setelah parti itu dilihat mengambil pendekatan lebih konservatif dalam memperjuangkan kepentingan Melayu.
"Kenyataan Perkasa kita tengok mereka kata akan sokong kerajaan, tetapi hentam Umno cukup-cukup, mungkin Perkasa bimbang Umno ambil tindakan proaktif untuk Melayu, khuatir peranan mereka akan diketepikan.
"Umno pun dilihat sudah memperjuangkan Melayu, jika sebelum ini Umno dilihat lebih gemar mengambil pendekatan sederhana, lebih-lebih lagi perdana menteri dilihat sebelum ini mengekalkan imej wasatiyyah," kata beliau.
Pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu juga berpendapat Perkasa cuba mensasarkan kumpulan pemimpin sederhana dalam Umno demi memastikan parti itu tidak lupa dengan prinsip perjuangan asal mereka.
Antara pemimpin Umno yang dinamakan oleh Perkasa adalah Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Eksekutif Global Movement of Moderates Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan timbalannya Khairul Azwan Harun serta speaker Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Meskipun niat mereka baik, Azizuddin bagaimanapun merasakan serangan yang dilakukan Perkasa terhadap kepimpinan Umno itu hanya akan memberikan persepsi seolah-olah Umno sebuah parti yang lemah.
"Dari segi pengunaan bahasa, macam hina orang lain, itu tidak patut berlaku... nampak BN dan Umno itu lemah dan menimbulkan persepsi kepada penggundi yang mereka parti yang berkecamuk.
"Niat Perkasa mungkin bagus, menjadi kumpulan pendesak supaya Umno tidak lari dari perjuangan Melayu, tetapi ini juga boleh melemahkan Umno," katanya.
Pemimpin Perkasa yang dihubungi The Malaysian Insider mampertahankan serangan itu sebagai wajar kerana golongan tersebut yang mula menyerang Perkasa sebelum ini.
"Yang kita kata 'bangsat' kepada pemimpin Umno yang kritik Perkasa. Kata kami ekstrem, seolah-olah mereka tidak faham perjuangan Umno.
"Kita sasarkan orang-orang seperti ini, pemimpin kita tidak kata semua pemimpin Umno," jelas Setiausaha Agung Perkasa Syed Hasan Syed Ali.
Syed Hasan berkata sasaran pertubuhan itu bukan keseluruhan parti tetapi "pemimpin Umno yang bersuara pembangkang."
"Bukan keseluruhan Umno kita serang, hanya mereka yang mempunyai suara seperti pembangkang.
"Kita hendak Umno itu kuat, orang lemah kita kena beri ubat. Takkan kita hendak puji," katanya.
Tambah beliau, sebagai sebuah "pertubuhan kecil, Perkasa hanya ingin menegur."
"Terpulang kepada pemimpin Umno, Perkasa kecil sahaja, tidak bolehkah kita tegur benda yang tidak betul. Umno tidak perlu terasa, siapa makan cili, terasalah pedasnya," katanya.
Dilaporkan semasa perhimpunan Perkasa baru-baru ini, Datuk Ibrahim Ali, selaku ketua pertubuhan, mengisytiharkan dirinya adalah hero orang Melayu dan menyelar sebahagian pemimpin Umno sebagai 'bangsat' kerana kegagalan mereka memahami agenda Perkasa yang mempertahan hak Melayu dan Islam.
Dia mensasarkan cercaan itu kepada pemimpin Umno yang dilihat kritikal terhadap Perkasa dan sebuah lagi NGO, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Perkasa mendakwa mempunyai 700,000 ahli. Ekoran pertembungan ini, adalah menarik untuk melihat ke mana arahnya perhubungan ini.
Apakah Umno merasai tekanan Perkasa dan menjadi lebih konservatif atau berjayakah Perkasa menggantikannya sebagai sebuah parti politik nanti? – 19 Disember, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/adakah-perkasa-akan-gigit-tangan-yang-menyuapnya#sthash.V3kNBMOa.dpufPosted by: Pendekar Bloggerz <pendekarbloggerz@gmail.com>
Reply via web post | • | Reply to sender | • | Reply to group | • | Start a New Topic | • | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment